Sepatah Dua Kata

Isnin, April 26, 2010

Begitulah Cinta - Bab 40



Kesetiaan...

PAGI Isnin tiba jua membuka lembaran baru dalam hidup setiap insan. Seperti biasa, rutin harianku kembali semula seperti sedia-kala. Kuliah, tutorial, assignment, notes dan sebagainya. Cuma, ada sesuatu yang kurasakan tidak kena. Amirul Azme agak pucat wajahnya. Dia juga tidak banyak bercakap. Selalunya, dia yang banyak bercerita jika kami duduk mengulang kaji bersama. Ini tidak, sebaliknya pula berlaku. Sejak aku duduk di perpustakaan ini dua puluh minit yang lalu, Amirul Azme lebih banyak tenggelam dalam lamunan. Ada sesuatu yang berlakukah semasa dia pulang ke rumah tempoh hari?
            Selepas habis kuliah petang itu, aku mengajak Amirul Azme untuk menaiki basikal yang disewakan kepada pelajar. RM 1.50 untuk satu jam. Berbaloi juga. Malangnya, lelaki itu menolak dengan alasan letih. Letih? Apa benda yang dibuatnya hari ni sampai letih? Ish, ni mesti ada apa-apa yang tak baik berlaku.
            Malam tiba membuatkan aku tidak betah duduk di dalam bilik. Lantas, aku menelefon Amirul Azme untuk berjumpa dengannya. Mujur dia setuju. Kami berjanji akan bertemu di gerai makan di Kolej Sektor B dalam sepuluh minit lagi. Sementara aku bersiap, pintu bilikku diketuk. Rashidah masuk dengan berkemban. Rambutnya dililit dengan tuala. Minah ni memang suka mandi malam-malam. Puas aku nasihat supaya jangan selalu mandi waktu malam kerana tidak baik untuk kesihatan namun nasihatku ibarat mencurahkan air ke daun keladi saja.
“Nak ke mana ni?” tanyanya apabila melihat aku mengenakan tudung.
Dating,” jawabku.
“Amboi, kau sekarang dah jarang melekap kat dalam bilik ya. Sejak dah dilamun cinta ni, lesap je dua puluh empat jam,” usik Rashidah.
“Eleh, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Kau tu pun apa kurangnya. Kejap lagi lesaplah juga,” ujarku memulangkan paku buah keras.
            Rashidah tergelak besar. Minah ni ada-ada saja. Aku segera membetulkan tudungku sebelum keluar. Namun entah mengapa, sejak dari pagi tadi, ada rasa kurang senang menjentik tangkai hati ini...

