Sepatah Dua Kata

Khamis, Jun 03, 2010

Apa Kata Hati - Ceritera 05




Menuntut Hak

BILIK pejabat sederhana luas itu agak berbahang walau ada pendingin hawa yang dipasang. Tiga pasang mata bertemu setelah sekian lama tidak bersua-muka. Dan perjumpaan ini bukanlah satu perjumpaan untuk beramah-mesra tetapi lebih membincangkan sesuatu yang serius. Sesuatu yang bakal membawa perubahan besar dalam Valda Eura Tekstil Berhad.
“Kakak yakin dengan keputusan kakak?” Puan Mardhiyah bertanya pada kakaknya, meminta kepastian.
“Aku hanya menuntut hak aku sebagai keturunan de Valda,” jawab Datin Maisarah yang sedang duduk berhadapan dengan adiknya yang memakai baju kurung rona biru laut itu.
Puan Mardhiyah memandang wajah kakaknya lembut. Ini adalah kali kedua dia menatap wajah kakaknya itu sejak kematian arwah ayah mereka lima tahun dahulu. Mulanya dia diterpa gembira apabila mendapat panggilan telefon dari kakaknya malam tadi mengatakan bahawa ingin bertemu di pejabat. Lantas, Puan Mardhiyah mengambil cuti dari mengajar hari ini semata-mata mahu berjumpa dengan kakak yang dirindui.
“Tapi kita boleh terajui syarikat ini bersama kak,” Puan Mardhiyah cuba memujuk.
“Aku bukan lagi ahli keluarga Johann de Valda sejak dua puluh lima tahun dahulu. Aku tak akan terlibat dalam urusan syarikat ini. Lagipun aku dah ada syarikat sendiri,” tegas Datin Maisarah.
“Kak...”
“Sudah! Aku tak ada masa nak dengar kau membebel. Esok aku akan minta peguam aku serahkan dokumen yang diperlukan. Kita selesaikan cara baik, tak payah nak besar-besar pada ahli lembaga pengarah yang lain,” pesan Datin Maisarah.
“Mama dah tahu tentang ni?”
“Dah, aku dah hubungi mama. Dia tak banyak cakap. Kau tahulah, dia bukannya sukakan aku sangat...”
“Kak, tak elok akak cakap macam tu...” tegur Puan Mardhiyah.
“Itu kenyataan kan? Sejak dari dulu dia memang tak sukakan aku. Semua kemahuan aku ditentangnya. Kalau betul dia sayangkan aku, dia tak akan benarkan kau berkahwin dengan teman lelaki aku!” bentak Datin Maisarah.
Puan Mardhiyah tersentak. Kakaknya masih tidak mampu untuk melupakan keperitan yang dialami dua puluh lima tahun dahulu. Tetapi, bukan dia yang menjadi punca semua itu berlaku. Apa yang telah terjadi, itu ketentuan takdir.
“Kakak... masih tak dapat maafkan kami?” ujar Puan Mardhiyah.
Datin Maisarah hanya tersengih. Dia bingkas bangun lalu melangkah keluar dari bilik Pengerusi Valda Eura Tekstil Berhad itu dengan hati yang puas. Soalan adiknya tadi dibiarkan begitu sahaja.
‘Ini hanyalah permulaan Mardhiyah. Bersiap-sedialah kerana selepas ini ada yang lebih hebat menanti!’ getus hati Datin Maisarah.

