Sepatah Dua Kata

Isnin, Mei 24, 2010

Apa Kata Hati - Ceritera 02



Sekolah Tinggi Pioneer Cove

ARIYAZA duduk menunggu kedatangan pemandu untuk mengambilnya setelah tamat sesi persekolahan hari itu. Dia duduk berteduh di sebuah wakaf yang dibina berhampiran bangunan pentadbiran kerana hujan turun agak lebat sejak pagi tadi. Jam di tangan menunjuk ke angka dua. Duduk sendirian begini sedikit menyeramkan bagi Ariyaza. Rata-rata pelajar sudah pulang ke rumah masing-masing. Ariyaza sendiri hairan mengapa Abang Ghaus, pemandu yang diupah papanya masih belum tiba. Semoga tiada yang buruk berlaku, doa Ariyaza di dalam hati.
Anak rambutnya yang terjuntai di dahi dikemaskan. Sapaan angin menambah kedinginan. Sekali lagi jam di tangan dilihat sekilas. Pukul 2.05 petang. Abang Ghaus sudah lewat sepuluh minit! Perlukah dihubungi papanya? Hmm... mungkin dia patut tunggu lima minit lagi. Jika tidak muncul juga kelibat Abang Ghaus, baru dia menelefon papanya.
“Belum balik lagi cik?” teguran dari pengawal keselamatan sekolah benar-benar membuatkan dada Ariyaza bergelodak cemas.
‘Bertuah punya pak guard! Dibuatnya aku kena serangan jantung, tak pasal-pasal saja,’ gumam hati Ariyaza.
“Belum lagi pakcik. Tengah tunggu driver tak sampai-sampai lagi,” jawab Ariyaza dalam senyuman walau darahnya agak tersirap sebentar tadi.
Pengawal keselamatan yang sudah berkedut wajahnya itu mengangguk lalu melangkah pergi. Ariyaza tertanya-tanya. Bukan apa, jika diperhati, kebanyakan pengawal keselamatan di negara ini semuanya terdiri dari mereka yang sudah lanjut usia. Pada Ariyaza, sepatutnya golongan ini hanya duduk di rumah, beristirehat sahaja. Biar orang muda, yang masih banyak tenaga yang menggantikan mereka. Kenapalah diupah mereka yang sudah berumur ni? Larat ke nak kejar pencuri? Silap-silap diri sendiri yang semput.
Ah, yang dia merepek sampai ke situ kenapa? Tidak elok buruk sangka begitu. Mungkin di luar nampak tua tapi dalam hati, muda belia, penuh bertenaga, siapa tahu, kan? Ish, mana pula Abang Ghaus ni?

