Sepatah Dua Kata

Khamis, Mac 11, 2010

Begitulah Cinta - Bab 28




MAK NAB menjengah ke luar tingkap apabila mendengar bunyi kenderaan memasuki halaman. Dia kenal pemilik kereta Mercedes berwarna hitam itu. Apalagi tujuan kedatangan lelaki itu ke sini? Mak Nab masih tidak berganjak dari tempatnya walaupun enjin kereta itu telah dimatikan. Seorang lelaki hampir separuh abad keluar dari kereta Mercedes tersebut. Mak Nab kenal dia. Pak Samad, pemandu yang bekerja dengan bekas suaminya. Dia menunggu kelibat bekas suaminya itu keluar tapi tidak muncul-muncul.
“Assalammualaikum,” Pak Samad memberi salam.
“Waalaikummussalam, oh, Pak Samad, jemputlah masuk,” ujar Mak Nab sekadar berbasa-basi.
“Tak apalah puan. Saya datang ni pun nak beritahu sesuatu,” ujar Pak Samad.
“Kenapa Pak Samad?” soal Mak Nab.
“Tan Sri masuk hospital. Jadi, saya rasa lebih baik saya beritahu puan. Lagipun, saya datang ni nak jemput puan ke Port Dickson,” terang Pak Samad.
‘Ahmad masuk hospital? Ya Allah! Eh, kenapa Pak Samad panggil dia Tan Sri?’ detik hati Mak Nab.
“Bagaimana keadaan dia Pak Samad?” soal Mak Nab, gusar.
“Tan Sri mengalami kejutan jantung. Buat masa ni dia masih tak sedarkan diri. Saya rasa, lebih baik puan ke sana,” jawab Pak Samad.
‘Ya Allah, kau selamatkanlah dia dari segala bahaya,’ doa Mak Nab di dalam hati.
“Boleh kita bertolak sekarang puan?”
            Mak Nab diam sebentar. Mindanya ligat berfikir. Perlukah dia menerima pelawaan Pak Samad? Haruskah dia berada di sana? Bagaimana dengan anaknya Azman yang masih berada di sekolah?
“Er... saya rasa, tak perlulah saya ikut Pak Samad. Lagipun, anak saya masih ada di sekolah. Nanti, tak ada sapa pula yang nak jaga dia,” tolak Mak Nab, sopan.
            Pak Samad agak kecewa mendengar penolakan Mak Nab. Fikirnya, kehadiran Mak Nab mungkin dapat membantu memulihkan semangat majikannya. Dia tahu, Tan Sri masih menyimpan perasaan pada wanita di hadapannya ini. Jika tidak, masakan setiap minggu Tan Sri akan berkunjung ke sini bertanya khabar wanita itu. Lagipun, Pak Samad tahu status wanita itu. Cuma, dia tidak tahu sebab perpisahan mereka.
“Kalau macam tu, kita tunggu sampai anak puan balik dari sekolah. Sementara tu, bolehlah puan bersiap-siap,” cadang Pak Samad.
Mak Nab hanya mampu mengangguk...

*  *  *  *  *

MAK NAB tiba di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban dalam pukul tiga petang. Selepas Azman pulang dari sekolah tengah hari tadi, dia terus meminta anaknya bersiap secepat mungkin. Dia mengaku dia berasa risau akan keadaan bekas suaminya. Ternyata masih ada cebisan kasih dalam hati. Mak Nab terus berjalan diekori oleh dua orang anaknya. Seboleh mungkin dia hendak cepat sampai. Tiba-tiba dia berhenti. Dia terlupa untuk bertanya pada Pak Samad di mana wad Tan Sri Ahmad berada. Dia menunggu Pak Samad yang sedang mencari tempat letak kereta. Dua minit menunggu, kelibat Pak Samad masih belum muncul. Mak Nab terpandang kaunter pertanyaan yang berhampiran.
“Assalammualaikum, tumpang tanya dik, wad Tan Sri Ahmad kat mana?” soal Mak Nab.
“Waalaikummussalam. Apa nama penuhnya makcik?” tanya jururawat yang bertugas di situ.
“Puan!” Pak Samad melaung memanggil Mak Nab.
“Tak apalah dik. Terima kasih,” ucap Mak Nab lalu segera mendapatkan Pak Samad.
            Mereka berempat menaiki lif ke tingkat empat. Mak Nab memegang dadanya yang berdegup kencang. Harap-harap bekas suaminya selamat.
“Mak, kita nak melawat sapa?” Azman bertanya pada emaknya.
“Kawan lama mak,” jawab Mak Nab.
Pintu lif terbuka. Mak Nab mengekori langkah Pak Samad sehingga sampai di sebuah bilik.
“Masuklah puan. Tan Sri ada di dalam,” ujar Pak Samad.
            Mak Nab memegang tombol pintu lalu dipulas. Pantas anak matanya menangkap sekujur tubuh yang terbaring lesu di atas katil. Tiada sesiapa di dalam bilik itu. Mak Nab berjalan perlahan, tidak mahu mengejutkan Tan Sri Ahmad Ariff yang sedang tidur. Wajah itu ditatap penuh syahdu. Mak Nab memegang tangan Tan Sri Ahmad Ariff kejap. Tanpa sedar, air matanya mengalir. Azman dan Aliff yang melihat hanya diam. Tidak bertanya apa yang tersirat di hati.
“Maafkan Nab, abang,” ucap Mak Nab.
“Awak ni siapa?” soal Pun Sri Kartika yang baru muncul dari bilik air membuatkan Mak Nab terpana!

*  *  *  *  *

LIDAHNYA kelu untuk berkata-kata. Dia terperanjat menerima kehadiran seorang wanita yang kelihatan begitu anggun dan elegan di hadapannya. Jauh benar bezanya dengan dia yang berbaju kurung kedah yang hampir lusuh warnanya.
“Siapa awak ni?” soal Puan Sri Kartika.
“Ah, maaf. Saya... saya tersalah bilik,” ujar Mak Nab lalu segera bangun sambil memimpin tangan ke dua-dua anaknya dan berlalu ke pintu.
“Tunggu!” arah Puan Sri Kartika.
            Langkah kaki Mak Nab terhenti. Dia berpaling ke belakang. Tajam anak mata Puan Sri Kartika menjamah wajahnya.
“Cakap betul-betul. Siapa awak ni?” desak Puan Sri Kartika.
“Saya... saya tersalah bilik. Betul,”
“Kau jangan nak tipu! Aku nampak kau pegang tangan suami aku tadi. Cakap! Siapa kau?” tinggi nada suara Puan Sri Kartika.
“Makcik jangan marah mak saya!” tiba-tiba Azman bersuara.
“Man...” Mak Nab bersuara lirih.
“Amboi, amboi, amboi... bukan main lagi ya. Tak padan dengan kecik. Apa mak tak pernah ajar hormat orang tua?” sindir Puan Sri Kartika.
            Mak Nab memegang tangan anak-anaknya kejap. Sombong betul wanita di hadapannya ini. Mentang-mentang dia ada pangkat, ada kuasa, dia ingat dia dah hebat. Mak Nab dan Puan Sri Kartika dikejutkan dengan suara orang terbatuk-batuk. Tan Sri Ahmad membuka matanya perlahan-lahan. Sebentar tadi dia terdengar suara orang bertengkar. Dia kenal suara itu. Suara isterinya dan lagi seorang.... Zainab? Apa yang dia buat di sini?
“Abang dah sedar?” soal Puan Sri Kartika.
“Nab...” ucap Tan Sri Ahmad.
Mak Nab tidak dapat menahan sebak. Segera dia membuka pintu dan beredar dari situ.
“Nab! Tunggu!” laung Tan Sri Ahmad tetapi tiada balasan. Puan Sri Kartika hanya memandang dengan rasa hairan. Siapa gerangan wanita itu?

*  *  *  *  *

“AMBOI, senyum melebar sampai ke telinga nampak. Ni mesti baru lepas cakap dengan buah hati,” usik Syakir.
            Amirul Azme mengulum senyum. Dia gembira mendengar suara gadis yang disayanginya itu. Ah, dia memang sudah parah menanggung rindu. Bilakah masa yang sesuai untuk dia meluahkan perasaannya pada gadis itu?
“Ehem, ceritalah pada saya,” ujar Syakir.
“Cerita apa?”
“Buah hati awak tu. Saya kenal ke?” soal Syakir.
“Ish, kau ni. Dia belum jadi buah hati. Dalam proses,” jawab Amirul Azme.
“Oh, tengah memikatlah ni. Siapa orangnya?” Syakir bertanya pada kawannya itu.
“Adalah... kalau dah confirm aku beritahu kau okey,”
            Perbualan mereka terhenti apabila Hafiszul menolak pintu dengan kuat. Mukanya masam mencuka. Pasti ada yang tidak kena. Syakir memandang wajah Amirul Azme. Hafiszul terus merebahkan tubuhnya ke atas katil. Sebuah keluhan berat dilepaskan.

“You jangan ingat senang-senang nak lari dari I. Kalau I tak dapat you, I akan pastikan perempuan tak sedar diri tu pun berputih mata. You akan jadi milik I! Ingat tu!”

            Kata-kata Laily sebentar tadi terngiang-ngiang di telinganya. Entahlah, dia tak tahu hendak buat apa pada masa ini. Semuanya dah jadi kucar-kacir. Angannya melayang pergi apabila telefon bimbitnya berbunyi. Nama abang tirinya, Fared Mustapha tertera di skrin. Dengan malas dia menjawab namun seketika kemudian dia bingkas bangun. Selepas menamatkan talian, Hafiszul mencapai beg sandangnya.
“Kau nak keluar ke?” soal Amirul Azme.
“Aku nak balik. Papa aku masuk hospital,” beritahu Hafiszul.
“Ya Allah, harap-harap semua selamat. Balik naik kereta ke?” soal Syakir pula. Hafiszul menganggukkan kepalanya.
“Hati-hati memandu Hafiszul,” ucap Syakir.
Hafiszul tersenyum tawar. Lepas satu, satu dugaan yang muncul. Adakah dia mampu bertahan?

*  *  *  *  *

MALAM agak suram tanpa bintang di langit. Rembulan pula malu-malu bersembunyi di balik mega hitam. Mungkin hujan akan turun malam ini. Aku membuang pandang ke luar tingkap. Peristiwa siang tadi cuba aku lupakan perlahan-lahan. Yang dah berlalu, biarlah berlalu. Yang pasti, hadapi hari esok dengan cemerlang. Ada sedikit ketakutan menjalar dalam hati tatkala mengenang bahawa aku akan berjumpa dengan Laily esok di dalam kelas. Harap-harap dia tidak memalukan aku lagi.
            Sebenarnya aku baru menerima panggilan dari ummi. Katanya, kawan baik papa masuk hospital kerana serangan jantung. Tan Sri Ahmad Ariff namanya. Tiba-tiba satu perkara terlintas di fikiranku. Kalau tak salah, Tan Sri Ahmad Ariff ialah ayah... Hafiszul! Bagaimana aku tidak menyedari perkara itu? Agaknya Hafiszul tahu tak ayahnya dimasukkan ke hospital? Pantas aku menyeluk saku seluar, mengeluarkan telefon bimbit berjenama Nokia 7610 itu. Nombor telefon Hafiszul yang sememangnya dihafal, kudail. Seketika tiada jawapan.
“Durar!” ucap Hafiszul.
“Awak kat mana ni?” soalku.
I’m on my way to go back home. My dad masuk hospital,” jawab Hafiszul.
“Oh, awak dah tahu. Ummi saya baru call beritahu tentang perkara tu. Saya doakan ayah awak selamat,” ucapku.
Thanks Durar. Er... tentang tadi,”
“Lupakanlah. Anggap tak pernah berlaku. Saya tak ambil hati pun. Sekarang yang penting keadaan ayah awak. Awak drive ke?” aku bertanya.
“Yup, dah sampai Gemas ni,” jawab Hafiszul.
“Sorang?”
“Ya Cik Durar, takkan Zul nak angkut roomate Zul sekali,” sempat Hafiszul berseloroh.
“Hmm... okeylah, hati-hati memandu. Kalau ada apa-apa, please do inform me,” ujarku.
“Okey. Em, Durar...” Hafiszul tidak menghabiskan kata.
“Ya,”
“Tak ada apa-apalah. Thanks ya,” ujar Hafiszul.
“Okay, take care, bye,” ujarku lalu menamatkan panggilan. Harap semuanya selamat, doaku.
::bersambung::

5 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

meluatnya tengok puan sri tu. sian mak nab. dia sayang suami dia lagi..

epy elina berkata...

hohoho...
btul2....
mluat ngn puan sri kartika 2....
durar 2 lmbut ati sngt ngn zul...
mcm mna zul skitkan ati dia...
ttp ambik brat...
nak amirul mulakan proses memikat...
x nak ngn zul...
nak durar ngn amirul....

Sofya berkata...

ala..bila nak leh sambung ni...
tak sabar rasanya..

Rizai Reeani berkata...

anonymous, epy elina, sofya:

terima kasih sudi singgah membaca... Insyaallah, cuba sambung secepat yang boleh... :D

aqilah berkata...

nak amierul dgn durar...............