Sepatah Dua Kata

Selasa, Mac 16, 2010

Cinta Antara Kita - Bab 03




CUTI sekolah penggal kedua tamat semalam. Hari ini merupakan hari yang baru yang bakal ditempuh dengan harapan dan semangat untuk terus berusaha kerana peperiksaan SPM akan berlangsung tidak lama lagi.
“Wah, tengok tu!” ujar Aimy lalu mengunjukkan jari telunjuknya ke arah meja di bahagian kanan belakang sekali semasa dia dan Nadzlia sedang menikmati air batu campur di kantin.
Nadzlia segera mengalihkan pandangannya pada arah yang ditunjukkan oleh Aimy tadi. Bagai disiat-siat hatinya rakus melihat kemesraan antara Khairul dengan seorang pelajar perempuan yang sedang berbual-bual sambil menghirup air limau nipis. Benarkah apa yang sedang dilihatnya kala ini? Siapakah budak perempuan di sisi Khairul itu?
“Senyap-senyap aje rupanya dia orang ya,”
“Awak kenal ke budak perempuan tu?” soal Nadzlia.
“Apa tak kenal pula. Takkan kau tak tahu, dia tu kan ratu kat sekolah ni,” jawab Aimy.
“Ratu? Tak fahamlah...”
“Nama dia Nur Maisarah Diaz, pelajar 4 Sains 2. Dia baru pindah seminggu sebelum cuti hari tu. Ayah dia orang Sepanyol tau! Dahlah cantik, pandai pula tu,” jelas Aimy.
“Oh...” hanya itu yang dapat Nadzlia lafazkan.
Waktu rehat tamat apabila bunyi loceng kedengaran. Aimy segera menghabiskan suapan terakhir air batu campur di dalam mangkuknya. Kemudian dia melihat pula pada mangkuk Nadzlia yang masih tinggal separuh.
“Tak habis ke?”
“Tak ada selera,” jawab Nadzlia ringkas sambil matanya melirik pada Khairul yang masih setia berbual dengan pelajar perempuan itu.

* * * * *

JAM di tangan tepat menunjukkan pukul satu petang. Matahari terik memancar. Waktu persekolahan sudah tamat pada hari itu. Nadzlia berjalan bersama-sama Aimy ke tempat letak basikal. Khairul sudah keluar awal sejurus loceng berbunyi. Entah apalah yang dikejarnya. Belum sampai ke tempat yang dituju, dia melihat Khairul sedang menunggu seseorang di bawah pokok mempelam yang rendang. Tidak lama kemudian, seorang pelajar perempuan menghampiri Khairul. Dari jauh, Nadzlia dapat melihat jelas kelibat pelajar perempuan itu. Maisarah!
“Hai, nampaknya, mulai hari ni, kau balik dengan aku sajalah ya,” ujar Aimy membuatkan Nadzlia tersentak.
Sebuah senyuman cuba diukir namun dapat dirasakan senyuman itu kelat. Mereka berdua meneruskan langkah sejurus selepas Khairul menghilang bersama-sama Maisarah yang membonceng di tempat duduk belakang basikal lelaki itu.
“Bagus juga, tak adalah saya bosan menghadap muka Khairul tu hari-hari,” sempat Nadzlia bergurau.
“Yelah tu. Bukan aku tak tau yang kau sukakan Khairul betul tak?”
Telahan Aimy membuatkan Nadzlia terkesima. Mustahil kawannya itu dapat membaca isi hatinya selama ini.
“Eii.. mana ada. Pepandai aje awak ni. Saya dengan Khairul cuma kawan,” dalih Nadzlia.
“Dahlah, tak payah nak berselindung. Jelas kat muka kau yang kau memang ada hati kat dia,” ujar Aimy.
“Hah? Nampak sangat ke?” Nadzlia bertanya.
“Kenapa kau tak nak berterus-terang saja pada dia sejak awal lagi?”
Nadzlia membuka rantai kunci basikalnya. Kemudian, dia menolak basikalnya perlahan-lahan diekori oleh Aimy di sebelah. Sungguh, dia tidak punya jawapan untuk soalan Aimy tadi.
“Saya dengan dia rapat sejak kecil lagi. Kami berjiran. Rumah sebelah-menyebelah. Mungkin, dia anggap saya ni tak lebih dari seorang kawan baik. Saya tak mahu dikatakan perasan. Nanti, saya juga yang malu,” terang Nadzlia.
“Tapi, memendam rasa tak akan selesaikan masalah. Mana tahu Khairul juga menyimpan perasaan yang sama pada kau?” getus Aimy.
“Tak mungkinlah! Awak sendiri tengok dia dengan orang lain kan?”
“Mungkin sebab dia tengok tiada respon dari kau, sebab tu dia beralih arah,” jawab Aimy.
“Ah, tak mungkinlah!” dalih Nadzlia.
“Terpulanglah, aku hanya beri pendapat. Selebihnya, terserah pada kau. Mememdam perasaan ni menyakitkan. Lebih-lebih lagi bila lihat orang yang kita sayang, rapat dengan orang lain sebab dia ingat kita tak sayangkan dia. Lia, sebagai kawan, aku tak mahu lihat kau bersedih...” ujar Aimy sayu.
Langkah kaki Nadzlia terhenti tatkala mendengar kata-kata Aimy tadi. Tiba-tiba air matanya gugur mencucuri pipi mulusnya. Aimy memegang bahu sahabat baiknya itu, menghantar sedikit semangat. Sabarlah Lia, aku yakin kau akan dapat lelaki yang lebih baik...

::bersambung::

Tiada ulasan :