*  *  *  *  *

BANGLO dua tingkat di puncak bukit itu turut disimbahi hujan yang masih belum menunjukkan tanda hendak berhenti. Televisyen di ruang tamu sedang menyiarkan sebuah drama Melayu tetapi penontonnya sedikit pun tidak menumpukan perhatian pada kaca televisyen sebaliknya sibuk menaip mesej pesanan ringkas.
‘Ariyaza masuk bertanding untuk JPP nanti’ – Reza
Azzmiel tergelak besar sambil menekan perut. Geli hati dengan khabar berita yang baru diterima dari Reza itu. Nenek Kebayan tu nak masuk bertanding dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar? Nak cabar akulah tu! Baik, pantang keturunan de Valda berundur sebelum menentang. Tapi, nenek kebayan tu pun keturunan yang sama dengan aku. Ah, lantaklah! Tak habis-habis nak menandingi aku sebagai pelajar paling popular di sekolah.
‘Good news! Nampaknya nenek kebayan tu akan dapat malu besar nanti,’ – Azzmiel
‘So, kau dah ada rancangan nampaknya,’ – Reza
‘Absolutely! Okeylah, aku nak ke toilet. Kita sambung nanti,’ – Azzmiel
Telefon bimbit di tangan digenggam erat. Azzmiel mengukir senyum sinis. Nampaknya, pilihanraya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar untuk tahun ini akan jadi lebih menarik dari yang biasa. Pasti nenek kebayan itu sudah punya perancangan tersendiri. Tengoklah, dia akan pastikan jawatan Yang Dipertua menjadi miliknya.
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar merupakan pertubuhan yang paling tinggi tarafnya di Sekolah Tinggi Pioneer Cove. Pengawas sekolah juga tidak berada di taraf yang tinggi sebegitu. Fungsi utama pertubuhan ini adalah untuk menyampaikan suara pelajar dan memastikan kebajikan dan hak pelajar tidak terabai. Dalam erti kata mudah, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar adalah yang paling hampir dengan Tuan Pengetua. Walau guru-guru pun tidak berhak masuk campur dalam urusan pertubuhan kerana penasihatnya adalah Tuan Pengetua sendiri.
Ada lapan jawatan tertinggi yang wujud di dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Bermakna, hanya lapan pelajar yang bertuah sahaja akan dipilih untuk menerajui pertubuhan ini. Oleh yang demikian, hanya pelajar-pelajar yang berbakat sahaja yang akan dipilih.
Bukan mudah mahu menjadi salah seorang ahli di dalam pertubuhan ini. Calon-calon perlu melalui tiga peringkat sebelum dilantik untuk menjadi salah seorang ahli jawatankuasa. Peringkat pertama adalah ujian saringan di mana calon-calon akan diuji dengan pengetahuan am melalui ujian bertulis. Sesiapa yang lulus, akan ke peringkat kedua di mana calon-calon yang berjaya akan menyampaikan pidato di khayalak ramai selama sepuluh minit. Peringkat terakhir adalah pilihan raya. Tujuan pidato disampaikan adalah untuk memperkenalkan barisan calon pada para pelajar sekolah untuk dinilai dan seterusnya diundi pada pilihanraya yang akan diadakan seminggu selepas program pidato berlangsung.
Justeru, dalam masa seminggu itulah para calon harus gunakan semaksima mungkin untuk memancing undi. Lapan calon yang meraih undi tertinggi akan dipilih untuk menjadi ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar selama setahun.
Jadi, penentu segalanya adalah pada majlis pilihanraya nanti. Azzmiel bangun dari baring lalu menuju ke meja belajarnya. Dia mengeluarkan kertas dari dalam laci lalu mencapai pen di dalam kotak kecil di hadapannya. Laju tangannya mencoret sesuatu di atas kertas tersebut, masih dengan senyuman sinisnya.  Di luar, kilat mula sabung-menyabung disahut dengan dentuman guruh.

