Sepatah Dua Kata

Jumaat, April 16, 2010

Cinta Antara Kita II - Bab 03




PUSAT BELI-BELAH JAYA JUSCO tidak putus-putus dengan pengunjung yang rata-ratanya terdiri dari muda-mudi yang bersiar-siar bersama-sama rakan-rakan. Sudah lama Nadzlia tidak keluar membeli-belah, mencuci mata melihat keadaan di luar. Kesibukan dengan kuliah dan tugasan yang diberikan oleh pensyarah menyebabkan hasrat Nadzlia untuk keluar seringkali tergendala. Kebetulan, hari Sabtu ini dia tiada apa-apa kerja yang hendak dibuat. Ditemani rakan sekelas, Fatizah dan Azella, mereka bersia-siar di bandar Johor Bharu itu.
“Wei, tengok tu!” ujar Fatizah, menarik perhatian Azella dan Nadzlia.
“Apa? Apa?” tanya Azella.
“Tu! Bukan ke tu Mazni?” tanya Fatizah.
“Ha’ah! Siapa lelaki dengannya tu?”
“Ala, takkan kau tak kenal? Mamat tu punyalah famous kat kampus. Tu kan Khairul, bendahari persatuan fakulti merangkap pemain badminton handalan kampus kita,” terang Fatizah.
“Iya? Jauh sangat, aku tak perasan. Wah... mereka tu couple ke? Sesuai sangat...” ujar Azella.
Nadzlia yang mendengar sudah hancur-luluh hatinya. Namun, seboleh mungkin dia mengukir senyum, tidak mahu kawan-kawannya meneka kesayuan di hatinya.
“Eh, dia orang datang sinilah. Jom, kita buat-buat terserempak nak,” ajak Fatizah lalu menarik tangan Azella untuk mengikutinya.
“Hah? Eh, eh... tunggu saya!” pinta Nadzlia.
Hati Nadzlia sudah dicengkam gemuruh yang tidak mampu ditahan lagi. Jantungnya seakan-akan mahu tercabut keluar. Begitu teruja Fatizah ingin berjumpa dengan Mazni walhal mereka duduk sebilik.
“Hai Mazni!” sapa Fatizah.
Mazni kelihatan terkejut. Khairul apatah lagi tatkala melihat Nadzlia di depannya. Nadzlia hanya menundukan wajah, tidak mampu untuk memandang wajah kekasih hatinya itu.
What a pleasant surprise! Tak sangka jumpa awak kat sini,” ujar Mazni.
“Amboi, amboi, amboi... patutlah aku ajak keluar kau tolak. Rupanya ada teman lain. Kalau beritahu awal-awal kan senang. Ni nak sorok-sorok pula,” usik Fatizah.
Mazni ketawa. Ketawa yang menyakitkan hati Nadzlia.
“Apalah yang awak merepek ni Fatizah...” balas Mazni.
“Kau orang berdua ni, sesuai sangat! Macam pinang dibelah dua! Jealous aku! Tak gitu Azella?”
“Ha’ah... sama cantik sama padan. Aku doakan semoga kekal sehingga ke anak cucu,” Azella pula mengusik pasangan di hadapannya itu.
Mazni tergelak kecil. Khairul masih tidak melepaskan pandangannya dari wajah Nadzlia yang sejak tadi diam membisu. Apakah agaknya yang gadis itu sedang fikirkan saat ini?
“Er... maaf. Boleh tolong pegangkan barang saya sekejap? Saya nak ke tandas,” suara Nadzlia.
“Okey,” balas Fatizah.
Nadzlia melangkah laju meninggalkan kelompok kawannya itu. Dia sudah tidak mampu lagi menahan sakit hati. Peritnya bila mendengar kata-kata Azella dan Fatizah tadi. Khairul pula diam, tidak menafikan. Apakah lelaki itu sudah melupakan janji mereka?
Di dalam tandas, Nadzlia memandang wajahnya di cermin. Dia cuba untuk senyum. Kedua-dua jari menolak mulutnya ke atas namun tetap tidak mahu senyum.
“Jangan mengalah Lia! Kau harus kuat! Berusaha!” jerit Nadzlia.
Mujur tiada orang di dalam tandas waktu itu. Nadzlia membasuh mukanya, mengharap agar resah di dalam hati beransur pergi. Setelah memastikan wajahnya tidak terukir riak duka, dia melangkah keluar.
“Nadz!”
Langkah kaki Nadzlia terhenti. Sudah lama nama itu tidak menyapa pendengarannya. Sekaligus dia diserbu hiba.
“Khairul...”
“Nadz, okey?” soal Khairul, bimbang.
“Saya okey je. Kenapa awak tanya?”
“Sebenarnya, saya dan Mazni...”
“Tak apa, tak perlu jelaskan. Saya faham. Awak berdua ada tugas, kan?” duga Nadzlia.
“Tak, bukan begitu. Saya hanya temankan dia keluar,” jawab Khairul.
“Temankan dia? Maksudnya, satu temu janji?”
