Sepatah Dua Kata

Jumaat, April 16, 2010

Cinta Antara Kita II - Bab Akhir




HAMPIR sebulan berlalu tanpa khabar dari lelaki itu. Nadzlia sudah dapat menerima kehidupan hariannya. Tanpa mesej, tanpa panggilan, tanpa apa-apa sapaan dari Khairul. Anehnya, mereka tidak pernah terserempak dalam tempoh ini. Mungkin Khairul benar-benar mahu melupakan dirinya. Mahu atau tidak, Nadzlia harus sedar akan hakikat itu. Bukankah dia yang meminta agar mereka tidak berhubung dalam suatu tempoh masa sehingga masing-masing yakin apa yang ada di dalam hati?
            Pintu bilik dikuak. Terjengul wajah Farah dengan muka penuh ceria. Pasti ada khabar gembira.
            “Senyum sampai ke telinga nampak? Ada apa-apa ke?” tegur Nadzlia.
            “Jom, ikut aku ke bawah. Ada sesuatu untuk kau!” ajak Farah.
“Lah... apa pula ni? Tak mahulah saya,”
“Jomlah! Ada surprise tau,”
“Ish, berdebar pula saya. Cakap jelah. Kenapa nak kena turun bawah pula?”
            “Kau ni banyak songeh pula. Ikut jelah!” desak Farah lalu menarik tangan kawannya itu.
            Nadzlia hanya mengikut. Tidak mahu mengecewakan hati kawannya itu. Entah apalah yang Farah hendak lakukan kali ini. Masih Nadzlia ingat, waktu dia berduka dahulu, Farah memberikan coklat padanya selama seminggu. Bukan coklat yang harganya lima puluh sen atau seringgit tapi coklat Cadbury yang bersaiz besar itu. Hanya untuk buat dia tersenyum. Kata Farah, coklat dapat menggembirakan hati yang sedih.
            Mereka sampai di tingkat bawah, di halaman kolej. Tiada apa-apa yang menarik di situ. Meliar mata Nadzlia mencari sesuatu yang dikatakan kejutan oleh Farah.
“Mana kejutannya?” tanya Nadzlia.
“Bawa bersabar. Kejap lagi sampailah tu,” jawab Farah.
“Apa yang sampainya?”
“Hah! Tu dia!”
            Sebuah van berwarna kuning berhenti betul-betul di hadapan Nadzlia dan Farah. Van yang cerminnya dilitupi langsir hitam menimbulkan curiga di hati Nadzlia. Apa pula yang Farah nak buat kali ini? Menculiknya? Ish, takkanlah! Dari dalam van, keluar enam orang kanak-kanak kecil. Di tangan kanak-kanak itu ada sekeping kadboard keras. Lantas, masing-masing mengangkat kadboard tersebut satu-persatu. Tertera perkataan “I MISS U”. Kemudian kadboard tersebut diterbalikkan. Perkataan “SORRY!” pula yang tertera.
            Nadzlia kebingungan. Tidak lama selepas itu, bunyi gesekan biola kedengaran dari dalam van. Indah dan mengasyikan. Seorang lelaki keluar dari dalam van itu dengan wajahnya ditutupi sejambak ros merah yang dipegang ditangan.
            Farah menolak Nadzlia kehadapan. Nadzlia benar-benar terkesima apabila melihat wajah lelaki di hadapannya kala itu.
            “Specially for my beloved lady,” ucap Khairul lalu menghulurkan jambangan bunga ros itu pada Nadzlia.
            Nadzlia menyambutnya dengan linangan air mata. Hampir sebulan tidak bertemu, rindu di hati sudah amat sarat!
            “Boleh kita bermula semula?”
            Nadzlia hanya mampu mengangguk. Dia menyapu air mata dengan jemarinya. Dipalingkan wajahnya ke arah Farah. Kawannya itu mengangguk, seolah merestui keputusannya.
            “Dengan syarat, awak kena telefon dan hantar mesej pada saya tiap-tiap hari! Kalau tak, saya takkan bercakap dengan awak lagi...” ugut Nadzlia.
            “Baiklah, apa sahaja yang awak minta,”
            “Janji?”
            “Janji!” balas Khairul.
            Sekali lagi jari kelingking mereka bertaut. Kali ini Nadzlia tidak akan ragu-ragu lagi bahkan dia sebenarnya tidak pernah ragu-ragu. Dia yakin, Khairul telah diciptakan untuknya. Nadzlia bersyukur, dugaan kecil begini, semakin mengeratkan hubungan mereka. Semoga cinta antara mereka, akan terus bersemarak...

*  *  *  *  *

“APA yang dimenungkan tu?” tegur Khairul membuatkan Nadzlia sedikit tersentak.
            “Tak ada apa. Cuma teringat waktu awak pujuk saya dulu. Dari mana awak dapat idea tu?”
            “Farah yang cadangkan. Untuk pengetahuan awak, budak-budak tu semua anak-anak buah dia. Pemandu van tu pula paklong dia,” jelas Khairul.
            “Farah?”
            “Selama kita berpisah, hanya pada Farah saya tahu tentang awak. Bagaimana keadaan awak, hidup awak, semuanya saya tanya pada Farah. Kira, dia macam reporter sayalah,”
            “Oh... begitu. Siaplah dia nanti!” gurau Nadzlia.
            “Janganlah marah dia. Seharusnya kita berterima kasih sebab dia banyak membantu kita,”
            “Awak...” ujar Nadzlia.
            “Ya?”
            “Macam mana dengan Mazni?”
            “Saya tak ada apa-apa hubungan dengan dia sejak dari awal lagi. Tak dinafikan, dia ada cakap dia sukakan saya. Tapi, saya dah ada orang lain, nak buat macam mana...”
“Maksud awak, kalau saya tak ada, awak pilih dialah?” Nadzlia menduga.
“Mestilah. Kucing mana yang menolak ikan. Dah lah cantik, pandai pula tu,”
“Khairul!”
Ketawa Khairul meletus melihat wajah Nadzlia yang mencuka. Sengaja dia mengusik teman wanitanya itu.
“Tapi, tak secantik awak,” pujuk Khairul.
“Dah, dah... dah terlewat untuk awak pujuk saya. Sebagai hukuman, awak kena belikan saya coklat,”
“Hah? Mana nak cari coklat malam-malam buta ni?”
“Itu pandai-pandai awaklah ya. Selagi tak dapat, jangan cari saya!” ujar Nadzlia lalu bangun untuk meninggalkan Khairul namun langkahnya terhenti apabila tangannya dipegang.
            “Saya takkan biarkan awak lari lagi,” ujar Khairul.
            Nadzlia mengukir senyum. Dalam hati, ada bahagia yang menjengah. Harapannya, kebahagiaan ini, akan terus menyelubungi hubungan cinta antara dia dan Khairul buat selamanya...

::TAMAT::

Tiada ulasan :