*  *  *  *  *

VILLA Damai tenang. Salwa sedang duduk di taman memerhati langit malam. Dia sebenarnya bingung memikirkan perkara yang berlaku siang tadi. Apakah benar kata-kata Zuraida? Dalila dan Adi Izlan tidak pernah bertunang. Jadi, untuk apa Dalila buat ini semua? Sedang dia asyik memikirkan perkara tersebut, ada sepasang mata yang asyik memandangnya. Adi Izlan menghampiri Salwa yang begitu leka sehingga tidak perasan akan kehadirannya di situ. Malam ini, dia mahu semuanya ditamatkan. Dia perlu tahu kenapa Salwa ingin berpisah dengannya. Dia perlu tahu.
“Assalammualaikum,” tegur Adi Izlan.
“Assalammualaikum,” tegur Adi Izlan buat kali kedua apabila tiada sahutan dari Salwa.
“Waalaikummussalam,” jawab Salwa seraya menoleh ke kiri.
            Matanya membulat seolah-olah tidak percaya yang lelaki dalam fikirannya saat ini berada di hadapannya.
‘Bila masakah dia muncul di sebelahku?’ detik hati Salwa.
“A... a... apa yang awak buat kat sini?”
“Iz nak jumpa Sal. We need to talk,” jawab Adi Izlan lalu duduk di sebelah Salwa.
            Salwa gelisah. Sudah lama lelaki itu tidak duduk di sebelahnya. Terasa janggal pula. Ya, memang tepat kedatangan lelaki itu malam ini. Semua yang berselirat di fikiran perlu diselesaikan.
“Kenapa Sal?” tanya Adi Izlan apabila melihat Salwa seperti ingin mengucapkan sesuatu.
“Awak dengan Dalila... dah bertunang ke?” Salwa bertanya pada lelaki di sebelahnya itu.
“Bertunang? Bila masa? Dia tu sepupu Iz. Iz tak akan bertunang dengan sepupu sendiri,” jawab Adi Izlan.
‘Ya Allah! Apa yang telah aku lakukan?’ getus Salwa lalu memegang dahinya.
Wait a minute! Jangan kata Sal menjauhkan diri dari Iz sebab berita yang tak betul ni?” ujar Adi Izlan terkejut.
            Salwa menganggukkan kepalanya walaupun payah. Setitik air matanya gugur jua. Dia telah melakukan kesilapan. Dia telah menghukum lelaki ini yang langsung tidak bersalah. Semuanya kerana curiga dan ragu-ragu.
“Maafkan Sal... maafkan Sal...” rintih Salwa.
            Adi Izlan melepaskan keluhan. Tahulah dia apa yang sebenarnya berlaku kini. Semuanya angkara Dalila. Nampaknya, perempuan itu benar-benar tidak mahu melepaskannya.
Salwa menceritakan segalanya pada Adi Izlan dengan keadaan hiba. Dari kedatangan Dalila ke butiknya, gambar-gambar pertunangan mereka, kandungan Dalila, semuanya diceritakan tanpa tertinggal walau sepatah pun.
            Adi Izlan kecewa. Kecewa kerana Salwa telah bertindak melulu dan kecewa kerana dirinya tidak dipercayai. Apakah Salwa tidak mencintainya? Masih belum terbukakah pintu hati wanita ini untuknya?
“Gambar-gambar tu hanya sebagai promosi untuk butik yang dibuka oleh sepupu kami, Zuraida. Iz dan Dalila terima untuk jadi model pakaian bagi butik tu. Kandungan tu pula, bukan Iz bapanya. Dalila telah mengandungkan anak luar nikah sebab terlanjur dengan bekas teman lelakinya. Ya, pada mulanya Iz dipaksa berkahwin dengan Dalila tapi Iz tolak sebab... sebab Iz mencintai Sal. Perasaan cinta Iz pada Sal tak pernah surut walau sedikit pun sejak lama dulu. Tapi sekarang...” Adi Izlan tidak menghabiskan kata.
“Iz...” ucap Salwa.
“Iz minta maaf. Nampaknya Sal masih tak dapat terima Iz. Apa gunanya kita menjalin hubungan andai tiada kepercayaan dan tolak ansur? Iz kecewa Sal, Iz ingat, Sal dah boleh terima Iz tapi Iz masih bertepuk sebelah tangan. Maafkan Iz,” ucap Adi Izlan, sayu.
“Iz, Sal...”
“Cukuplah. Iz tak boleh paksa Sal terima Iz. Iz tak akan ganggu Sal lagi. Iz minta maaf atas segalanya. Iz kena pergi,” ujar Adi Izlan lalu bangun meninggalkan Salwa yang tenggelam dalam tangisan.
            Salwa menangis semahu-mahunya. Kini, dia benar-benar telah kehilangan lelaki itu. Lelaki yang masih setia menunggunya dengan cinta yang abadi. Entah mengapa lidahnya kelu untuk menghalang lelaki itu dari pergi. Rasa kesal begitu menggunung di jiwanya. Salwa terjelepok di atas rumput yang menghijau. Dia sudah tidak punya apa-apa lagi.
“Saya cintakan awak Iz... saya cintakan awak...” ucap Salwa walaupun dia tahu lelaki itu tidak mungkin akan mendengarnya.
“Iz juga cintakan Sal!”
            Salwa tersentak. Dia mendongakkan wajahnya. Wajah Adi Izlan agak kabur kerana air mata yang berlinang di kelopak matanya. Namun dia pasti, lelaki di hadapannya adalah Adi Izlan.
            Adi Izlan tunduk menyeka titis-titis air mata yang berjuraian di pipi Salwa. Bahu Salwa dipegang erat. Salwa terus menangis dan menangis. Namun dia berasa lega kerana dia tidak kehilangan lelaki itu.
“Jangan tinggalkan Sal lagi. Jangan tinggalkan Sal,” pinta Salwa dalam hiba.
“Iz janji tak akan biarkan Sal lari lagi. Iz janji,” ucap Adi Izlan lalu membantu Salwa untuk berdiri.
            Di anjung rumah, Datin Faridah memerhati dengan linangan air mata. Hatinya tersentuh melihat Adi Izlan dan Salwa. Akhirnya anak perempuannya itu menemui kasih yang dicarinya selama ini...

