Sepatah Dua Kata

Khamis, Mac 25, 2010

Begitulah Cinta - Bab 32



Masihkah ada harapan?

FAEZAH melambai-lambaikan tangannya apabila ternampak kelibat Amirul Azme dan Affendi. Kedua-dua lelaki itu melangkah ke arahnya beriringan. Suasana perpustakaan Tun Dr. Ismail tenang dan mendamaikan. Tidak ramai pelajar yang datang untuk mengulangkaji pelajaran atau meminjam bahan bacaan. Amirul Azme dan Affendi mengambil tempat duduk di hadapan Faezah. Faezah menghadiahkan sebutir senyum pada mereka.
“Ada apa kau panggil kita orang ni?” soal Affendi.
“Tunggulah kejap. Tetamu yang terakhir belum sampai lagi. Dia tetamu penting. Sebab dialah Izah panggil kau orang ke sini,” jawab Faezah.
“Siapa?” soal Affendi.
“Hah, tu pun dia dah sampai... Durar!” laung Faezah.
            Amirul Azme dan Affendi saling berpandangan. Agenda apakah yang cuba direncana oleh Faezah ini?
“Maaf terlambat. Tertidur sekejap,” ujarku sambil tergelak kecil.
“Tak apa, kita orang pun baru sampai,” jawab Faezah.
Aku mengambil tempat duduk di sebelah Faezah. Amirul Azme di hadapanku tersenyum manis. Aku membalas senyumannya itu.
So, apa benda yang kau nak cakap dengan kita orang?” Affendi bertanya pada Faezah yang memakai blaus merah hati itu.
“Izah nak kongsi satu perkara baik dengan Imie and Fendi,” ujar Faezah.
“Apa dia?” soal Amirul Azme.
“Kawan kita ni anak Dato’!” terang Faezah.
            Aku tersentak lalu memandang tepat wajah gadis di sebelahku itu. Dari mana Faezah mengetahui perkara ini? Bukankah ia sepatutnya menjadi rahsia? Setahu aku, hanya aku, Rashidah dan Hafiszul yang mengetahui perkara ini. Mustahil Rashidah yang membongkarnya. Hafiszul... takkanlah. Habis siapa?
“Hah, apa kau cakap? Aku tak dengar,” soal Affendi.
“Durar ni anak Dato’. Ayahnya seorang usahawan syarikat peranginan di Port Dickson,” terang Faezah.
“Betul ke Durar?” Affendi menyoalku pula.
“Err... err...” aku tergagap-gagap, tidak tahu untuk menjawab.
            Amirul Azme kupandang. Dia memerhati wajahku tajam. Kemudian dia bangun serta-merta membuatku terpaku. Faezah tersenyum sinis. Akhirnya dia berjaya membuatkan Amirul Azme membenci Durar. Mujur Laily, rakan sebiliknya yang memberitahunya perkara itu. Amirul Azme pasti terkejut menerima berita tersebut.
Aku juga pantas bangun tetapi dihalang oleh Faezah. Aku memandangnya dengan perasaan marah.
“Apa tujuan awak Faezah?” tanyaku.
“Maaf, saya tak sangka akan jadi macam ni. Saya ingat perkara ni dapat buatkan Imie dan Fendi gembira. Yalah, bukan senang nak berkawan dengan anak Dato’,” balas Faezah.
Please do mind your own bussiness, Faezah!” aku memberi peringatan lalu segera bangun untuk mendapatkan Amirul Azme.
            Aku tidak mahu dia salah sangka dan bukan niatku untuk membohonginya. Harap-harap aku masih sempat mengejar lelaki itu.
“Izah, let me guess. Kau saja buat macam ni, kan?” Affendi bertanya pada sepupunya itu.
Faezah menjeling sepupunya itu lalu tergelak kecil. Tidak lama kemudian, Affendi juga turut tergelak.
I’m proud to call you my cousin, Izah,” ujar Affendi.

