Sepatah Dua Kata

Rabu, Mei 05, 2010

Begitulah Cinta - Bab 42



Terlalu cinta...

AKHIRNYA pagi muncul jua menandakan hari baru telah menjelma. Rashidah membuka tingkap dan menguak langsir bilik SAB 119C itu. Jarum jam di dinding menunjukkan tepat pukul tujuh pagi. Dia melihat jadual Durar. Sepatutnya gadis itu ada kuliah pagi ini namun dia tidak sampai hati hendak mengejutkan Durar yang masih lena. Dilihat mata gadis itu sembab. Pasti kerana lama menangis. Semalam, dia amat terkejut apabila melihat Durar menitiskan air mata ketika dia berada di dalam bilik. Puas dia bertanya tetapi Durar hanya menangis dan terus menangis menyebabkan dia buntu. Apa yang telah berlaku pada gadis itu sehingga dia menangis begitu? Sekarang, sekali lagi dia dicengkam dilema. Apa yang patut dilakukan saat ini? Hendak dikejutkah gadis itu dari tidur atau membiarkan saja?
“Durar,” sapa Rashidah perlahan.
            Tiada reaksi dari gadis itu. Kasihan dia melihat wajah Durar yang kelihatan begitu lemah. Sekali lagi Rashidah menyebut nama kawan baiknya itu. Kali ini suaranya ditinggikan sedikit. Keadaan kawan baiknya itu masih seperti tadi. Lantas Rashidah menarik badan kawannya yang menghadap arah dinding supaya berpaling padanya.
“Ya Allah! Durar!” jerit Rashidah apabila melihat pil-pil berbentuk bulat berselerakan di tepi kawannya itu.
            Badan Rashidah menggigil. Apa yang telah Durar lakukan ini? Takkanlah dia... bunuh diri? Ya Allah, Rashidah berisghtifar di dalam hati membuang fikiran buruknya itu.
Tiba-tiba dia merasakan tangannya dicapai. Pantas Rashidah melihat wajah kawan baiknya. Mata Durar terbuka sedikit demi sedikit.
“Shidah...” ucapku lemah.
“Syukur kau selamat. Kau ni buat takutkan aku saja. Kau okey? Aku hantar kau ke klinik ya?” pelawa Rashidah.
“Tak apa. Aku okey. Kau pergilah ke kelas. Nanti lambat pula,” tolakku.
“Ish, tak sedap hati aku nak ke kelas tengok kau macam ni. Beginilah, aku ke kelas dulu, nanti aku minta kebenaran keluar sekejap. Lepas tu kita ke klinik ya. Kau jangan degil pula,” cadang Rashidah.
            Aku sekadar mengangguk tanda bersetuju. Rashidah berlalu setelah memastikan aku boleh bangun dan tidak apa-apa. Sejurus Rashidah menutup pintu, aku bangun perlahan-lahan. Agak terkejut melihat pil-pil yang bersepah di atas katil bersebelahanku. Baru aku teringat, malam tadi, aku menelan dua biji panadol kerana kepalaku terasa amat pening. Dan selepas itu, aku sudah tidak sedar apa yang berlaku sehinggalah pagi ini.
            Peristiwa semalam agak kabur di mindaku. Lantas, aku bangkit dari katil, mencapai tuala lalu melangkah ke bilik air. Masih ada lima belas minit sebelum kuliah bermula. Harap aku sempat sampai ke sana...

