Sepatah Dua Kata

Rabu, Mei 19, 2010

Apa Kata Hati - Prolog



1987
Villa de Valda

“MANA boleh macam ni papa? Ini tak adil!” bentak Maisarah.
Tuan Johann diam tanpa balasan. Dia hanya memandang wajah Maisarah lembut sebelum beralih pada dua pasang lagi mata di hadapannya. Ruang tamu villa tiga tingkat itu semakin hangat berbahang walau deru angin dari penghawa dingin tidak berhenti mengalir sejak pagi tadi.
“Ini semua untuk kebaikan kita Sarah. Fikirkan tentang maruah keluarga,” ujar Puan Sophia.
Mata Maisarah membulat tatkala mendengar kata-kata yang keluar dari mulut ibunya. Demi maruah keluarga? Habis kebahagiaan dirinya? Papa dan ibu lebih mementingkan maruah keluarga dari kebahagiaan anak sendiri.
“Kak Sarah…” ucap Mardhiyah, anak bongsu Tuan Johann dan Puan Sophia.
“Kau diam! Kau tak layak nak bersuara di sini! Semua ni jadi sebab kau tahu tak? Sebab kau!” tinggi nada suara Maisarah sambil menatap wajah adiknya yang menunduk itu.
Dipandang diri Mardhiyah itu seperti semut kecil. Mahu saja dipijak-pijak lumat! Adiknya itu telah memusnahkan kebahagiaan dirinya. Adiknya itu telah melenyapkan segala kegembiraan miliknya. Adiknya, ya, adiknya itu yang telah merampas cinta hatinya!
“Ini bukan salah Dhiyah, Sarah…” tegur Puan Sophia.
Maisarah mendengus geram. Ibunya itu selalu sahaja memenangkan anak bongsunya yang satu itu. Mentang-mentang anak bongsu, apa sahaja kemahuan dituruti dan dia sebagai anak sulung, selalu sahaja mengalah. Tapi kali ini tidak lagi! Mardhiyah perlu diajar apa itu erti hak. Mardhiyah tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar hak peribadi dirinya.
“Tak salah apanya ibu kalau terang-terangan dia menggoda Iskandar. Dia memang cemburukan Sarah. Dia memang perempuan murah!” Maisarah mencemuh, sudah tidak boleh menahan sakit di hati.
“Sarah!” kali ini giliran suara Tuan Johann pula melengking kuat membuatkan lidah Maisarah tidak jadi menerus kata.
“Keputusan papa muktamad. Bulan hadapan, Dhiyah akan dinikahkan dengan Iskandar. That’s it!” ujar Tuan Johann.
“Papa!”
“Sarah, anggaplah kamu sudah tidak ada jodoh dengan Iskandar. Ibu yakin, ada lelaki lain yang lebih baik buat kamu di luar sana…” Puan Sophia cuba menenangkan anak sulungnya itu.
Maisarah merenung tajam tubuh adiknya yang sejak tadi menikus. Api dendam mula menyala di hatinya. Dia tidak akan benarkan adiknya itu bahagia setelah kebahagiaan dirinya diragut. Mardhiyah sudah melampau!
“Baik, kalau dah itu keputusan papa, Sarah terima. Tapi ingat! Sarah tak akan restu hubungan ni. Tak akan! Dan kau Dhiyah! Mulai hari ni, aku tak pernah ada adik lagi!” getus Maisarah lalu bergerak meninggalkan ruang tamu tersebut dengan hati yang bungkam.
Mardhiyah memanggil kakaknya namun tiada sahutan. Pintu villa dibuka lalu ditolak kuat. Bunyi enjin kenderaan kedengaran meninggalkan halaman villa tiga tingkat itu. Puan Sophia memandang wajah suaminya, mohon pengertian. Tuan Johann hanya mampu membalas tanpa riak.
Esakan mula kedengaran dari Mardhiyah. Dia tidak pinta keadaan jadi begini. Dia sayangkan kakaknya. Masakan dia tegar mengkhianati satu-satunya kakak yang dia ada. Namun nasi sudah menjadi bubur. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya…
::bersambung::

6 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

x sabar nak tau kisah seterusnya. next pliz!

Ily~PearJarl berkata...

hey..rdhwan...sambung cepat!~

Tanpa Nama berkata...

permulaan yang baik ridh! banyak idea menulis nampak... -ayu

Leya berkata...

mula2 dah bagi saspen... selamat menghabiskannya ;-)

lonely gurlz berkata...

macam menarik. kipidap ok!

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca. Dah lama tak menulis kisah cinta budak sekolah. Hehehe... :D