Sepatah Dua Kata

Ahad, Mei 16, 2010

Begitulah Cinta - Bab 44*



Jejak langkahmu semakin menghilang...

NOVEMBER 2005

PEPERIKSAAN akhir semester telah berlalu semalam. Akhirnya aku berjaya juga menamatkan pembelajaran bagi semester ini. Keseluruhannya, peperiksaan akhir semester ini agak baik. Aku berharap semoga aku mendapat keputusan yang cemerlang. Setelah berusaha, kini yang mampu dilakukan hanyalah tawakkal. Tahun hadapan, semuanya akan berubah. Aku akan pulang ke rumah dua hari lagi. Sengaja tidak mahu pulang awal kerana masih ada urusan yang belum selesai. Rashidah masih ada lima hari lagi sebelum peperiksaan bagi kursusnya tamat. Semester lepas, dia yang pulang dulu sebelumku, jadi terimalah balasannya semester ini. Hahaha...
            Aku berbaring di katil, memerhati sekeliling bilikku. Tanpa sedar, hampir tiga tahun aku duduk di sini. Banyak kenangan suka duka yang dikumpul di bilik ini. Pasti aku akan merinduinya. Semester hadapan merupakan semester terakhir sebelum aku menamatkan pengajian. Jika ada rezeki, aku akan sambung belajar ke peringkat Ijazah Sarjana Muda pula. Pagi-pagi begini membuatkan aku ingin melelapkan mata namun mengenangkan aku harus ke pejabat pengurusan kolej pada pukul sepuluh nanti menyebabkan aku membatalkan niatku. Rashidah ada peperiksaan pagi ini.
            Punyalah kecoh pagi tadi apabila dia terlewat bangun. Peperiksaan akan bermula pukul lapan tetapi pukul tujuh setengah baru dia bangun. Aku juga tidak dengar bunyi jam loceng berdering. Mujur Kak Farah yang tinggal di bilik sebelah yang datang mengejutkan kami. Itupun sebab dia nak meminjam water heater. Nasib baik kau Rashidah. Kalau tak, menyesal tak sudah.
            Isyarat mesej berbunyi membuatkan aku bangkit dari pembaringan lalu menuju ke meja tulis untuk mengambil telefon bimbitku. Butang hijau kutekan. Serta-merta tanganku menggigil.

We need to talk. I see you at Blok I after lunch hour – Amirul

Ya Allah, perlukah aku berjumpa dengannya?

*  *  *  *  *

LAILY mengesat peluh yang menitik. Raket badminton diletak ke tepi. Faezah pula sedang rakus meneguk botol berisi air mineral. Pagi itu redup tanpa cahaya mentari. Mungkin hendak hujan sebentar lagi. Kolej Baiduri yang terletak agak hujung di antara kolej pelajar perempuan yang lain akan ditinggalkan esok hari. Laily dan Faezah tinggal di kolej yang sama cuma bilik mereka berbeza. Walaupun satu program, masing-masing berlainan kelas. Faezah satu kelas dengan Amirul Azme dan Hafiszul iaitu D5F4. Dia serta Durar di dalam kelas D5F1. Bercakap tentang Durar, bagaimana agaknya keadaan gadis itu?
“Kau agak Durar macam mana?” Laily bertanya pada Faezah.
“Macam mana apa?” Faezah tidak faham pertanyaan Lily tadi.
“Yalah, sekarang dia dah tak ada sapa-sapa. Zul dengan aku, Imie dengan kau,” balas Laily.
“Kau rasa dia kesian? Silaplah! Perempuan macam dia tu mudah cari pengganti. Tak payahlah kau risau kat dia. Lagipun, yang patut risau tu kau dengan aku. Mana tahu kalau-kalau si Zul dengan si Imie tu syok lagi kat perempuan tu,” ujar Faezah.
“Minta-minta taklah. Eh, kau nak sambung main lagi ke?”
“Jomlah. Pukul sembilan kita stop,” jawab Faezah lalu bangun menuju ke gelanggang badminton.

