Sepatah Dua Kata

Selasa, April 06, 2010

Begitulah Cinta - Bab 35



Pedihnya hati bila berjauhan

OKTOBER 2005

HAMPIR sebulan kami tidak bertegur-sapa. Marah benar nampaknya Amirul Azme. Aku sudah buntu memikirkan idea untuk memulihkan kembali hubungan kami. Besar sangatkah kesalahanku? Rindu di dalam dada ini sudah tidak tertanggung lagi. Ingin sahaja aku berjumpanya, bertentang mata lalu meluahkan segala yang terpendam dalam hati ini namun ada rasa malu yang menghalang. Aku takut cintaku ditolak. Mungkin Amirul Azme hanya menganggap aku tidak lebih dari seorang kawan. Justeru itu, bagaimana dengan rasa cinta yang semakin hari semakin bersemarak ini? Perlukah aku memadamnya sedikit demi sedikit. Lebih-lebih lagi, aku rasa sudah semakin jauh dari lelaki itu.
            Bunyi deburan ombak yang menghempas pantai menggamitku ke arahnya. Lantas aku bangun dari bangku kayu di bawah pohon ru itu dan melangkah perlahan-lahan menuju ke gigi pantai. Setianya pantai menunggu ombak sepanjang hari. Adakah Amirul Azme merinduiku sebagaimana aku merindui dirinya?
            Aku memegang selipar dengan tangan kiri dan membiarkan kedua-dua kakiku disambar air laut yang rakus. Mataku memandang jauh ke ufuk barat. Mentari mula memancar sinar kemerahan menandakan dirinya akan mengundur diri sementara membenarkan rembulan menggantikan tempatnya sebentar lagi.
“Amirul...” ucapku dengan harapan suaraku mampu dibawa angin ke cuping telinga lelaki yang kukasihi itu.
“Saya rindukan awak Amirul, teramat rindu,” ucapku lagi.
Aku duduk terjelepok di atas pasir yang memutih. Menanti dengan penuh harapan agar lelaki itu hadir kepadaku, memulihkan kembali hubungan yang hampir rebah ini. Tanpa sedar, ada manik-manik putih berladung di kolam mata. Oh, aku tidak mahu menangis lagi. Sabarlah duhai hati...
“Durar,” aku terdengar namaku dipangil lembut.
            Suara itu amat kukenali. Suara yang seringkali menggetarkan jiwaku. Ah, aku berkhayal barangkali. Mana mungkin lelaki itu datang ke Port Dickson ini. Apakah aku terlalu merinduinya sehingga suara itu bergema dalam hatiku?
“Durar...” sekali lagi aku mendengar namaku dipanggil.
Lantas aku mendongakkan wajah. Amirul Azme memandangku sayu. Lelaki itu benar-benar berada di hadapanku! Dia menundukkan badannya sedikit memegang bahuku erat lalu membantu aku berdiri perlahan-lahan. Raut wajahnya tidak jelas kelihatan kerana kabur dengan air mata yang bergenang di pelupuk mataku. Terbang segala rindu yang bermukim di dalam hati. Setelah sekian lama aku menunggu, akhirnya penantianku berakhir juga.
“Durar,” ucap Amirul Azme.
“Jangan tinggalkan saya Mirul. Jangan tingalkan saya,” pintaku sambil teresak.
“Saya tak akan tinggalkan awak lagi. Saya janji...” ujarnya.
Air mataku terus mengalir dan mengalir...

