Sepatah Dua Kata

Selasa, Mei 11, 2010

Begitulah Cinta - Bab 43


Cinta, tegarkan hatiku...

SUDAH seminggu berlalu sejak peristiwa aku pengsan di dalam kelas. Tanpa sedar, lebih kurang sebulan lagi peperiksaan akhir semester akan berlangsung. Aku tidak bersua muka dengan Amirul Azme. Mesej tidak, telefon pun tidak. Lelaki itu seolah-olah telah lenyap dari muka bumi ini. Anehnya, bertemu secara kebetulan pun tidak berlaku. UiTM Segamat ini bukanlah besar sangat. Mungkin dia hendak mengelak diri dari bertemu denganku. Biarlah, aku juga tidak mahu bertentang mata dengannya. Rasa kecewa dan sakit hati masih menular dalam jiwa. Hafiszul pula, kerap kali menghubungiku namun kuelak. Aku tidak mahu mengambil kesempatan ini untuk berbaik dengannya. Ternyata, jodohku bukan dengan Hafiszul ataupun lelaki itu. 
            Sekarang, aku harus bangkit dari lena. Segala mimpi harus dimatikan segera. Hidupku perlu kembali diatur. Peperiksaan akhir semester pun dah semakin hampir. Kebelakangan ini, aku agak tidak fokus pada pembelajaranku. Sudah tiba masanya semua ini ditamatkan.
“Durar, kau dah siapkan assignment Encik Razak?” tanya Anita sewaktu kami dalam perjalanan pulang selepas tamat kuliah undang-undang pagi itu.
“Yang mana?”
Power point tu,” terang Anita.
“Oh, dalam proses. Kenapa?” aku bertanya.
“Betul ke aku dengar kena buat dalam sepuluh slide aje. Tak boleh lebih?”
“Yup, tak boleh lebih dari sepuluh. Encik Razak nak point saja. Tak perlu terangkan panjang lebar,” jawabku.
“Hmm... kalau macam tu aku kena betulkan baliklah sebab aku terbuat lebih sedikit,” ujar Anita.
“Awak tu memang, terlebih rajin,” usikku.
            Anita ketawa besar. Kami berpisah di pintu masuk perpustakaan. Aku ingin meminjam beberapa buku rujukan sementara Anita ada temu janji dengan pihak pengurusan kolej sektor A. Ada masalah elektrik di bilik katanya.
            Aku melangkah masuk melepasi pintu kawalan dan mengatur langkah ke rak yang menempatkan buku-buku rujukan tentang ekonomi dan perdagangan. Sedang asyik mencari, aku disapa seseorang. Lantas aku berpaling dan Affendi sedang tersenyum memandangku.

*  *  *  *  *

DATIN FARIDAH agak terkejut menerima kunjungan Puan Sri Kartika pagi itu. Selalunya, Puan Sri Kartika lebih gemar berjumpa di hotel atau restoran mewah jika ingin bertemu dengan rakan-rakannya. Pasti Puan Sri Kartika ada hajat besar datang ke mari.
“Cantik rumah datin ya. Siapa yang hias ni?” Puan Sri Kartika bertanya.
“Biasa aja Puan Sri. Bab susun-menyusun ni, anak perempuan saya yang dua orang tu punya idea. Saya ikut aja,” jawab Datin Faridah merendah diri.
            Mak Minah datang membawa dulang berisi jus oren menghentikan seketika perbualan mereka. Puan Sri Kartika mengambil kesempatan ini memerhati segenap sudut Villa Damai itu. Kemas dan teratur susun letaknya. Padan dengan warna dinding dan perabot yang terletak cantik di tempatnya.
“Jemput minum Puan Sri,” pelawa Datin Faridah.
“Terima kasih,”
“Puan Sri datang ke rumah saya ni, mesti ada hajat besar,” ujar Datin Faridah.
“Awak ni macam tahu-tahu aja. Baiklah, tak perlulah saya nak berselindung lagi. Saya datang ni nak merisik bunga di taman,” Puan Sri Kartika cuba berkias.
            Hampir tersedak Datin Faridah sewaktu menghirup jus oren di dalam gelas. Mujur dia segera mengawalnya. Kata-kata Puan Sri Kartika itu membuatkan jantungnya berdebar.
“Merisik? Bunga di taman saya ada dua kuntum. Yang mana satu agaknya berkenan di hati?” Datin Faridah cuba berlagak tenang.
“Salwa,” ucap Puan Sri Kartika ringkas.
            Tersentak Datin Faridah mendengar nama anak sulungnya itu meluncur laju di bibir Puan Sri Kartika. Dia tahu Salwa sudah mempunyai pilihan hati sendiri. Jadi, apa yang perlu dia katakan pada wanita di hadapannya ini?