*  *  *  *  *

SEKOLAH TINGGI Pioneer Cove merupakan sebuah sekolah elit di tengah-tengah bandar Port Dickson ini. Ramai ibu bapa berharap agar anak-anak mereka dapat belajar di Sekolah Tinggi Pionerr Cove kerana peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti lebih cerah tambahan pula tenaga pengajarnya terdiri dari guru-guru cemerlang. Namun, untuk belajar di sekolah ini, para pelajar perlu melalui ujian kemasukan yang bukan mudah. Hanya calon yang benar-benar layak sahaja yang bakal mendapat tempat di sekolah berprestij ini.
Sekolah ini mempunyai lima bangunan utama yang terdiri dari bangunan pentadbiran, bangunan kuliah, pusat sukan dan dewan utama. Bilik guru dan pejabat diletakkan di bangunan pentadbiran betul-betul menghala pintu masuk utama. Bangunan kuliah pula menempatkan kelas-kelas pelajar. Ada buah bangunan kuliah di mana setiap bangunan terdiri dari tiga tingkat.
Jumlah pelajar di sekolah ini tidaklah ramai. Dari tingkatan satu hingga tingkatan enam atas, hanya ada empat buah kelas bagi setiap tingkatan yang terdiri dari 20 hingga 25 orang pelajar sahaja. Hal ini berikutan kerana pihak sekolah mahu memastikan setiap pelajar diberi perhatian dan tidak tercicir andai terlalu banyak pelajar di dalam sebuah kelas sehingga para guru tidak dapat memberi sepenuh perhatian pada perkembangan setiap pelajar.
Pusat sukan pula dibina di belakang dewan utama yang menempatkan kolam renang, gelanggang badminton, tenis dan futsal. Tidak jauh dari pusat sukan, padang bola dengan rumput yang menghijau tersedia untuk pelbagai acara sukan seperti bola sepak, hoki, ragbi dan bola jaring.
Dewan utama pula siap dengan pentas dan peralatan audio-visual yang canggih seperti lampu pentas dan LCD projector. Di sinilah berlangsungnya pelbagai upacara rasmi sekolah seperti perhimpunan rasmi, majlis penyampaian anugerah dan majlis graduasi.
Ariyaza memerhati sekeliling kawasan bangunan pentadbiran itu. Landskap yang dibina ternyata mampu menarik perhatian sesiapa sahaja. Pokok-pokok bunga melur dan kemboja tumbuh tegak berdiri di sepanjang jalan. Tambah berseri dengan kehadiran pokok bunga raya pelbagai warna diselang-seli dengan pokok bunga kertas rona ungu muda. Itu belum lagi disisip dengan rumput dan pokok-pokok berdaun renek yang segar menghijau. Satu pemadangan yang indah dan menenangkan.
Sememangnya dia bertuah kerana berjaya masuk ke dalam sekolah yang memang terkenal dengan keputusan para pelajarya yang cemerlang dan menjadi tumpuan universiti-universiti terkemuka di Malaysia sejurus para pelajarnya menamatkan pengajian. Cuma yang membuatkan Ariyaza sedikit kecewa adalah kehadiran dracula penghisap darah yang menjengkelkan itu. Kenapalah sepupunya itu turut memasuki sekolah yang sama?
“Ish, mana Abang Ghaus ni?” ujar Ariyaza sambil mengeluh, entah untuk yang keberapa kali.
Baru sahaja  di hendak melangkah mencari pondok telefon, sorotan lampu kereta menghentikan langkahnya. Kereta Mercedes Compressor rona merah itu berhenti betul-betul di hadapan Ariyaza. Pantas gadis itu membuka pintu hadapan dan menyerang pemandu kereta itu dengan kata-kata sindiran.
“Ingatkan dah lupa jalan ke sekolah ni. Kenapa lambat? Dah dekat setengah jam saya tunggu tau! Abang Ghaus pergi mana ni?”
“Cik muda, cepat masuk!” arah Ghaus tanpa membalas pertanyaan Ariyaza tadi.
Ariyaza kaget sebentar. Ewah, sesuka hati mengarah aku. Dahlah tak minta maaf datang lambat. Ini yang nak kena laser dengan aku ni...
Excuse me Abang Ghaus...”
“Puan Dhiyah masuk hospital! Cepat!”
Kata-kata Ghaus membuatkan Ariyaza terpaku. Mama masuk hospital? Ya Allah!
::bersambung::

5 ulasan :

epy elina berkata...

hohohoho...
best la crta ni....
gud job...

apple_pie berkata...

undi jgn x undi...
pe la plan depa 2 ni ek..

datul berkata...

dahsyat siut skolah ni... kalaulah betul wujud ye.

Miss Kira berkata...

pergh!!
x sbr nk taw mcm mana mereka nk bertanding nnt..
mesti gaduh punya..
hahaha

Rizai Reeani berkata...

epy elina: Terima kasih. Sedang cuba struktur penulisan yang baru...

apple_pie: Hehe... Itu kita kena tunggu

datul: Kalau betul wujud, tak sanggup nak masuk sekolah ni. Hehe...

miss kira: Sama-sama kita tunggu episod seterusnya. :)

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :D