Sepatah Dua Kata

Ahad, Mei 16, 2010

Cinta Antara Kita III - Bab 01




NADZLIA bergegas menuju ke hospital setelah mendapat panggilan dari emak Khairul. Mujur ada Farah yang sudi menemaninya. Dalam hati, ada cemas yang menggila. Khairul telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tatkala mendengar berita itu, Nadzlia terasa separuh dari semangatnya telah dibawa pergi. Tidak putus-putus dia berdoa agar kekasih hatinya itu selamat dari segala bahaya dan malapetaka. Sampai sahaja di perkarangan hospital dengan menaiki kereta kancil yang dipandu oleh Farah, Nadzlia segera ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Puan Afifah dan Encik Harun sedang duduk menanti di kerusi yang disediakan di hadapan bilik ICU itu.
“Makcik!” tegur Nadzlia.
“Lia!” balas Puan Afifah lalu mendakap gadis yang sudah dianggap sebagai anak sendiri itu penuh erat.
“Sabarlah makcik. Kita berdoa semoga segalanya selamat,” ujar Nadzlia.
Puan Afifah menangis dan terus menangis. Nadzlia melihat wajah ayah Khairul yang tenang namun gelodak rasa dalam jiwanya, tiada siapa dapat meneka. Farah muncul beberapa minit kemudian. Dia kelihatan mengah. Mungkin penat mengejar Nadzlia yang berlari meninggalkannya keseorangan di tempat letak kereta tadi. Nadzlia meleraikan pelukannya perlahan-lahan. Dia memperkenalkan Farah pada ayah dan emak Khairul. Farah tunduk bersalaman dengan kedua-duanya.
“Macam mana boleh accident ni pakcik?” soal Farah, ingin tahu.
Nadzlia hanya diam. Sebenarnya itulah soalan pertama yang ingin ditanya namun entaha mengapa berat untuk mulutnya bersuara. Pasti keadaan Khairul agak parah kerana dimasukkan ke dalam ICU.
“Pakcik pun tak pasti tapi dari apa yang pihak polis cakap tadi, motosikal yang dipandu oleh Khairul bertembung dengan lori balak. Lori tu hilang kawalan sehingga masuk ke kawasan jalan sebelah lalu merempuh Khairul,” jawab Encik Harun.
“Ya Allah...” ucap Farah.
Nadzlia yang mendengar menekup mulutnya. Bertembung dengan lori? Tidak dapat Nadzlia bayangkan situasi tersebut. Apa yang penting sekarang adalah keselamatan Khairul. Puan Afifah masih tersedu-sedan dalam tangisan. Hati ibu mana yang tidak dilanda risau mengenangkan anak yang disayangi berada dalam bahaya.
Seketika kemudian, pintu bilik ICU itu dibuka. Bingkas Encik Harun bangun untuk bertanya keadaan anaknya.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Anak encik selamat. Cuma kaki kirinya retak sedikit dan kami dah membalutnya. Anak encik sungguh bertuah. Mungkin sebelum dilanggar dia sempat melompat dari motor yang dipandu. Jika tidak, kecederaan yang dialaminya pasti lebih teruk memandangkan dia bertembung dengan lori,” jelas doktor yang memaki tag nama Shamsul itu.
Terpancar sinar kelegaan dalam setiap wajah yang berada di situ. Syukurlah Khairul selamat, getus hati Nadzlia.
“Boleh, kami tengok dia doktor?” Puan Afifah bertanya dalam esakan.
“Buat masa ni pesakit perlukan rehat. Saya rasa lebih baik puan dan semua yang ada di sini pulang ke rumah dahulu. Esok boleh datang semula. Sebelum tu, boleh saya berjumpa dnegan ibu bapa pesakit?” pinta Doktor Shamsul.
Encik Harun dan Puan Afifah membuntuti langkah Doktor Shamsul menuju ke bilik doktor tersebut. Nadzlia hanya memandang tanpa kata. Farah memegang kejap bahu sahabatnya, menghantar sedikit kekuatan. Nadzlia mengukir senyum lalu mengajak temannya itu pulang semula ke kolej kediaman mereka. Asalkan Khairul tidak apa-apa, Nadzlia sudah tidak runsing lagi.