*  *  *  *  *

RUANG makan Banglo Impiana itu dilimpahi simbahan lampu chandelier yang bergelantungan di syiling. Di atas meja, tersedia pelbagai lauk-pauk yang pasti menambat selera. Suasana sepi menyelubungi ruang makan itu. Masing-masing sedang enak menikmati makan malam yang disediakan.
“Berapa lama kamu cuti Zul?” tanya Puan Sri Kartika.
“Dua hari je auntie. Hari Ahad Zul baliklah,” jawab Hafiszul.
“Macam mana belajar?” sambung Puan Sri Kartika.
So far so good. Rasanya tak ada masalah sangat,”
“Hai bang, senyap je. Tak ada apa-apa nak cakap ke?” usik Puan Sri Kartika pada suaminya.
“Oh ya, papa. Zul nak ke Kuching next two week. Dengan kawan-kawan. Dua hari tiga malam,” beritahu Hafiszul.
“Buat apa ke sana?” soal Tan Sri Ahmad Ariff.
“Saja, holiday. Lagipun ada kawan Zul tinggal kat sana. Dia yang ajak,” terang Hafiszul.
“Ana nak ikut boleh?” sampuk Ana Maria yang sejak tadi membisu.
“Nanti Zul fikirkan. Kalau ada kawan perempuan, maybe Ana boleh ikut,” jawab Hafiszul.
“Fared mana?” Tan Sri Ahmad Ariff bertanya pada isterinya.
            Puan Sri Kartika yang sedang meneguk air sirap limau tersedak. Ana Maria yang berada di sebelah menepuk lembut belakang mamanya. Hafiszul tersengih. Dia baru perasan abang tirinya tiada waktu itu. Sebenarnya dia tahu, abang tirinya itu tidak betah duduk di rumah andai dia pulang. Dia sendiri tidak tahu sebabnya. Abang tirinya itu seolah-olah membenci dirinya.
“Dia kata nak selesaikan kerja kat pejabat. Kejap lagi baliklah tu,” jawab Puan Sri Kartika setelah berasa lega.
“Hmm...” hanya itu yang Tan Sri Ahmad Ariff ucapkan.
*  *  *  *  *

