Sepatah Dua Kata

Jumaat, April 16, 2010

Cinta Antara Kita II - Bab 02




NADZLIA mengatur langkah menuju ke tingkap biliknya. Langit malam direnung. Bintang-bintang yang bergelantungan tidak sedikit pun menceriakan hatinya. Hembusan angin malam, tidak sedikit pun mendinginkan jiwanya. Nadzlia mencapai pena mata bulat di atas meja lalu mula menulis sesuatu di atas sehelai kertas. Bait demi bait dicoret dan hasilnya sebuah luahan rasa. Nadzlia membacanya perlahan-lahan.

Setianya pungguk merindukan purnama
Begitulah setianya hati ini merinduimu
Setianya ombak menghempas pantai
Begitulah setianya jiwa ini menyayangimu
Setianya malam menanti siang
Begitulah setianya sanubari ini menyintaimu

Rindu ini hanyalah untukmu
Sayang ini ikhlas padamu
Cinta ini istimewa buatmu
Namun,
Masih tidak mampu untuk menambat setiamu
Apalagi yang perlu diri ini pertaruhkan?

Memejam mata
Wajahmu berlegar di mana-mana
Membuka mata
Wajahmu tetap ada
Justeru
Bagaimana harus disingkir segala bayanganmu?
Aku keliru!

Serta-merta, kenangan lalu menyapa mindanya...

*  *  *  *  *

“EM, bila dah besar nanti, Lia nak kahwin dengan Khairul, boleh?”
 “Ya, Khairul janji. Lia juga tak boleh tinggalkan Khairul ya,”
“Janji!”

Nadzlia ketawa kecil. Entah bagaimana dia boleh menuturkan kata-kata sebegitu ketika dia masih kecil lagi. Pasti kerana dia banyak melihat drama-drama cinta di televisyen waktu itu.

“Saya takkan lepaskan tangan ni,” ucap Khairul.
“Janji?” soal Nadzlia.
“Janji!” ucap Khairul.

Janji itu masih disimpan erat di jiwanya. Kerana janji itu jugalah dia masih teguh berdiri di sisi lelaki itu. Dia yakin, Khairul tidak akan sesekali mengkhianati janji yang telah dimeterai itu. Cuma, sejak mereka melanjutkan pengajian ke salah sebuah universiti di selatan tanah air, hubungan mereka mula diduga.
Nadzlia masih ingat kala dia menerima berita bahawa dia dan Khairul akan belajar di universiti yang sama. Satu kebetulan, mereka mengikuti kursus yang sama. Cuma, mereka tidak sekelas. Dia di kelas A sementara Khairul belajar di kelas B. Walau tidak sekelas, mereka tetap boleh berjumpa. Semingu, dua, belajar di sana, hubungan mereka berjalan lancar. Siangnya, selepas kuliah, mereka akan bertemu di perpustakaan. Malamnya, mereka akan makan bersama-sama di kafeteria.
Sehinggalah Khairul mula aktif dalam kelab dan persatuan. Mulanya sekadar mencuba nasib dalam temuduga untuk menjadi ahli jawatan kuasa untuk persatuan fakulti. Mungkin sudah rezeki Khairul, dia telah ditawarkan untuk menjadi bendahari. Kemudian, Khairul memasuki kelab debat dan pidato. Tidak dinafikan, sejak di bangku sekolah, Khairul memang aktif dalam pertandingan debat dan pidato. Tidak lama selepas itu, Khairul ditawarkan untuk menyertai pertandingan badminton antara universiti.
Memang agak keterlaluan bagi pelajar baru, dalam semester satu untuk aktif sampai begitu sekali.  Mungkin kerana sikap peramah lelaki itu ditambah dengan karisma yang sememangnya ada dalam dirinya, menyebabkan dia menjadi tumpuan.
Kesannya, hubungan mereka mulai renggang. Selepas habis kuliah, Khairul sibuk dengan latihan badminton. Malamnya, dia sibuk dengan latihan debat atau mesyuarat persatuan. Nadzlia tidak terlalu ambil hati pada mulanya bahkan dia bangga kerana berada di sisi seorang lelaki yang dikagumi dan dikenali semua pelajar di situ. Namun, lama-kelamaan, dia rasa terpinggir dan disisihkan. Khairul semakin lama semakin jauh.
Kadang-kala, hampir seminggu mereka tidak bersua-muka. Cuma mesej dan panggilan telefon yang jadi pengantara. Itu pun jika Khairul punya masa untuk membalas mesej-mesejnya dan jika bukan dia yang menelefon, janganlah mengharap untuk lelaki itu menghubunginya. Khairul terlalu sibuk sehingga Nadzlia rasakan tidak mampu lagi berlari untuk mengejar bayang-bayang lelaki itu.
Walau bagaimana pun, Nadzlia tekadkan hatinya. Dia tidak boleh mengalah. Dia harus kuat untuk pastikan cintanya tidak pudar. Cinta mereka tidak tawar. Namun, selama mana dia mampu bertahan?

*  *  *  *  *

“LIA, kau tak dengar cerita ke?” soal Farah ketika mereka sedang bersantai di dalam bilik petang itu.
“Cerita apa?”
“Tentang Khairul, teman lelaki kau tu,” ujar Farah.
“Kenapa dengan dia?”
“Sekarang dah heboh yang dia rapat dengan setiausaha persatuan fakulti kita tu. Ada pelajar nampak mereka keluar berdua,” Farah memberitahu Nadzlia.
Hati Nadzlia mula berbolak-balik. Dia sudah lama sebenarnya mendengar desas-desus begitu. Tentang keakraban hubungan Khairul dengan Mazni. Namun, dikuatkan hatinya agar tiada curiga atau ragu-ragu terhadap lelaki itu.
“Biasalah kalau mereka keluar berdua. Mungkin sebab tugasan. Lagipun, mereka kan sekelas?” ujar Nadzlia, cuba menyedapkan hatinya sendiri.
“Yalah, tapi kalau dah asyik berkepit 24 jam, bukan tugas namanya,” Farah menyindir.
“Pandai-pandai je awak ni. Entah betul entah tidak cerita tu. Dahlah, saya tak mahu dengar lagi!” Nadzlia bersuara agak tinggi.
“Tak mahu dengar atau kau takut nak terima hakikat?”
Kata-kata Farah menusuk laju ke dalam hati Nadzlia membuatkan Nadzlia mengangkat muka, memandang tepat ke arah mata kawan sebiliknya. Farah tidak gentar. Dia turut membalas pandangan mata Nadzlia. Nadzlia perlu sedar akan hakikat yang Khairul semakin jauh darinya. Farah tidak mahu Nadzlia kecewa. Farah tidak mahu Nadzlia merana.
“Maksud awak?”
“Bila kali terakhir dia hubungi kau?” tanya Farah.
“Lima hari yang lepas. Dia mesej kata dia ada kursus tiga hari di Johor,”
What? Lima hari lepas? Kau biar betul! Kau tak hubungi dia?”
“Saya tak mahu ganggu dia. Pasti dia sibuk dengan program,” jawab Nadzlia.
“Jangan terlalu naif Lia! Kau sedar tak yang kau semakin kehilangan dia? Kau sedar tak?”
“Saya yakin pada Khairul,” ucap Nadzlia.
“Yakin sahaja tak cukup Lia. Kau perlukan jaminan,” balas Farah.
“Saya percayakan dia,”
“Huh, zaman sekarang kepercayan tu tak ubah seperti telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja telur tu akan jatuh, berkecai!” Farah memerli.
“Awak tak perlu masuk campur urusan saya!”
“Kau terlalu pesimis,” bidas Farah.
“Itu hak saya!” bentak Nadzlia.
“Lia!
“Farah!”
Kedua-duanya diam tanpa kata. Bilik yang tadinya riuh dengan suara orang bertengkar, kini senyap-sunyi bagai kota yang baru dilanggar garuda. Mata bertentang mata. Lidah tidak mampu lagi bersuara.
Titis-titis air mata mula jatuh berjuraian di pipi Nadzlia. Dia sudah tidak mampu untuk membendung kesedihan di dalam hatinya lagi. Cukuplah, dia sudah penat, dia sudah tidak larat!
“Maafkan aku Lia. Aku tak bermaksud nak mausk campur dalam urusan peribadi kau. Tapi sebagai kawan, aku tak mahu lihat kau sedih,” ujar Farah lalu bangun mendekati Nadzlia.
Perlahan-lahan Nadzlia ditarik ke dalam pelukannya. Semakin lebat air mata kawannya itu menitis, mencurah-curah bagai air terjun yang tidak pernah berhenti mengalir.
“Menangislah Lia, menangislah. Jangan disimpan lagi kesedihan itu,” pujuk Farah dengan hati yang hiba.

::bersambung::

Tiada ulasan :