*  *  *  *  *

MENTARI tidak memancar terik tengah hari Khamis itu. Deru angin yang berhembus membawa sedikit nyaman. Nadzlia dan Farah melangkah masuk ke dalam lif sejurus mereka tiba di hospital. Butang tiga ditekan dan lif bergerak naik ke tingkat yang diarahkan. Selepas pintu lif dibuka, kedua-dua gadis itu melangkah keluar sambil mata masing-masing meliar mencari  nombor wad yang menempatkan Khairul. Puan Afifah ada menelefon Nadzlia semalam untuk memberitahu yang Khairul sudah selamat dipindahkan ke wad.
“Hah, tu Lia!” tegur Farah.
Nadzlia bergegas menuju ke bilik 303 yang ditunjukkan Farah tadi. Tidak sabar untuk menatap wajah kekasih yang dirindui. Sampai di depan pintu, langkah Nadzlia terhenti. Farah yang mengekori sahabatnya itu turut berhenti sekaligus tertanya-tanya di dalam hati.
“Kau ni kenapa?”
“Err... saya takutlah awak...” ujar Nadzlia.
“Takut? Takut apanya?”
“Entahlah, hati saya rasa tak sedap. Berdebar semacam...” jawab Nadzlia.
“Ah, perasaan kau je tu. Kalau kau takut, biar aku yang buka,” pelawa Farah tanpa dipinta.
Pintu bilik diketuk dan terdengar suara dari dalam menyuruh mereka masuk. Farah memberi salam. Kelihatan hanya Puan Afifah seorang yang berada di dalam bilik sederhana kecil itu. Mereka berdua bersalam dengan wanita sudah yang menjangkau usia separuh abad itu. Nadzlia memandang wajah Khairul. Dahi Khairul bertampal dengan plaster. Bibir dan pipi kirinya sedikit lebam. Air muka lelaki itu tampak tenang.  Inilah kali pertama dia melihat Khairul ketika tidur. Comel seperti bayi yang nyenyak di dalam buaian. Nadzlia mengalihkan pandangannya pada kaki lelaki itu yang berbalut. Harap kecederaannya tidak teruk sangat.
“Pakcik ke mana?” tanya Nadzlia sekadar berbasa-basi.
“Pakcik ke kantin. Lapar katanya,” jawab Puan Afufah.
“Macam mana dengan Khairul, makcik?” Farah pula bertanya.
“Alhamdulillah, doktor kata dia tak apa-apa. Cuma...” wajah Puan Afifah bertukar mendung.
“Cuma?” Nadzlia menyoal, gusar.
“Cuma... dia...” Puan Afifah tidak meneruskan kata apabila terdengar Khairul terbatuk.
Perlahan-lahan matanya dibuka. Khairul memandang sekeliling. Emaknya masih berada di sisi. Kali ini ada dua orang gadis yang datang melawat. Kelibat ayahnya tidak pula kelihatan.
“Hah, Rul, dah bangun pun kau!” tegur Farah apabila melihat Nadzlia seolah kelu tanpa kata.
Khairul tersenyum. Senyuman yang menambahkan keyakinan dalam diri Nadzlia bahawa lelaki itu sihat dan tidak mengalami kecederaan yang serius.
“Cik adik dua orang ni dari mana?” tanya Khairul.
“Kita orang dari universiti. Lepas habis kuliah tadi, terus ke sini. Petang kami tak ada kuliah,” jawab Farah.
“Oh... datang naik apa?”
“Kereta aku,” jawab Farah lagi sambil matanya mengerling pada Nadzlia yang seakan tidak mampu berbicara.
“Kita sekelas ya?” tanya Khairul lagi.
Wajah Farah berubah. Begitu juga dengan Nadzlia. Ah, Khairul pasti sedang bergurau. Dalam sakit sempat lagi dia nak buat kelakar.
“Kau ni memang terlupa atau sengaja buat-buat lupa. Mari, aku ketuk sikit kepala tu. Agaknya ada wayar terputus tu,” usik Farah.
Khairul ketawa. Ketawa yang kedengaran sungguh asing pada telinga Nadzlia. Dia mula diselubungi gelisah.
“Aku sekelas dengan Lia. Kau tu kelas lain,” sambung Farah lagi.
“Oh, jadi kau datang ni sebab kita ada apa-apa hubungan?” soal Khairul lagi.
Farah mengerutkan dahi. Nadzlia sudah memandang Puan Afifah yang menundukkan wajahnya. Kemudian dia beralih pada Khairul yang sedang merenungnya.
“Siapa nama kau?” soal Khairul sekaligus menggegarkan jantung Nadzlia.
Nadzlia merasakan tubuhnya menggigil. Kakinya seakan tidak pijak ke tanah. Lesu. Tiba-tiba dia terjelepok di atas lantai hospital yang dilitupi jubin rona putih itu namun sempat disambut oleh Farah. Benarkah apa yang didengarnya tadi? Benarkah? Ya Allah, dugaan apakah ini?

::bersambung::

Tiada ulasan :