Sepatah Dua Kata

Selasa, Mac 16, 2010

Cinta Antara Kita - Bab 01



1996

SEMILIR petang bertiup lembut menampar dedaun ketapang yang lebar. Kicau burung meriuhkan suasana petang. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki bersama-sama seorang kanak-kanak perempuan sedang seronok bermain ditemani panorama petang yang indah.
            “Em, bila dah besar nanti, Lia nak kahwin dengan Khairul, boleh?” pinta seorang budak perempuan yang memakai gaun berwarna merah jambu ketika dia dan kawannya itu sedang bermain pondon-pondok di bawah pokok ketapang yang rendang.
Budak lelaki yang berseluar pendek dan berbaju T-shirt gambar watak superhero ‘Spiderman’ hanya mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan gadis kecil itu.
“Janji?”
“Ya, Khairul janji. Lia juga tak boleh tinggalkan Khairul ya,” balas kanak-kanak lelaki itu.
“Janji!” jawab gadis kecil itu sambil mengunjukkan jari kelingking tangan kanannya kepada budak lelaki bermata bundar itu.
Lalu, jari mereka bertaut bersama-sama janji yang telah dimeterai...

* * * * *

2004

“KHAIRUL tunggu Lia! Janganlah kayuh laju sangat!” jeritan seorang gadis yang berpakaian seragam sekolah menengah menghangatkan pagi Isnin itu.
Pelajar lelaki di hadapannya semakin mempercepatkan kayuhan basikal, sengaja membiarkan gadis bernama Nadzlia itu mengejar di belakang.
“Kita lumba! Siapa sampai lambat, dia kena belanja waktu rehat nanti!” teriak Khairul.
“Hah? Mana aci! Awak main tipu!!!” bentak Nadzlia.
Kedengaran gelak besar dari Khairul di hadapan. Nadzlia mempercepatkan kayuhannya. Khairul memang suka mencabar dan Nadzlia sendiri pantang dicabar. Tengoklah, dia pasti menang!
“Eii... lambatnya orang tu, macam kura-kura!” sindir Khairul.
Nadzlia mencebikkan bibir. Mindanya ligat berfikir, mencari jalan untuk menewaskan Khairul. Seketika kemudian, dia melukis segarit senyum. Pantas, dia membelok basikalnya ke arah kanan, teringat jalan pintas ke sekolah. Kali ni, dia yang akan menang. Khairul semakin laju mengayuh tanpa menyedari kehilangan Nadzlia di belakangnya. Dia yakin, dia akan menang pagi itu. Tersengih-sengih dia. Lima minit mengayuh, dia membelok ke kiri, memasuki lorong menuju ke sekolahnya.
Pintu pagar sekolah mula kelihatan sedikit demi sedikit dan senyuman Khairul semakin lebar. Dia masih tidak berpaling ke belakang kerana dia tidak mahu hilang tumpuan. Sampai di pintu pagar sekolah, dia mengangkat tangan kirinya, menyapa Pak Kassim, pengawal keselamatan di sekolah itu. Sambil bersiul kecil,  Khairul memperlahankan kayuhannya menuju ke tempat letak basikal yang dikhaskan berhampiran dengan tempat meletak motorsikal.
Kayuhannya terhenti tiba-tiba. Alangkah terkejutnya dia melihat Nadzlia sedang menunggunya dengan senyuman sinis, penuh makna.
“Wei, lambatnya orang tu, macam kura-kura!” perli Nadzlia memulangkan paku buah keras.
Khairul menarik nafas panjang kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Dia turun dari basikal lalu menolaknya ke arah tempat Nadzlia berdiri. Sebuah senyuman terukir di bibir gadis itu.
“Kau main tipu! Mana boleh ikut jalan short-cut!” ujar Khairul dalam nafas yang tercungap-cungap.
“Awak yang main tipu dulu. Lagipun, awak tak cakap tak boleh ikut jalan short-cut,” balas Nadzlia.
“Ah, kau penipu!”
Excuse me Encik Khairul Anuar, saya bukan penipu ya. Jangan sedap mulut saja nak menuduh. Dah kalah tu, buatlah cara dah kalah, terimalah hakikat...” Nadzlia bersuara sedikit marah.
Khairul membulatkan mata, tersentap dengan kata-kata Nadzlia tadi. Gadis ini memang suka berbalah dengannya.
“Kau...”
“Ah, dah, dah! Jangan lupa rehat nanti, Lia nak nasi goreng dengan air bandung ya,” ujar Nadzlia sambil mengenyitkan mata lalu melangkah pergi meninggalkan Khairul terpinga-pinga.
Khairul hanya memerhatikan langkah Nadzlia dengan hati yang berbahang. Siaplah, ada lori ada bas, ada hari nanti kubalas!

::bersambung::

Tiada ulasan :