Sepatah Dua Kata

Khamis, Mei 27, 2010

Apa Kata Hati - Ceritera 03




Datin Maisarah de Valda

“KAKAK kamu mana Miel?” tegur seorang wanita, anggun berkebaya rona merah darah dengan kipas kecil di tangan kanan dan beg kecil rona hitam yang disangkut di lengan kiri.
“Kat bilik agaknya. Where are you going mum?” tanya Azzmiel pada mamanya, Datin Maisarah.
I’ve meeting with Datin Kamalia at 3.00 pm. Nak bincang tentang aktiviti persatuan. Miel dah makan?”
“Baru lepas mama. Kenapa cari Kak Zura? Pasal pertunangannya tu ke?” Azzmiel cuba mencungkil maklumat dari mamanya.
Datin Maisarah sekadar mengangguk. Dia tahu anak sulungnya, Azura mahu mengelakkan diri dari ditunangkan dengan anak lelaki Datin Kamalia. Azura pernah menyatakan hasrat untuk tidak bertunang tetapi dibantah keras olehnya. Dia hanya mahu Azura hidup senang dengan bersuamikan seorang tokoh perniagaan yang terkenal. Tambahan pula reputasinya bakal meningkat apabila dapat bermenantukan lelaki yang hebat seperti Zafri, Pengurus IMSA Holdings dan bakal menggantikan tempat papanya sebagai presiden tidak lama lagi.
Memang menolak tuah Azura kalau tidak mahu bersuamikan lelaki yang kaya-raya begitu. Hendak kata Azura sudah punya pilihan hati, tidak pula anaknya itu memberitahunya.
“Mama ingat nak bawa dia ikut mama sekali. Boleh kenal bakal mertuanya tu lebih rapat,” jelas Datin Maisarah.
Azzmiel tersengih. Dia tahu kakaknya tidak suka akan pertunangan yang dirancang oleh mama mereka. Terdetik di hati Azzmiel, apakah esok-lusa dia juga akan menerima nasib yang serupa? Ah, dia tidak kisah dengan siapa yang akan menjadi suri hidupnya. Yang dia tahu, kebebasannya tidak dibelenggu.
“Mama naik atas kejap nak tengok kakak kamu. Oh ya, panggilkan Pak Mail. Suruh dia siapkan kereta,” arah Datin Maisarah lalu naik ke tingkat dua semula.
Azzmiel segera ke dapur mencari kelibat Pak Mail, pemandu di Banglo Permata itu namun tidak ketemu. Dia ke belakang rumah. Pak Mail sedang duduk melepaskan penat dengan batang cangkul yang ditegakkan tidak jauh darinya.
“Pak Mail! Mama nak keluar,” laung Azzmiel dari dalam rumah.
Pak Mail bingkas bangun. Agak terkejut sebenarnya. Datin Maisarah baru sahaja pulang dari membuat rawatan spa satu jam yang lalu dan kini mahu keluar semula? Memang kaki berjalan majikannya yang seorang ini.
Azzmiel berlalu semula ke ruang tamu setelah melihat Pak Mail sudah bangun dan mengemas peralatan tanamannya. Kelihatan mamanya sudah melabuhkan punggung di sofa dengan muka yang memerah, menahan marah.
“Dah panggil Pak Mail?” tegur Datin Maisarah apabila melihat anaknya mengambil tempat duduk di sofa di hadapannya.
Azzmiel hanya mengangguk. Dia pasti mamanya sedang naik angin pada kakak sulungnya itu. Kakaknya pun satu, kenapa tak diikutkan kata mama sahaja? Bukannya Azzmiel dan kakaknya tidak tahu akan sikap mama mereka. Tidak ada apa yang tidak boleh dimiliki oleh Datin Maisarah. Segala keinginnya pasti diperoleh.
“Kamu esok jangan ikut perangai degil kakak kamu tu,” ujar Datin Maisarah.
Azzmiel hanya senyum. Malas mahu berbicara tentang perihal kakak dan mamanya itu. Mereka sudah dewasa, pandai-pandailah masing-masing uruskan.
“Kereta dah sedia Datin,” sampuk Pak Mail, membantutkan niat Datin Maisarah untuk meneruskan bebelan.
Pantas dia bangun tanpa sebarang ucapan. Azzmiel hanya memerhati pemergian mamanya dengan ekor mata. Seketika kemudian, terdengar derap tapak kaki menuruni tangga. Tanpa menoleh, Azzmiel sudah tahu itu kakaknya, Azura.
“Mama dah pergi?”
“Dah. Mama nampak marah…”
Azura melepaskan keluhan. Dia bertengkar dengan mamanya sebentar tadi. Mamanya tidak punya hak untuk menentukan kebahagiaan hidupnya. Dengan siapa dia nak berkahwin adalah haknya, keputusannya. Walau mama yang menjaga dan membesarkan dirinya selama ini, itu bukanlah satu jaminan yang mamanya tahu dengan siapa dia boleh bahagia.
“Kahwin sajalah dengan Zafri tu kak. Kaya, handsome, kenapalah akak tolak…”
“Kau pun sama nak jadi macam mama? Akak tak pandang semua tu dik. Apa guna duit, wajah kacak kalau dalam hati tak ada cinta,”
Azzmiel tersengih. Cinta? Perlu apa dengan cinta? Bukannya cinta itu boleh mengenyangkan perut.
“Jadi, akak tetap berkeras? Akak kenal mama bukan? Dia tak akan berdiam diri,”
“Itulah yang akak risaukan…”
“Risau? Maksud kakak… Kakak dah ada pilihan hati?”
Azura mengangguk perlahan. Azzmiel berubah wajah. Nampaknya kakak sengaja menempah bala.
“Akak dah beritahu mama?”
