Sepatah Dua Kata

Ahad, Mei 16, 2010

Cinta Antara Kita III - Bab Akhir




PINTU bilik rawatan rapi (ICU) itu masih terkatup rapat. Sudah hampir dua jam Puan Afifah dan Encik Harun duduk menunggu di depan bilik itu. Khairul jatuh pengsan ketika Puan Afifah selesai Solat Maghrib sebentar tadi. Segera wanita itu menelefon suaminya agar bergegas ke mari. Dalam hati tidak putus-putus dia berdoa agar anaknya tidak apa-apa. Entah apalah penyakit yang dihidapi oleh anaknya itu lagi. Sebelum ini, anaknya ada mengadu yang dia sering sakit kepala. Fikir Puan Afifah, itu merupakan kesan sampingan yang harus anaknya hadapi. Mungkin kerana bengkak di kepalanya anaknya yang semakin surut menyebabkan anaknya diserang sakit kepala.
Bunyi pintu bilik ICU yang ditolak menarik perhatian Puan Afifah dan Encik Harun. Pantas Puan Afifah bertanya tentang keadaan anaknya pada seorang doktor wanita yang keluar dari bilik itu.
“Maaf puan, buat masa ini kami sedang cuba menyelamatkannya. Ada pendarahan yang berlaku pada otak kiri anak puan. Kami sedang cuba untuk membuang salur darah yang berkenaan tapi...” ujar doktor wanita yang memakai tag nama Faridah itu.
“Tapi apa doktor?” tanya Puan Afifah.
“Maaf puan. Walau apa pun, kita hanya mampu berserah pada-Nya. Saya harap puan banyakkan bersabar,”
“Maksud doktor? Encik Harun pula bertanyakan soalan.
“Mungkin kesan dari kemalangan dulu, berlaku pembentukan salur darah yang tidak normal dalam otaknya. Lalu apabila salur darah itu pecah, darah beku akan terjadi. Jika dikesan lebih awal, kadar peratusan Khairul selamat adalah lebih tinggi. Namun, jika dilihat keadaan sekarang, saya minta maaf. Mungkin puan dan encik harus bersiap-sedia. Walau apa pun, ia bergantung pada keazaman Khairul dan selebihnya, hanya DIA yang berkuasa menentukan segalanya,” panjang lebar penjelasan Doktor Faridah.
“Ya Allah!!!” jerit Puan Afifah lantas segera terduduk di atas kerusi menunggu.
Doktor Maisara meminta izin untuk masuk ke dalam bilik rawatan semula. Encik Harun dikecam kemelut jiwa yang sarat dengan duka. Dia hanya mampu berdoa. Dia melangkah ke arah isterinya yang sedang menangis hiba. Puan Afifah melepaskan semua perasaan sedih dalam dakapan suaminya. Suasana sekeliling masih tetap sepi tanpa sebarang bunyi. Hanya tangisan Puan Afifah yang kedengaran, penuh sayu.

*  *  *  *  *

“FARAH, langit malam ni cantik, kan?” ujar Nadzlia.
“Kau dah buang tabiat?”
“Ish, awak ni... ada ke cakap macam tu. Salah ke saya memuji alam ciptaan Ilahi yang indah ini?” balas Nadzlia.
“Tak salah, tapi sebelum ni tak pernah pula kau memuji. Merungut adalah,” perli Farah.
“Eii... geramnya saya dengan awak ni! Dahlah, malas nak layan!” Nadzlia pura-pura jauh hati.
Farah tergelak kecil. Nadzlia kembali merenung langit malam. Gugusan bintang yang berkerlip terang menambah seri pada dewi malam yang turut bersinar cerah. Nadzlia berkira-kira di dalam hati, apakah Khairul juga sedang bersama-samanya menikmati keindahan malam ini? Agaknya, lelaki itu juga sedang membilang bintang bersama dengannya. Bahagia. Itulah yang Nadzlia rasakan saat ini. Bunyi telefon bimbit yang berdering menganggu lamunannya. Nadzlia hanya membiarkan, terasa malas mahu menerima sebarang panggilan.
“Oi, makcik... angkatlah telefon tu. Rimas aku dengar tahu tak?” rungut Farah.
“Malaslah. Ala, kejap lagi berhentilah tu. Hah, kan dah berhenti,” ujar Nadzlia lalu kembali menyambung angannya tadi.
Beberapa detik kemudian, telefon bimbit Nadzlia berdering lagi minta diangkat. Nadzlia meminta Farah melihat nama yang tertera di skrin. Sejurus selepas nama Puan Afifah disebut, pantas Nadzlia menerpa. Pasti panggilan dari Khairul. Farah yang melihat menggelengkan kepala.
“Hello, assalammualaikum...” ucap Nadzlia ceria.
Selepas seketika mendengar kata-kata dari pemanggil berkenaan, lidah Nadzlia kelu. Kakinya kaku. Tangannya lesu. Telefon bimbit terlepas dari pegangan. Jari-jemarinya menggigil. Farah yang melihat kebingungan. Wajah Nadzlia pucat lesi. Seperti melihat hantu lagaknya.
“Lia... Lia... kenapa ni?” soal Farah mendekati gadis itu lalu mengoncang perlahan tubuh Nadzlia namun sahabatnya itu tetap tidak bergerak.
Farah mencapai telefon yang jatuh ke lantai. Mujur panggilan masih belum terputus.
“Hello, Farah ni...”
“Farah, Pakcik Harun ni. Lia macam mana?”
“Kenapa pakcik?”
“Lebih baik kamu berdua datang ke hospital sekarang. Tolong tengokkan Lia tu Farah,”
“Kenapa pakcik? Ada sesuatu berlaku pada Khairul?”
“Datang sahaja ke hospital,” ujar Encik Harun lalu menamatkan panggilan.

*  *  *  *  *

“TAK mungkin! Khairul dah berjanji nak temankan saya lihat bulan di langit malam ni. Dia dah berjanji untuk pinjamkan bahunya pada saya untuk bersandar. Khairul dah berjanji nak bersama-sama saya mengira bintang. Tak mungkin dia mungkir janji. Awak tipu!” teriak Nadzlia pada Farah.
Puan Afifah sudah tidak mampu berkata-kata. Dia tampak kelesuan, duduk di kerusi. Encik Harun sudah menghilang bagi menguruskan segala prosedur yang diperlukan. Farah yang berada di situ kaget. Nadzlia sudah tidak mampu dikawal.
“Bawa mengucap Lia. Ingat Tuhan. Sesungguh-Nya dari dia kita datang, dan kepada-Nya kita kembali,” ucap Farah, cuba memujuk.
“Hahaha... awak semua nak kenakan Lia ya? Lia takkan terpedaya. Khairul! Keluar Khairul! Saya tahu awak tengah sembunyi dalam bilik tu!” ujar Nadzlia.
“Masya-allah... Mengucap Lia, mengucap. Khairul dah tak ada. Dia dah meninggal,” ujar Farah.
“Tipu! Awak tipu!” bentak Nadzlia.
Pintu bilik ICU dibuka. Sekujur tubuh terdampar kaku di atas katil yang ditolak oleh beberapa orang jururawat. Jelas wajah Khairul singgah ke penglihatan Nadzlia.
“Tunggu! Awak semua nak bawa dia kemana?” jerit Nadzlia lalu menghalang perjalanan.
“Khairul, bangun! Lia datang ni, bangun!” ujar Nadzlia ketika dia berada di sisi Khairul yang terbujur diam, tidak bergerak.
Farah segera menarik Nadzlia ke tepi. Nadzlia meronta-ronta tidak mahu berenggang dari lelaki itu. Beberapa orang jururawat datang membantu. Akhirnya Nadzlia terjelepok di atas lantai, keletihan. Dan katil yang membawa tubuh Khairul semakin lama semakin hilang dari pandangan...

*  *  *  *  *

TANAH perkuburan Teluk Kemang itu dilanda sayu. Nadzlia merenung kubur yang masih merah di hadapannya. Sahlah Khairul sudah meninggalkannya kini. Bermakna tiada lagi suara lelaki itu akan kedengaran. Tiada lagi wajah lelaki itu untuk ditatap. Tiada lagi senda-gurau, gelak-tawa yang akan mewarnai kehidupannya selepas ini. Khairul pergi tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal padanya. Khairul pergi tanpa sempat mendengar lafaz cinta dari bibirnya. Khairul pergi membawa luka, duka dan sengsara pada dirinya.
“Bawa bersabar Lia. Yang dah pergi, biarkan dia pergi. Kita yang masih hidup, perlu terus hidup. Masih banyak yang harus kita tempuhi. Redhailah pemergiannya. Aku yakin, Khairul juga tidak mahu lihat kau bersedih begini. Kau menangis air mata darah sekalipun, Khairul tak akan hidup kembali,” ujar Farah memberi nasihat.
Nadzlia menyeka air mata yang mengalir di pipinya. Kata-kata Farah ada benarnya. Dia seharusnya tabah. Dia perlu kuat. Tabah dan kuat dengan kenangan yang telah Khairul tinggalkan untuknya. Dia berjanji tidak akan sesekali membiarkan kenangan itu lenyap dari hati. Ikatan cinta antara mereka akan terus terpatri selagi langit memayungi bumi!

::TAMAT::

Tiada ulasan :