*  *  *  *  *

“SAYA dengar awak pengsan hari tu. Sekarang awak macam mana? Sihat?” Affendi menyoalku
“Alhamdulillah, saya dah bertambah sihat. Thanks for your concern,” jawabku.
Agak lama juga aku tidak bersua muka dengan Affendi. Dia juga jarang menghantar mesej atau menelefonku. Sibuk barangkali. Atau dia sudah berhenti berharap padaku?
Sebuah buku kucapai lalu bergerak bersama-sama Affendi ke meja tulis. Affendi duduk di kerusi di hadapanku.
“Dan... saya juga ada dengar tentang apa yang berlaku antara awak dan Imie,” ujar Affendi.
            Aku melemparkan senyuman. Rasanya, tidak perlu aku ulas tentang perkara itu. Buku rujukan di hadapan kubuka. Isi kandungannya kubaca satu-persatu. Mungkin di dalamnya ada maklumat yang aku cari.
“Kalau awak perlukan saya, cakaplah,” ujar Affendi.
“Saya tak apa-apa. Awak tak ada kelas ke?” soalku.
“Tak, petang nanti baru ada. Saya menganggu ke?” balas Affendi.
“Tak adalah. Lagipun saya seorang saja. Awak...”
“Hai Fendi!” tegur seseorang membuatkan kata-kataku mati.
“Izah,” ucap Affendi seraya memandang ke arahku.
“Boleh aku duduk?” pinta Faezah.
            Aku mengangguk. Apa pula agenda perempuan ini agaknya? Faezah mengambil tempat di sebelah Affendi. Affendi pula perasan akan ketidakselesaan yang aku alami. Aku cuba bertenang. Tidak mahu Faezah mengesan riak tidak senang di wajahku.
“Ada kuiz ke?” tanya Faezah.
“Tak adalah. Saja buat revision sikit. Final exam kan dah dekat,” jawabku.
“Amboi, rajinnya. Bersemangat sungguh,” perli Faezah.
“Biarlah dia. Kau tu yang tak sedar-sedar lagi,” Affendi mengusik Faezah.
“Kau dari mana ni?” Affendi sambung bertanya.
“Baru habis kelas. Aku tengah tunggu Imie ni. Dah janji nak jumpa dengan dia kat sini. Entah manalah dia merayau,” Faezah menjawab pertanyaan sepupunya itu.
            Aku yang mendengar jadi gementar. Apakah aku akan bertemu dengan lelaki itu? Aku masih belum bersedia. Lebih baik aku beredar sebelum dia sampai, fikirku lalu bangun dari kerusi.
“Eh, kau nak ke mana?” tanya Faezah.
“Saya nak ke tandas sebentar,” bohongku.
            Namun, baru beberapa saat aku melangkah, mataku bertembung dengan kelibat Amirul Azme yang sedang menuju ke pintu masuk. Segera aku bersembunyi di sebalik rak buku yang terdapat di situ. Aku hanya memerhati dirinya yang sedang duduk di kerusi berhadapan dengan Faezah. Anak mataku mengintai lelaki itu. Dia masih tidak berubah malah masih mampu tersenyum. Apakah dia tidak kesal kehilangan hubungan ini?

::bersambung::

Tiada ulasan :