“Kau buang tabiat? Beritahu mama? Nahas jawabnya…” balas Azura dengan mata yang membulat.
“Dah tu, apa yang akak nak buat?”
Azura bungkam. Sungguh, setakat ini dia tidak punya jawapan untuk soalan tadi. Gusar di hati usah diteka. Terlalu bimbang jika hubungan dia dan teman lelaki dapat dihidu oleh mamanya. Jauh di lubuk hati Azura sedar, mamanya itu boleh lakukan apa sahaja selagi keinginannya tidak tercapai. Sama seperti apa yang telah dilakukan pada arwah Ariff, abang sulung mereka dahulu.
Azura masih ingat bagaimana hebat mama menentang pilihan hati Abang Ariff kerana gadis itu hanya seorang guru taska yang tinggal di kampung. Mama sudah lama ingin menjodohkan Abang Ariff dengan Sharifah Qahera, anak Syed Hussain, rakan perniagaan arwah papa semata-mata mahu mengeratkan lagi hubungan antara kedua buah syarikat.
Kesannya, perhubungan antara Abang Ariff dan teman wanitanya putus di pertengahan jalan kerana mama masuk campur. Mama telah memberi sejumlah wang yang agak besar jumlahnya kepada teman wanita Abang Ariff dengan meminta gadis itu berpindah. Bagai orang separuh gila Abang Ariff menjejak teman wanitanya namun tidak ketemu.
Beberapa tahun kemudian, Abang Ariff menerima kad undangan perkahwinan dari teman wanitanya. Dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut, dia menemui kemalangan. Kereta yang dipandu terbabas ke bawah gaung. Abang Ariff cedera parah di kepala lalu meninggal dunia selepas hampir lima jam dirawat di hospital berdekatan. Di wajah mama sedikit pun tidak terpancar sinar kesedihan mahupun kekesalan. Wajah mama kosong tanpa sebarang riak. 
Justeru, dia tak mahu sejarah berulang semula. Separuh jiwanya meminta agar dia menerima tawaran mama sementara yang separuh lagi menolak mentah-mentah.  Dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada teman lelakinya.
“Apa kata akak kahwin lari ke Siam aje?” tiba-tiba Azzmiel memberi saranan sekaligus mematikan khayalan Azura sebentar tadi.
“Kau ni tak ada penyakit, cari penyakit. Akak masih belum bersedia sampai ke situ,”
“Habis, akak nak tunggu sampai bila? Sampai teman lelaki akak pindah tempat lain?” ujar Azzmiel lalu segerap menekup mulut menyedari keterlanjuran katanya.
Azura tersentak. Kata-kata adiknya itu sedikit mengguris hati. Namun dia tahu, Azzmiel tidak sengaja. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di sofa buatan Itali berwarna pic itu. Wajah Azzmiel yang menunduk dipandang lesu.
“Maaf kak, Miel tak sengaja…” ucap Azzmiel, lirih.
“Tak apa, akak faham. Kata-kata kau ada benarnya. Tapi akak tak punya kekuatan untuk berdepan dengan mama,”
“Sebab itu Miel suruh akak kahwin lari saja. Bila dah kahwin, mama tak boleh buat apa lagi,”
Azura tersengih.
“Cakap memang senang dik… Nak melakukannya belum tentu lagi. Kalau akak kahwin lari pun, mama tetap akan cari sampai lubang cacing. Mama lebih pentingkan maruah. Kalau akak cemarkan maruah mama, akak tak dapat bayangkan apa akibatnya nanti…” Azura melahirkan kegusarannya.
Azzmiel diam tanpa kata. Dia faham benar akan kerisauan yang melanda kakaknya itu. Mama mereka bukan calang-calang orang. Seorang usahawanita yang disegani. Mama mereka telah membawa nama syarikat Bitara Holdings, sebuah syarikat kosmetik ke peringkat antarabangsa, sesuatu yang arwah papa mereka tidak sempat untuk kecapi.
Mama seorang wanita yang tegas dan penuh bersemangat. Pendiriannya, tiada apa yang tidak boleh dicapai melainkan tidak berusaha. Ya, dari segi kewangan, keluarganya memang tidak punya masalah apa-apa cuma dari segi kasih sayang, mama tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya yang satu itu dengan baik. Segala urusan rumah diserahkan bulat-bulat pada penjaga mereka iaitu Mak Som.
“Apa yang perlu akak buat Miel?”
Azzmiel memandang wajah kakaknya yang muram. Dia sendiri tidak punya jawapan untuk soalan itu.
::bersambung::

4 ulasan :

epy elina berkata...

hohohooh....
rumit jg mslh azura ni...
tp xpatut mama azura msuk cmpr dlm khdpnnya...
brkawen tnpa cnta x akn bhgia....
best2x....

Leya berkata...

ganas mama diaorang ni. tak apa zura, kau ikut je cakap miel tu. kawin lari. habis citer...

datul berkata...

kesian zura. mak dia tu memang tegas n x de belas kasihan..

Rizai Reeani berkata...

epy elina: benar tu, berkahwin tanpa cinta, agak sukar untuk bahagia...

leya: datin maisarah adalah seorang yang sukar ditafsir tindakannya...

datul: tak apa, zura pasti dapat selesaikan masalah, mudah-mudahan...

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :D