Sepatah Dua Kata

Khamis, Mac 18, 2010

Begitulah Cinta - Bab 30



Usaikanlah ragu  dari hati ini

PERJALANAN ke Tampin dari Segamat tidaklah begitu membosankan. Walaupun hanya disajikan dengan ladang-ladang getah dan kelapa sawit, namun panorama itu cukup memikat hati. Barisan pokok-pokok getah yang ditanam berjajar, begitu kemas teratur. Buah-buah kelapa sawit mula mencelah, rekah. Aku kini dalam perjalanan menuju ke rumah Amirul Azme. Terkejut? Aku lagi tak percaya. Sebenarnya, sudah dua minggu Amirul Azme mengajakku tapi ada saja hal yang menghalang perancangan kami. Minggu ini, aku dan dia tiada sebarang aktiviti. Lantas, aku segera bersetuju untuk mengikutnya.  
            Mulanya, Rashidah juga ingin turut serta bersama-sama dengan Syakir namun mereka membuat keputusan untuk membatalkan penyertaan mereka di saat-saat akhir. Kini, aku hanya berdua dengan Amirul Azme. Malu juga. Yalah, ada ke patut aku ni sebagai seorang perempuan, nak ke rumah seorang lelaki. Tidur di sana pula tu. Alah, bukan aku seorang saja perempuan, mak dia kan ada. Lagipun aku ingin merasa suasana tinggal di kampung di samping berkenalan lebih rapat lagi dengan keluarga Amirul Azme. Merasa suasana tinggal di kampung? Alasan yang memang tak munasabah! Macamlah aku tak ada kampung.
“Lama lagi ke nak sampai?” soalku pada Amirul Azme yang duduk di sebelah.
“Lagi empat puluh minit sampailah,” jawab Amirul Azme.
            Aku melihat jam di tangan. Pukul empat dua puluh minit petang. Kami bertolak menaiki bas pukul tiga petang tadi. Petang Jumaat begini, tidak banyak kenderaan di atas jalan raya. Sebenarnya, aku sudah tidak dapat bertahan duduk berlama-lama di atas bas ni. Sakit pinggangku. Hai, cepatlah sampai...
*  *  *  *  *

