Sepatah Dua Kata

Ahad, Jun 29, 2014

Sebuah cerpen dan semangat yang kembali



Fuh! *tarik nafas panjang dan hembus sekaligus*

Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Masih ingat saya? Haha... Ya, saya tahu saya telah lama menghilangkan diri. Atau lebih tepat menyendiri sementara waktu. Mungkin ada yang tertanya-tanya ke mana perginya penulis blog ini. Merajuk membawa diri barangkali. Ah, tidaklah. Saya tidak ke mana-mana. Masih tetap singgah menjenguk teratak ini walau tidak meninggalkan jejak.
            Saya mohon maaf. Dari lubuk hati saya, saya tidak bermaksud mahu membiarkan teratak ini sepi dan bersawang. Jauh dari dalam hati, perasaan ingin berkongsi rasa dan tulisan saya meluap-luap tetapi ada banyak perkara yang mengekang.
            Tidak dinafikan, saya menghidap sejenis penyakit yang agak kronik untuk diubati. Oh, jangan risau, ia tidak membahayakan kesihatan tetapi boleh merosakkan karier penulisan yang saya cintai ini. Penyakit ‘writer’s block’ ini sudah lama saya hidapi sejak setahun yang lalu. Tahun 2013 saya seakan menjauhkan diri dari dunia penulisan. Tiada sebarang novel mahupun sebuah cerpen di media cetak. Kosong. Sepi. Sunyi. Sendiri.
            Bukan tiada idea untuk menulis tetapi semangat dan kekuatan itu bagaikan kapas. Rapuh dan mudah ditiup pergi. Setiap kali saya menatap skrin komputer, tiada aksara yang mampu saya nukilkan walaupun pelbagai ayat dan perasaan berbaur di ruang minda. Fikiran dan perbuatan saya tidak selari. Kesudahannya, saya matikan suis komputer lalu menonton drama atau membaca.
            Terlintas dalam hati, tidak berdisiplinkah saya? Mana perginya semangat berkorbar-kobar dan janji untuk menulis walau sepatah ayat setiap hari? Sungguh, saya tidak lupa malah tidak ingkari janji itu. Saya cuba dan terus mencuba tetapi ayat-ayat yang ditulis akan menimbulkan kekeliruan jika membacanya. Sekejap watak itu namanya Sofia. Sekejap jadi Adlina. Justeru, untuk mengelakkan keadaan semakin kusut, lebih baik berhenti menulis sementara.
            Namun, saban hari melihat rakan-rakan penulis menerbitkan karya demi karya, saya rasa tercabar. Mengapa mereka boleh dan saya tidak? Dan akhirnya, penghujung Mei, saya cuba kembali menyusun jadual menulis. Saya kumpul sisa-sisa semangat yang bertempiaran. Saya kutip cebisan-cebisan azam yang berkeliaran. Sampai bila saya mahu terus dibelenggu penyakit tersebut? Jika saya tidak berusaha, saya tidak akan dapat hasilnya.
            Alhamdulillah, Tuhan masih beri saya kesempatan untuk melakar bait-bait kata menjadi sebuah cerita. Ditambah sokongan dari rakan-rakan, saya kembali menjadi seorang penulis seperti dahulu. Harapan saya, moga saya dapat dekat dengan rakan pembaca semua. Di blog ini, mahupun di FB.
            Berbanyak terima kasih atas dorongan dan sokongan semua. Sebagai langkah permulaan, sebuah cerpen saya hidangkan di majalah Mingguan Wanita terbitan 27 Julai. Tajuknya, Dia Bukan Mama. Harap ia dapat mengubat rindu semua. Moga berjumpa lagi dalam karya akan datang, Insha-Allah. Doakan saya.