*  *  *  *  *

SALWA  sedang bersiap-siap untuk ke butik. Selepas memastikan dirinya kelihatan kemas, dia pun melangkah turun ke ruang makan. Pagi itu, Villa Damai disajikan dengan mee goreng sebagai sarapan pagi. Dato’ Zaidi dan Datin Faridah sudah duduk menanti di meja makan.
“Assalammualaikum ummi, ayah,” sapa Salwa.
            Serentak kedua-dua orang tuanya menjawab salam yang diberi. Salwa mengambil tempat duduk di sebelah umminya. Mak Minah datang membawa seteko air milo panas.  Dato’ Zaidi mempelawa Mak Minah sarapan bersama dan seperti kebiasaan Mak Minah menolak sopan. Dia segan duduk makan semeja dengan majikannya itu. Kata pepatah, orang berbudi, kita berbahasa.
“Eh, lain macam je rupa mee goreng ni,” ujar Salwa sejurus melabuhkan punggung di kerusinya.
“Cubalah kamu rasa dulu,” ujar Dato’ Zaidi.
            Salwa mencedok mee goreng yang masih berasap itu ke dalam mangkuk. Dia membaca bismillah dan mula menyuapkan mee goreng itu ke dalam mulutnya.
“Hah? Macam mana rasanya?” soal Datin Faridah pula.
“Ummi dan ayah dan cuba rasa ke belum?”
            Dato’ Zaidi dan Datin Faridah menggelengkan kepala. Salwa hairan. Lebih-lebih lagi melihat umminya yang sejak dari tadi tersenyum-simpul.
“Rasanya boleh tahan. Sapa yang masak ni ummi?” Salwa bertanya pada emaknya.
“Ayah kamu,” jawab Datin Faridah.
What? I don’t believe it! Ayah yang masak?” Salwa bertanya tidak percaya.
“Kenapa? Tak percaya?” usik Dato’ Zaidi.
“Err... bukan tak percaya cuma terkejut sikit,” jawab Salwa.
“Hah, jangan ingat ayah ni tak tahu masak. Sesekali ayah tunjuk bakat, terkedu kamu,” ujar Dato’ Zaidi.
“Yalah tu abangnya...” usik Datin Faridah pula.
            Salwa tergelak kecil. Dia meneruskan suapan. Entah apalah angin ayahnya pagi ini sampai sudi membuat  sarapan pagi.
“Wawa, Adi datang,” ujar Mak Minah tiba-tiba.
“Oh, tolong panggilkan dia masuk Mak Minah. Ajak dia bersarapan sekali,” pelawa Dato’ Zaidi.
“Ayah...” tegur Salwa malu.
            Mak Minah berlalu dari ruang makan itu memanggil Adi Izlan. Seketika kemudian, kelibat lelaki itu muncul di ruang tamu. Dia segak memakai kemeja biru laut dan seluar slack hitam. Rambutnya disisir kemas.
“Wah, langkah kanan saya pagi ni ya,” ujar Adi Izlan sekadar berbasa-basi.
“Jemputlah duduk Adi,” pelawa Datin Faridah.
            Sebelum duduk, Adi Izlan bersalaman dengan Dato’ Zaidi dan Datin Faridah. Kemudian, dia mengambil tempat duduk bertentangan dengan Salwa.
“Bertuah kamu hari ni Adi. Sarapan pagi ni, uncle kamu yang buat,” beritahu Datin Faridah.
“Alhamdulillah, tak sangka uncle ni pandai memasak ya. Untung auntie,” balas Adi Izlan.
“Kenapa datang sini?” sampuk Salwa.
“Eh, kamu ni. Apa salahnya Adi datang? Ada ke tanya macam tu. Hah, sendukkan mee tu dalam mangkuk Adi,” tegur Datin Faridah.
Salwa mencebikkan bibir. Adi Izlan melemparkan senyum.
‘Sukalah tu tengok aku kena marah,’ detik hati Salwa.
 “Terima kasih,” ucapnya apabila Salwa memberi mangkuk yang berisi mee goreng kepadanya.
“Sama-sama,” jawab Salwa sambil menarik muka.
“Ayah dan emak kamu sihat Adi?” tanya Dato’ Zaidi.
“Alhamdulillah, mereka berdua sihat. Duduk di kampung uncle, udara pun segar. Bukan macam di bandar ni,” jawab Adi Izlan.
“Datin! Ada panggilan telefon dari Rashidah, kawan Durar. Dia kata, Durar pengsan. Ada di klinik kat sana Datin,” sampuk Mak Minah.
“Ya Allah! Durar!” ucap Datin Faridah sambil memandang ke arah suaminya, kaget.