*  *  *  *  *

“APA pendapat awak tentang golongan korporat ni? Maksud saya yang berpangkat Dato’ atau Tan Sri?”  aku menyoal Amirul Azme sewaktu dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman.
“Em, kenapa tanya?”
“Saja nak tahu pendapat awak,” jawabku.
“Terus-terang, saya tak berapa suka golongan berpangkat tinggi ni,” jawab Amirul Azme jujur.
Aku tersentak. Tidak menyangka jawapan itu yang akan keluar dari bibir lelaki ini. Mengapa dia agak dingin dengan golongan korporat ini?
“Kenapa?” tanyaku.
“Bagi saya mereka ni tahu berlagak dan menyalah gunakan kuasa saja. Menindas orang yang lemah,” Amirul Azme menjawab.
“Tuduhan awak terlalu berat Amirul. Tak semua golongan berpangkat tinggi begitu. Ada juga yang murah hati dan prihatin terhadap golongan bawahan,” tuturku.
“Golongan yang sebegitu boleh dikira dengan jari sahaja, Durar,” ujar Amirul Azme lirih.
“Iya, tapi jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kita tak boleh memandang seseorang berdasarkan luaran,” ujarku lagi.
            Amirul Azme memandangku. Jarak ke kolejku semakin hampir. Langkahku terhenti apabila menyedari pandangan matanya itu. Keningku diangkat  menandakan aku hairan dengan sikapnya itu.
“Nampaknya awak seperti membela mereka. Kenapa?” tanya Amirul Azme.
            Jantungku berdebar. Apakah aku patut berterus-terang tentang statusku sebagai seorang anak dari golongan korporat? Dapatkah dia menerimanya dengan hati terbuka?
“Tak, saya bukan membela mereka. Saya cuma ingin mengubah tanggapan negatif awak terhadap golongan ini. Perspektif awak terhadap golongan ini mengejutkan saya. Tak sangka awak begitu membenci mereka. Kenapa?” tanyaku.
Amirul Azme berpaling. Dia seperti tidak mahu menjawab soalanku tadi. Pasti dia ada menyembunyikan sesuatu. Selalunya, ramai yang suka berkawan dengan orang berpangkat. Berlainan pula dengan Amirul Azme.
“Kita dah sampai,” ujarnya sekaligus membuatkan pertanyaanku tadi terbiar begitu sahaja.
Deruman enjin motosikal menerbangkan lamunanku entah ke mana. Perbualan antara aku dan Amirul Azme sewaktu awal perkenalan dahulu menjengah fikiran. Mulanya aku ingin mengkhabarkan padanya tentang statusku namun mendengar kata-katanya, segera niatku dimatikan. Sedaya-upaya aku cuba merahsiakannya dan berfikir, mungkin belum tiba masa yang sesuai untuk aku memberitahunya.
Aku agak terkilan apabila dia mengetahui tentang status diriku dari mulut orang lain dan bukannya dari mulutku sendiri. Sekarang, semuanya sudah terbongkar dan aku sudah menerima balasan dari Amirul Azme. Ternyata dia memang benar-benar marah. Apa yang harus aku lakukan?


*  *  *  *  *

“AMIRUL, tunggu!” laungku.
Langkah kaki lelaki itu terhenti. Aku mempercepatkan langkah menuju ke arahnya. Nasib baik dia berhenti. Kalau tidak, penat juga aku nak berlari mengejarnya.
“Amirul,” ucapku.
“Kenapa?” tanya Amirul Azme.
Aku diam. Mataku cuba menatap wajahnya tetapi aku kalah. Lidahku tiba-tiba menjadi kelu. Tidak tahu apa yang patut aku lontarkan.
“Kenapa? Kenapa awak tipu saya?”
“Saya tak berniat nak tipu awak. Saya cuma...” kata-kataku ditukas.
“Cuma apa? Sengaja mempergunakan saya?” agak tinggi nada suara Amirul Azme.
“Tak!” bidasku.
“Cukuplah. Tolong tinggalkan saya sendirian,” ucap Amirul Azme.
“Amirul...”
“Pergilah. Saya tak mahu marah awak,” sambung Amirul Azme.
            Aku menghela nafas lalu berjalan pergi. Sebelum itu, aku sempat meminta maaf padanya. Amirul Azme hanya diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Dia biarkan perasaan aku terapung-apung. Maafkan aku, Amirul...

*  *  *  *  *

FARED MUSTAPHA meletakkan tangan kanannya di bawah kepala. Dia memerhati ke arah siling. Kipas angin yang berputar membuatkannya teringat pada wajah seseorang. Wajah yang mencuit hatinya. Siapa agaknya gerangan wanita itu? Sudah berpunyakah dia? Mungkin Dalila ada jawapannya. Bunyi ketukan pintu menerbangkan segala khayalannya. Dalila menolak daun pintu, melihat sepupunya sedang berbaring di atas katil.
“Panjang umur kau. Baru aku sebut tadi,” ujar Fared Mustapha.
“Hai, kenapa pula kau sebut-sebut nama aku ni?”
“Siapa perempuan dekat butik hari tu?” soal Fared Mustapha.
“Butik? Oh, maksud kau Salwa?” ujar Dalila.
Fared Mustapha menganggukkan kepalanya.
“Kenapa dengan dia?” Dalila bertanya lagi.
“Dia... er... dia dah ada ke?” ragu-ragu Fared Mustapha bertanya.
“Ada apa?” Dalila menyoal tidak faham.
“Dia dah kahwin ke?”
“Dah,” jawab Dalila ringkas.
            Riak wajah Fared Mustapha berubah. Jawapan yang keluar dari mulut Dalila itu bukanlah seperti yang diharapkannya. Dia dilanda kecewa.
“Tapi suaminya dah meninggal. Dia sekarang ni janda anak satu,” sambung Dalila.
            Fared Mustapha bersemangat kembali apabila mendengar kata-kata Dalila tadi. Ini bermakna, peluang untuknya memiliki wanita itu terbuka luas. Dia berharap Salwa sudi membalas cintanya. Dalam diam, fikirannya mengatur rancangan...

