Sepatah Dua Kata

Sabtu, Mei 01, 2010

Begitulah Cinta - Bab 41


Luka Semakin Dalam

“DURAR tak apa-apa?” Hafiszul bertanya.
Aku tidak menjawab. Hafiszul membawaku duduk di Speaker’s Corner. Dia memerhatikan aku yang mengalirkan air mata tetapi tiada esakan yang keluar.
“Apa yang harus saya buat? Apa yang harus saya buat?” aku menyoal.
“Menangislah Durar. Jangan ditahan perasaan tu,” pujuk Hafiszul.
“Saya tak tahu nak buat apa lagi... apa salah saya? Apa salah saya?”
“Sabar Durar, sabar. Zul ada...” pujuk Hafiszul.
“Tolong... tolong tinggakan saya sendirian,” pintaku.
“Tak, Zul tak akan tinggalkan Durar dalam keadaan macam ni,” bantah Hafiszul.
“Saya tak apa-apa. Saya perlu bersendirian. Tolong,” rayuku.
“Baiklah, kalau Durar dah cakap macam tu, Zul pergi dulu...” ujar Hafiszul lalu melangkah pergi namun dia berhenti tidak jauh dari tempat Durar duduk.
            Tangisan yang kutahan tadi tumpah jua. Sampai hati Amirul Azme melakukan aku begini! Dia memang kejam! Esakanku jelas kedengaran di telinga Hafiszul. Hafiszul tidak dapat menahan rasa sedih melihat gadis yang dicintainya dalam keadaan hiba begitu. Sebolehnya dia tidak mahu Durar disakiti. Amirul Azme perlu diajar!

*  *  *  *  *

AMIRUL AZME bagai baru terkena renjatan elektrik apabila mendengar namanya dilaung. Segera pelukannya dilepaskan. Tidak sangka dia boleh hanyut dalam pelukan Faezah. Apakah masih ada sisa cinta dalam hatinya untuk gadis ini?
“Kurang ajar!” Hafiszul meluru ke arah Amirul Azme lalu melepaskan satu tumbukan tepat ke muka lelaki itu.
            Faezah yang melihat hanya tergamam. Amirul Azme tercampak ke belakang. Dirasakan ada cecair hangat mengalir di tepi bibirnya. Apakah yang telah merasuk Hafiszul sehingga menyerangnya tiba-tiba? Amirul Azme bangun selepas mengesat darah di bibirnya.
            Sekali lagi Hafiszul cuba menumbuk Amirul Azme namun kali ini lelaki itu pantas mengelak. Lengan Hafiszul dicapai lalu dipulas ke belakang. Hafiszul mengerang kesakitan.
“Kenapa dengan kau ni? Kenapa kau serang aku tak tentu pasal?” tanya Amirul Azme.
“Sebab kau lelaki tak guna! Lepaskan aku bodoh! Lepaskan!” desak Hafiszul.
“Aku tak akan lepaskan selagi kau tak cakap perkara sebenar!” Amirul Azme bertegas.
“Kau memang tak tahu malu! Sanggup kau curang dengan Durar! Sia-sia aje dia cintakan kau!” jerit Hafiszul, marah.
            Durar? Oh, Tuhan! Apakah  Durar telah menyaksikan apa yang berlaku antara dia dan Faezah? Amirul Azme melepaskan cengkaman tangannya lalu menolak Hafiszul menyebabkan lelaki itu tersungkur ke tanah.
“Mana Durar?” jerit Amirul Azme.
“Aku tak tahu! Kau carilah sendiri!”
            Amirul Azme segera berlari meninggalkan Hafiszul dan Faezah yang terpinga-pinga. Dia harus bertemu dengan Durar segera. Dia tidak mahu gadis itu salah faham. Tujuannya untuk berjumpa Faezah bukanlah untuk kembali semula pada gadis itu tapi untuk menamatkan hubungannya dengan Faezah. Tidak disangka Durar mengekorinya. Durar telah salah faham. Ya Allah! Tolonglah aku!