ANGIN malam menerjah masuk melalui jendela berkepul-kepul menyapa wajahku. Sejuk dan nyaman. Aku mengenang kembali pertemuanku dengan keluarga Amirul Azme petang tadi. Emaknya menyambutku dengan senyuman mesra. Amirul Azme memperkenalkan adik-beradiknya satu persatu. Aku ditempatkan di dalam sebuah bilik yang sederhana besar. Bilik itu merupakan bilik adik Amirul Azme yang kedua bernama Azman. Murid darjah lima yang petah berkata. Adiknya yang bongsu pula mulanya agak malu denganku. Selepas aku memberinya coklat, terus saja dia melekat denganku. Kanak-kanak, biasalah. Di mana ada kasih sayang, di situlah dia mencari.
            Emak Amirul Azme fikirku dalam lingkungan lima puluhan namun garis-garis usia sudah mula kelihatan di wajahnya. Mungkin kerana kuat bekerja menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu tunggal. Rumah Amirul Azme tidaklah sedaif yang kusangka. Hehehe... Semua kelengkapan cukup walaupun serba sederhana. Asalkan selesa, itu sudah mencukupi. Rumah besar mana pun kalau hidup berantakan, tak ada gunanya.
“Jauh termenung?” tegur Amirul Azme.
            Aku berpaling memandang wajah lelaki itu. Dia tampak lebih matang dari usianya. Aku baru perasan tahi lalat di bawah dagunya. Jika diteliti, wajahnya dengan adik-beradiknya amat berlainan. Dia berkulit cerah dan rambutnya sedikit keperangan sementara dua orang lagi adiknya berkulit agak gelap dan berambut kerinting. Mungkin dia mengikut genetik emaknya yang berkulit cerah seperti orang cina itu sementara adik-beradiknya mengikut genetik bapa mereka. Ah, pandai-pandai saja aku ni.
“Kenapa pandang saya macam tu?” Amirul Azme bertanya padaku.
Aku tersentak sekaligus melarikan anak mataku dari wajahnya. Terasa malu pula ditegur begitu.
“Saya nak keluar sekejap. Jumpa kawan-kawan. Awak duduklah berehat. Jangan nakal-nakal tau,” usik Amirul Azme membuatkanku ketawa kecil.
            Aku menghantar pemergiannya dengan anak mataku.  Kelibat emaknya kucari. Emaknya membahasakan dirinya sebagai Mak Nab tetapi aku lebih suka memanggil mak cik. Yalah, kita kenalah hormat orang yang lebih tua. Mak Nab sedang duduk mengait di ruang tamu. Azman sedang belajar di dapur sementara Aliff leka bermain alat permainan. Lantas aku mengambil keputusan untuk berbual-bual dengan emak lelaki itu.
“Rajin mak cik mengait ya,” sapaku.
“Ala, buat sikit-sikit je Durar,” jawab Mak Nab.
“Mak cik nak tanya sikit ni, boleh?” sambung Mak Nab.
“Apa dia mak cik?”
“Dah lama ke kenal Imie tu? Satu kelas ke?” Mak Nab bertanya.
“Saya baru je kenal dia semester ni mak cik. Adalah dalam dua atau tiga bulan. Saya tak sama kelas dengannya tapi satu program,” jawabku.
“Durar ni orang mana?”
“Saya orang Negeri Sembilan juga makcik. Tinggal kat Port Dickson. Sebenarnya, ada dua orang lagi kawan kami nak ikut tapi tak jadi pula. Ada hal kata mereka,” entah apa motif aku memberitahu wanita di hadapanku ini perkara itu.
“Kakak ni makwe abang Imie ke?” tiba-tiba Aliff menyoal.
Merah padam mukaku mendengar pertanyaan dari budak berumur empat tahun itu. Amboi, sapalah yang mengajar dia benda-benda macam ni.
“Aliff...” tegur Mak Nab.
“Abang Imie yang cakap bukan Aliff,” ujar budak lelaki itu.
Hah? Nak kena si Amirul ni. Sesedap hati je cakap macam tu. Mak Nab memandangku dengan senyuman. Aduh, malunya!
“Kereta kat bawah pokok tu, tak digunakan ke makcik?” soalku cuba mengalihkan perhatian dari membincangkan soal tadi.
“Oh, kereta tu, arwah suami makcik yang punya. Sejak dia meninggal, terbiar kat situ jelah,”
“Amirul tak tahu pandu kereta ke?”
“Tahu. Bila dia balik ke sini, baru kereta tu bergerak. Sekarang dia tengah ambil lesen memandu kat Segamat tu,” jelas Mak Nab.
Oh ya, aku terlupa pula. Ada juga Amirul memberitahuku yang dia sedang dalam latihan untuk mendapatkan lesen memandu. Kiranya, selepas ini, bolehlah dia membawa kereta itu ke Segamat. Tidak perlulah dia menaiki bas lagi.
“Apa pendapat Durar tentang anak makcik tu?” tanya Mak Nab tiba-tiba.
“Hah? Er...” aku tergagap, tidak tahu apa yang harus kujawab.
“Tak tahulah makcik...” hanya itu yang mampu kuluahkan.
Mak Nab tergelak kecil. Sekali lagi mukaku merona merah. Malu...

