Sepatah Dua Kata

Jumaat, April 02, 2010

Begitulah Cinta - Bab 34



Benci tapi rindu

SYAKIR melangkah pulang dari gerai makan yang terletak di kolej sektor B malam itu. Di tangannya ada bungkusan plastik merah yang berisi beberapa buah kotak yang di dalamnya mengandungi kek coklat yang dipotong kecil. Tidak sabar rasanya untuk menikmati kek itu bersama-sama dengan Tarmizi dan rakan biliknya yang lain. Hari ini merupakan hari jadi Tarmizi. Sengaja dia hendak buat kejutan. Syakir berjalan dan terus berjalan sehingga kakinya terhenti ketika melalui rak-rak kecil tempat menyimpan beg di depan perpustakaan. Dia terdengar satu suara di belakang barisan rak-rak kecil itu. Suara yang amat dikenalinya.
I tak suka you rapat dengan Syakir,” ujar Aimy.
“Kenapa? You jealous? Dia tu lelaki Aimy,” balas Tarmizi.
“Yalah, tapi dari cara dia, I tengok, macam suka dekat you saja. Lagipun, you layan dia baik sangat,” balas Aimy.
Syakir mendengar dari celah-celah rak tersebut. Dia yakin itu suara Tarmizi dan Aimy. Nampaknya, dirinya menjadi topik perbualan antara mereka.
I layan dia bersebab,” ujar Tarmizi.
What do you mean by that Mizi?” soal Aimy.
You ingat I suka ke kawan dengan sotong macam tu? I layan dia sebab dia tu rajin. Suka mengemas bilik. You pun tahukan, I ni tak rajin mengemas. Buat sepah adalah. Dia yang selalu kemas cadar tilam I, meja I dan macam-macam lagilah. Pendek kata, kalau dia tak ada, tak terurus bilik tu. Macam tongkang pecah jadinya,” jelas Tarmizi.
“Maksudnya, you hanya ambil kesempatan terhadap dia?”
“Yup! Cubalah you fikir, siapa yang nak berkawan dengan orang macam tu? Menyusahkan orang je. Nanti orang ingat I ni gay pula,” balas Tarmizi.
“Dan dia hanya sekadar tempat I mengisi masa lapang je,” Tarmizi menyambung kata.
Syakir terpana!. Tanpa sedar, bungkusan di tangannya jatuh ke lantai sehingga menarik perhatian Tarmizi dan Aimy menyebabkan mereka keluar menjenguk dari belakang rak-rak itu.
“Syakir!” ucap Tarmizi, terkejut.
“Izie, a... awak memang kejam!” ucap Syakir lalu segera berlari dari situ.
“Syakir! Tunggu!” laung Tarmizi namun Syakir sudah jauh melangkah dengan kecewa yang menggunung di hati.
“Apa benda ni? Eh, kek!” kata Aimy dengan beg plastik di tangan.
Kek? Untuk apa? Tarmizi segera merampas plastik itu dari tangan Aimy dan berlari meninggalkan kekasihnya itu terpinga-pinga.

*  *  *  *  *

PINTU bilik ditolak kuat. Amirul Azme yang sedang mengulangkaji pelajaran tersentak. Wajah Tarmizi menyapa pandangannya. Lelaki itu tampak agak gelisah.
“Sya mana? Mana dia?” soal Tarmizi.
“Dia keluar beli kek kat Unimart. Hari ni kan hari jadi kau. Aku pun terlupa. Nasib baik dia ingatkan. Kejap lagi baliklah tu,” jawab Amirul Azme.
Tarmizi menepuk dahi. Terlupa hari ini hari jadinya. Aimy juga terlupa akan hari yang bermakna itu.
“Tu, ada hadiah atas meja kau. Cantik si Sya tu balut,” beritahu Amirul Azme.
Tarmizi melangkah perlahan mendekati meja tulisnya. Ada sebuah kotak yang dibalut dengan begitu cantik di atasnya. Dia masih ingat, pembalut hadiah itu yang dibelikannya untuk Syakir dahulu dan beg plastik berisi kek itu adalah untuknya. Tiba-tiba Tarmizi terduduk di atas kerusi. Jelas, kekesalan terpamer di wajahnya.
“Eh, Mizi! Kau kenapa? Kau okey?” tanya Amirul Azme apabila melihat kawannya resah begitu.
“Tolong aku Imie! Tolong aku! Cari Syakir cepat!” pinta Tarmizi bagai anak kecil.
“Tapi kenapa?”
“Aku bersalah... aku bersalah...” jawab Tarmizi menyebabkan Amirul Azme bertambah hairan.