*  *  *  *  *

SYAKIR menunggu kedatangan seseorang di perpustakaan malam itu. Selepas menikmati makan malam bersama-sama Tarmizi dan Hafiszul, dia menuju ke sini. Tarmizi juga menghala ke tempat lain. Sebenarnya dia tidak mahu bertentang mata dengan perempuan itu namun dia terpaksa akur kerana ia berkaitan dengan Tarmizi. Entah apalagi yang perempuan tu hendakkan darinya.
“Lama tunggu?” Aimy menegur Syakir.
“Tak adalah, baru juga. Ada apa awak nak jumpa saya?” soal Syakir tanpa berselindung.
“Tak perlulah ber ‘saya’ ber ‘awak’ dengan aku. Macamlah aku tak kenal kau,” perli Aimy.
“Maaf, saya biasa begini. Saya bukannya hipokrit macam sesetengah orang,” balas Syakir memulangkan paku buah keras.
“Jangan nak kurang ajar ya!”
“Hai, awak terasa? Saya tak maksudkan awak...” ujar Syakir sambil tersengih.
“Huh!” rengus Aimy.
“Cakaplah, apa yang awak nak bincangkan dengan saya?” gesa Syakir.
“Aku nak kau jauhkan diri dari Mizi!” kata Aimy.
“Apa? Saya tak berapa dengar,” Syakir berpura-pura.
“Jauhkan diri kau dari Mizi!” ulang Aimy.
“Kenapa? Adakah saya menganggu hubungan awak berdua?” soal Syakir.
“Ya! Aku tak suka tengok dia ambil berat tentang kau. Aku sakit hati tengok dia rapat dengan kau. Aku tak suka! Faham!” jawab Aimy.
Syakir mengetuk meja dengan jemarinya. Dia memandang wajah Aimy. Gadis itu agak cantik namun sayang, perangainya hodoh.
“Maaf jika apa yang saya katakan mengguris hati awak. Aimy, pemikiran awak terlalu cetek. Kenapa awak boleh berfikir sampai macam tu sekali? Saya lelaki Aimy. Tarmizi masih belum buta. Dia tahu bezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Awak teman wanitanya. Seharusnya awak lebih memahami Tarmizi lebih dari sesiapa...” terang Syakir.
“Kau tahu tak sekarang Tarmizi dah lain? Dia dah tak seceria dulu. Semuanya sebab kau! Kau yang buat dia sedih. Kau ni memang tahu menyusahkan orang saja!” cemuh Aimy.
Syakir mengeluh. Ikutkan hati, mahu saja dicilinya mulut perempuan ni. Cakap main lepas aje.
“Maaf, tuduhan awak terlalu berat. Saya rasa awak yang buat dia sedih Aimy. Dalam sebuah perhubungan, keikhlasan dan kepercayaan amat penting. Jelas, awak langsung tak mempercayainya. Saya bersimpati pada Tarmizi,” ujar Syakir lagi.
“Kau tak layak nak cakap macam tu pada aku! Apa kau tahu tentang cinta? Dengan perangai kau macam ni, sapalah yang minat,” Aimy terus-terusan menghina Syakir.
“Saya rasa awak yang tak layak bercakap soal cinta dengan saya. Ya, saya akui, saya tak pernah bercinta tapi saya faham bagaimana keadaan orang bercinta. Sebenarnya awak bukan saja tak mempercayai Tarmizi tapi awak dah mengkhianati dia,” balas Syakir.
“Maksud kau?”
“Idham. Kenal dia?” tanya Syakir.
Aimy tersentak! Tidak, takkanlah Syakir tahu hubungannya dengan Idham? Mustahil!
“Apa yang kau merepek ni, hah?” marah Aimy.
“Saya tak merepek Aimy. Kalau nak, bila-bila masa saya boleh bongkarkan hubungan awak dengan Idham. Bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan sehelai daun. Saya cuma tak nak Tarmizi sedih. Saya tak mahu tengok dia kecewa kalau dia tahu hakikat sebenar yang awak bermain kayu tiga dibelakangnya!” nada suara Syakir agak tinggi.
Masih segar di ingatan Syakir tatkala ternampak Aimy berduan-duaan dengan Idham di sebuah kedai kasut di pusat bandar Segamat. Begitu mesra lagaknya bagai sepasang kekasih. Syakir yang melihat terasa meluat.
Idham satu kelas dengannya dan apabila ditanya, Idham mengaku dia mempunyai hubungan istimewa dengan Aimy. Gadis jurusan Sains Komputer itu tidak cukupkah dengan kasih Tarmizi sehingga sanggup mencari yang lain? Terlalu banyak sangatkah kasih dalam diri perempuan itu sehingga tegar berkongsi dengan lelaki lain?
Stop it! Kau... kau... jangan nak naikkan kemarahan aku!”
“Sudahlah, buang masa saya bercakap dengan orang seperti awak. Jelas, bukan saya yang buat dia sedih tapi awak, Aimy. Nampaknya, sia-sia saya berjumpa dengan awak. Ingatkan saya boleh berbincang dengan awak tentang Tarmizi tapi yang saya dapat hanya kata-kata cacian dan makian. Maaf, saya minta diri dulu. Assalammualaikum,” ujar Syakir lantas bangun meninggalkan Aimy dengan hati yang berbahang.
“Tak guna!” Aimy menumbuk meja.
“Siap kau Syakir! Aku takkan benarkan kau hidup aman!” bentak Aimy.