“Bukan! Mazni minta saya temankan dia untuk cari penaja bagi program yang kami akan jalankan nanti. Kami hanya singgah sebentar di sini,” terang Khairul.
“Oh, begitu... tak apa, saya faham,” balas Nadzlia.
“Nadz, saya minta maaf,”
“Untuk apa? Awak tak buat salah pun,”
“Mari, ikut saya,” ujar Khairul lalu menarik tangan Nadzlia.
Nadzlia hanya menurut. Khairul membawa gadis itu ke taman berhampiran. Mereka perlu berbincang. Khairul tidak mahu ada curiga di hati Nadzlia. Mereka mengambil tempat duduk di atas bangku di bawah pohon semarak api yang rendang.
“Baiklah, dah lama saya tunggu saat begini. Saat di mana hanya ada awak dan saya,” ujar Khairul.
Nadzlia buntu. Tidak tahu tujuan Khairul membawanya ke sini.
 “Saya rindukan awak,” ucap Khairul sambil menatap wajah gadis yang mencuri hatinya.
Nadzlia tergamam! Perlahan-lahan air matanya menitis. Dia juga rindukan lelaki itu. Teramat rindu! Rindu untuk menatap wajah Khairul, rindu untuk mendengar suaranya, rindu akan gurau-sendanya, rindu akan usikannya, rindu dan sangat-sangat rindu...
“Saya rasa terpinggir, rasa disisihkan. Awak sedar tak? Tak, awak tak pernah sedar. Awak terlalu sibuk dengan tanggungjawab. Awak pikul banyak sangat tanggungjawab sehingga tanpa sedar sedikit demi sedikit awak semakin jauh. Saya takut saya tak mampu kejar awak. Semakin saya mendekati, semakin jauh awak lari. Saya dah penat, dah letih!” luah Nadzlia dalam sendu.
Khairul hanya mendengar rintihan yang keluar dari mulut Nadzlia. Dia sendiri tidak menyangka, sudah terlalu jauh dia melangkah. Dia sendiri tidak menduga sudah terlalu besar jarak antara mereka. Tapi, jauh di lubuk hati, cintanya pada Nadzlia masih tetap utuh, masih kukuh, masih seperti dulu. Cuma, kesibukannya menyebabkan dia tidak dapat meluangkan masa bersama-sama Nadzlia.
Dia bukan tidak ingin, dia sangat mahu bersama-sama menganyam cinta, menyulam kasih tetapi dia gagal mengawal keterujaannya dalam menjalankan tugas. Dia fikir Nadzlia faham. Dia fikir Nadzlia mengerti. Khairul tahu Nadzlia bukanya gadis yang lemah, bukan gadis yang mudah mengalah. Buktinya, dalam kesibukan seharian, Nadzlia masih ada di sisi, masih sentiasa cuba mengejarnya. Namun, Nadzlia tewas juga. Khairul lupa, Nadzlia juga manusia. Punya hati dan perasaan. Punya kehendak untuk disayangi dan menyayangi.
“Maafkan saya,” hanya itu yang mampu Khairul luahkan, selebihnya dia tidak tahu apa yang patut diungkapkan.
“Tak perlu. Awak tak bersalah. Mungkin saya tak cukup faham. Mungkin saya tak cukup kuat untuk terus berada di sisi awak,” ujar Nadzlia.
Khairul mengangkat wajah Nadzlia yang menunduk. Dipegang lembut dagu gadis itu. Jemarinya menyeka air mata yang mengalir di pipi gadis pujaan hati. Pasti Nadzlia amat menderita.
“Saya rasa, kita patut jarakkan diri buat sementara waktu. Saya perlu bersendirian. Saya rasa awak juga perlu masa untuk fikir arah hubungan kita,” ujar Nadzlia.
“Mungkin betul apa yang awak katakan. Kita sama-sama perlu menilai semula hubungan ini. Mungkin kita terlalu terburu-buru,”
Nadzila terpana! Terburu-buru? Apa maksud Khairul? Adakah hubungan cinta mereka terburu-buru?
“Awak pergilah. Nanti Mazni tercari-cari pula,” ujar Nadzlia dalam kesayuan.
“Nadz, jaga diri baik-baik ya. Saya minta diri dulu,” pesan Khairul sebelum melangkah pergi.
Nadzlia memandang ke arah langit yang membiru. Adakah ini bermakna kisah cinta mereka sudah bertemu penamatnya? Entahlah, masing-masing mengantung kata. Mungkin masa ada jawapannya. Buat sementara ini, biarlah mereka berfikir semasaknya. Desiran dedaun pokok menghantar sedikit ketenangan dalam jiwa Nadzlia. Perlahan-lahan dia bangun. Hidup tetap perlu diteruskan. Andai masih ada cinta, hati pasti merasainya!

::bersambung::