*  *  *  *  *

KEESOKKANNYA, Tarmizi tersedar apabila terdengar bunyi pintu dikuak. Amirul Azme memandang ke arahnya dengan pandangan sayu. Tarmizi bingkas bangun lalu mengarahkan pandangannya pada katil yang masih tidak terusik. Ke manakah Syakir pergi agaknya?
“Aku dah cuba call tapi tak ada jawapan. Pagi tadi aku bangun dia tak ada. Tilam tu pun tak berusik. Entah manalah dia tidur malam tadi,” ujar Amirul Azme.
            Tarmizi duduk kembali di katilnya. Dia bingung. Pasti Syakir terasa hati dengan kata-katanya. Sebenarnya dia tidak bermaksud untuk berkata yang bukan-bukan. Dia cuma mahu Aimy tidak terus-terusan menghina Syakir dan dia terpaksa buat begitu untuk menutup mulut Aimy dan menunjukkan bahawa dia berkawan dengan Syakir bukanlah ikhlas walaupun sebenarnya Syakir adalah sahabat yang paling rapat dengannya.
“Apa dah jadi dengan kau orang berdua? Selama ni, kalau bergaduh pun, tak adalah sampai tak balik bilik si Sya tu,” Amirul Azme bertanya pada Tarmizi.
“Sebenarnya...” Tarmizi mula bercerita tentang apa yang berlaku semalam.
Amirul Azme mendengar dengan penuh khusyuk. Sesekali dahinya berkerut. Setelah selesai, dia melepaskan keluhan.
“Aku yakin, dia terasa dengan kata-kata kau,” ujar Amirul Azme.
“Tapi dia salah faham. Aku hanya buat macam tu untuk melindungi dia,” Tarmizi membela dirinya.
“Sama maksudnya dengan kau nak pertahankan ego kau,” sindir Amirul Azme.
“Apa yang harus aku buat?”
“Entahlah... si Sya tak pernah merajuk macam ni. Yang aku kesalkan, kau ragu-ragu terhadap dia. Bukannya kau tak kenal Sya. Walaupun dia tu lembut tapi dia bukannya seperti yang kau fikirkan,” kata Amirul Azme.
“Aku tahu aku salah. Sebab tu aku perlu jumpa dengannya untuk selesaikan salah faham ni,” akui Tarmizi.
Tiba-tiba pintu diketuk dan Syakir terus masuk tanpa memandang Amirul Azme atau Tarmizi. Kedua-dua mereka agak terkesima sebentar. Syakir membuka almari pakaiannya lalu mengambil berus gigi dan ubat gigi dan terus berjalan keluar.
“Aku rasa baik kau berdoa saja Mizi...” ujar Amirul Azme.

