Sepatah Dua Kata

Jumaat, Mei 21, 2010

Apa Kata Hati - Ceritera 01



 

Azzmiel dan Ariyaza

Januari 2005
Sekolah Tinggi Pioneer Cove

KERETA-KERETA mewah menjalar di perkarangan sekolah tinggi seluas 12 hektar itu. Satu persatu menurunkan penumpang dan kemudian bergerak pergi. Pagi Isnin itu udaranya terasa berlainan sekali. Angin kuat menderu dan langit pula kelam. Sesekali terdengar guruh berdentum memecah keheningan. Petanda akan berlaku hujan ribut tidak lama lagi. Sebuah kereta Mercedes Kompressor rona merah berhenti di perkarangan sekolah tinggi itu. Di belakang kereta tersebut, sebuah BMW siri X5 rona hitam turut berhenti. Seorang gadis dengan rambut ditocang ekor kuda turun dari kereta Mecedes Kompressor tadi, diikuti dengan seorang pemuda dengan rambutnya dibelah tengah, turut sama keluar dari perut kereta BMW X5 tersebut. Langkah kedua-dua terhenti apabila mata bertentang mata.
“Hidup lagi kau hari ni ya?” sapa pemuda berkaca mata dengan beg sandang di bahunya.
Gadis dengan rambut bertocang ekor kuda itu tergelak besar.
“Aku lagi terkejut tengok kau. Ingatkan tak jumpa dah hari ni,” balas gadis itu.
Kedua-duanya membuntangkan mata. Gadis itu kemudiannya berpaling lalu pantas bergerak menaiki tangga menuju ke pintu masuk utama bangunan pentadbiran itu. Pemuda tadi mengukir senyum sinis.
“Tuan muda nak saya ambil hari ini?” sapaan dari pemandu kereta BMW X5 itu menarik perhatian pemuda tadi.
“Tak perlu. Aku balik sendiri nanti. Kalau mama tanya kenapa, cakap aku ada kelas tambahan. Faham?”
Pemandu berseragam biru gelap itu mengangguk lalu bergerak pergi. Pemuda itu membetulkan kedudukan cermin matanya. Dia mengeluarkan sesuatu dari beg sandang. Sebuah sikat. Rambutnya disisir kemas.
“Dah cukup handsome dah tu bro!” tegur rakannya membuatkan pemuda tadi tersenyum.
“Awal kau datang hari ni wahai Azzmiel?” sambung rakannya.
Pemuda bernama Azzmiel itu tersengih. Sikat tadi dimasukkan semula ke dalam beg sandangnya.
“Menyesal aku datang awal. Terserempak dengan nenek kebayan pula pagi-pagi ni,” Azzmiel merungut.
Rakannya tadi ketawa kecil, faham siapa yang dimaksudkan oleh Azzmiel dengan nenek kebayan. Ariyaza, gadis manis dengan rambut bertocang ekor kuda itu adalah musuh ketat Azzmiel. Pantang berjumpa, pasti akan bertegang urat. Hairannya, mereka berdua adalah sepupu. Mujur kedua-duanya tidak belajar di dalam kelas yang sama. Jika tidak, haru-biru jadinya kelas tersebut nanti.
“Reza, kau dah siap latihan yang Mrs. Siew bagi semalam?” soal Azzmiel ketika mereka berdua melangkah menuju dewan utama untuk perhimpunan rasmi sekolah.
Of course. Hah, ni mesti kau tak siap lagi kan? Ish, kau ni... Apa yang kau buat kat rumah tu? Bukannya ada anak bini nak kena jaga,” perli Reza.
“Dah, jangan nak membebel pagi-pagi buta ni. Pinjamlah, sikit saja lagi belum siap. Semalam aku leka sangat main Playstation. Game baru beb...” terang Azzmiel.
Reza menggelengkan kepala. Dia mengeluarkan buku latihan Matematik dari beg sekolahnya lalu diserahkan pada rakan baiknya itu. Azzmiel menyambut huluran buku latihan itu dengan senyuman.
Bunyi loceng menandakan perhimpunan rasmi akan bermula tidak lama lagi. Para pelajar mula berpusu-pusu beratur di dalam barisan kelas masing-masing. Azzmiel bertembung dengan Ariyaza sewaktu dalam perjalanan ke barisan kelasnya. Gadis itu menghadiahkan jelingan dan dibalas dengan jeliran lidah oleh Azzmiel.
Perhimpunan rasmi dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan, lagu negeri dan lagu sekolah. Kemudian, pengerusi majlis meminta guru yang bertugas pada minggu lepas untuk menyampaikan laporan. Waktu ini, para pelajar dibenarkan duduk. Tanpa berlengah, Azzmiel mengambil peluang untuk menyalin jawapan latihan Matematik. Reza yang duduk di sebelah hanya mampu tersengih. Usai laporan dari guru bertugas, giliran Tuan Pengetua untuk menyampaikan amanat.
“Memandangkan tahun ini akan berlaku perlantikan baru dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, maka, saya amat berharap agar pencalonan pada kali ini akan bertambah berbanding tahun lalu. Jangan segan untuk mencalonkan diri anda kerana banyak faedah yang akan diperolehi jika terlibat dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar ini. Jadi, kalau boleh, saya minta setiap tingkatan menghantar sekurang-kurangnya lima orang wakil,” jelas Tuan Pengetua.
Kedengaran suara berbisik-bisik dari kalangan pelajar. Nampaknya, pilihan raya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar tahun ini akan berlangsung dengan penuh meriah. Reza menyiku lengan Azzmiel, bimbang jika ditangkap oleh pengawas kerana tidak menumpukan perhatian ketika Tuan Pengetua sedang berucap namun tidak diendahkan oleh rakannya itu malah lebih ligat Azzmiel menyalin jawapan.
Berlainan pula dengan Ariyaza yang tekun mendengar. Kali ini sudah tiba gilirannya untuk masuk bertanding. Sudah lama diimpikan untuk menjadi salah seorang wakil dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar kerana bukan sahaja akan menjadi popular, bahkan akan menjadi perhatian seluruh warga sekolah. Fadheela, yang melihat keterujaan di wajah rakannya itu mengukir senyum. Ariyaza seorang gadis ceria dan penuh dengan semangat. Tapi sayang, hatinya seperti ais di kutub utara apabila berbicara soal cinta. Gadis itu, tidak mahu langsung membiarkan cinta mengetuk pintu hati walau ada sahaja lelaki yang menawarkan cinta buatnya.
Tidak dinafikan, Ariyaza seorang gadis yang menawan. Berdarah kacukan dan tambahan pula cucu kepada ahli perniagaan tekstil yang terbesar di Malaysia. Sesiapa sahaja akan terpesona melihat keanggunan dan karisma yang ada pada gadis ini.
“Kenapa kau tenung aku macam nak makan aje ni?”
Teguran Ariyaza menyentak lamunan Fadheela. Gadis itu tersipu malu.
“Tak sabar aku nak ambil borang. Nanti kau teman aku ya,” pinta Ariyaza.
No problem. Eh, ak u dengar, musuh ketat kau pun nak masuk bertanding,”
Ariyaza terpana sebentar. Si dracula tu nak masuk bertanding juga? Buang tabiat apa?
“Maksud kau, dracula tu?” tanya Ariyaza meminta kepastian.
“Iyalah, sapa lagi musuh ketat kau kat sekolah ni,”
Ariyaza ketawa agak kuat sehingga mengundang perhatian dari pelajar sekeliling. Pantas dia menundukkan wajah. Fadheela turut sama merona merah wajahnya. Apalah si Aza ni, ketawa tak tahu nak cover...
Sorry... wei, kalau betullah si dracula tu nak bertanding, nampaknya aku harus buat rancangan baru,” ujar Ariyaza, dengan nada perlahan.
“Rancangan baru?”
“Adalah...” pendek jawapan Ariyaza lalu mula merencana sesuatu di dalam mindanya.
::bersambung::

4 ulasan :

Leya berkata...

hmm... saya dapat rasakan sesuatu yang menarik akan berlaku between both of them...

siti berkata...

setuju. mesti citer romantik komedi ni. x sabar nak tunggu next entri. chaiyok!

Rizai Reeani berkata...

leya & siti: Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. Sanagat hargainya... :D

apple_pie berkata...

a,ah la..stuju2...
ni yg x sabo nk tggu plot strusnya