Sepatah Dua Kata

Jumaat, April 16, 2010

Cinta Antara Kita II - Bab 01




“MAAF, tiba-tiba ada perjumpaan. Saya kena pergi,” ujar Khairul.
“Sekali lagi? Masuk kali ni, dah tiga kali awak batalkan temu janji saat-saat akhir macam ni,” rungut Nadzlia.
“Maaf, saya tak sangka pula pengerusi nak jumpa malam ni. Kita makan KFC lain kali ya. Saya janji!”
“Tak apalah. Dah tanggungjawab awak. Pergilah cepat. Nanti terlewat pula,” balas Nadzlia, dengan wajah yang mencuka.
“Marah ke?”
“Tak adalah, Cuma geram sikit,” Nadzlia menjawab.
Sorry again. Saya pergi dulu ya,” ujar Khairul lalu melangkah meninggalkan Nadzlia.
“Awak!”
Khairul berpaling apabila mendengar teguran dari kekasih hatinya itu.
“Berusaha ya!” laung Nadzlia.
Khairul mengangguk sambil mengukir secarik senyum. Nadzlia memerhati langkah kaki Khairul yang semakin menghilang. Sebuah keluhan dilepaskan. Perlahan-lahan, dia turut mengatur langkah. Sepatutnya dia dan Khairul dalam perjalanan untuk makan malam di restoran makanan segera, KFC malam ini. Nampaknya, untuk makan malam kali ini, dia harus bersendirian di kafeteria, sekali lagi.
“Lia!”
Nadzlia mencari kelibat suara yang memanggil namanya tadi. Dari jauh, Farah melambaikan tangan. Nadzlia mengorak langkah menuju ke arah teman sebiliknya itu.
“Kenapa tak keluar lagi? Kata nak makan malam dengan buah hati pengarang jantung kau tu,” tanya Farah sejurus Nadzlia tiba di hadapannya.
“Dia ada meeting tiba-tiba,” jawab Nadzlia, sayu.
Again? Ish, ini tak boleh jadi! Kau biarkan aje?”
“Habis, awak nak saya buat apa? Halang dia? Tak apalah, dah tanggungjawab dia, saya tak boleh kata apa,” balas Nadzlia.
“Tapi, dah banyak kali dia buat kau macam ni. Kalau akulah, dah lama aku tinggalkan lelaki macam tu. Tak tahulah macam mana kau boleh tahan dengan dia,” ujar Farah.
Nadzlia tersenyum, tawar. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia masih bertahan sehingga kini. Namun, jauh di lubuk hati, Nadzlia tahu, cinta antara mereka masih tetap utuh.
“Dahlah, dari kita duk berbual macam ni, baik kau teman aku pergi beli makanan kat kafe. Kau pun dah tentu belum makan lagi. Jom!” Farah mengajak Nadzlia.
“Jomlah! Perut saya dah bergendang irama padang pasir ni,” usik Nadzlia.
Ketawa Farah meletus. Nadzlia, memang seorang gadis yang tabah. Walau ada masalah melanda, wajahnya tetap tidak pernah lekang dari senyuman...

*  *  *  *  *

TELEFON bimbit ditangan dipegang erat. Ada risau yang menjengah hatinya. Sejak malam semalam sehingga kala ini, tiada khabar dari Khairul. Nadzlia gusar. Mesej yang dihantar, tidak berbalas. Panggilan yang didail, tidak berangkat. Ke manakah lelaki itu? Jatuh sakitkah? Ketukan di pintu membuatkan Nadzlia tersentak lalu membiarkan lamunannya tergantung tanpa tali. Pasti Farah sudah pulang dari kuliah. Pantas Nadzlia memulas tombol dan membuka pintu. Bukan wajah Farah yang menyapa matanya tetapi seorang gadis cantik berambut panjang separas bahu dan berkulit cerah yang berada di hadapannya saat ini.
“Maafkan saya, awak ni Nadzlia?” gadis berblaus merah jingga itu mengutarakan satu  persoalan.
“Ya, saya. Awak ni...”
“Saya Mazni. Sekelas dengan Khairul,”
Dada Nadzlia bergetar hebat apabila nama lelaki itu meniti di bibir gadis di hadapannya. Apakah tujuan gadis ini ke mari?
“Saya nak sampaikan pesan darinya,” ujar Mazni lalu menghulurkan sehelai nota yang dilipat kepada Nadzlia.
Perlahan-lahan Nadzlia mengambil nota kecil itu dari tangan Mazni. Dia tidak terus membuka nota tersebut sebaliknya memasukan nota itu ke dalam saku seluar hitamnya.
“Terima kasih,” hanya itu yang mampu Nadzlia ucapkan.
“Sama-sama. Nice to get to know you. Khairul banyak bercerita tentang awak,”
Sekali lagi Nadzlia diterpa curiga. Apakah hubungan antara Khairul dengan gadis ini hinggakan Khairul begitu mudah bercerita tentang dirinya pada perempuan lain?
“Saya minta diri dulu. Bilik saya di tingkat atas. 201 C. Ada masa, datanglah ya,” ujar Mazni lalu melangkah pergi.
Nadzlia segera menutup pintu biliknya. Nota kecil pemberian Mazni tadi segera dibuka. Benar, patah-patah kata di dalamnya adalah tulisan Khairul.

Lia, handphone Khairul rosak. Jadi, buat sementara ni, tak payahlah hubungi Khairul ya. Bila handphone Khairul dah elok nanti, Khairul inform pada Lia. Take good care of yourself. Love and always miss you! -Khairul-

Sejurus ayat terakhir habis dibaca, Nadzlia berasa lega. Jadi, inilah sebab Khairul tidak menghubunginya. Tiba-tiba hatinya diulit resah. Bagaimana caranya untuk dia menghubungi Khairul? Dia tidak tegar melangkah tanpa mendengar suara lelaki itu. Dia tidak bisa berdiri tanpa menatap wajah lelaki itu. Segugus nafas berat diluahkan. Dia yakin, Khairul pasti akan menghubunginya juga nanti.

::bersambung::


Tiada ulasan :