*  *  *  *  *

ADI IZLAN memandang wajah sepupunya itu. Selepas pulang dari Villa Damai, dia terus ke pejabat. Mulanya, dia ingin mengikut Salwa sekeluarga tetapi Salwa menegah. Dia akan dimaklumkan tentang keadaan Durar nanti.
“Ada apa you nak jumpa I ni?” Dalila bertanya pada Adi Izlan setelah lelaki itu memanggilnya datang ke pejabat pagi itu.
“Tentang Salwa,” jawab Adi Izlan.
“Kenapa dengan perempuan tu?”
“Apa yang telah you cakap pada dia?”
“Cakap apa? I rasa I tak ada cakap apa-apa yang tak baik pada dia,” dalih Dalila.
“Kenapa you cakap kita dah bertunang? Apa tujuan you?” Adi Izlan menyoal sepupunya itu.
Dalila pula tersentak. Apakah perbuatannya telah terbongkar? Mustahil! Salwa tidak akan sanggup memberitahu Adi Izlan perkara sebenarnya. Tapi, bagaimana kalau dia sanggup?
I tak faham. Apa maksud you?” Dalila pura-pura bertanya.
“Masih nak berdalih lagi? Dalila, I dah tahu semuanya. Tak sangka you sanggup menganiaya sepupu sendiri,” sindir Adi Izlan.
Dalila ketawa mendengar kata-kata lelaki di hadapannya. Nampaknya, tidak ada apa yang perlu disorokkan lagi. Rupanya, dia masih belum menang.
I buat macam tu bersebab,” ujar Dalila.
“Sebab? Huh, apa sebabnya? You jealous? Atau, you ada hati pada I?” teka Adi Izlan.
            Dalila tersenyum sinis. Dia tidak akan membiarkan Adi Izlan meneka perasaannya. Tidak dinafikan, dia menyayangi lelaki itu. Cuma, dia takut untuk meluahkan rasa. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui ada perempuan lain yang turut meminati Adi Izlan.
You jangan nak merepek Adi. I buat macam tu sebab I tak nak you dikecewakan. For your information, Salwa dah nak bertunang. Dengan Fared,” sekali lagi Dalila mengatur rancangan jahatnya.
Terbeliak anak mata Adi Izlan mendengar butir bicara Dalila. Salwa nak bertunang? Dengan sepupunya, anak Auntie Katty? Tidak, Salwa tidak akan buat begitu. Dia yakin Salwa mencintainya.
“Mana you tahu?”
Auntie Katty yang cakap. Tak tahulah betul ke tak. You tanya ajelah  Fared,” cadang Dalila.
“Nantilah I tanya dia,” ujar Adi Izlan lesu.
Dalila tersengih. Mudah benar mempengaruhi lelaki ini. Salwa, aku tak akan benarkan Adi Izlan jadi milik kau!

*  *  *  *  *

MATAKU dibuka perlahan-lahan. Wajah ummi menyapa pandanganku. Aku memerhati sekeliling. Di manakah aku sekarang ini?
“Alhamdulillah, kamu dah sedar nak,” ucap ummi.
“Ummi... Durar kat mana ni?”
“Kat klinik Sri Penawar. Durar pengsan tadi,” jawab Rashidah bagi pihak ummiku.
Sri Penawar? Oh, klinik yang disediakan di dalam UiTM ini. Aku pengsan? Pelik....
“Anita yang hubungi aku pagi tadi. Dia kata kau pengsan masa kat dalam kelas. Aku pun telefon parents kau,” terang Rashidah seolah-olah mengerti pertanyaan dalam hatiku.
“Kenapa boleh jadi macam ni Durar?” tanya ayah yang diam membisu sejak tadi.
“Ayah... Durar tak apa-apa. Maybe letih sikit sebab belajar banyak sangat,” dalihku.
“Durar!” laung Hafiszul.
“Ah, auntie, uncle. Durar macam mana?” soal Hafiszul lalu bersalam dengan kedua-dua orang tuaku.
“Dia tak apa-apa. Macam mana kau tahu dia ada kat sini?” tanya Rashidah pula.
“Anita yang beritahu aku tadi. Durar, awak okey?”
Kepalaku dianggukkan. Wajah lelaki itu kurenung. Betapa prihatinnya dia padaku. Apakah lelaki ini benar-benar ikhlas terhadapku?

::bersambung::

1 ulasan :

epy elina berkata...

hohohoo...
adeh....
keadaan mkin rumit...