Sepatah Dua Kata

Isnin, Mei 31, 2010

Apa Kata Hati - Ceritera 04



Insan Baru

HOSPITAL Besar Port Dickson merupakan destinasi yang dituju. Ariyaza bagai cacing kepanasan duduk di seat belakang kereta Mercedes Kompressor rona merah itu. Cemas dan gusar bertubi-tubi menerjah diri. Bagaimana agaknya keadaaan mamanya?
“Macam mana mama boleh masuk hospital Abang Ghaus?”
“Saya dengar Mak Ecah menjerit kat dapur. Bila saya sampai, Puan dah pengsan. Terus saya hantar ke hospital lepas hubungi Tuan. Kemudian, saya terus ke sekolah ambil cik muda. Mak Ecah ada di hospital dengan Tuan,” terang Ghaus.
“Ya Allah…”
“Sabar cik muda. Banyakkan berdoa…” pujuk Ghaus.
Sepuluh minit perjalanan, mereka tiba ke hospital. Ghaus menurunkan Ariyaza di pintu hadapan hospital sementara dia mencari tapak parkir kereta. Ariyaza bergegas ke kaunter pertanyaan. Jururawat yang bertugas menyatakan bahawa mamanya ditempatkan di Wad Cempaka 12. Segera dia mencari menerusi papan tanda yang disediakan.  Sampai di hadapan wad yang dimaksudkan, dia segera membuka pintu tanpa mengetuknya. Kelihatan wajah Mak Ecah yang agak terkejut dengan kehadirannya yang tiba-tiba itu.
“Macam mana dengan mama Mak Ecah? Kenapa dengan mama?” soal Ariyaza, cemas.
“Syhh… Perlahan sikit. Mama kamu baru saja tidur. Mari, kita berbual di luar,” ajak Mak Ecah.
Ariyaza sempat memandang wajah mamanya yang sedang lena dibuai mimpi sebelum ditarik tangannya keluar dari bilik VIP itu. Mereka berdua duduk di bangku kayu yang disediakan di luar bilik tersebut. Ariyaza tidak sabar mendengar khabar mamanya dari Mak Ecah, pengasuh yang menjaganya sejak kecil.
“Mama Riya tak apa-apa cuma pitam sedikit,” ujar Mak Ecah, meleraikan segala persoalan yang sejak tadi bersarang di hati Ariyaza.
“Alhamdulillah… Risau Riya dibuatnya. Ingatkan ada perkara buruk berlaku tadi,” kata Ariyaza.
“Riya!” laungan papanya membuatkan Ariyaza tersentak sedikit.
“Dah lama sampai?” soal Tuan Iskandar sejurus berada di hadapan anaknya.
“Baru saja. Papa ke mana tadi? Jumpa doktor?”
Tuan Iskandar mengangguk lalu mengambil tempat duduk di sebelah anak sulungnya itu. Wajahnya berubah muram. Ariyaza mula berasa tidak sedap hati. Mak Ecah hanya memandang tanpa kata.
“Apa kata doktor papa? Mama sakit apa sebenarnya?” soal Ariyaza, risau.
Tuan Iskandar masih lagi diam. Perlahan-lahan sebuah keluhan dilepaskan.
“Papa! Mak Ecah…” Ariyaza beralih pula pada wanita berumur 65 tahun itu apabila tiada respons dari papanya.
Mak Ecah hanya mengukir senyum tawar. Ish, kenapa semua macam ada sorokkan sesuatu ni? Mama menghidap penyakit serius ke?
“Mama kamu kena banyak berehat. Riya berdoalah agar mama cepat sembuh…” ujar Mak Ecah memecah kesunyian.
“Mama sakit apa Mak Ecah? Papa! Kenapa semua orang ni? Kenapa nak sorok dari Riya?” Ariyaza mula dicengkam gelisah.
“Mama…” Tuan Iskandar membuka mulut.
“Mama kenapa?” tukas Ariyaza menyebabkan papanya tidak jadi meneruskan kata.
Tuan Iskandar memegang bahu anaknya lembut. Ariyaza menelan liur.
“Mama kena sakit buatan orang…” ujar Tuan Iskandar.
Ariyaza terpana! Sakit buatan orang? Merbahayakah?
“Maksud papa?”
“Is, apa ke itu pula yang dicakapnya…” tegur Mak Ecah, menambahkan lagi kekeliruan pada Ariyaza.
Tuan Iskandar tergelak kecil. Ariyaza mengerutkan dahi. Sebentar tadi wajah papanya tampak muram dan gusar. Tiba-tiba boleh ketawa pula. Pelik…
“Papa, stop it! Janganlah main-mainkan Riya lagi…” Ariyaza sudah menarik muka masam.
Bibir Mak Ecah menguntum senyum. Tawa Tuan Iskandar berhenti. Geli hati sebenarnya melihat wajah penuh bimbang Ariyaza.
“Riya, mama kena penyakit buatan orang tu, maksudnya kamu nak dapat adik tak lama lagi,” jelas Tuan Iskandar.
Ariyaza menekup mulut. Tak senonoh betul papanya ini! Segera dia mencubit lengan papanya. Tuan Iskandar mengaduh kecil. Dalam hati, Ariyaza mengucapkan setinggi syukur ke hadrat Ilahi. Nampaknya, tidak lama lagi akan bertambahlah ahli keluarganya. Ini bermakna dia juga sudah punya tanggungjawab baru. Tanggungjawab sebagai anak sulung yang harus menjaga adiknya sepenuh hati.
“Suka tak dapat adik?”  giat Tuan Iskandar.
“Mestilah! Sapa yang tak suka nak dapat adik… Tak sabar rasanya!” balas Ariyaza.
“Lapan bulan lagi dapatlah kamu adik baru. Banyakkan berdoa agar mama kamu dikurniakan kesihatan baik yang berpanjangan…” sampuk Mak Ecah.
Ariyaza mengangguk. Khabar berita yang baru diterimanya itu ternyata membuahkan ria dalam hati. Apa agaknya nama yang papa dan mama akan bagi ya?