*  *  *  *  *

“SALWA harap ummi tolak permintaan Puan Sri tu. Ummi tahukan hubungan Salwa dengan Adi,” ujar Salwa ketika Datin Faridah menyuarakan hajat Puan Sri Kartika tempoh hari.
“Ummi tahu tapi ummi rasa serba-salah pula. Tan Sri Ahmad Ariff tu dulu banyak tolong ayah kamu. Kami...”
“Terhutang budi? Ummi, Salwa tahu Tan Sri dah banyak berjasa pada kita sekeluarga tapi jangan kerana budi, Salwa nak korbankan kebahagiaan Salwa sendiri,” tegas Salwa.
“Ummi tak bermaksud begitu. Ummi nak semua anak ummi bahagia. Hmm.. nantilah, ummi akan bincang dengan ayah,” Jawab Datin Faridah hambar.
“Salwa tak akan terima lelaki lain selain Adi ummi,” Salwa mengingatkan seolah-olah tidak ada apa yang boleh mengubah keputusannya.
“Wawa, ada lelaki nak jumpa Wawa,” sampuk Mak Minah.
“Siapa Mak Minah?”
“Fared Mustapha,” jawab Mak Minah.
Salwa berpandangan dengan umminya. Apa pula yang lelaki ni nak?
“Pergilah jumpa dia,” ujar Datin Faridah.
“Ummi temankanlah,” ajak Salwa agak gementar.
“Dia nak jumpa kamu bukan ummi,” balas Datin Faridah.
“Ummi ni...” akhirnya Salwa mengalah lalu berjalan meninggalkan umminya berseorang di tepi kolam renang itu.
            Salwa menapak ke ruang tamu Villa Damai. Dari jauh dia sudah nampak kelibat lelaki itu. Segak berkemeja putih dan berkot hitam. Rambutnya yang panjang itu tampak tidak disisir kemas. Salwa masih ingat pandangan mata lelaki itu sewaktu berjumpa di butik dahulu. Sejak hari itu, lelaki itu mula muncul menganggu hidupnya. Bunga, hadiah, kek, dan pelbagai lagi dilambakkan padanya tapi Salwa tidak pernah melayan. Kebanyakkan barang-barang yang dia perolehi diberikan saja pada Murni dan Kavitha. Dia rimas sebenarnya.
“Assalammualaikum,” ucap Salwa.
“Waalaikummussalam,” jawab Fared Mustapha lalu bangun.
“Duduklah. Ada apa nak jumpa saya ni?” Salwa terus bertanya tanpa berbasa-basi.
“Err, kalau tak keberatan, saya nak ajak awak keluar tengok wayang malam ni. Boleh?” Fared Mustapha bertanya.
“Bolehlah anak saya ikut sekali kalau begitu. Dah lama juga kami tak pergi tengok wayang,” jawab Salwa.
“Err... kita berdua saja tak boleh ke?”
            ‘Ewah, sapa nak keluar berdua dengan kau. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Maaflah, aku sengaja menguji kau. Ternyata dugaanku tepat. Lelaki ini tidak suka akan kehadiran Saufi. Jadi, bagaimana agaknya jika mereka berkahwin nanti? Pasti Saufi akan dipinggirkan,’ getus hati Salwa.
“Maaf, sebenarnya saya dah ada temu janji malam ni,” ujar Salwa cuba mengelak.
“Iya, dengan sapa?” tanya Fared Mustapha.
“Dengan aku...”
            Salwa berpaling. Begitu juga dengan Fared Mustapha. Adi Izlan sedang berjalan menghampiri mereka. Bila pula lelaki ni muncul?
“Betul tak sayang?” soal Adi Izlan.
“Hah? Oh... err... ya... betul, betul. Saya ada temu janji dengan Adi,” jawab Salwa kelam-kabut kerana panggilan sayang oleh Adi Izlan tadi.
Fared Mustapha bertentang mata dengan Adi Izlan. Tidak menyangka yang sepupunya akan muncul di situ.
‘Kenalkah mereka antara satu sama lain?’ detik hati Salwa.
“Kalau macam tu. Tak apalah. Mungkin lain kali. Saya balik dulu. Nak ke pejabat,” ujar Fared Mustapha lau bangun dan melangkah keluar.
Sejurus selepas lelaki itu keluar, Salwa terus mengajukan soalan pada kekasihnya itu.
“Iz kenal dia?”
He’s my cousin,” jawab Adi Izlan.
“Hah? Jadi Iz tahulah tentang rancangan pertunangan kami?” Adi Izlan mengangguk.
Salwa cemas. Apa agaknya yang difikirkan oleh lelaki ini?
“Sal setuju ke?”
“Ish, tak adalah. Sal tengah tunggu putera raja datang meminang. Sampai sekarang tak muncul-muncul,” usik Salwa.
            Adi Izlan tergelak. Dia tahu Salwa tidak akan berlaku curang padanya. Salwa sudah menjadi miliknya. Hanya dia...
“Kalau macam tu, kita kahwin sekarang nak?” ajak Adi Izlan.
“Hah? Iz jangan nak buat lawak ya,”
“Apa pula, Iz serius!” ujar Adi Izlan mempamerkan ketegasannya.
“Iz ni...” Salwa berlalu pergi kerana malu diusik begitu.
“Kenapa dengan Salwa tu?” tanya Datin Faridah ketika dia sampai ke ruang tamu itu.
“Saya ajak dia kahwin sekarang tapi dia terus lari. Ada ke patut,” jawab Adi Izlan.
“Hah?” Datin Faridah menekup mulut dengan tangannya, terkejut dengan kata-kata bakal menantunya itu.
“Saya bergurau je auntie...
“Kamu ni...” tegur Datin Faridah dengan hati yang lapang.

::TAMAT::


** Salam semua. Ini adalah entri terakhir novel Begitulah Cinta di dalam blog ini. Untuk pengetahuan, saya sudah menyerahkan manuskrip novel ini ke tangan penerbit dua hari yang lepas. Justeru itu, atas nasihat penerbit, entri manuskrip novel ini hanya boleh disiarkan sehingga bab 17 sahaja. Maaf atas segala kesulitan. Doakan agar manuskrip ini diterima dan dapat menemui pembaca dalam versi cetak. Sokongan dan dorongan anda semua amat saya hargai. Mulai minggu hadapan, akan disiarkan cerpen bersiri terbaru bertajuk “Apa Kata Hati”. Selamat membaca dan semoga terhibur. Sekian, terima kasih. **
-Rizai Reeani-

1 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

citer ni best. buat orang tertanya2. sy doakan agar ia jadi versi cetak tak lama lg. -ayu