*  *  *  *  *

“KENAPA dengan awak akhir-akhir ini?” soalku pada Amirul Azme.
Gerai makan di kolej sektor B agak ramai dengan pelajar yang menjamu selera. Ada yang berdua dan ada yang datang berkumpulan.
“Awak nampak muram. Sebab Faezah?” soalku lagi apabila tiada jawapan dari Amirul Azme.
“Faezah kata dia tak nak jumpa saya lagi. Dia nak putuskan hubungan kami,” akhirnya Amirul Azme bersuara.
Aku tersentak. Jadi betullah kerana perempuan bernama Faezah itu?
“Kenapa?”
“Dia kata dia rasa susah hati bila berdepan dengan saya. Dia tak mampu melihat muka saya. Saya tak tahu kenapa,” jawab Amirul Azme.
Aku memandang wajahnya. Ada sinar kesuraman di wajah itu. Aku yakin, Faezah telah meluahkan perasaannya cuma Amirul Azme tidak dapat meneka akan hakikat itu.
“Awak masih tak faham kenapa? Maksudnya, dia sukakan awak,” ujarku.
“Kita akan rasa ingin memiliki semasa melihat seseorang yang menarik hati tapi rasa marah dan kecewa apabila tak mampu memiliki orang itu. Faezah, mungkin menyintai awak,” sambungku.
Amirul Azme pantas bangun menyebabkan aku terkejut. Biar betul dia ni?
“Kenapa? Awak nak jumpa dia sekarang?” tanyaku.
Amirul Azme mengangguk.
“Tak boleh! Awak tak nampak ke saya sedang duduk di sebelah awak? Saya ni teman wanita awak, Amirul!” aku mengingatkannya.
“Saya harus jumpa dia!” ujar Amirul Azme lalu meninggalkanku.
            Aku bingung. Apa maksud kata-katanya tadi? Kenapa dia harus berjumpa dengan Faezah sekarang juga? Tak bernilaikah aku padanya? Amirul... Tak! Aku harus mempertahankan dia. Aku tak akan benarkan Faezah merampas Amirul Azme dari aku. Bukankah kami sudah berjanji untuk mempercayai satu sama lain? Lantas aku bangun mengejar Amirul Azme.
“Tu bukan Durar ke?” tanya Syakir.
“Dialah tu. Nampak macam tergesa-gesa je,” jawab Tarmizi.
“Wei, geng. Aku kena pergi dulu. Thanks sebab belanja minum,” sampuk Hafiszul tiba-tiba.
“Eh, tunggu dulu. Zul! Zul!” jerit Syakir cuba menghalang Hafiszul dari pergi namun sia-sia.
Hafiszul segera melangkah mengekori Durar...
*  *  *  *  *

“IMIE? Macam mana tahu Izah ada kat sini?” tanya Faezah apabila melihat Amirul Azme berada di hadapannya.
            Waktu itu, dia sedang duduk seorang diri di salah sebuah wakaf yang terdapat di Blok Cendiakawan, memikirkan perasaannya pada Amirul Azme. Tidak menyangka lelaki itu akan mencarinya sampai ke sini. Amirul Azme mengetahui Faezah berada di situ kerana rakan sebilik Faezah yang memberitahu rakannya itu telah keluar setelah dia cuba menghubungi Faezah namun tidak berhasil. Gadis itu mematikan telefonnya. Dan dia tahu yang apabila Faezah ingin bersendirian, di sinilah gadis itu akan berada.
“Izah... betul ke awak...”
“Ya, Izah cintakan Imie! Imie telah berjaya menambat hati Izah. Imie harus menyukai Izah. Kelak, Imie hanya boleh tengok Izah seorang, hanya bersama Izah...” ucap Faezah menukas kata-kata Amirul Azme.
            Amirul Azme terpana. Mengapa baru sekarang gadis ini meluahkan isi hatinya? Tidakkah dia sedar bahawa dia sudah terlambat?
“Tapi, Durar...”
“Izah dah bercakap dengan Durar. Dia telah berjanji,” kata Faezah.
“Janji apa?
“Dia telah berjanji, kalau Imie menyukai Izah, dia akan lepaskan Imie,” jawab Faezah.
“Apa?”
“Izah cintakan Imie!” ucap Faezah lalu mendakap lelaki itu.
            Mataku berpinar. Terasa tubuhku menggigil apabila melihat Amirul Azme berada dalam pelukan Faezah. Apakah ini bererti hubungan kami telah tamat? Dan... aku hampir pengsan melihat perempuan itu mencium pipi Amirul Azme. Mujur ada seseorang memegangku sebelum aku jatuh ke lantai bumi.
            Aku berpaling dan melihat Hafiszul di sebelahku. Lelaki itu menarik tanganku pergi. Aku cuba membantah namun pegangan Hafiszul terlalu kuat menyebabkan aku terpaksa mengikut langkahnya. Sempat aku memandang ke belakang. Amirul Azme masih belum melepaskan pelukannya. Tanpa sedar, air mataku menitis...
::bersambung::

3 ulasan :

epy elina berkata...

hohohoho.....
x ptut btul amirul tnglkan durar...
brmkna cnta amirul x iklas kat durar...
isshhhh....
kcian durar...
llki ni smua sma....
tnglkan je la amirul 2....

Tanpa Nama berkata...

hah? jahatnya mirul tu! kesian durar. tak patut!

Rizai Reeani berkata...

epy elina & anonymous: Terima kasih sudi singgah membaca... :D