Sepatah Dua Kata

Rabu, Februari 17, 2010

Begitulah Cinta - Bab 22



Cinta itu duri, cinta itu duka

HOSPITAL Daerah Port Dickson itu kulawati. Selepas mendapat panggilan telefon dari ummi malam semalam, hatiku diterpa gusar. Esoknya, pagi-pagi lagi aku sudah bersiap. Pak Talib tiba menjemputku pada pukul sepuluh setengah pagi. Aku sudah memaklumkan pada pensyarahku atas ketidakhadiran ke kuliah pagi itu. Mujur kuliahku hanya pada sebelah pagi. Itupun satu kelas sahaja. Hampir dua jam perjalanan, aku tiba di bandar Port Dickson dan meminta Pak Talib terus memandu ke hospital. Sempat aku menelefon ummi untuk memberitahu bahawa aku sudah sampai dan ummi berjanji akan bertemu dengan aku di hospital nanti.
            Kata ummi, ayah ada di sana menggantikan ummi malam tadi menjaga Kak Wawa. Pak Talib memberhentikan kereta di hadapan pintu masuk hospital. Aku bergegas menuju ke wad pesakit wanita. Tanpa membuang masa mencari, aku melangkah segera ke katil yang menempatkan kakak itu. Sampai di situ, ayah menyambutku dengan senyuman. Pantas aku bersalam dan mengucup tangannya.
“Bagaimana dengan Kak Wawa, ayah?” soalku.
“Alhamdulillah, dia hanya cedera ringan. Tulang kakinya retak sedikit. Nasib baik pemandu van tu tak pandu laju. Entah apalah yang dilamunkan kakak kamu waktu memandu tu,” rungut Dato’ Zaidi, ayahku.
            Aku memandang Kak Wawa yang sedang lena dibuai mimpi. Mengikut kata doktor, Kak Wawa akan sedar tengah hari nanti. Kakak... kakak... macam mana boleh jadi sampai macam ni?
“Ayah dah sarapan?” tanyaku.
            Ayah mengelengkan kepalanya. Baru dia teringat, sejak Subuh tadi, dia tidak menjamah apa-apa kerana asyik menjaga anaknya yang seorang itu. Aku melepaskan keluhan.
“Ayah baliklah dulu. Mandi dan sarapan. Biar Durar yang jaga Kak Wawa,” ujarku.
“Kalau macam tu, baiklah. Ada ummi telefon?” soal ayah.
“Durar telefon ummi tadi. Katanya, kejap lagi dia datang. Ayah baliklah berehat,” jawabku.
            Ayah kemudian meminta diri. Aku menatap wajah mulus kakak. Mujur tidak berlaku kecederaan serius. Pak Talib muncul selepas beberapa minit ayah pergi. Aku bertanya pada Pak Talib sama ada dia sudah bersarapan atau belum. Dia hanya mengangguk lalu mengambil tempat duduk di kerusi bersebelahan dengan Kak Wawa.
“Agaknya Adi tahu tak dia kemalangan ni?” kata Pak Talib.
‘Adi? Siapa dia tu?’ hatiku berdetak.

*  *  *  *  *

FARED MUSTAPHA mundar-mandir di dalam pejabatnya. Dia gelisah atau lebih tepat lagi, dia buntu. Dia benar-benar terperangkap. Masih terngiang-ngiang kata-kata Roy di telinganya.
“Kalau aku tak dapat duit tu sebelum bulan Oktober, kau tahulah nasib kau macam mana!” ugut Roy sambil mengepal penumbuknya.
Dua orang bodyguard yang berbadan sasa di belakang Roy tambah mengecutkan hati Fared Mustapha.
“Ya... ya... aku janji aku bayar. Sabar... sabar...” pujuk Fared Mustapha.
Ketukan di pintu menyentaknya dari lamunan. Wajah Ana Maria yang tersenyum sumbing menyakitkan pandangannya.
“Buat apa kau datang sini?” jerkah Fared Mustapha.
“Hai, marah nampak? Takkan nak melawat abang kandung sendiri pun tak boleh? Hei, big brother, what’s up?” ujar Ana Maria.
“Aku perlukan duit sekarang,” terang Fared Mustapha.
How much?
“RM 10,000” jawab Fared Mustapha tanpa selindung.
What? Banyaknya! Nak buat apa?” Ana Maria bertanya, terperanjat.
“Aku hutang dengan along,” jawab Fared Mustapha.
“Bila?” tanya Ana Maria lagi.
“Ish, kau ni. Jangan banyak tanya boleh tak?” marah Fared Mustapha.
“Jadi, apa yang kau nak buat sekarang?” Ana Maria menyoal abangnya yang seperti cacing kepanasan itu.
            Fared Mustapha tidak menjawab pertanyaan adiknya itu. Suasana dalam pejabat itu sunyi-sepi. Adik-beradik itu saling bertentang mata. Kemudian, mereka berbalas senyum.
“Mama!” jerit mereka berdua serentak.

*  *  *  *  *

“MAMA tak setuju! Kenapa kamu berdua ni selalu menyusahkan mama? Kamu Fared! Kenapa berhutang dengan ceti haram? Tak cukup lagi ke belanja bulan-bulan yang papa beri?” marah Puan Sri Kartika.
            Fared Mustapha diam. Ana Maria menarik muka masam. Tidak suka dileter begitu. Puan Sri Kartika terperanjat besar apabila mendengar jumlah wang yang diminta oleh anak lelakinya itu. Sepuluh ribu bukannya sedikit. Mana dia nak cari dalam masa tiga bulan?
“Mama mintalah pada papa, dia mesti bagi punya,” ujar Fared Mustapha.
“Senangnya kamu bercakap. Kamu ingat papa kamu buta-buta nak bagi sepuluh ribu macam tu aje. Apa alasan yang mama nak bagi?” balas Puan Sri Kartika.
“Sudahlah bang. Buang masa je cakap dengan mama ni. Bukan dia boleh tolong. Agaknya bila dia tengok mayat kau nanti baru dia nak menyesal,” ugut Ana Maria.
            Puan Sri Kartika tersentak. Mulut anak perempuannya itu terlalu cabul. Memang dia kesal kerana terlalu memanjakan anak-anaknya sampai tidak tahu menghormati orang yang lebih tua namun semuanya sudah terlambat. Buluh, sudah tidak mungkin mudah dilentur seperti rebung.
            Ana Maria menarik tangan abangnya untuk beredar dari ruang tamu Banglo Impiana itu. Baru beberapa langkah,  terdengar nama mereka dipanggil. Kedua-duanya serentak menoleh.
“Baiklah, mama akan usahakan,” perlahan Puan Sri Kartika bersuara.
Fared Mustapha dan Ana Maria tersenyum puas!

