Sepatah Dua Kata

Ahad, Mei 16, 2010

Cinta Antara Kita III - Bab 02




“ANAK puan mengalami Retrograde Amnesia atau dalam bahasa mudahnya hilang ingatan. Mungkin sewaktu anak puan melompat, kepalanya terhantuk pada benda keras seperti batu atau kayu sekaligus menyebabkan otaknya bergegar. Biasanya pesakit jenis ini tidak mampu mengingati apa-apa kejadian yang berlaku selepas sesuatu insiden. Namun puan tak perlu risau kerana apabila bengkak di kepala pesakit berkurangan, saya yakin ingatannya akan pulih semula. Selain itu ,saya juga akan bekalkan dengan beberapa jenis ubat yang diharap dapat membantu dalam mengaktifkan semula sel-sel otak yang lemah sekaligus membantu dalam mengembalikan memorinya semula,”
Penjelasan Doktor Shamsul semalam masih kuat dalam ingatan Puan Afifah.  Tambah doktor itu lagi, hanya masa yang mampu merawat segalanya. Selebihnya, berserah pada Ilahi. Puan Afifah nyata terkejut sewaktu Khairul sedar diri pagi tadi. Anaknya itu tidak dapat mengingati namanya sendiri apatah lagi dirinya yang merupakan ibu kepada Khairul. Melihat keadaan anaknya begitu, hati ibu mana yang tidak runsing. Mujur suaminya memberi sedikit semangat agar dia lebih tabah.
Nadzlia memicit-micit dahinya setelah mendengar penjelasan dari emak Khairul tadi. Lelaki itu menghidap amnesia. Sejenis penyakit yang menguji kesabaran, bukan sahaja penghidapnya malah mereka yang berada di sekeliling. Puan Afifah masuk semula ke dalam bilik yang menempatkan Khairul. Farah yang sejak tadi menjadi pendengar setia, memegang lembut bahu sahabatnya itu. Dia tahu Nadzlia kebingungan. Dia tahu Nadzlia masih terkejut.
“Apa yang saya nak buat sekarang Farah?” tanya Nadzlia, risau.
“Bersabar... banyakkan berdoa agar Khairul cepat sembuh. Waktu begini kita tidak boleh terlalu memaksa. Nanti takut akan memudaratkan dirinya. Kita hanya boleh tunggu,” ujar Farah, berharap agar kata-katanya dapat menenangkan jiwa Nadzlia yang kacau.
“Huh, tunggu? Sampai bila? Sampai dia jatuh cinta dengan perempuan lain? Dia dah lupakan saya Farah! Lupa!” agak tinggi nada suara Nadzlia membuatkan Farah sedikit tergamam.
“Ah, maaf. Saya...” Nadzlia tidak meneruskan kata.
“Aku faham perasaan kau. Tapi kau tak boleh pentingkan diri. Yakinlah bahawa dalam hati Khairul masih ada cinta untuk kau. Yakinlah jauh di lubuk hatinya masih ada kenangan bersama-sama kau,” ujar Farah.
Nadzlia teresak, perlahan. Ada sendu yang menjalar di seluruh urat nadinya. Dia tidak dapat menerima hakikat yang Khairul telah hilang ingatan. Ingatan terhadap cinta antara dia dan lelaki itu...