*  *  *  *  *

AIR sungai tenang mengalir walaupun arusnya agak deras. Bunyi unggas dan cengkerik saling bertingkah ditambah dengan siulan burung. Cahaya mentari menyusup masuk di celah-celah dedaun pokok yang hijau merendang. Damainya suasana di kampung ini. Amirul Azme mengajakku ke sini untuk memancing. Banyak ikan katanya. Bolehlah dibuat lauk untuk makan tengahari nanti. Er... ikan sungai boleh dimakan ke? Tak tahu pula aku. Amirul Azme membaling pancingnya ke dalam sungai sementara aku duduk di tebing beralaskan tikar memerhati sambil membaca majalah. Dah macam berkelah pula tapi tak bawa makanan.
            Seketika kemudian, Amirul Azme menjerit kerana pancingnya bergerak menandakan umpannya mengena. Aku bangun lalu berlari menuju ke arahnya. Bersusah-payah dia menarik  pancingnya itu. Nampak berat, pasti ikan yang besar, fikirku.
“Awak boleh tolong saya tak?” pinta Amirul Azme.
            Segera aku membantunya menarik batang pancing itu. Puas kami menarik dan akhirnya usaha kami berhasil. Namun, malang tidak berbau. Aku tergelincir dan kami terdorong ke belakang. Aku menghempap badan Amirul Azme. Saat itu masa seolah-olah terhenti. Mata kami bertatapan. Jantungku berdegup amat kencang. Bunyi kokokan ayam hutan mengejutkan kami. Aku lantas bangun dan mencari kelibat ikan yang ditangkap.
“Awak, tengok tu!” ujarku lalu menunding jari ke arah pancing yang terlepas tadi.
Sekali lagi kami berpandangan lalu ketawa kami meletus. Bukan ikan yang dipancing tapi kain! Ya, kain batik! Entah siapa punya agaknya yang tercicir. Sakit perutku menahan gelak. Hari ini memang satu hari yang gembira!

*  *  *  *  *

“IMIE balik rumah ke?” tanya Hafiszul pada Syakir.
“Ya, dia balik petang semalam. Lepas Jumaat. Waktu tu awak ada kelas,” jawab Syakir.
“Bukan ke aku dengar kau nak ikut juga? Kata pergi ramai-ramai?” Tarmizi pula menyampuk.
“Ya, sepatutnya saya ikut juga tapi Kelab Debat ada program petang nanti. Jadi saya tak dapat ikut. Durar je yang pergi... Ops!” Syakir menekup mulut menyedari keterlanjuran katanya.
“Apa dia Sya?” Hafiszul bertanya inginkan kepastian.
“Tak ada apa. Imie pergi dengan kawan dia. Dia ajak saya tapi saya tak dapat ikut,” jawab Syakir gemuruh.
“Bukan, aku tak nak dengar yang tu. Tadi kau ada sebut tentang Durar,” ulang Hafiszul.
“Eh, ada ke? Awak tersilap dengar ni. Kenapa saya nak sebut nama Durar pula? Awak ni...” Syakir cuba berdalih.
            Hafiszul bangun dari katil menuju ke arah Syakir yang sedang duduk mengulangkaji di atas meja. Syakir mula gelabah. Syakir tahu tentang hubungan Hafiszul dengan Durar dahulu. Syakir juga tahu yang mereka berdua sudah putus. Cuma entah bagaimana mulutnya boleh terlepas cakap tadi.
“Baik kau cakap betul-betul!” suara Hafiszul meninggi
“Hei, rilekslah bro. Sya dah cakap tak ada, tak adalah,” Tarmizi menenangkan rakannya.
“Kau diam! Syakir, baik kau cakap cepat! Durar pun ikut Imie balik rumah?” soal Hafiszul.
Syakir diam. Dia memandang Tarmizi. Kemudian matanya beralih pada Hafiszul. Dia melepaskan keluhan.
“Ya, Durar ikut Imie balik rumah dia sekali,” terang Syakir.
“Bodoh!” bentak Hafiszul.
“Kenapa awak nak marah pula? Dia bukannya makwe awak,” ujar Syakir.
Hafiszul membuntangkan matanya ke arah Syakir membuatkan lelaki itu menundukkan wajah. Geram dengan berita yang baru didengarinya. Tak guna kau Imie! Tak guna!

