Sepatah Dua Kata

Selasa, Mac 16, 2010

Cinta Antara Kita - Bab 04




SEMAKIN hari hubungan Nadzlia dan Khairul semakin renggang. Mereka tidak lagi pergi ke sekolah bersama-sama. Balik sekolah apatah lagi. Nadzlia dapat merasakan yang lelaki itu semakin menjauhinya. Bayang-bayang lelaki itu tiada lagi di sisinya. Sudah lama tidak mendengar usikan dan gelak-tawa lelaki itu. Cuma sesekali mereka akan berbual. Itupun perbualan yang lebih berunsurkan akademik. Peperiksaan SPM tinggal seminggu saja lagi. Bagi Nadzlia, dia sudah cukup bersedia, tidak kira dari segi mental atau fizikal. Nasihat Aimy telah memberinya kekuatan untuk meneruskan perjuangan.
Kata Aimy, lebih baik menumpukan perhatian pada pelajaran dari memikirkan soal hati buat masa ini. Hidup masih panjang dan masih banyak perkara yang akan ditempuh. Pelajaran lebih penting dari menyemakkan fikiran dengan masalah cinta. Mungkin sudah ditakdirkan antara dia dan Khairul hanya kekal sebagai kawan. Dia harus redha. Lagipun, dia sedang cuba mengemaskan perasaannya pada lelaki itu. Lelaki itu hanya kawan. Hanya kawan...
“Nadz, kita balik sama hari ni ya,” ujar Khairul sewaktu mereka menunggu kelibat Cikgu Katyal yang mengajar mata pelajaran Matematik.
“Em, saya ada hal. Awak balik dululah,” balas Nadzlia.
“Hal apa?”
“Sejak bila pula awak berminat nak masuk campur dalam urusan saya?”
Khairul berubah wajah, terkejut dengan kata-kata Nadzlia tadi.
“Ah, maaf. Saya ada group discussion dengan Aimy dan kawan-kawan lain,” jelas Nadzlia apabila melihat perubahan pada wajah Khairul.
“Okey,” balas Khairul lalu berpaling semula ke hadapan.
Nadzlia memerhati belakang badan Khairul yang duduk di hadapannya. Terasa hatikah lelaki itu dengan kata-katanya tadi? Tapi, kenapa dia nak balik bersama hari ni? Maisarah tidak datang ke sekolah ke?
Aimy memandang Nadzlia dengan pandangan sayu. Dia tahu kawannya itu sedang cuba mengelakkan diri dari membiarkan perasaan cintanya terhadap Khairul terus bercambah. Khairul, tidak perasankah kau pada cahaya cinta yang bersinar di wajah Nadzlia  untuk kau?

* * * * *

“PUTUS?”
“Ya, aku dengar dia dengan Maisarah dah putus tapi tak tahu betul ke tak. Cubalah kau tanya dia,” cadang Aimy.
“Takkanlah, saya tengok mereka berdua nampak okey,”
“Tapi, kalau kau nak tahu, dua tiga hari kebelakangan ni, Khairul pergi sekolah dan balik sekolah seorang. Takkan kau tak perasan?”
“Entah, saya tak tahu. Dah lama tak berbual dengan dia,” balas Nadzlia.
“Inilah peluang kau Lia! Luahkan perasaan kau,” Aimy membuat cadangan.
“Saya dah tak simpan apa-apa perasaan pada dia lagi. Khairul tu hanya kawan. Tak lebih dari itu,”
Khairul yang muncul tiba-tiba  dari celah-celah rak buku di perpustakaan membuatkan Aimy dan Nadzlia tersentak. Khairul memandang Nadzlia sekilas sebelum berlalu pergi. Nadzlia dan Aimy saling berpandangan. Mulut terasa bagai dikunci. Adakah Khairul mendengar apa yang diucapkan oleh mereka berdua tadi?
“Apa yang kita nak buat ni? Aku yakin dia dengar apa yang kita cakap tadi...” ujar Aimy.
“Tak perlu buat apa-apa. Kalau dia dengar, biarlah. Sekurang-kurangnya dia tahu apa yang saya rasa,” jawab Nadzlia sambil matanya meliar pada tajuk-tajuk buku cerita di hadapannya.
Dalam hati, jiwanya bergelora, hatinya bergelodak dengan pelbagai rasa. Andai kata-katanya didengari oleh Khairul, ini bermaksud, antara mereka sudah tidak punya apa-apa ikatan istimewa lagi.