LANGIT malam kurenung. Bintang-bintang yang bergelantungan di atas langit bersinar terang. Rembulan pula bersembunyi di balik mega hitam yang berambal-ambalan di dada langit. Bunyi unggas dan cengkerik saling bertingkah memeriahkan suasana malam. Aku menghayun buaian yang disangkut di dahan pohon semarak api perlahan-lahan. Teringat kembali peristiwa yang berlaku petang tadi, membuatkan aku tersenyum.
            Tidak menyangka Amirul Azme sanggup datang ke Port Dickson untuk menemuiku. Dia telah memaafkanku dan segalanya telah jelas kini. Sekarang, dia sedang berbual dengan ayah dan ummi. Biarlah dia yang terangkan segalanya. Mulanya, ayah dan ummi agak terkejut apabila menerima kehadiran tetamu tak diundang itu. Mujur mereka memahami setelah aku memberitahu bahawa Amirul Azme ingin menumpang tidur di rumahku kerana sudah terlalu lewat untuk dia pulang ke Segamat.
            Itupun puas aku memaksanya kerana dia ingin tidur di hotel. Dengar saja dia berkata begitu, terus aku menjemputnya ke rumah. Buat apa membazir tidur di hotel. Aku tahu dia bukannya orang senang dan aku yakin dia tidak akan menginap di hotel kerana kekurangan duit. Entah ke manalah dia hendak pergi andai aku tidak mengajaknya ke rumah.
“Amboi, senyum sampai ke telinga nampak,” tegur kakakku.
“Kak Wawa ni...”
“Yalah, buah hati sanggup datang dari Segamat, siapalah yang tak suka, kan?” usik kakak lagi.
“Kakak!” suaraku naik satu oktaf, segan diusik begitu.
“Baik budaknya. Pandai Durar pilih,” Kak Wawa masih mengusik.
“Kak, Durar dengan dia tak ada apa-apalah. Kawan je,” ujarku cuba berdalih.
“Kamu tak payah nak menipu akak. Kamu ingat akak ni bodoh sangat nak percaya cakap kamu tu,”
Aku tergelak. Kak Wawa ni ada-ada saja. Suka benar mengusikku.
“Apa yang Mirul bualkan dengan ummi dan ayah kat dalam tu?” soalku.
“Hai, risau nampak? Ummi dan ayah tengah interview dia tu. Tengok sesuai tak dijadikan calon menantu,” ujar Kak Wawa seraya tergelak kecil.
“Kak Wawa!” jeritku.
“Calon menantu sapa ni?” sampuk ummi yang entah bila muncul di sebelahku.
“Calon menantu ummilah,” jawab Kak Wawa setelah menghabiskan sisa-baki tawanya.
“Hahaha... maksud kamu, si Mirul tu?” giat ummi.
“Yalah ummi, sapa lagi. Berapa banyak lagi calon menantu ummi ada? He’s the one and only,” usik Kak Wawa lalu kembali tergelak.
            Mukaku sudah merah menahan malu. Ummi dengan Kak Wawa sama saja. Tak habis-habis nak menyakat aku. Apalah yang si Amirul buat kat dalam tu? Ummi dah keluar. Takkan dia masih berbual dengan ayah? Ish, naya ni...
“Bukan main sopan lagi dia. Sejuk hati ummi tengok. Muka pun boleh tahan. Macam mana kamu kenal dia Durar?” ummi membuka soalan cepu mas kepadaku.
“Alah ummi ni... Durar dengan Amirul tak ada apa-apalah. Amirul buat apa kat dalam tu?” soalku.
“Dia tengah solat. Kejap lagi turunlah dia agaknya. Hah, tu pun dia! Panjang umur,” ujar ummi seraya mengunjukkan jari telunjuknya ke arah kanan.
            Aku pantas menoleh. Kelihatan Amirul Azme sedang melangkah ke arah kami dengan berbaju Melayu dan berkain pelikat. Mungkin ummi yang beri padanya.
“Assalammualaikum,” ucap Amirul Azme.
“Waalaikummussalam,” serentak kami bertiga menjawab.
“Eh, ummi. Wawa ada sesuatu nak bincang dengan ummi ni. Jomlah kita ke dalam,” ajak Kak Wawa.
“Tunggu, Durar nak ikut!” pintaku, tidak betah ditinggalkan berdua dengan Amirul Azme.
            Sebenarnya aku masih berasa malu dengan kejadian siang tadi ketika aku menangis di hadapannya. Lagipun aku tahu, Kak Wawa sengaja mencari alasan untuk membiarkan kami berdua. Banyaklah dia punya hal nak dibincangkan.
“Kamu jangan nak mengada-ngada. It’s between me and ummi, okey. Kamu duduk berbual dengan boyfriend kamu ni,” selamba saja Kak Wawa menutur kata lalu menarik tangan ummi berlalu dari situ.
            Kurang asam punya kakak! Selamba je dia cakap macam tu. Tak reti cover betul. Kulihat Amirul Azme sekadar tersengih. Sukalah tu tengok aku kena usik.
            Bulan yang tadi bersembunyi di balik awan mula menunjukan wajahnya. Langit malam diterangi cahaya bulan yang galak bersinar. Kini, hanya aku dan Amirul Azme yang berada di atas buaian di halaman Villa Damai ini. Lidahku kelu untuk berbicara dengannya. Sebetulnya aku tidak tahu hendak berkata apa.
            Baru sahaja aku hendak membuka mulut, satu sinaran lampu kenderaan memasuki halaman Villa Damai. Rasanya aku kenal siapa pemilik kereta Kelisa berwarna silver metalic itu. Telahan kutepat apabila Hafiszul keluar dari perut kereta. Alamak! Apa yang aku nak cakap pada Hafiszul tentang Amirul Azme?
::bersambung::

4 ulasan :

epy elina berkata...

hhohoho.....
ckp je kat zul yg amirul 2 palwe durar....
biar zul rsa n x akn gngu2 durar lg....
jgn la durar mnafikan kwujudan amirul mst amirul kcik ati....
best2x...

aqilah berkata...

terus teranglah durar kat zul..........yg awak dah ada imie!!!!!!!!

Rizai Reeani berkata...

epy elina & aqilah: perasaan cinta itu memang sesuatu yang sukar diluahkan, kan? terima kasih sudi singgah membaca... :D

Sofya berkata...

Cinta boleh menguatkan kita
Cinta juga boleh melemahkan kita
Moga ada kekuatan di hati Durar untuk menyatakan hal yang sebenarnya.
suka durar & imie.