*  *  *  *  *

“SIAPA Adi tu Pak Talib?” tanyaku.
“Oh, kawan kakak kamu. Selalu jugalah dia datang ke rumah. Dato’ dan Datin pun kenal dia. Mereka agak rapat. Ada juga Mak Minah cakap dengan Pak Talib yang mereka tu ada hubungan. Tak tahulah betul ke tidak,” terang Pak Talib.
            Aku menganggukan kepala. Sejak bila Kak Wawa jatuh cinta dengan lelaki bernama Adi ni? Tak pula dia memberitahuku. Mungkin Mak Minah salah sangka. Ummi dan ayah tak ada pula cakap apa-apa padaku. Lagipun, tak pernah pula aku berjumpa dengannya bila aku pulang ke rumah.
“Assalammualaikum,” sapa seseorang.
“Waalaikummussalam,” jawab aku dan Pak Talib serentak.
            Aku segera bersalam dengan ummi dan memeluknya. Di belakang ummi ada Kak Murni dan Kak Kavitha, pekerja di butik Kak Wawa. Aku bersalam dengan mereka. Kak Murni menghulurkan sebungkus beg plastik padaku. Aku mengucapkan terima kasih.
Beg plastik berisi buah-buahan itu kubawa ke sinki berhampiran bersama dengan sebuah bekas. Ada beberapa biji limau, epal merah dan anggur. Buah-buahan itu kumasukkan ke dalam bekas tadi lalu pili air kubuka. Aku merendam buah-buah tersebut sebentar bagi membuang sisa-sisa kotoran yang ada.
            Telefon bimbitku menjerit nyaring. Ada satu mesej diterima. Dari Amirul Azme. Dia bertanya sama ada aku akan berjumpa dengannya di perpustakaan petang nanti atau tidak. Aku menepuk dahi kerana terlupa akan janjiku dengan lelaki itu untuk belajar bersama-sama petang nanti. Segera aku menelefonnya memberitahu bahawa aku berada di hospital ketika ini.
            Hendak tergelak aku apabila mendengar suaranya yang berbaur risau itu. Aku menjelaskan bahawa bukan aku yang masuk hospital tetapi kakakku. Jelas kedengaran dia menarik nafas lega. Lelaki ini cepat sangat berfikir yang bukan-bukan. Selepas berbual beberapa ketika, talian kumatikan. Buah-buahan di dalam bekas tadi kutapis dengan tangan untuk membuang air di dalamnya. Kemudian, aku membawa bekas berisi buah limau, epal merah dan anggur tadi ke katil Kak Wawa. Ummi sedang rancak berbual dengan Kak Murni dan Kak Kavitha. Pak Talib sudah menghilang entah ke mana.
Auntie dah beritahu Encik Adi ke pasal Kak Wawa?” tanya Murni pada ummi.
Sekali lagi aku mendengar nama lelaki itu disebut. Penting sangat ke dia pada Kak Wawa?
“Ya Allah! Auntie terlupa. Kejap, auntie telefon dia,” ujar ummi lantas mencapai telefon bimbit di dalam tas tangannya.
‘Siapa agaknya lelaki bernama Adi ini?’ getus hatiku, curiga.

*  *  *  *  *

I tak suka you rapat dengan betina tu!” marah Laily.
You ni kenapa? Marah tak tentu pasal,” ujar Hafiszul.
“Kenapa you keluar dengan Mimi tak beritahu I?” soal Laily.
            Hafiszul tersentak. Bagaimana Laily boleh tahu tentang perkara itu? Apakah Laily mengekorinya saban waktu?
I rasa tak salah kalau I keluar dengan dia. Dia minta I tolong belikan hadiah untuk kawan dia. Apa salahnya I tolong?” Hafiszul membela diri.
“Dah tak ada lelaki lain ke dia nak minta tolong? Punyalah berlambak lelaki kat UiTM ni, kenapa dia minta tolong you? For your information, betina tu nak goda you, tau tak? Bukan I tak tahu dia dah lama ada hati kat you,” kata Laily.
“Tak baik buruk sangka kat orang. You jealous ke?”
Excuse me! I tak ada masa nak cemburu-cemburu ni. I cuma tak nak you main kayu tiga kat belakang I. Ingat ya Zul! Kalau I dapat tahu you menduakan I, tahulah I kerjakan you!” bentak Laily lalu bangun meninggalkan Hafiszul keseorangan di kafeteria itu.
            Lenggok langkah Laily hanya diperhati dengan ekor matanya. Malas mahu memujuk. Hafiszul melepaskan keluhan berat. Kalau dengan Durar dahulu, tidak pernah dia dimarah sebegini. Durar selalu tenang. Tidak kisah dia keluar dengan siapa pun asalkan niatnya baik. Jauh benar bezanya Durar dengan Laily. Bercakap tentang Durar, sudah lama dia tidak menghubungi gadis itu. Masihkah punya waktu untuk dia membetulkan segala yang telah berlaku?

::bersambung::

3 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

jahat betul anak puan sri tu. best3x.. next!

epy elina berkata...

hohoho....
adi izlan ni btul2 suke ngn wawa or hnya anggap wawa sbgai tman....???
pdn muka zul...
ko dah trlmbt nak mnyesal...

Ridh-One berkata...

anonymous: terima kasih... ;)

epy elina: soal cinta ni memang rumit, kan? hehe... ;)

terima kasih sudi singgah membaca... :)