*  *  *  *  *

CAHAYA rembulan agak malap malam itu. Aku duduk di pangkin yang dibina di bawah pokok rambutan yang merendang. Sinar lampu jalan terang menyuluh sekitar rumah papan itu. Sekejap rasanya masa berlalu. Esok, aku akan pulang ke kampus semula. Rasa seperti mahu tinggal lebih lama di sini. Hampir dua hari di sini, banyak yang aku pelajari. Memetik buah kelapa, mengutip sayuran di kebun, belajar memasak masakan kampung dan menikmati udara yang segar. Jauh dari hiruk-pikuk bandar. Andai ada masa, boleh juga aku bertandang ke mari sekali lagi.
“Cantik, kan langit malam ni?” Amirul Azme menegurku.
“Ya, banyak bintang,” jawabku.
“Bila saya rindukan seseorang, saya akan lihat bintang yang paling terang sinarnya,” ujar Amirul Azme.
“Ya? Kenapa?”
“Kerana saya percaya dalam hati, insan yang saya rindu itu, juga sedang merindui saya,” jawab Amirul Azme.
“Jadi sekarang, bintang yang mana awak sedang lihat?” tanyaku.
“Tak ada,”
“Tak ada? Awak tak rindukan sesiapa ke?”
“Saya tak perlu lihat bintang sebab orang yang saya rindui ada berhampiran saya,” jawabnya.
‘Awaklah yang saya rindukan setiap masa Durar,’ hati Amirul Azme berbisik.
“Oh, betul juga. Sekarang awak ada kat rumah. Tentulah tak rindu pada keluarga. Kalau macam tu, saya nak lihat bintang jugalah. I really miss my parents,” ujarku membuatkan Amirul Azme tersengih.
“Kalau saya kat orang yang saya rindu tu ada kat sebelah saya?” usik Amirul Azme.
“Hah? Siapa? Lah, kucing tu ke?” aku berkata setelah melihat ada seekor kucing yang sedang duduk berehat di sebelahnya.
“Awak ni main-main pula ya. Durar, saya tanya sikit boleh?” ujar Amirul Azme dalam tawanya.
“Apa dia?”
“Awak dah ada seseorang yang istimewa?”
“Maksud awak?” aku tidak faham akan pertanyaan lelaki itu, berpura-pura tidak faham sebenarnya.
“Kekasih hati,” jawab Amirul Azme.
“Oh, saya pernah ada tapi dah putus. Sekarang, saya still single and available,” jawabku.
“Boleh saya isi borang?” pinta Amirul Azme.
“Hmm... itu kena bergantung pada prestasi awak. Kalau awak berjaya belikan saya aiskrim, saya akan pertimbangkan permintaan awak,” aku mengusiknya.
“Mana nak cari aiskrim malam-malam ni,” dia merungut.
“Rasanya kedai kat hujung jalan sana masih buka. Kalau awak dapat beli dan pulang dalam masa lima minit, saya akan beri awak borang tu sekarang juga,” cabarku.
Amirul Azme bangun lalu memandangku. Eh, takkan dia betul-betul nak pergi? Jauh juga jarak dari sini ke kedai tu. Belum sempat aku menahan, dia telah berlari secepat mungkin.
“Amirul, aiskrim vanila ya!” jeritku.
Amirul... Amirul... awak ni memang sukar dijangka. Aku memandang ke arah langit, melihat bintang-bintang yang bergemerlapan lalu aku tersenyum, girang!

::bersambung::

3 ulasan :

epy elina berkata...

hohoho....
hrp2 amirul dpt blikan aiskrim....
nak durar ngn amirul brcnta lak...
br zul 2....
dia dah trlpas brng plng brhrga iaitu durar....
x sbr nak tngu next n3....

Sofya berkata...

sempat ker nak dptkan ais krim nii. i hope so.. suka durar ngan amirul.. meluat plak ngan hafizul tu.. macam org gila talak lah plak lagaknya..

Rizai Reeani berkata...

epy elina dan sofya: kita hanya tahu menghargai bila orang yang menyayangi tiada lagi di sisi...

terima kasih sudi singgah membaca... :D