*  *  *  *  *
“APA? Mengandung?”
“Benar datin. Saya baru dapat pengesahan dari setiausaha Tuan Iskandar,” ujar pemanggil di talian sebelah sana.
“Jahanam!”
Datin Maisarah mematikan panggilan lalu melemparkan telefon bimbitnya ke atas sofa. Kata-kata setiausahanya tadi benar-benar memutikkan amarah dalam jiwanya. Mardhiyah mengandung lagi. Anak kedua bersama-sama dengan Iskandar. Tidak! Ini sudah melampau!
“Tak guna punya perempuan! Kau jangan ingat kau boleh bahagia setelah rampas Iskandar dari aku! Aku akan pastikan rumah tangga kau hancur!” bentak Datin Maisarah.
Serta-merta, kenangan lalu kembali menggamit. Dua puluh lima tahun telah berlalu sejak dia keluar dari menjadi ahli keluarga de Valda. Dia hanya pulang ketika menziarahi arwah papanya lima tahun dahulu. Itu pun atas dasar kemanusiaan. Sungguh pun arwah papa telah melakukan sesuatu yang mengguris hatinya, dia masih punya rasa hormat.
Dan lima tahun lepas jugalah dia bertentang mata dengan Mardhiyah dan Iskandar buat pertama kali setelah mereka berkahwin. Waktu itu di sisi Mardhiyah ada seorang gadis yang hampir sebaya dengan anak bongsunya. Jelas di wajah Mardhiyah sinar kebahagiaan. Dia benci melihat wajah itu. Terasa mahu disiat-siat dengan belati tajam.
Adiknya itu telah memusnahkan kebahagiaannya. Adiknya itu telah menacrik rakus hatinya. Adiknya, ya adiknya itu yang telah menyingkir segala kegembiraan yang sepatutnya jadi miliknya. Namun, sehingga kini dia masih tidak mengerti akan satu perkara. Mengapa Iskandar rela berkahwin dengan adiknya itu dan langsung tidak menentang walhal lelaki itu boleh berbuat demikian? Bukankah Iskandar dan dia adalah pasangan kekasih pada awalnya sehinggalah peristiwa hitam itu terjadi. Peristiwa yang menimbulkan dendam dalam dirinya.
Datin Maisarah menuju ke meja pejabatnya. Dia mencari fail yang ditulis “Valda Eura Tekstil Berhad”. Segala dokumen yang terdapat di dalam fail itu diteliti. Perlahan-lahan, dia mengukir senyuman. Penuh sinis!

