Sepatah Dua Kata

Khamis, April 22, 2010

Begitulah Cinta - Bab 39



Kenangan...menggamit memori silam

KAMPUNG Anak Durian Daun ditelusuri. Dari bendang ke dusun buah-buahan dan kemudian duduk berehat di tebing sungai. Anak sungai mengalir jernih. Kelihatan beberapa ekor puyu sedang berenang ke kiri dan ke kanan. Faezah mengambil seketul batu kecil lalu dibaling pada segerombolan ikan puyu itu. Bertempiaran ikan-ikan puyu itu melarikan diri. Faezah ketawa memerhati air sungai yang berkocak. Amirul Azme di sebelah hanya memerhati telatah Faezah itu.
“Ingat lagi tak masa kita kecil dulu, kita selalu mandi kat sini, kan?” ujar Faezah mengungkap memori silam.
            Amirul Azme melontarkan pandangannya pada anak sungai yang tenang mengalir. Ikan-ikan puyu yang bertempiaran lari tadi mula berkumpul semula. Pagi Sabtu itu cuaca agak mendung. Mentari dilitupi mega putih. Suasananya pula nyaman dan segar. Dia sekarang berada di rumah kerana Faezah beria-ia mengajaknya pulang. Sudah lama tidak menjenguk keluarga di sini katanya. Amirul Azme bersetuju, membenarkan kata-kata Faezah tadi.
            Durar sudah diberitahu tentang kepulangannya. Mulanya, gadis itu hendak turut serta sehingga Amirul Azme jadi serba-salah untuk membenarkan gadis itu mengikutnya. Setelah Durar mengetahui yang dia akan pulang bersama Faezah, gadis itu terus membatalkan niatnya. Ada hal di rumah kata, Durar. Entahlah, Amirul Azme tidak pasti alasan itu boleh diterima atau tidak.
“Setiap hari, kalau boleh, kita nak mandi sungai. Tapi ayah Izah mesti marah. Izah ingat lagi dia pernah kejar kita berdua keliling kampung sebab ponteng kelas mengaji. Alasannya, Izah yang ajak Imie mandi sungai. Bila diingat balik, rasa kelakar pula, kan?” Faezah bertanya cuba menarik perhatian Amirul Azme yang dari tadi asyik mengelamun.
“Dan... di sini juga Imie meluahkan rasa pada Izah semasa kita sekolah menengah dulu,” ucap Faezah.
            Amirul Azme tersentak. Faezah masih mengingati perkara itu. Ya, di sinilah dia pernah mencurahkan rasa kasih dan sayang pada gadis di sebelahnya ini. Malangnya, rasa kasih dan sayang itu ditolak mentah-mentah kerana hati si gadis sudah dimiliki oleh orang lain. Dia kecewa, namun cepat terubat kerana kasihnya masih belum cukup mendalam buat gadis itu. Mujur dia masih mampu mengawal diri.
“Faezah...” ucap Amirul Azme.
“Dan... di sini juga Izah menangis di bahu Imie bila cinta Izah dikhianati,” nada suara Faezah mula berubah.
“Faezah...” Amirul Azme bersuara lagi.
“Kadang-kadang Izah rasa tak puas hati,” Faezah bersuara sayu.
“Kenapa?”
“Izah rasa tak puas hati sebab tak perasan akan perasaan Imie pada Izah dulu tapi Izah paling tak puas hati terhadap masa lalu. Izah tak tahu siapa Imie bagi diri Izah waktu itu. Izah hampakan Imie walhal Imie yang begitu setia di sisi Izah. Kita sentiasa bersama. Pergi sekolah bersama, belajar bersama, bermain bersama dan kebanyakkan masa kita habiskan bersama-sama namun Izah buta. Izah terlalu asyik dengan perhatian yang diberikan oleh Imran sehingga tegar menyakiti perasaan Imie,” Faezah mula teresak.
            Amirul Azme memandang ke arah langit. Untuk apa lagi dikenang semua ini Faezah? Masa lalu tak boleh diputar kembali. Andai dulu kau menerima aku, pasti kita tak akan jadi begini. Sekarang, hatiku telah tertutup untuk menerima kau kembali. Maafkan aku...
“Imie, maafkan Izah. Izah rasa, kita tak perlu berhubung lagi,” ujar Faezah sambil mengesat air mata yang mengalir dengan telapak tangannya.
“Maksud Izah?”
“Izah tak mampu hadapi Imie lagi. Izah rasa susah hati semasa berdepan dengan Imie,” ujar Faezah dalam esakan.
“Kenapa? Kenapa tak boleh berhadapan dengan Imie?”
Faezah tidak menjawab. Oh, lelaki, masihkah kau tidak dapat meneka apa yang tersirat di hatiku ini?

*  *  *  *  *

PANTAI BAGAN PINANG aku kunjungi. Kali ini bersama-sama dengan Hafiszul. Bersungguh-sungguh dia mengajak aku ke mari. Puas kutolak kerana aku tahu apa yang bakal dia katakan. Lelaki ini tidak mahu mengalah. Panggilan telefonnya selalu memujuk rayu agar aku kembali mengikat tali kasih yang terputus dahulu. Bukankah sudah jelas antara aku dan dia sudah tiada ikatan istimewa lagi? Terlalu sukarkah untuk dia fahami? Akhirnya, aku terpaksa bersetuju kerana dia berkata akan menanti aku di situ sehinga aku tiba. Mungkin ada baiknya aku ke sana. Sudah tiba masanya dia jelas dengan keadaan sekarang ini.
“Durar, masih ingat kenangan di pantai ini?” Hafiszul memulakan bicara.
            Hafiszul, untuk apa dikenang perkara yang telah berlalu? Ya, aku masih ingat segala peristiwa yang berlaku di sini. Sesungguhnya, ombak dan pantai di sini pernah menjadi saksi kata-kata cinta yang aku dan kau lafazkan. Namun, kenangan itu semakin hari semakin pudar dalam ingatan. Aku tidak mahu mengenang perkara yang sia-sia. Perkara yang memeritkan hati.
“Hafiszul,” ucapku.
“Zul tak suka Durar panggil Zul macam tu. Seolah-olah Durar sengaja nak bina tembok penghalang antara kita!” suara Hafiszul melengking kuat.
“Ya, antara kita memang ada penghalangnya. Awak lupa, siapa yang putuskan hubungan ini? Awak lupa siapa yang meminta hubungan ini ditamatkan? Hah? Awak lupa?” aku sudah tidak boleh mengawal diri, tidak suka diherdik begitu.
“Ma... maafkan Zul. Zul tahu Zul salah tapi tak bolehkah Durar bagi Zul satu lagi peluang? Zul yakin kita akan bahagia,” pujuk Hafiszul.
“Akan bahagia? Nampaknya awak sendiri tak yakin dengan kata-kata awak. Bukankah sepatutnya awak kata kita pasti bahagia? Sudahlah Hafiszul, lupakanlah saya. Antara kita hanya kawan sahaja. Tak lebih dari itu. Saya nak awak faham, waktu kita bersama dah lama tamat. Sekarang, awak pilih, sama ada kita masih kekal sebagai kawan, atau hubungan kita putus. Awak buatlah pilihan...” panjang lebar bicaraku.
“Zul tak nak kehilangan Durar,”
“Awak tak akan kehilangan saya jika awak anggap saya ni sebagai seorang kawan dan bukannya kekasih,” tegasku.
            Hafiszul diam. Bunyi deburan ombak jelas kedengaran menampar pendengaranku. Aku harap lelaki ini faham kata-kataku sebentar tadi. Jika dia terus begini, hatinya sendiri yang akan sakit.
“Kembalilah pada Laily. Dia mampu mengasihi awak dengan lebih baik. Laily terlalu mencintai awak,” usulku.
“Tak! Durar tak sama dengan Laily. Durar...”
“Setiap manusia berbeza Hafiszul. Ada kelebihan dan kekurangan. Tak semua yang kita impikan akan jadi kenyataan. Jangan terlalu tamak,” kata-katanya kupintas.
            Deru angin meliuk-lintukkan dedaun kelapa yang berbuah lebat. Aroma air laut masin menyelinap dalam jiwaku menghantar satu kedamaian dalam hati. Aku teringat akan Amirul Azme tiba-tiba. Apakah yang sedang dia lakukan sekarang agaknya?

*  *  *  *  *

PUSAT BELI-BELAH Seremban Parade penuh sesak dengan orang ramai yang berkunjung. Rata-ratanya dari golongan belia yang pelbagai ragam dan wajah. Salwa ke sana kerana ada urusan dengan butik yang baru dibuka. Mereka berminat untuk menjalankan usahasama demi meningkatkan mutu kedai masing-masing. Butik Indah memfokuskan skopnya pada jualan beg tangan dan kasut berbanding pakaian.
Butik Karisma milik Salwa dan Butik Indah akan saling bekerjasama untuk mempamerkan produk masing-masing. Butik Karisma akan menjual 90% pakaian dan 10% beg tangan dan kasut. Begitulah sebaliknya bagi Butik Indah. Setelah selesai segala perbincangan, Salwa yang ditemani Kavitha dibawa melawat persekitaran butik. Butik berkonsepkan tradisional itu dihias bercirikan timur dan sedikit country. Memang kena dengan konsep butik ini yang menonjolkan bahan jualan bertemakan etnik.
            Sedang asyik meninjau, mata Salwa menangkap beberapa keping bingkai gambar yang disusun kreatif di dalam almari. Rasanya seperti dia kenal wajah model di dalam gambar itu. Salwa memanjangkan langkahnya dan dia seperti tidak percaya melihat model dalam gambar itu yang sedang memperagakan busana baju Melayu dan baju kurung.
“Si... si... siapa dia ni?” tanya Salwa gugup.
“Oh, mereka ni sepupu saya, Dalila dan Adi Izlan. Cik Salwa kenal ke?” tanya Zuraida, pemilik butik itu.
“Mereka nak berkahwin hujung tahun ni, kan?” tanya Salwa lagi.
“Eh, tak adalah. Mana Cik Salwa dengar berita ni? Dia orang ni bertunang pun belum, masakan nak berkahwin,” jawab Zuraida sekaligus membuatkan Salwa tersentak.
“Ya Allah! Apa semua ni?” Salwa diterpa keliru!
::bersambung::

3 ulasan :

Sofya berkata...

Wah! Bagus.. Imie & Durar, terus tetap pendirian dan pertahankan cinta korang.. salwa, tak sangka kecik dunia ni..

Rizai Reeani berkata...

sofya: buat masa ini mungkin mereka mampu bertahan. esok-lusa, siapa tahu kan... ;)

epy elina berkata...

hohohho...
durar n imie...
brtahan ngn cnta korang...
jgn hnyut ngn sej silam...
hehehhe...
rupanya salwa slh fham....
ni angkara dahlia la ni...