* * * * *

PEPERIKSAAN SPM akan tamat beberapa minit saja lagi. Kertas Biologi merupakan kertas terakhir untuk peperiksaan tahun ini. Nadzlia membelek-belek kertasnya kemudian melakukan semakan untuk kali terakhir. Seketika kemudian, terdengar suara ketua pengawas peperiksaan meminta mereka berhenti menulis. Sejurus selepas kertas habis dikutip, mereka dibenarkan keluar. Kedengaran sorakan dan gelak-tawa para pelajar kerana pertarungan mereka sudah selesai. Sekarang adalah masa untuk menikmati hidup sepuasnya sebelum keputusan peperiksaan keluar. Nadzlia mencari kelibat Khairul namun tidak ketemu. Pasti dia bersama-sama kawan lelakinya.
“Eh, Lia, tu...” Aimy mencuit bahu Nadzlia menyebabkan gadis itu berpaling ke kanan.
“Awak ni Nadzlia?”
“Ya, saya. Ada apa yang boleh saya tolong?”
I’m Maisarah. Just call me Sarah. We need to talk,” ujar Maisarah memperkenalkan diri.
Aimy memandang gadis berambut hitam lurus di hadapannya sebelum mengalihkan pandangan pada wajah Nadzlia yang nyata terkejut dengan kehadiran tetamu yang tidak disangka mereka itu.
“Boleh kita berbincang, berdua?” pinta Maisarah lalu mengerling pada Aimy.
Aimy yang faham akan kata-kata Maisarah itu mengangguk lalu segera melangkah pergi. Sempat dia memegang bahu Nadzlia bagai menghantar kekuatan buat kawannya itu.
“Okey, apa yang awak nak bincangkan? Saya rasa mesti penting sebab awak sanggup datang petang-petang begini. Waktu peperiksaan SPM pula tu,” ujar Nadzlia.
“Tentang Khairul,” jawab Maisarah membuatkan Nadzlia sedikit tersentak.
“Kenapa dengan dia?”
“Awak tahu yang saya dan dia couple kan?”
“Ya, ada juga saya dengar tapi apa kaitannya dengan saya?” soal Nadzlia tidak faham.
“Dia menolak saya sebab awak” beritahu Maisarah.
Bagai ada batu besar menghempap kedua belah kaki Nadzlia tatkala mendengar kata-kata yang meluncur laju dari mulut Maisarah tadi. Dia terpaku.
“Hah? Takkanlah...”
“Ya, dia kata dia sukakan orang lain. Seorang perempuan yang dikenali sejak kecil lagi. Dan saya yakin perempuan yang dimaksudkan oleh Khairul tu awak,”
“Mana awak tahu itu saya?” Nadzlia menduga.
“Sebab awak saja perempuan yang dikenalinya sejak kecil. Saya tahu dari kawan-kawan dia,” jawab Maisarah.
“Jadi, awak nak saya buat apa?”
“Jauhkan diri dari dia. Khairul milik saya!” tegas Maisarah.
Nadzlia diam. Jika benar kata-kata Maisarah tadi, ini bermakna yang Khairul juga... menyimpan perasaan yang sama sepertinya! Oh, apakah yang telah dilakukan pada lelaki itu?
“Maaf, saya tak dapat lakukakannya. Khairul... saya juga sayangkan dia,” balas Nadzlia sekaligus membuatkan Maisarah terkesima
“Tak, kau tak boleh!” bentak Maisarah.
“Kenapa pula saya tak boleh, dia milik saya dan saya miliknya. Maaf, lebih baik awak cari orang lain,” ujar Nadzlia lalu melangkah pergi.
“Oh ya, sebelum tu, saya ucapkan terima kasih!” sambung Nadzlia.
“Hei, tunggu! Tunggu!” teriak Maisarah namun tidak dipedulikan Nadzlia.

::bersambung::

Tiada ulasan :