Sepatah Dua Kata

Sabtu, Februari 27, 2010

Begitulah Cinta - Bab 25


 

Selagi ada kasih...

PUAN SRI KARTIKA tidak senang duduk. Dia yakin, apabila suaminya pulang nanti, pasti Banglo Impiana itu akan kecoh. Ruang tamu itu sudah lama sepi walaupun berpenghuni. Wajah satu persatu anaknya ditatap. Fared Mustapha memandang geram adiknya itu. Ana Maria sejak dari tadi tidak berani mengangkat muka.
“Kamu berdua ni, selalu saja buat mama pening kepala! Kalau macam ni, habislah semua rancangan mama!” marah Puan Sri Kartika.
            Fared Mustapha dan Ana Maria diam tidak menjawab. Tidak berani menentang pandangan tajam mama mereka. Kali ini mereka mengaku, memang silap mereka.
“Apa yang mama nak jawab pada papa nanti?” sergah Puan Sri Kartika.
“Ish, kamu berdua ni memang suka buat darah mama menyirap!” sambung Puan Sri Kartika lagi.
            Bunyi enjin kenderaan yang memasuki halaman membatalkan niat Puan Sri Kartika untuk meleter lagi. Serta-merta dia diamuk gelisah. Apa yang patut dia lakukan saat ini?

