Sepatah Dua Kata

Ahad, Mac 28, 2010

Begitulah Cinta - Bab 33



Rindu, rindu dan terus rindu...

SUDAH hampir seminggu tiada khabar dari Amirul Azme. Mesej tidak berbalas, telefon jarang sekali. Tidak pula aku terserempak dengan dia di perpustakaan. Dia seolah-olah ingin menjauhkan diri dari aku. Besar sangatkah kesalahanku sehingga dia tegar membuat aku begini? Rindu di dalam dada sudah tidak mampu kubendung. Hidup ini terasa begitu sunyi tanpa senda-gurau darinya dan aku rindu pada senyuman yang terukir di bibirnya untukku. Amirul Azme, hentikanlah semua ini. Aku sudah tidak mampu bertahan lagi. Maafkanlah aku...
            Tiba-tiba terasa bahuku ditepuk. Aku menoleh dan melihat Hafiszul di sebelahku. Padang Barat UiTM itu sekali lagi kukunjungi. Aku duduk di bawah pohon semarak api yang rendang memerhati pelajar-pelajar lelaki bermain bola sepak. Mataku di situ tapi fikiranku jauh melayang.
“Dari tadi Zul tengok Durar muram je. Ada perkara yang tak kena ke?” Hafiszul bertanya padaku.
            Soalan Hafiszul tadi aku jawab dengan gelengan. Dia tidak perlu tahu masalahku. Dia bukan lagi tempat untuk aku meluahkan rasa. Dia milik Laily, bukan lagi kepunyaan aku. Tapi kenapa hati ini merintih untuk bercerita padanya? Rasa sayang dalam jiwa masih adakah untuk lelaki di sebelahku ini?
“Ceritalah, Zul dengar,” ucap Hafiszul.
“Tak ada apa, mungkin stress sebab banyak sangat assignment,” dalihku.
“Betul?”
“Ya. jangan risau. Tak ada apa-apalah,” jawabku.
“Oh ya, awak dengan Laily macam mana? Apa perkembangan terbaru?” aku menyoal Hafiszul, cuba mengubah topik perbualan.
“Zul dah putus dengan dia,” jawab Hafiszul, berterus-terang.
            Aku diam kerana Lalily sudah memberitahuku akan perkara itu. Sekarang, aku sudah berjanji pada Laily untuk memujuk Hafiszul supaya kembali semula kepada gadis itu.
“Kenapa putus?”
“Dia tak macam Durar,” jawab Hafiszul.
“Apa kena-mengena saya dalam hal ni?” soalku tidak faham.
“Durar dan dia jauh berbeza. Laily seorang yang agresif dan pentingkan diri. Dia juga tidak prihatin seperti Durar,” jawab Hafiszul.
“Setiap manusia ada kelemahan masing-masing. Belajarlah untuk menerima kelemahan pasangan kita dan berusaha untuk memperbaikinya. Itulah namanya cinta. Bila bersama, kita harus menerima keadaan pasangan kita seadanya,” hujahku.
            Hafizsul mencapai sebiji batu kecil lalu diramasnya. Aku membuang pandang ke arah sekumpulan pelajar yang sedang berjogging. Bulat mataku apabila memandang Amirul Azme yang sedang menatapku ketika bersama-sama Hafiszul. Apabila melihat aku memandangnya, dia terus berpaling dan berlari agak laju.
            Sudahlah, aku pasti dia salah anggap hubunganku dengan Hafiszul. Aku sudah malas untuk memberi penjelasan. Biarlah lelaki itu dengan tafsirannya sendiri. Aku yakin, kebenaran akan muncul juga nanti.
“Durar, would you be my girlfriend again?” pinta Hafiszul, sekali lagi.
Aku diam sebentar. Cuba mengatur bicara agar lelaki di sebelahku ini tidak terlalu berharap lagi.
“Maaf, antara kita dah tamat. Cukuplah hubungan kita sekadar kawan baik. Zul, maafkanlah Laily. Terimalah dia semula. Saya yakin dia mampu berubah. Awak berilah peluang sekali lagi pada dia,” ucapku.
            Sehabis sahaja aku menuturkan ayat tadi, kedengaran nama Hafiszul dilaung. Seorang pelajar lelaki yang sedang memegang bola melambaikan tangan ke arah kami.
“Pergilah, kawan awak dah panggil tu,” kataku.
“Zul tak akan putus asa Durar!” ucap Hafiszul sebelum berlalu pergi.
            Aku tersenyum tawar. Hafiszul, aku tak mungkin menerima kau lagi kerana pintu hati aku sudah terbuka untuk orang lain. Ada seseorang sudah mencuri hatiku dan disimpan dalam dirinya. Masalahnya sekarang, mungkin hati aku akan kembali semula pada diriku kerana lelaki yang aku sayang itu kini, semakin jauh.
“Apa yang kau bualkan dengan Zul tadi?” soal Laily sekaligus membuatkan aku tersentak.

*  *  *  *  *

SEKALI lagi Mak Nab menerima kunjungan bekas suaminya. Sudah agak lama dia tidak berjumpa dengan lelaki itu. Seingatnya, sejak lelaki itu dimasukkan ke hospital dahulu, itulah kali terakhir. Ada rindu yang terbit di dalam dada. Apa pula tujuan kedatangan lelaki itu hari ini?
“Assalammualaikum. Nab apa khabar?”
“Waalaikummussalam, Nab sihat. Tan Sri pula, dah lama keluar hospital?” soal Mak Nab.
            Tan Sri Ahmad Ariff agak terkejut mendengar panggilan Mak Nab tadi. Dia tidak menjawab soalan bekas isterinya itu tetapi terus bangun menuju ke jendela. Dia memerhati sekeliling. Beberapa ekor anak ayam sedang berkejaran mengejar ibu mereka. Pokok-pokok rambutan yang tumbuh merendang meredupkan suasana. Desir angin menyapa lembut wajahnya. Terasa udara kampung yang nyaman menyelinap dalam sanubari.
“Abang dah sedia nak jumpa dengan anak kita,” ujar Tan Sri Ahmad Ariff.
            Mak Nab terkejut mendengar kata-kata bekas suaminya itu. Tidak, dia tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Semahunya, dia tidak menginginkan rahsia ini terbongkar. Dia masih tidak bersedia untuk berdepan dengan kenyataan.
“Maaf, Nab tak benarkan Tan Sri jumpa dia,” tegas Mak Nab.
Tan Sri Ahmad Ariff berpaling. Dia tidak menyangka Mak Nab boleh mengubah keputusannya. Kenapa agaknya?
“Walau Nab berkeras, abang tetap akan pastikan dia kenal siapa ayahnya yang sebenar,” Tan Sri Ahmad Ariff bertegas.
“Saya tak nak! Biarlah keadaan macam ni. Nab minta Tan Sri lepaskan kami, tolonglah,” rayu Mak Nab.
“Nab, awak tak berhak kata begitu. Abang juga ada hak terhadap anak kita. Abang bapanya!” bantah Tan Sri Ahmad Ariff.
“Sudahlah, Tan Sri dah ada keluarga Tan Sri sendiri. Tinggalkan kami. Biar kami hidup sendiri. Jangan ganggu hidup kami lagi,” Mak Nab terus merayu.
“Abang tak setuju dengan permintaan awak, Nab. Abang ingin memperbaiki segala kesilapan yang telah kita lakukan. Anak kita berhak tahu perkara sebenarnya,” kali ini giliran Tan Sri Ahmad Ariff pula bertegas.
            Mak Nab terdiam. Dia tahu kata-kata bekas suaminya itu benar. Tidak boleh disangkal lagi. Mak Nab cuma takut akibat yang akan berlaku. Dia tidak mampu berfikir kesannya. Tidak! Dia mesti menghalang perkara ini dari berlaku. Itu tekadnya!

*  *  *  *  *

“LAILY...” ucapku.
“Apa yang kau bualkan dengan Zul tadi?” soal Laily.
“Aku berusaha untuk pujuk dia supaya terima kau semula,” jawabku.
“Jadi, apa jawapannya?” desak Laily.
“Aku masih belum dapat yakinkan dia lagi. Maaf,” terangku.
            Laily memandangku dengan pandangan yang tidak dapat kutafsirkan maknanya. Tidak dapat aku teka perasaannya saat ini. Marahkah? Kecewakah? Tiba-tiba Laily teresak. Aku menjadi kalut. Ah, sudah, dia dah mula menangis balik.
“Sabarlah, aku akan tetap cuba,” pujukku.
“Aku tak berniat nak desak kau tapi tolonglah, aku perlukan dia. Aku menyesal Durar, menyesal,” ujar Laily.
“Tak ada apa yang nak dikesalkan. Semuanya dah berlaku. Cuma aku harap kau boleh berubah. Aku pasti, Hafiszul akan sedar perasaan cinta kau pada dia,” ucapku.
            Tangisan Laily terhenti. Dia memandangku dengan mata yang masih berair. Dalam hati, aku berfikir, tuluskah hati kau mencintai Hafiszul?
::bersambung::

3 ulasan :

aqilah berkata...

apalah lily ni, ngok ngek tul!!!! org tak suka, terhegeh-hegeh lak.....imie, please...listen to durar explanation!!!!!

Sofya berkata...

mmg patut durar tutupkan pintu hatinya buat zul..
mak nab kena beritahu anak2nya perkara sebenar sebelum terbongkar..

Rizai Reeani berkata...

aqilah dan sofya: terima kasih sudi singgah membaca... :D