Sepatah Dua Kata

Selasa, Mac 16, 2010

Cinta Antara Kita - Bab 02




BUNYI loceng menandakan waktu persekolahan sudah tamat untuk hari itu. Para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Saujana mula mengemas peralatan sekolah masing-masing.
“Baiklah, jangan lupa cuti sekolah nanti jangan nak berhibur saja. Ulangkaji jangan lupa. Lepas cuti ni, awak semua tinggal tak lebih sebulan untuk SPM. Ingat tu!” Cikgu Salina memberi peringatan pada para pelajar Tingkatan 5 Sains 1 sebelum menamatkan kelas tengah hari itu.
“Baik cikgu!” hampir serentak semua pelajar menjawab.
“Khairul, saya nak ke bilik guru hantar buku latihan kejap. Tunggu saya ya,” pinta Nadzlia.
“Tengoklah, kalau lambat, aku tinggal,” jawab Khairul.
Nadzlia menjeling lelaki yang sedang menggalas beg sekolah berwarna hitam itu. Dia tahu, Khairul tidak bermaksud untuk meninggalkannya. Sejak sekolah rendah hinggalah sekarang, Khairul pasti akan menunggunya, tidak kira semasa hendak pergi atau pulang dari sekolah.
Nadzlia membawa beberapa buah buku latihan para pelajar untuk dihantar ke bilik guru bersama-sama kawannya, Aimy. Pantas dia berjalan, tidak mahu membuat Khairul tertunggu-tunggu.
“Amboi, lajunya. Kau nak pergi mana?” tanya Aimy.
“Saya kena cepat, nanti Khairul tinggalkan saya,”
“Ala, tak ada maknanya. Takkanlah dia nak tinggalkan kau. Bukan kau tak kenal dia,” ujar Aimy.
“Sebab terlalu kenallah saya cakap macam tu. Awak bukan tak tahu Khairul tu, kalau dia dah bosan, ditinggalnya saya,” balas Nadzlia.
“Tapi selama ni tak pernah, kan?”
Nadzlia mengangguk lalu tersenyum kecil. Ya, Khairul tidak pernah meninggalkannya. Lelaki itu setia menemani dirinya sepanjang masa. Selesai menghantar buku-buku latihan tersebut ke bilik guru, Nadzlia pantas berlari menuruni anak tangga sehingga tanpa sedar terlanggar seseorang menyebabkan beg sekolah pelajar itu terjatuh.
“Ah, maafkan saya,” ucap Nadzlia.
It’s okay,” balas pelajar lelaki yang memakai cermin mata itu.
Nadzlia kembali menyambung langkah. Sampai di tempat letak basikal, dia terpana!
“Apa dah jadi ni?” soal Nadzlia kepada Khairul.
“Mana aku tahu... bila aku sampai tengok dah jadi macam ni,”
Nadzlia melihat tayar basikal kepunyaan Khairul yang kempis tidak berangin.
“Bocor ke?” tanya Nadzlia lagi.
“Tak pasti,”
“Jadi sekarang macam mana?”
“Macam mana apa, kau kena tumpangkan akulah,” jawab Khairul.
“Hah? Err...” ujar Nadzlia agak gemuruh.
“Kalau tak nak tumpang tak apalah. Aku boleh jalan kaki,” ujar Khairul berjauh hati.
“Saya tak cakap pun tak boleh. Okey, awak bawa, saya duduk kat belakang,” balas Nadzlia.
“Eh, ni basikal kau, kan? Jadi, kaulah bawa, aku duduk kat belakang,” ujar Khairul.
“Hah? Awak jangan nak bergurau. Saya tak nak!” bantah Nadzlia.
“Okeylah, kalau macam tu aku balik jalan kaki aje,”
Nadzlia bungkam. Ada ke patut perempuan bawa lelaki? Tak gentleman langsung Khairul ni. Nadzlia memandang wajah Khairul yang meminta simpati lagaknya. Hai, kasihan pula melihat. Jauh juga kalau nak jalan kaki. Serba-salah pula. Yalah, kita orang ni berjiran, nanti apa pula kata orang.
“Yalah, yalah, cepat naik!” akhirnya Nadzlia mengalah.
Khairul tersenyum-simpul. Nadzlia membuka mangga kunci yang merantai basikalnya. Kemudian, dia menolak basikalnya keluar dari tempat letak basikal di bawah pondok beratapkan genting itu.
“Betul awak nak saya bawa ni?” soal Nadzlia sekali lagi meminta kepastian.
“Yalah atau kau nak aku jalan kaki?” duga Khairul.
“Awak ni!”
Khairul tergelak besar. Nadzlia menaiki basikalnya lalu mula mengayuh. Terasa agak payah mulanya namun dia gagahkan juga.
“Hish, terhegeh-hegeh! Tak makan apa?” usik Khairul.
“Wei, cakap baik sikit ya. Awak tu yang berat. Makan batu agaknya,” perli Nadzlia semula.
Khairul menggerakkan badannya ke kanan dan ke kiri menyebabkan Nadzlia kelam-kabut mengawal basikalnya dari jatuh.
“Wei, cuba duduk diam-diam. Kalau jatuh nanti sapa yang susah?”
“Mereka dan keluarga mereka,” jawab Khairul, berlawak.
Nadzlia menjeling geram. Lelaki ini, makin dilayan makin menjadi-jadi loyar buruknya. Lantas, dia kembali mengayuh basikal tanpa mempedulikan Khairul yang bersiul riang di tempat duduk belakang. Eii... menyampah!!!

::bersambung::

Tiada ulasan :