*  *  *  *  *

BIELA mengajak kawannya itu untuk berhibur di kelab malam yang baru dibuka di Teluk Kemang. Ana Maria bersetuju kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan malam itu. Lantas, mereka berdua bergegas menuju ke destinasi sambil bernyanyi kecil. Sampai di kelab malam tersebut, Ana Maria mencari tempat letak kereta yang sesuai. Kedudukan kelab malam itu agak tersorok di tengah-tengah kesibukan pusat bandar Teluk Kemang. Kata Biela, tempat ini sengaja dibina begitu untuk kebebasan dan privacy.
            Mereka berdua melangkah seiringan memasuki kelab malam yang agak besar saiznya itu. Bau hamis memualkan tekak Ana Maria. Asap rokok berkepul-kepul menyelubungi ruang udara kelab malam itu. Bunyi bising muzik yang sengaja dipasang kuat, menggegarkan jantung. Pelbagai ragam manusia dapat ditonton. Ada yang sedang terkinja-kinja menari. Tidak kira usia sama ada yang muda atau tua. Semuanya asyik berdansa mengikut rentak muzik rancak yang dimainkan.
            Sebenarnya, inilah kali pertama Ana Maria menjejakkan kaki ke kelab malam. Semuanya kerana keinginan untuk merasa keadaan sebenar di situ dan selebihnya untuk melepaskan tekanan setelah sehari suntuk belajar di kolej. Mujur papanya out station malam itu. Dia keluar malam-malam begini pun secara curi-curi.
“Wei, kata boyfriend kau nak datang. Mana dia?” soal Ana Maria kepada temannya, Biela.
“Kejap lagi sampailah tu. Eh, kau nak minum apa? Aku belanja,” jawab Biela.
“Betul?”
“Yalah. Cepatlah, kau nak apa?” desak Biela.
Orange juice satu,” ujar Ana Maria.
Biela di sebelah tergelak besar. Ana Maria hairan dengan sikap kawannya yang berubah tiba-tiba itu.
“Kau ni kenapa? Buang tabiat?” soal Ana Maria.
“Kau ni lembap betul! Mana ada orang pergi night club minum jus oren. Apa kata kau cuba ni. Waiter!” laung Biela.
            Biela berbisik sesuatu pada pelayan yang dipanggilnya tadi. Seketika kemudian, pelayan itu datang bersama dulang yang berisi dua gelas di atasnya. Biela menghulurkan gelas berisi cecair kekuningan itu kepada Ana Maria.
“Apa benda ni?” Ana Maria bertanya.
Try it. Sure rasa sekali nak dua kali,” ujar Biela lalu meneguk rakus air di dalam gelas itu sehingga tinggal separuh.
            Ana Maria menghidu air di dalam gelas itu. Bau harum. Air campuran buah agaknya. Lantas, Ana Maria meneguk air tersebut. Baru sekali teguk, tekaknya terasa panas. Segala apa yang difikirannya hilang, terbang melayang. Otaknya kosong. Dadanya bergetar hebat.
“Apa benda ni Biela?” tanya Ana Maria lagi.
“Bir,” selamba Biela menjawab.
What? Kenapa...”
            Belum sempat Ana Maria menghabiskan ayatnya, kelab malam itu jadi hingar-bingar. Kepalanya terasa berpusing tiba-tiba.
“Dik, minta kad pengenalan,” pinta lelaki yang memakai seragam berwarna biru gelap itu.
            Dengan keadaan separuh sedar,  Ana Maria membuka beg tangannya lalu mengeluarkan purse berwarna merah jambu. Kemudian, dia mengambil kad pengenalan seperti yang diminta oleh lelaki tadi. Kepalanya terasa bagai dicucuk-cucuk benda yang tajam.
“Awak ditahan,” hanya itu yang ditangkap oleh telinganya sebelum dia menutup mata.
“Ana!!!”
            Ana Maria tersentak dari lamunan. Di hadapannya sekarang bukan lagi lelaki berpakaian seragam berwarna biru gelap tetapi papanya. Hatinya kecut menatap wajah garang papanya itu. Panahan anak mata papanya terasa menyusuk ke dada, perit.
“Kenapa kamu tak habis-habis nak malukan papa? Kamu dah gila buat benda-benda terkutuk macam ni?” marah Tan Sri Ahmad Ariff.
Ana Maria masih seperti tadi. Diam menikus tanpa bunyi.
“Apa salah papa sampai kamu malukan papa macam ni? Semua yang kamu nak papa beri. Tak boleh ke kamu ikut cakap papa dan mama walau sekali?” desak Tan Sri Ahmad Ariff lagi.
            Ruang tamu Banglo Impiana itu sunyi-sepi. Fared Mustapha sedang berkira-kira di dalam hati untuk bertanya papanya tentang permintaannya untuk meminjam sepuluh ribu ringgit.
“Nak marah kamu dah besar. Kalau tak marah, nanti orang kata, papa tak pandai jaga anak, kamu faham tak?”
“Sudahlah bang, bertenang...” pujuk Puan Sri Kartika.
“Bertenang? Awak nak suruh saya bertenang? Tak pernah ada keturunan saya yang masuk lokap awak tahu!”
            Bagaikan halilintar kata-kata papanya tadi menusuk ke telinga. Hati Ana Maria membara tiba-tiba.
“Ana tahu Ana ni bukan anak kandung papa. Yalah, keturunan papa semuanya baik-baik. Tak pernah buat jahat. Kalau macam nilah, lebih baik Ana tak payah ada papa!” bentak Ana Maria.
            Puan Sri Kartika yang mendengar kata-kata anak perempuannya itu melopong. Berani sungguh Ana Maria melawan papanya. Tan Sri Ahmad Ariff yang turut mendengar, tersentak. Ana Maria memang sudah melampau. Dia perlu diajar supaya menghormati orang tua.
“Apa kamu cakap tadi?” ujar Tan Sri Ahmad Ariff.
“Aku tak mengaku yang kau ni papa aku, tak dengar ke?” bentak Ana Maria.
            Pang!!! Lima anak jari Puan Sri Kartika hinggap di pipi anak perempuannya itu. Dia sudah tidak boleh bersabar lagi mendengar kelancangan mulut Ana Maria.
“Mama! Sampai hati mama! Apa Ana ni bukan anak kandung mama juga?” jerit Ana Maria.
“Diam Ana!” tinggi nada suara Puan Sri Kartika.
“Aku benci dengan semua orang! Benci!” jerit Ana Maria lalu berlari naik ke biliknya.
“Ana!” panggil Tan Sri Ahmad Ariff namun tidak dihiraukan oleh gadis itu.
            Puan Sri Kartika tersenyum sinis. Dia memang pelakon yang hebat. Sesekali perlu juga berkorban untuk menjayakan rancangannya nanti. Dia harus menghalang Ana Maria dari meneruskan kata. Takut andai nama Ana Maria tersingkir dari mewarisi harta. Tindakannya menampar Ana Maria tadi bukanlah untuk menyakiti tetapi untuk melindungi.
Tan Sri Ariff memegang dadanya. Terasa bagai ditumbuk-tumbuk. Tiba-tiba dia rebah ke permaidani berwarna hijau itu.
“Abang!”
::bersambung::

1 ulasan :

epy elina berkata...

hrp2 harta datuk arif tidak jtuh kpada puan sri kartika n ank2 dia....
hrp2 datuk arif smpat tukr g nma amirul...
jhat jg ank2 puan sri kartika ni...