*  *  *  *  *

“KENAPA Sarah buat macam tu?” soal suaminya setelah Datin Maisarah beredar dari Syarikat Valda Eura Tekstil Berhad.
Puan Mardhiyah mengeluh berat. Sungguhpun urusan syarikat diserahkan bulat-bulat pada suaminya, tetapi memandangkan dia juga salah seorang pemegang saham terbesar syarikat, urusan sebegini terletak di bahunya. Sebentar tadi, kedatangan kakaknya adalah untuk menuntut hak sebagai pemegang saham syarikat tersebut.
Sejak kematian arwah papanya, Syarikat Valda Eura Tekstil Berhad telah diamanahkan pada mereka tiga beranak untuk menguruskannya. 50% saham syarikat dimiliki oleh mama mereka, Puan Sophia. Sementara dia dan kakaknya masing-masing mendapat 25% dari saham syarikat.
Setelah melangsungkan perkahwinan, urusan syarikat diserahkan pada suaminya walaupun suaminya itu sudah punya syarikat sendiri. Puan Mardhiyah bukanlah seorang yang mahir dalam selok-belok pengurusan sesebuah organisasi. Lebih baik diserahkan pada yang lebih arif. Dia lebih gemar menjadi seorang pendidik, yang mengajar dan mencurahkan ilmu pada anak bangsa agar menjadi insan yang berguna.
Setelah papanya meninggal dunia, Puan Sophia yang menerajui syarikat sebagai Presiden sementara suami dan kakaknya sebagai Pengerusi tetapi kakaknya itu memang tidak pernah mengambil tahu perihal syarikat sejak keluar dari rumah dan melangsungkan perkahwinan dengan seorang usahawan terkenal dalam bidang kosmetik.
Tiba-tiba hari ini kakaknya datang ke syarikat untuk menuntut 25% saham syarikat. Nyata, ia akan membawa perubahan yang besar pada syarikat ini. Jauh di sudut hati, Puan Mardhiyah tahu tujuan sebenar kakaknya itu namun seboleh mungkin dia cuba membuang andaian negatif itu. Mungkin kakaknya memerlukan duit sekarang ini untuk memperluaskan lagi rangkaian syarikat kosmetiknya.
“Kakak wajar tuntut hak dia. Siapalah kita nak halang...” ujar Puan Mardhiyah setelah agak lama dibuai angan.
“Tapi kenapa sampai nak ambil semua? Dia tahukan yang perolehan syarikat akan terjejas sekiranya dia buat macam tu? Kalau dia ada masalah kewangan pun, dia boleh buat pinjaman dengan pihak bank atau pinjam duit dari kita. Ini tak, dia ambil semua saham tu. Walau kesannya tak terlalu ketara, banyak pengemaskinian perlu dilakukan,” Tuan Iskandar meluahkan ketidakpuasan hatinya.
“Tak mengapalah bang. Mama masih pegang 50% saham syarikat dan kita pun masih ada 25% lagi. Syarikat bukannya ada rugi teruk. Mungkin kakak terdesak sangat,” balas Puan Mardhiyah.
Tuan Iskandar mengukir senyum sinis. Isterinya itu terlalu naif. Bukannya dia tidak tahu akan perangai sebenar Datin Maisarah. Dia terlalu memahami wanita itu dan atas sebab itulah dia bersyukur kerana tidak dijodohkan dengan Datin Maisarah walau mereka mempunyai hubungan hati suatu ketika dahulu.
“Hari ini saya ambil cuti. Saya temankan abang di pejabat ya,” ujar Puan Mardhiyah mengubah topik perbualan.
“Ala, cakap saja awak rindu kat saya,” Tuan Iskandar bergurau lalu mencuit hidung isterinya.
“Eleh, perasan!” balas Puan Mardhiyah dalam tawa kecil.
::bersambung::

4 ulasan :

epy elina berkata...

hohohohoh...
mst ada rncngn si sarah 2...
napa lak dia brdndam...

MATMIN berkata...

fuhh... kencang sungguh berkarya... tahniah dan teruskan usaha...

Leya berkata...

huh, entah apalah datin maisarah ni rancangkan ye. kenapa iskandar bleh kawin dengan diya pula? musykil2..

Rizai Reeani berkata...

epy elina: dendam yang tak berkesudahan. nak tahu mengapa, kena tunggu... hehe... ;)

matmin: alhamdulillah, biasa-biasa saja saudara. terima kasih untuk sokongan dan dorongan. sangat hargainya... :D

leya: oh, itu sama-sama kita ikuti kisah ini sehingga akhirnya. harap setia menanti... ;)