*  *  *  *  *

LANGIT malam dihiasi kerdipan bintang yang mengasyikkan. Puputan bayu terasa begitu nyaman menyelimuti tubuh yang kedinginan. Ariyaza melangkah ke halaman, menghampiri papa dan mamanya yang sedang duduk berbual di bawah wakaf berbumbung daun nipah yang dibina di halaman tersebut. Deru air terjun buatan sesekali diselang-seli dengan nyanyian unggas. Malam, terasa hening.
“Assalammualaikum,” sapa Ariyaza lantas mengambil tempat duduk di sebelah mamanya.
“Waalaikummusaalam,” serentak Tuan Iskandar dan Puan Mardhiyah menjawab.
“Dah siap semua kerja sekolah?” tanya Tuan Iskandar.
“Ditanggung beres papa. Mama macam mana? Dah sihat?” tanya Ariyaza berbaur risau.
Puan Mardhiyah melakar senyum. Selepas dirawat di hospital siang tadi, dia dibenarkan keluar sekitar pukul enam petang. Kata doktor, dia keletihan. Tidak dinafikan, kebelakangan ini dia dihambat beban kerja yang tidak berkesudahan. Bergelar pensyarah kanan di sebuah kolej yang terletak berhampiran rumah bukanlah satu tugas yang mudah. Banyak perihal pengajian yang perlu diuruskan.
“Alhamdulillah, mama sihat,” jawab Puan Mardhiyah dalam senyuman.
“Ni, adik baby, jangan nakal-nakal. Kesian mama tau...” ujar Ariyaza sambil melekapkan telinga pada perut mamanya yang masih belum membesar itu.
Puan Mardhiyah tertawa kecil. Alhamdulillah, dia sangat bersyukur apabila Tuhan mengabulkan doanya. Sudah lama dia mahu seorang anak, buat peneman Ariyaza. Walau agak lewat, namun kehadiran bayi yang bakal lahir ini ternyata menyemarakkan lagi rasa kasih sayang antara mereka sekeluarga.
Ariyaza mengusap perut mamanya lembut. Sudah lama dia berhasrat untuk punya seorang adik. Menjadi anak tunggal baginya tidaklah begitu menyeronokkan. Apatah lagi melihat rakan-rakan yang punya ramai adik-beradik. Pasti meriah rumah mereka dengan gelak-tawa dan suara bergaduh sesama mereka.
Sudah hampir 18 tahun dia menjadi anak tunggal dalam keluarga ini. Pernah juga disuakan pada mama tentang keinginan untuk menjadi kakak tetapi kata mama, belum ada rezeki. Dia sunyi sebenarnya. Walau ada papa, mama, Mak Ecah dan Abang Ghaus, dia tetap diburu sepi dalam villa dua tingkat yang tersergam indah ini.
Selalu juga dia mengajak Fadheela untuk bermalam di rumah. Ada juga teman berbual dan bergurau-senda. Kadang-kala dia cemburukan Fadheela yang mempunyai enam orang adik beradik itu. Dia anak ketiga, punya seorang abang, seorang kakak dan tiga adik lelaki. Mendengar cerita Fadheela tentang adik-beradiknya, seringkali menghadirkan sayu dalam hati Ariyaza. Terasa sunyi benar hidupnya.
“Dah lewat ni Riya. Kemas buku dan minum susu dulu sebelum tidur,” pesan Tuan Iskandar.
Ariyaza mengangguk lalu segera bangkit menuju ke dalam rumah. Dalam perjalanan, dia terserempak dengan Mak Ecah yang terkocoh-kocoh membawa telefon ke luar. Entah siapalah yang menelefon lewat malam begini. Lantas, Ariyaza menyambung langkah, menuju ke biliknya.
“Puan, ada panggilan!” sampuk Mak Ecah lalu membawa telefon tanpa wayar itu pada Puan Mardhiyah.
“Dari siapa Kak Ecah?”
“Datin Maisarah,” jawab Mak Ecah sekaligus membuatkan pasangan suami isteri itu berubah wajah, terkesima!
::bersambung::

3 ulasan :

epy elina berkata...

holhohoh...
bsuk ati la pula datin maisarah ni....
best2x....

Leya berkata...

apalah yang datin maisarah nak buat ni? setiap ending dia mesti buat orang tertanya2. good job riz!

Rizai Reeani berkata...

epy elina & leya: terima kasih sudi singgah membaca... :D