*  *  *  *  *

BANGLO IMPIANA agak sunyi malam itu. Puan Sri Kartika leka menonton drama yang disiarkan di kaca televisyen. Suaminya berada di dalam bilik bacaan. Malas hendak menganggu. Puan Sri Kartika faham benar dengan perangai suaminya yang tidak suka dikacau andai dia sedang membuat tugasan. Fared Mustapha menghilang entah ke mana. Lega hati Puan Sri Kartika apabila masalah anaknya dengan ceti haram itu sudah selesai. Masih ada baki RM 10, 000 lagi di tangan anak lelakinya. Mungkin, dia perlu segera melaksanakan rancangan pertunangan Fared Mustapha. Tapi, mahukah keluarga Datin Faridah menerimanya?
Walaupun dia agak rapat dengan Datin Faridah, wanita itu bukanlah mudah disogok dengan kemewahan. Lagipun, pemikiran wanita itu agak kolot. Nama saja dari golongan berpangkat tapi masih merendah diri. Sepatutnya, Datin Faridah berbangga dengan kemewahan yang dimiliki. Tengok saja dirinya, masih bergaya dan tampak elegan. Tidak pernah risau akan soal duit kerana dia tahu, harta kekayaan suaminya tidak akan habis diguna. Deringan telefon mengejutkan Puan Sri Kartika dari lamunan. Pantas, dia mengangkat telefon yang diletak tidak jauh darinya itu.
“Hello,” ucap Puan Sri Kartika.
“Hai sayang...”
You! Kenapa call guna telefon rumah? Berapa kali I cakap, jangan telefon I guna telefon rumah. Handphone I kan ada,” marah Puan Sri Kartika.
I dah banyak kali call handphone you tapi tak berangkat,” ujar  lelaki yang berada di talian sebelah sana.
“Kalau orang lain yang angkat tadi macam mana?” Puan Sri Kartika masih marah.
I cakaplah salah nombor. Ala, janganlah marah sayang...” pujuk lelaki itu.
You nak apa ni?” tanya Puan Sri Kartika.
I nak jumpa you. Rindulah...”
I pun rindukan you,” balas Puan Sri Kartika perlahan.
Hatinya sejuk mendengar pujukan lelaki itu.
So, bila nak jumpa?” tanya lelaki itu.
“Malam ni tak bolehlah. Tan Sri ada kat rumah. Esok, tengah hari kita lunch sama ya,” ujar Puan Sri Kartika.
“Okey, esok kita jumpa ya. Bye sayang... love you...”
I love you too...” ucap Puan Sri Kartika lalu menamatkan panggilan.
Gagang telefon diletakkan semula di tempatnya. Puan Sri Kartika hanyut dalam perasaanya. Fahimi, lelaki yang baru dikenalinya sebulan lepas membuatkan hatinya penasaran. Lelaki tu begitu romantik dan memahami dirinya. Bukan seperti Tan Sri Ahmad Ariff yang tegas dan kedekut itu.
Bersama-sama dengan Fahimi, Puan Sri Kartika rasa dihargai dan seolah-olah masih muda. Dia selalu keluar senyap-senyap dengan lelaki itu. Puan Sri Kartika tidak kisah berbelanja untuk Fahimi asalkan keperluan lelaki itu mencukupi dan ini turut menjanjikan layanan baik dari lelaki itu. Puan Sri Kartika rela berhabis untuk Fahimi asalkan lelaki itu melekat di sisinya.
“Siapa yang telefon tadi?” soal Tan Sri Ahmad Ariff sekaligus membuang jauh khayalan Puan Sri Kartika.
“Oh, abang... em, orang salah nombor,” Puan Sri Kartika berdusta.
“Hmm... anak-anak mana?”
“Fared dah keluar. Ana kat dalam bilik. Membaca agaknya,” jawab Puan Sri Kartika.
Tan Sri Ahmad Ariff berlalu ke dapur. Puan Sri Kartika mengurut dada. Terkejut dengan sapaan suaminya tadi.
‘Bilalah orang tua ni nak mampus agaknya? Menyusahkan hidup aku je...’ Puan Sri Kartika berkata dalam hati.
::bersambung::

2 ulasan :

epy elina berkata...

hohohooh....
adehhh...
rumit jg mslh durar ngn amirul...
mst durar kcwa saat ni...
enth la dpt kah amirul pujuk...
amirul msh x dpt lupkn faezah nmpknya...
hmmmm....
smbung2x...
x sbr nak thu ending dia...
lma lg ke nak abs??
pe pun crta ni best...
brp ari ni fkir psl crta ni je...
kehkeh....

Rizai Reeani berkata...

epy elina: Itulah, bila berbicara soal perasaan ni, memang sampai bila pun tak habis. Hehehe... Em, saya kira sudah hampir menemui penamatnya mungkin. Atau masih ada 30% lagi saya.

Alhamdulillah, gembira mendengar awak menyukainya. Jika ada yang kurang berkenan di hati, sudilah maklumkan. :D

Terima kasih sudi singgah membaca... (^_^)