*  *  *  *  *

HAMPIR sebulan berlalu sejak kejadian pahit itu berlaku. Puan Afifah dan Encik Harun tinggal menyewa di rumah yang terletak berhampiran dengan hospital. Buat sementara, Puan Afifah akan menetap di sini. Mahu berulang-alik dari Port Dickson ke Segamat bukanlah sesuatu yang mudah. Amat memenatkan. Justeru lebih baik dia menyewa rumah di sini. Senang untuk melihat dan menjaga Khairul. Encik Harun pula akan berulang-alik seminggu dua kali kerana tuntutan kerja tidak membenarkannya untuk berada bersama-sama isteri menjaga anak sulungnya itu. Tambahan pula, adik-adik Khairul di rumah masih perlu diambil berat. Nadzlia juga datang melawat andai ada kelapangan. Kata gadis itu, peperiksaan akhir semakin hampir. Khairul pula masih tidak dibenarkan pulang. Dia masih menjalani rawatan terapi untuk membantu ingatannya supaya pulih seperti sedia-kala. Cuma sesekali doktor akan membenarkannya keluar bersiar-siar menghirup udara luar. Tidaklah anaknya itu duduk terperuk di dalam wad yang seperti dalam lokap lagaknya. Dia yang duduk menjaga juga kadang-kala berasa bosan. Senyap-sunyi tanpa kekecohan. Terlalu tenang.
“Jauh mengelamun mak,” tegur Khairul membuatkan Puan Afifah tersentak lalu mengukir segarit senyum.
“Mak, Rul nak tanya, Lia tu siapa?”
“Lia tu kawan kamu sejak dari kecil lagi. Satu sekolah sejak dari tadika sampai sekarang. Tak pernah berpisah. Kenapa kamu tanya?”
“Tak, tak ada apa. Saja...” jawab Khairul.
Mengingati semula wajah Nadzlia, ada debar yang menghentak jantungnya.  Sesekali dalam mimpi, wajah itu seakan-akan pernah dikenali. Terasa dia begitu rapat dengan gadis itu. Khairul tidak tahu bagaimana untuk menafsirkan perasaan yang bergelumang dalam hatinya kala gadis itu berada di depan mata. Rasa tenteram. Rasa senang untuk berbual dan berbicara. Rasa tidak janggal. Dan rasa yang sungguh selesa. Kadang-kala, ada rindu yang menjengah andai gadis itu tidak datang melawatnya. Ada resah yang membelit tangkai hati jika tidak menatap wajah itu. Khairul keliru. Apakah yang sedang dirasainya ini?
“Assalammualaikum,” tegur Nadzlia selepas pintu bilik ditolak.
Ah, baru disebut-sebut gadis itu sudah muncul. Serta-merta Khairul berasa ada semangat yang datang menerpa ke arahnya. Nadzlia menghadiahkan sebuah senyuman pada Khairul. Senyuman yang mengusik hati kecil lelaki itu. Khairul juga turut tersenyum, tanda gembira dengan kedatangan gadis itu.
“Farah mana?” tanya Puan Afifah sewaktu Nadzlia bersalam dengannya.
“Dia ada kelas tambahan makcik. Lia datang seorang,” jawab Nadzlia.
“Tahu Lia memandu? Lia dah ada lesen ke?”
Nadzlia tersengih. Lesen? Kalaulah Makcik Afifah tahu yang dia redah sahaja datang ke sini tanpa lesen memandu, apa agaknya yang wanita itu fikirkan. Pasti akan dia akan dimarahi.
“Ada juga Lia belajar memandu,” jawab Nadzlia, satu jawapan yang dia harap dapat menutup mulut Puan Afifah dari bertanya soalan yang seterusnya.
“Makcik dah makan?” cepat-cepat Nadzlia menukar topik perbualan.
“Belum. Makcik ingat nak tunggu nurse datang. Dah terlanjur kamu ada, boleh tengok kan Khairul ni sekejap, boleh?”
“Boleh... makcik pergilah makan dulu. Nanti jangan disebabkan jaga orang sakit, kita pula yang sakit,” usik Nadzlia.
Puan Afifah tergelak kecil lalu melangkah keluar. Nadzlia yang perasan renungan Khairul sejak dia tiba tadi diselubungi gelisah. Dia berpura-pura membersihkan meja kecil yang berada di situ.
“Tak ada kelas petang ni?” Khairul membuka mulut bertanya.
“Tak,” jawab Nadzlia sepatah sambil tangannya ligat menyusun cawan dan mangkuk yang berada di atas meja itu.
“Lia...”
Nadzlia tersentak. Dia diburu hiba serta-merta. Dahulu lelaki itu memanggilnya dengan panggilan “Nadz”. Hanya lelaki itu yang memanggilnya begitu. Kini, entah bila dia akan mendengar panggilan itu semula.
“Ya, ada apa?”
“Saya dah ada girlfriend ke?”
Hampir terlepas mangkuk plastik yang dipegang oleh Nadzlia tatkala mendengar pertanyaan Khairul tadi. Segera dia menganggukkan kepalanya, perlahan-lahan sebagai jawapan.
“Ya? Siapa? Awak ke?”
Darah merah terasa menyerbu ke muka. Panas. Nadzlia malu apabila Khairul bertanya begitu. Mahukah dia mengaku atau buat tidak tahu?
“Awak ke?” tanya Khairul lagi sambil merapatkan diri pada gadis bertudung biru dengan blaus juga rona serupa.
Nadzlia sudah tidak mampu menahan debar di dalam hati. Selebihnya dia berasa amat malu. Lantas dia segera melangkah untuk keluar namun tangannya ditarik lalu diraih menyebabkan langkah Nadzlia terhenti. Tanpa berpaling, dia hanya membiarkan.
“Jadi, betullah awak? Saya dah agak. Saya dapat rasakannya. Jauh di dasar hati, ada rindu untuk awak. Ada debar bila bersama-sama awak. Ada rasa hangat dan selesa bila berada hampir dengan awak,”  terang Khairul.
Nadzlia dilambung bahagia mendengar bait-bait kata yang diungkapkan oleh Khairul tadi. Dia bersyukur kerana rasa cinta itu tidak luput dalam hati Khairul. Sungguhpun lelaki itu masih tidak dapat mengingati dirinya namun memadailah rasa cinta itu masih ada.
“Sudi temankan saya lihat bintang di langit malam ni?” pinta Khairul, masih tidak melepaskan pegangan tangannya.
Perlahan-lahan Nadzlia mengangguk tanda setuju. Wajahnya dipalingkan namun tidak terus memandang Khairul. Dia kalah dengan panahan mata lelaki itu.
“Saya cintakan awak,” ucap Khairul seraya melepaskan tangan gadis yang sudah merona merah mukanya itu.
Nadzlia segera berlari keluar dari bilik itu. Sungguh, andai sesaat lagi dia berada di situ, dia akan pengsan!

*  *  *  *  *

PULANG semula ke kolej kediaman, senyuman tidak lekang dari menghiasi bibir Nadzlia sehingga membuatkan Farah tertanya-tanya apakah yang menyebabkan gadis itu kelihatan sungguh ceria bagai baru memenangi hadiah tempat pertama dalam pertandingan program realiti di kaca televisyen.
“Kau ni dah kenapa? Geli pula aku tengok. Tersengih-sengih macam kerang busuk,” tegur Farah.
“Dia masih ingatkan aku Farah! Dia masih ingatkan aku!” ujar Nadzlia, teruja.
“Siapa?”
“Tekalah,”
“Kau ni... tak ada masa aku nak main teka-teki ni. Cepat beritahu!”
“Tekalah...”
“Aku cekik juga budak ni nanti. Tak pasal-pasal kau pula masuk hospital sama dengan...” Farah menghentikan bicaranya lantas menekup mulut dengan tangan kanannya.
“Don’t tell me it’s Khairul!” sambung Farah.
Senyuman yang makin melebar di wajah Nadzlia sudah cukup sebagai jawapan kepada tekaannya tadi. Patutlah sahabatnya itu gembira bukan kepalang. Kekasih hati sudah kembali semula.
“Alhamdulillah, syukur. Kan aku dah kata, kalau kau yakin, cinta itu tetap ada,” ujar Farah.
“Betul kata awak. Saya harus yakin yang Khairul adalah milik saya, selamanya...” Nadzlia membalas.
“Betul, betul, betul... dah, lebih baik kau pergi mandi. Badan tu dah bau ubat kau tahu?” usik Farah.
Nadzlia mencebikkan bibirnya. Lidahnya dijelirkan pada Farah. Kawan sebiliknya itu memang suka mengusik.

“Sudi temankan saya lihat bintang malam ni?”

Kata-kata Khairul tadi terngiang-ngiang di telinga. Nadzlia menjenguk keluar dari tingkap biliknya. Warna merah mula menyimbah langit yang tanpa awan petang itu. Sebentar lagi malam akan menjelma menyebabkan siang terpaksa mengundur diri sementara. Pasti malam ini bintang-bintang yang bergelantungan bersinar terang. Tunggu Nadz ya Khairul, malam ni, Nadz akan menemani Khairul sampai fajar menjelma, detik hati Nadzlia.

::bersambung::

Tiada ulasan :