Sepatah Dua Kata

Selasa, Mac 16, 2010

Cinta Antara Kita - Bab Akhir




NADZLIA bergegas ke tempat letak basikal. Harap Khairul masih belum pulang lagi. Oh, mujur basikalnya masih ada tapi, di manakah lelaki itu? Nadzlia berlari ke kantin. Tiada. Kemudian, dia ke berlegar-legar di sekeliling bangunan sekolah. Dari satu blok ke satu blok namun kelibat Khairul tetap tiada. Nadzlia melepaskan lelah di anak tangga Blok C. Tercungap-cungap dia menarik nafas dan menghembusnya laju. Ke manakah Khairul berada saat ini? Dia harus segera mencari lelaki itu. Tidak sabar untuk meluahkan perasaannya pada Khairul. Lelaki itu harus tahu perasaannya. Rupanya, dia yang pentingkan diri selama ini. Dia tidak dapat mengesan getaran cinta lelaki itu. Dia buta. Khairul, awak kat mana?
“Aku ingat nak main bola petang nanti. Kau ajaklah budak-budak lain,” ujar seorang pelajar lelaki ketika melintasi ruang legar Blok C bersama-sama tiga orang rakannya.
Padang! Ya, dia masih belum mencari di situ. Harap Khairul ada di sana. Lantas, Nadzlia berlari menuju ke padang sekolah. Hatinya berbunga ceria apabila melihat Khairul sedang berbaring di bawah bayang pokok ketapang yang rendang.
Segera Nadzlia berlari ke arahnya. Nadzlia memandang wajah Khairul yang sedang memejamkan mata. Wajah yang amat dirinduinya. Wajah yang menemani lenanya saban malam. Khairul menyedari ada seseorang berdekatan dengannya apabila mendengar adanya desah nafas yang berat.
“Nadz?”
Nadzlia duduk di atas hamparan rumput yang menghijau, menarik nafas sedalamnya lalu melepaskannya perlahan-lahan. ‘Nadz’... Baru Nadzlia sedar, hanya lelaki itu yang memanggilnya dengan nama begitu. Mengapa dia baru perasan saat ini?
“Kau okey? Dari mana ni?”
“Sa... saya ca... cari awak!” jawab Nadzlia masih tercungap-cungap.
“Okey, okey, awak berehat dulu, tarik nafas perlahan-lahan, lepas tu baru cakap,” ujar Khairul, cuba menenangkan gadis di sebelahnya.
“Ta... tak boleh... sa... saya...” kata-kata Nadzlia mati di situ kerana dia masih termengah-mengah.
“Rilekslah, saya ada kat sini. Tak lari. Awak...”
“Saya sayangkan awak!” ucap Nadzlia mematikan kata-kata Khairul yang seterusnya.
“Hah?”
“Saya sayangkan awak! Saya sayangkan awak Khairul!” ucap Nadzlia sekali lagi.
Kali ini Khairul diam seribu bahasa. Dia benar-benar terkejut dengan lafaz cinta yang diungkapkan oleh Nadzlia tadi.
“Awak sedar tak apa yang awak cakap ni?”
“Ya, saya dah dengar segalanya dari Maisarah,” terang Nadzlia.
Sekali lagi raut wajah Khairul berubah. Seketika kemudian, dia tersenyum.
“Saya juga sayangkan awak, sejak dulu lagi,” ujar Khairul.
“Tapi, kenapa awak dengan Maisarah...”
“Saja, nak uji awak. Saya tahu tak baik gunakan Maisarah tapi saya tak tahu perasaan awak pada saya, sebab tu saya tak ada pilihan lain. Awak pula, cakap antara kita hanya kawan masa di perpustakaan dulu, jadi, saya anggap awak tak pernah sukakan saya,” jelas Khairul.
“Saya minta maaf. Saya tahu saya tak patut cakap macam tu. Saya minta maaf,” ucap Nadzlia.
“Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Cuma, awak harus tahu yang saya tak pernah dan tak akan mungkir janji,”
“Janji?”
“Lupalah tu. Ni...” ujar Khairul sambil mengunjukkan jari kelingkingnya pada Maisarah.
Seketika, kenangan lalu menjengah minda Nadzlia. Kemudian, dia mengukir segarit senyum.

“Em, bila dah besar nanti, Lia nak kahwin dengan Khairul, boleh?”
 “Ya, Khairul janji. Lia juga tak boleh tinggalkan Khairul ya,”
“Janji!”

Perlahan-lahan, jari kelingking mereka bertaut. Masing-masing saling berbalas senyum. Nadzlia tidak menyangka bahawa Khairul masih mengingati janji yang mereka lafazkan sewaktu berumur sembilan tahun itu. Fikir Nadzlia, itu kisah budak-budak, tidak tahu apa makna yang diucapkan masa itu.
“Saya takkan lepaskan tangan ni,” ucap Khairul.
“Janji?” soal Nadzlia.
“Janji!” ucap Khairul.
Di bawah langit biru yang luas bernaungkan pokok ketapang yang rendang, sama seperti dulu, sekali lagi, janji antara mereka termeterai. Kali ini, dengan hati yang memahami makna kasih sayang dan erti sebuah cinta!

::TAMAT::

Tiada ulasan :