Sepatah Dua Kata

Rabu, Mac 03, 2010

Begitulah Cinta - Bab 26



Keliru, keliru dan terus keliru...

HAFISZUL duduk menunggu di dalam restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) itu seorang diri. Dia melirik jam di pergelangan tangan kirinya. Pukul 2.15 petang. Ada lima belas minit lagi sebelum tetamu yang dinantinya tiba. Dia mengambil sedikit fries lalu dicelup ke dalam sos cili kemudian memasukkannya ke dalam mulut. Kentang goreng tadi dikunyah perlahan-lahan. Dia harus menamatkan segala benang-benang masalah yang berselirat di hatinya. Kali ini dia yakin, milik siapakah perasaan cinta ini. Dari jauh, dia melihat gadis yang ditunggu sedang berjalan ke arahnya. Gadis itu tampak ayu bertudung litup rona hijau muda bercorak awan larat dan disuaikan dengan blaus juga rona serupa.
“Assalammualaikum, maaf, lama tunggu?” sapaku.
“Waalaikummussalam. Tak adalah lama. Fiszul pun baru sampai,” jawab Hafiszul.
“Tak order dulu ke?” tanyanya.
“Tak apalah. Mungkin kejap lagi. Oh ya, ada apa awak nak jumpa saya ni? Bunyinya macam penting,” ujarku.
“Er... er... actually, Zul nak minta maaf,” ucap Hafiszul.
“Maaf? Untuk apa?” soalku tidak faham.
“Boleh kita bermula semula?” pinta Hafiszul.
“Maksud awak?” aku bertanya, kurang mengerti.
Be my girlfriend back,”
“Apa yang awak merepek ni Zul? Jangan main-main,”
I’m serious. Please be my girlfriend back,”
“Saya rasa awak hanya bergurau. Cakaplah, apa perkara sebenarnya?” soalku, mula gelisah.
“Kembali pada Zul. Kita kembali seperti dulu,” pinta Hafiszul.
“Awak ni dah bermimpi agaknya. Saya bukan Laily, saya Durar,”
“Zul tahu. Zul akan break-up dengan Laily. Zul harap Durar sudi terima Zul semula,” jelas lelaki itu.
            Oh, Tuhan! Benarkah apa yang sedang kudengar ini? Bukankah saat ini yang aku tunggu-tunggu? Saat di mana hubungan kami pulih semula. Namun, mengapa hatiku kosong? Seolah-olah tiada lagi rasa cinta dalam hati ini untuk lelaki di hadapanku.
“Maaf, saya rasa awak keliru. Hubungan kita dah lama putus. Antara kita dah tak ada apa-apa lagi. Awak lupa bahawa awak yang memutuskannya?” sindirku.
            Wajah Hafiszul berubah. Dia tahu dia silap dan dia harap dia masih belum terlewat untuk membetulkan kesilapannya.
“Zul minta maaf. Zul betul-betul menyesal,” ujarnya.
“Pepatah ada mengatakan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Lagipun, awak sanggup jilat ludah awak semula?” sindirku lagi.
“Ya, Zul sanggup. Zul akan lakukan apa sahaja asalkan Durar terima Zul semula,” jawab Hafiszul penuh yakin.
Lelaki, begitu mudah melafazkan kata. Untuk menunaikannya, jauh sekali...
“Apa yang awak nak katakan pada Laily? Jangan ingat dia akan terima semua ni dengan mudah. Saya kenal Laily, dia tak akan lepaskan awak,” kataku.
“Antara Zul dengan Laliy, tahulah Zul uruskan. Yang penting sekarang adalah kita. Durar boleh terima Zul semula dalam hidup Durar? Sebagai seorang yang istimewa?”
            Masih istimewakah kau dalam hatiku? Aku tidak pasti. Anehnya, tiada lagi debar di dalam hati ketika berbicara denganmu. Hafiszul, awak dah tiada dalam hati ini. Aku tak tahu sejak bila kau menghilang. Tiba-tiba wajah Amirul Azme menyapa layar mindaku. Segera aku matikannya. Ah, mengapa wajah lelaki itu yang muncul kala ini?
“Durar?” tegur Hafiszul.
“Maaf, berangan pula. Apa yang awak tanya tadi?”
“Sudi terima Zul semula?” soal Hafiszul.
            Aku melepaskan keluhan. Ligat mataku memandang sekeliling. Pusat bandar Segamat tidaklah terlalu sesak dengan kenderaan. Rata-rata lebih gemar berjalan kaki atau menaiki basikal. Aku keliru. Apakah jawapan yang perlu kuberi pada lelaki ini?