*  *  *  *  *

KAWASAN yang disediakan untuk para pelawat melawat pelajar agak lengang. Selalunya ramai pelajar yang duduk melepaskan penat di situ. Tarmizi sedang menanti Syakir pulang dari kuliah. Lima minit menunggu, kelibat Syakir kelihatan di matanya.
“Sya, we need to talk,” ujar Tarmizi.
Syakir hanya diam dan terus melangkah. Tarmizi mengekori langkah Syakir. Dia diulit resah. Syakir berhak marah tapi sekurang-kurangnya dengarlah dahulu penjelasan darinya.
“Sya, please, we need to talk,” Tarmizi merayu.
“Maaf, saya rasa tak ada apa yang perlu kita bincangkan,” tolak Syakir.
“Ada! Apa yang awak dengar semalam tak betul,” tegas Tarmizi.
Syakir tergelak menyebabkan Tarmizi rasa tersindir. Selebihnya Syakir geli hati apabila Tarmizi ber ‘awak’ dengannya.
“Telinga saya masih berfungsi dengan baik Tarmizi. Tak pekak lagi. Saya dengar setiap patah perkataan yang awak tuturkan dengan jelas. Tak sangka awak masih nak menafikannya,” balas Syakir.
Tarmizi terkilan kerana Syakir memanggilnya dengan nama penuh. Selalunya, Syakir gemar memanggilnya ‘Izie’. Hanya Syakir yang memangilnya begitu dan dia tidak kisah dengan panggilan itu.
“Awak dah salah faham. Sebenarnya...”
“Sebenarnya saya ni seorang yang bodoh kerana mempercayai orang seperti awak. Saya tak sangka Tarmizi. Saya kecewa! Tergamak awak fikir saya orang yang sebegitu. Saya masih waras, masih ada agama. Saya takkan buat kerja-kerja yang terkutuk tu. Nak fikirkannya pun buat saya rasa takut inikan nak melakukannya. Awak memang kejam!” luah Syakir memintas kata-kata Tarmizi.
“Saya tahu saya salah. Saya minta maaf,” pinta Tarmizi.
“Huh, begitu mudah? Tarmizi, saya juga manusia, punya hati dan perasaan. Walaupun saya macam ni tapi saya juga berhak untuk hidup seperti orang lain. Saya juga berhak untuk berkawan dan melakukan perkara yang biasa orang lain lakukan. Pernah tak awak fikir semua tu? Ya, saya tahu saya ni lembut tapi saya tak pernah jadikan alasan itu untuk jadi seperti yang awak fikirkan!” Syakir benar-benar marah.
“Sya...”
“Saya tak habis cakap lagi! Tarmizi, saya buat kerja-kerja mengemas tu hanya untuk kesenangan kita bersama. Awak tahu saya seorang yang pembersih and I’m a perfectionist! Saya terkejut awak mengambil kesempatan atas kerajinan saya. Saya tak kisah tapi tolong jangan anggap saya seperti apa yang awak fikirkan,” jelas Syakir lagi.
“Cukup Sya... jangan cakap lagi...” rayu Tarmizi.
“Saya tak sangka saya begitu bodoh kerana dipermainkan oleh orang seperti awak! Kenapa saya tak pernah perasan akan kebencian awak terhadap saya? Kalau saya tahu awak begitu bencikan saya, saya rela pindah bilik lain,” sambung Syakir.
“Saya tak pernah bencikan awak Sya,” ujar Tarmizi.
“Tipu! Awak penipu!” marah Syakir.
“Sya, tolong, tolong dengar penjelasan saya dulu...” pinta Tarmizi.
“Maaf, saya tak berminat nak dengar penjelasan awak. Cuma saya harap, awak bersabarlah. Semester ni saya terpaksa duduk di bilik tu. Buat masa ni, anggaplah saya seperti halimunan. Jangan risau, saya akan pindah bilik semester depan. Awak tak akan jumpa saya lagi. Maaf, saya ada hal perlu diuruskan. Bye!” jelas Syakir lalu melangkah pergi meninggalkan Tarmizi dengan luka di hati...
::bersambung::

3 ulasan :

Rizai Reeani berkata...

sekadar episod selingan... :D

epy elina berkata...

hohoohoh....
mst syakir kcik ati...
klu sy pun kat tmpt dia mst trsa ati....
izie pjukla syakir 2....
syg nak ptskan prshbtn korng...
nak crta durar ngn amirul....
amirul msh mrh lg ngn durar....

Sofya berkata...

selingan je ker? tapi best gak.. harap semua kekusutan akan terungkai jua akhirnya