Sepatah Dua Kata

Selasa, Mac 16, 2010

Begitulah Cinta - Bab 29



Antara cinta dan persahabatan, yang mana patut didahulu?

SEPTEMBER 2005

ANGIN malam yang menderu menerbangkan anak rambutku lembut. Kedinginannya menyegarkan wajah. Sengaja aku membuka tingkap bilik luas-luas supaya udara nyaman masuk. Hmm... sebulan sudah berlalu sejak peristiwa memalukan di restoran makanan segera itu berlaku. Aku tidak bertegur sapa langsung dengan Laily. Dia pula seolah-olah berlagak tidak ada apa yang berlaku. Aku bagai halimunan di hadapannya. Bagus juga. Tak adalah kecoh kelas tu nanti. Hafiszul pula ada memberitahu yang ayahnya telah sihat dan sudah keluar dari hospital dua minggu yang lepas. Dia sekarang selalu menghubungiku tetapi aku cuba mengawal agar tidak terlalu rapat dengannya. Takut andai aku terjatuh hati padanya sekali lagi, takut memberi harapan yang tidak mampu kutunai dan selebihnya takut diserang oleh harimau betina yang garang itu. Siapa lagi kalau bukan Laily.
            Kini aku agak rapat dengan Amirul Azme. Kami selalu mengulang kaji pelajaran bersama. Sesekali pada hujung minggu, kami keluar ke bandar Segamat, berdua. Aku rasa selamat dan gembira di sampingnya. Walaupun kadang kala dia agak lurus bendul tapi sikapnya yang beginilah buat aku tertarik. Jujur dan berterus-terang. Kini, aku tahu serba-sedikit tentang latar belakang keluarganya. Dia tinggal bersama-sama ibu dan dua orang adik lelaki. Ayahnya telah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Aku bersimpati dengan nasibnya. Tidak dapat aku bayangkan untuk mengharungi kehidupan tanpa kasih seorang ayah. Pasti Amirul Azme telah dididik menjadi seorang yang tabah.
            Hampir terlupa pula aku tentang Rashidah. Dia sudah berbaik semula dengan teman lelakinya Ikhwan beberapa minggu yang lepas. Itupun kerana aku berjumpa dengan Ikhwan untuk menerangkan hal sebenar. Kata Ikhwan, dia sengaja buat Rashidah cemburu kerana ingin Rashidah rasa apa yang dia rasa. Wah, lelaki ini tidak boleh dipandang enteng. Yang aku tidak percaya, perempuan yang Rashidah lihat bersama-sama dengan Ikhwan semasa Information Festival dulu, adalah adik perempuan Ikhwan sendiri. Hahaha... Shidah... Shidah... kenapalah kau tak siasat dulu? Kan dah malu sendiri.
“Durar, ada kawan nak jumpa kau kat bawah,” beritahu Yana, budak bilik sebelah sekaligus mematikan lamunanku.
“Siapa?”
“Laily,” jawab Yana.
‘Hah? Apa pula yang harimau betina ni nak malam-malam macam ni?’ detik hatiku.

*  *  *  *  *

RUMAH papan beratap zink itu disimbahi cahaya bulan. Ditambah dengan sinaran lampu minyak tanah yang tergantung di sudut penjuru kanan atap rumah itu bagi menerangi kawasan sekeliling. Suara penyanyi tersohor Siti Nurhaliza berkumandang di corong radio menyanyikan lagu ‘Cindai’. Aliff ikut sama menyanyi. Azman yang asyik membuat kerja sekolah memandang sebentar raut wajah emaknya yang murung. Sejak kebelakangan ini, susah untuk melihat emaknya mengukir senyum. Apakah perkara yang membuat emaknya bermuram begitu? Adakah kerana lelaki yang mereka lawati semasa di hospital bulan lepas? Azman menutup buku lalu berjalan ke arah emaknya yang sedang duduk merenung ke luar tingkap.
“Apa yang mak fikirkan tu?” tegur Azman.
            Mak Nab memegang dadanya kerana terkejut dengan teguran anak keduanya itu.
Azman yang melihat tersengih. Jauh benar emaknya mengelamun sebentar tadi.
“Maaf mak,” ucap Azman.
“Tak apa. Terkejut mak tadi,” balas Mak Nab.
“Apa yang mak fikirkan?” Azman mengulangi soalannya tadi.
“Tak ada apa-apa. Saja tengok langit malam ni. Bulan penuh,” dalih Mak Nab.
“Siapa lelaki yang kita tengok kat hospital hari tu?” Azman bertanya lagi. Sekali lagi Mak Nab terkejut dengan pertanyaan anaknya itu. Apa yang perlu
dijawabnya?
“Er... dia kawan lama mak,” jawab Mak Nab.
“Tapi kenapa mak cakap mak salah masuk bilik masa makcik tu tanya?”
Ish, budak ni... apa kena pula banyak soal malam ni? “Tak ada apa-apa. Kerja
sekolah kamu dah siap?” Mak Nab menukar topik.
“Belum. Tinggal sikit lagi,” jawab Azman.
“Kalau macam tu, cepat habiskan. Esok nak bangun pagi. Nanti terlambat bangun pula. Sudah, pergi cepat,” arah Mak Nab.
            Azman hanya mampu menurut arahan emaknya itu. Dia tahu emaknya cuba mengelak soalannya tadi. Pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh emaknya. Dia akan cuba menyiasat sehingga dapat jawapannya nanti.
            Mak Nab kembali memandang ke luar jendela. Bagaimana agaknya keadaan bekas suaminya itu sekarang? Sudah keluar dari hospital atau belum? Kenapa tiada berita darinya?

*  *  *  *  *

“ASSALAMMUALAIKUM,” sapaku.
“Waalaikummussalam. Durar...” ujar Laily sayu.
“Kenapa ni Laily?” soalku lalu mengambil tempat duduk di sebelahnya.
“Tolong aku... aku... aku tak tahu nak buat apa...” Laily teresak-esak.
“Ya Allah, kenapa ni? Cuba ceritakan pada saya,” aku cuba memujuk.
“Zul... Dia dah putuskan hubungan dengan aku. Aku... aku tak nak kehilangan dia...” jawab Laily.
            Hmm... aku dah agak perkara ini akan berlaku. Nampaknya Hafiszul benar-benar menunaikan kata-katanya. Adakah dia tekad untuk menjalin semula hubungan denganku?
“Bersabarlah Laily. Pasti ada penyelesaiannya. Cubalah awak berdua berbincang,” cadangku.
“Aku dah cuba. Dia tetap dengan keputusannya. Hanya kau yang boleh tolong aku Durar,”
“Macam mana?”
“Pujuk Hafiszul supaya terima aku. Aku janji akan berubah. Kau kan lama kenal dia. Dia mesti ikut cakap kau. Tolonglah, aku tak nak kehilangan dia,” rayu Laily.
            Sebuah keluhan kulepaskan.  Permintaan Laily agak sukar untuk aku penuhi. Ya, aku kenal Hafiszul. Hampir dua tahun kami menjalinkan hubungan. Aku tahu apa yang dia suka, apa yang dia benci. Namun, dapatkah dia menerima cadanganku supaya memilih Laily?
“Tolonglah Durar...”
“Baiklah, saya cuba. Tapi saya tak janji. Buat masa ni, awak bersabarlah,” ujarku.
Thanks Durar! Thank you so much,” ucap Laily lalu memelukku.
Aku tergamam dengan tindakannya. Kasihan sungguh perempuan ini. Kerana cinta, dia jadi selemah ini. Laily menangis teresak-esak.
“Sabarlah,” ucapku sambil menepuk lembut belakangnya.
Laily mengukir senyuman sinis kerana rancangannya berjaya.
‘Bodoh betul kau ni Durar! Aku takkan benarkan Hafiszul jadi milik kau mahupun perempuan lain!’ getus Laily di dalam hati.

*  *  *  *  *

DALAM tempoh sebulan ini, Salwa tidak menerima apa-apa berita dari Adi Izlan. Tiada lagi mesej atau panggilan telefon dari lelaki itu. Kenapa dia masih berharap pada Adi Izlan? Agaknya lelaki itu sedang enak bermesra dengan tunangnya. Dia juga yang makan hati. Mudah benar lelaki itu melupakannya. Silap dia juga kerana tidak menyiasat latar belakang Adi Izlan dahulu. Tidak sangka selama ini dia keluar dengan tunangan orang. Lebih perit lagi, Adi Izlan melayannya dengan penuh kasih sehingga membuatkan hatinya jatuh cinta sekali lagi. Rupanya, tujuan lelaki itu selama ini hanyalah untuk membalas dendam kerana cintanya pernah ditolak oleh Salwa dahulu. Dapat dirasakan dirinya begitu bodoh. Dia hanya bertepuk sebelah tangan.
“Kak Wawa, pelanggan ni minta diskaun untuk kain sutera Itali ni, boleh ke?” tanya Kavitha menyentakkan lamunan Salwa yang sejak tadi tidak bergerak memerhati gaun pengantin yang indah itu.
“Ah, maaf. Berapa diskaun dia minta?”
“Sepuluh peratus. Dia nak beli banyak. Dalam 20 meter,” jelas Kavitha.
“Hmm... bolehlah...” jawab Salwa lesu.
“Kak Wawa okey ke?”
I’m alright, jom, saya nak jumpa pelanggan tu,” ajak Salwa.
Mereka berdua melangkah menuju ke arah pelanggan yang dikatakan Kavitha tadi.
“Dalila?” ujar Salwa, terkejut.
“Ah, Cik Salwa. Tak sangka bertemu lagi. Apa khabar? Saya ada dengar awak kemalangan tempoh hari. Dah sihat?” soal Dalila pura-pura prihatin.
“Alhamdulilah, saya sihat. Yang ini...”
“Oh, kenalkan, this is my auntie Katty. Auntie, meet Salwa, Adi’s best friend,” ucap Dalila.
            Riak wajah Salwa berubah apabila mendengar kata-kata Dalila tadi. Kawan baik Adi? Ya, mungkin juga. Salwa bersalam dengan wanita di sebelah Dalila itu. Masih tampak anggun dan jelita walau sudah berusia.
“Apa khabar auntie?” ujar Salwa berbasa-basi.
“Baik. Em, macam mana dengan kain yang saya minta tu?”  soal Puan Sri Kartika.
“Oh, ini dia. Nak buat apa kain sutera banyak begini?” tanya Salwa.
“Nak buat baju untuk rombongan peminangan nanti,” jawab wanita itu.
“Oh, siapa yang nak kahwin?”
“Saya Cik Salwa,” jawab Dalila.
“Dengan Adi?” soal Salwa tidak percaya.
“Takkan Adi tak beritahu awak? Kami dalam perancangan untuk berkahwin akhir tahun ni,” jawab Dalila bangga.
“Dia terlupa agaknya,” ujar Salwa perlahan tetapi masih tersenyum pahit.
“Selamat datang, boleh saya tolong encik?” sambut Murni ramah pada pelanggan yang datang.
Fared Mustapha menghadiahkan senyum pada Murni. Matanya meliar mencari kelibat mama dan sepupunya itu.
“Mama, lama lagi ke? Fared ada meeting pukul...” kata-kata Fared Mustapha terhenti apabila melihat perempuan di hadapannya.
            Dadanya berdegup kencang. Pandangan mata perempuan itu mencairkan hati lelakinya. Wajah putih bersih itu menawan jiwanya. Oh, siapakah gerangan bidadari yang muncul di hadapannya ini?
“Hai, saya Fared. Cik ni...” ujar Fared Mustapaha sambil menghulurkan tangannya.
“Saya Salwa, pengurus butik ni,” jawab Salwa sambil tersenyum.
            Huluran tangan lelaki berkemeja hitam pekat itu tidak disambut. Dia tidak selesa dengan pandangan lelaki itu yang seakan mahu menelannya hidup-hidup. Fared Mustapha tersengih apabila huluran tangannya tidak bersambut.
“Hah, Fared, kau jangan nak jual minyak kat sini. Maaflah Cik Salwa, sepupu saya ni pantang tengok perempuan cantik. Semua nak disapunya,” usik Dalila.
“Kau ni, ada ke cakap aku macam tu. Jangan percaya cakap dia ni Cik Salwa,” ujar Fared Mustapha membela diri.
Salwa hanya tersenyum melihat gelagat pelanggan di hadapannya ini. Dia segera meminta diri kerana tidak selesa akan kedatangan lelaki itu tiba-tiba. Dia menyerahkan segalanya pada Kavitha yang masih setia menanti di sebelahnya. Sebelum pergi, sempat dia menangkap kenyitan mata lelaki itu. Gatal! Miang! Salwa menyumpah di dalam hati.

::bersambung::

4 ulasan :

epy elina berkata...

hhoohhoo....
baiknya durar....
mcm mna lily malukan dia...
tp dia still nak bntu....
sdgkan lily 2 brati busuk....
hmmmm....
salwa tbhkn atimu...
mgkin x ada jdoh ngn adi 2....

Sofya berkata...

*bila lah mak nab nak bagitau anak2 dia yang ayah mereka sebenarnya masih hidup..dapatkah mereka terima dengan hati yang terbuka?
*tak suka la perangai dalila tu mengada-ngada..

aqilah berkata...

nak durar dgn amierul...............
salwa dgn adi.............apapun, akak follow...................

Rizai Reeani berkata...

epy elina, sofya, aqilah:

terima kasih sudi singgah membaca... :D