*  *  *  *  *

“WAH! Pantas awak berlari ya. Kagum, kagum...” usikku.
Amirul Azme tercungap-cungap sambil mengesat peluh yang merenik di dahi. Aiskrim berperisa vanila di tangan kanannya diunjukkan padaku. Segera aku mengambilnya.
“Huh, huh... Se... Sekarang b...b...boleh saya isi borang?” tanya Amirul Azme dalam mengah.
Aku menguntum senyum. Lelaki di hadapanku ini kelakar orangnya. Aku ingatkan dia main-main tadi sewaktu aku mencabarnya membeli aiskrim dalam masa lima minit. Kenapa dia bersungguh sekali?
“Alamak, awak lewat dua saat... Sorry,” jawabku sambil membuka palstik aiskrim berperisa vanila itu.
Amirul Azme menjengilkan matanya. aku pura-pura tidak perasan. Suka melihat wajahnya yang memerah itu. Tanpa kujangka, dia merampas aiskrim vanila itu dari tanganku. Terpana aku seketika.
“Kalau macam tu, aiskrim ni saya ambil balik,” ujar Amirul Azme.
“Hah? Mana boleh! Buruk siku namanya ni...”
“Do I care?” giat Amirul Azme lalu berlari meninggalkanku.
“Mirul! Mana aci! Bagi balik aiskrim tu!” suaraku lalu cuba mengejarnya.
“Kau ni selalu sangat termenung. Apa yang dah jadi?” teguran Rashidah membuatkan lamunanku tadi hilang.
            Segugus nafas berat kuleraikan dari dalam dada. Perbualanku dengan Amirul Azme dahulu masih segar diingatan. Sehingga kini, aku masih tidak mengetahui kenapa dia tidak suka akan golongan korporat.
“Kenapa ni Durar?” soal Rashidah.
“Dia dah tahu....” jawabku.
“Tahu? Apa yang tahu? Siapa yang tahu?” Rashidah bertanya tidak faham.
“Amirul dah tahu semuanya. Dia dah tahu aku ni anak Dato’,” jawabku.
What? Ya Allah, macam mana boleh jadi macam ni? Siapa yang beritahu dia?” bertalu-talu Rashidah menyoalku.
“Faezah...”
“Faezah? Yang mana ya? Em, budak perempuan yang rambut kerinting tu ke?” ujar Rashidah.
Kepalaku dianggukkan, membenarkan telahan Rashidah tadi.
“Dari mana dia tahu? Lagipun, apa hubungan dia dengan si Imie tu?” Rashidah terus menyoal.
“Aku tak tahu... betul-betul tak tahu...” jawabku.
“Jadi, apa yang kau nak buat sekarang?” soalan Rashidah kali ini benar-benar buat aku terperangkap.
Sesungguhnya aku masih tidak punya jawapan untuk soalan itu.

::bersambung::

4 ulasan :

epy elina berkata...

hohoho...
konflik dah stat....
hrp2 amirul blh maafkn durar...
klu dia cntkn durar btul2 kena la mdh memaffkn...
izah 2 pdenki la....

Sofya berkata...

Hah! mungkinkah imie marah golongan tu sebab ayah dia..?
Kesian durar.. rasanya dia dah jatuh hati pada imie..
faezah pun ada hati ngan imie sbb tu dia wat camtu..

aqilah berkata...

imie bengang sbb bapak dia tinggalkan ibunya dan dia kerana kekayaan.....tapi plese............nak imie dgn durar.............

Rizai Reeani berkata...

epy elina: ya, konflik kecil yang baru bermula sebelum konflik sebenar melanda. ;)

sofya: kan, susah juga jika kita jatuh hati pada orang yang sama...

aqilah: kita lihat nanti sejauh mana kuatnya jodoh mereka...