*  *  *  *  *

TARMIZI dan teman wanitanya, Aimy sedang menikmati makan tengah hari di kafeteria. Tarmizi memesan nasi goreng ayam manakala Aimy sekadar memesan mee goreng. Sedang enak menikmati makan tengah hari itu, telefon bimbit Tarmizi berbunyi.
“Hello,” ucapnya.
“Assalammualaikum, Izie awak kat mana sekarang?” Syakir bertanya.
“Waalaikummussalam. Aku kat kafeteria. Tengah makan. Kenapa?”
“Maaf ganggu. Saya nak minta tolong. Boleh belikan pembalut hadiah kat Unimart tak? Tak kisahlah apa coraknya. Boleh?” pinta Syakir.
“Okey, nak berapa?”
“Satu cukuplah. Thanks a lot!” ucap Syakir.
“Hmm...” balas Tarmizi lalu mematikan talian.
“Siapa tu?” Aimy menyoal teman lelakinya.
“Syakir,” jawab Tarmizi.
“Si sotong tu? Apa dia nak?”
“Aimy, Mizi tak suka Aimy panggil Syakir macam tu. He’s my friend,” tegur Tarmizi.
“Ala, memang betul pun dia macam tu. You tak takut ke kawan dengan dia?”
“Nak takut apa? Dia tu lelaki,” jawab Tarmizi.
“Ya, secara fizikal memang lelaki tapi dalamannya, sapa tahu?” Aimy menduga.
Tarmizi tersentak.
“Aimy, jangan tuduh sebarangan,”
I bukan tuduh tapi sekadar peringatan. Orang zaman sekarang bukan boleh percaya sangat,” ujar Aimy selamba.
            Kata-kata Aimy tadi sedikit-sebanyak menghantar curiga di hati Tarmizi. Adakah Syakir sama seperti apa yang difikirkan oleh teman wanitanya itu? Tidak, dia yakin, Syakir bukan orang yang sebegitu. Tapi, benarkah?

*  *  *  *  *

“MAAF, saya tak dapat terima permintaan awak,” ujarku kepada Hafiszul.
“Kenapa? Zul yakin Durar masih menyayangi Zul. Kali ini Zul janji, Zul tak akan tinggalkan Durar lagi,” kata Hafiszul.
“Ini bukan soal sayang atau tidak. Cinta di dalam hati saya untuk awak sudah pudar. Saya tak mahu jika kita berbaik semula, sedangkan hati saya tidak ikhlas terhadap awak. Maaf, antara kita tak mungkin ada apa-apa lagi. Cukuplah sekadar kawan,” jelasku.
“Zul tak percaya! Zul masih cintakan Durar. Takkan begitu mudah Durar melupakan Zul?”
            Aku memandang sayu wajah lelaki di hadapanku ini. Maaf Hafiszul, hati ini bukan milikmu lagi.
“Atau, Durar cintakan orang lain?” teka Hafiszul sekaligus membuatkan aku tersentak.
            Cintakan orang lain? Siapa? Buat masa ini pintu hatiku masih tertutup rapat. Aku malas hendak memikirkan soal perasaan kala ini. Aku menggelengkan kepala sebagai jawapan kepada pertanyaan Hafiszul tadi.
“Jadi, kenapa Durar menolak Zul?”
            Degilnya lelaki ini. Tak faham Bahasa Melayukah? Bukan apa, aku yakin, Laily tak akan lepaskan Hafiszul begitu mudah. Aku tak mahu bergaduh sesama jantina kerana berebutkan lelaki. Buang masa saja...
“Zul cintakan Durar,” ucap Hafiszul sambil meraih tanganku.
            Aku cuba melepaskan genggaman tangan Hafiszul tetapi tidak berjaya. Tidak manis dipandang orang.
“Hafiszul, tolong lepaskan tangan saya,” rayuku.
“Tak, selagi Durar tak cakap yang Durar masih sayangkan Zul,” ugut Hafiszul.
Aku mengeluh berat. Dalam hati aku gusar sebenarnya. Perasaan lelaki ini mudah berubah-ubah. Dulu, katanya cinta. Kemudian, tidak suka. Dan sekarang, kembali menagih sayang. Aku sendiri takut untuk menerima perasaan hati lelaki ini. Takut andai sekali lagi dia meninggalkanku.
“Zul! Durar! Apa semua ni?” jerkah Laily tiba-tiba dengan mata yang merah menyala!

::bersambung::

2 ulasan :

epy elina berkata...

hohoho....
mudahnya llki....
bila nak ambil, bila x nak buang....
durar...
jgn trma zul blik....
dia bkn llki yg baik....
suatu ari nnti bila dia dah jmp org yg baik dr awk x mstahil dia tnglkan awk....

Ridh-One berkata...

epy elina: itulah, pepatah inggeris ada mengatakan, once bite, twice shy.

sekali dah terkena, sampai bila-bila akan ingat...

terima kasih sudi singgah membaca... :D