Sepatah Dua Kata

Isnin, Jun 07, 2010

Apa Kata Hati - Ceritera 06




Perkenalan

SEMINGGU sudah berlalu sejak kejadian Puan Mardhiyah dimasukkan ke dalam hospital. Ariyaza juga telah selesai menghantar borang pencalonan untuk menjadi salah seorang ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Peringkat pertama iaitu ujian kefahaman dan pengetahuan am akan berlangsung dalam dua hari sahaja lagi. Ariyaza tekun mengulangkaji perihal sekolah dari latar belakang sehinggalah ke pencapaian yang pernah dianugerahkan pada Sekolah Tinggi Pioneer Cove. Tidak lupa juga akan isu semasa dan pengetahuan tentang Malaysia. Dengar kata, ujian peringkat pertama ini rata-rata dapat dilepasi dengan mudah cuma tidak boleh cuai. 40 soalan objektif dan satu soalan esei akan diberikan dalam masa satu jam tiga puluh minit sahaja sekaligus menguji para pelajar tentang pembahagian masa untuk menjawab soalan.
Pagi Isnin itu berlalu seperti biasa. Ariyaza menuju ke perpustakaan pada waktu pengajaran pertama kerana Cikgu Siew Ching yang mengajar mata pelajaran Pengajian Am tidak hadir. Maka para pelajar kelasnya diminta ke perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran atau membaca bahan bacaan yang ada disediakan di sana.
Perpustakaan Sekolah Tinggi Pioneer Cove yang diberi nama Gedung Penjana Minda itu terletak di blok pentadbiran tingkat dua di mana dua per tiga daripada barisan blok itu adalah hak milik perpustakaan. Perpustakaan ini dilengkapi dengan security gate di mana para pelajar perlu melalui sebuah pintu pagar elektronik  sebelum melangkah masuk atau keluar bagi memastikan tiada barang yang tidak sepatutnya dibawa masuk atau keluar dari perpustakaan tersebut.
Selain itu, perpustakaan ini turut dilengkapi dengan Book-Drop Machine di mana para pelajar tidak perlu beratur di kaunter untuk memulangkan buku dan boleh memasukkan buku yang hendak dipulang di dalam satu ruang seakan peti pos warna merah yang diletakkan di luar, bersebelahan dengan pintu masuk perpustakaan.
Tambahan pula, bagi memudahkan lagi para pelajar, Self-Check Machine juga disediakan yakni sebuah mesin berbentuk segi empat tepat dengan saiz yang sederhana besar di mana proses pinjaman buku dilakukan. Mesin tersebut akan melakukan proses scanning pada buku yang hendak dipinjam dan sehelai resit akan dikeluarkan menandakan proses peminjaman telah berjaya dilakukan. Resit tersebut mengandungi tarikh pemulangan dan nombor pelajar.
Apa yang perlu dibuat hanyalah memasukkan nombor pendaftaran pelajar dan kemudian meletakkan buku pada tempat yang disediakan. Mudah dan menjimatkan masa di mana para pelajar tidak perlu lagi berurusan di kaunter. Oleh sebab itu, hanya seorang petugas sahaja yang bekerja di kaunter. Itupun bagi menjawab permasalahan yang dialami oleh para pelajar. Tugas menyusun buku, diserahkan pada pengawas perpustakaan.
Setiap pelajar yang mendaftar di sekolah ini mempunyai sekeping kad di mana di dalam kad tersebut mengandungi nama pelajar, nombor pendaftaran pelajar, nama kelas dan tingkatan. Kad tersebut penting bagi urusan di perpustakaan mahupun di bahagian pentadbiran.
“Canggih betul perpustakaan sekolah ni kan?” ujar Fadheela.
Ariyaza mengukir senyum. Kata-kata Fadheela tadi tidak dapat dinafikan. Ariyaza pernah melawat ke perpustakaan di sekolah-sekolah yang berhampiran ketika menghadiri seminar atau pertandingan syarahan atau perbahasan tetapi perpustakaan sekitar itu masih belum dilengkapi teknologi sebegini. Betapa bertuah dan beruntungnya dia dapat melanjutkan pelajaran di sekolah berprestij ini.
“Kerusi dan meja pun selesa. Siap ada karpet lagi. Dekorasi pun menark. Yang penting, buku semua dibalut dengan plastik. Memang rajin pekerja di perpustakaan ni,” tambah Fadheela.
“Eh, jom kita ke Sudut Pameran tu. Dengarnya bulan Februari ni ada pameran tentang tempat pelancongan yang menarik di Port Dickson,” ajak Haryati lalu menarik tangan Fadheela.
Ariyaza hanya mengekori langkah mereka. Tiba-tiba langkahnya terhenti pada sebuah rak ketika matanya tertancap pada lambakan novel-novel Melayu di rak tersebut. Membaca novel adalah hobinya. Asal ada novel baru yang keluar di pasaran, pasti akan disambar. Dia bertuah kerana mamanya juga berkongsi minat yang sama.
Satu persatu tajuk yang tertera pada novel diperhati. Kebanyakan sudah dibaca dan dimiliki. Cuma novel-novel terbitan lama yang dia tidak kumpul. Rasanya sejak dari tahun 2001 baru dia mula mengumpul. Anak matanya terhenti pada sebuah novel bertajuk “Begitulah Cinta” namun belum sempat diambil, ada seseorang yang telah mencapainya terlebih dahulu.
“Ah, maaf, you nak baca ke?” tanya pelajar perempuan dengan lambut lurus separas bahu itu.
“Em, tak apa... Awak ambillah. Saya tengok yang lain,” balas Ariyaza walau sedikit terkilan sebenarnya.
“Terima kasih. Rasanya you ni Ariyaza, kan?” teka pelajar perempuan tersebut.
Ariyaza memerhati gadis itu dari atas ke bawah. Seingatnya, tidak pernah dia bertemu dengan gadis itu.
“Ya, saya. Awak ni...”
I Balkhis, Kelas 6 Sains 1. You dari kelas Perdagangan, right?
“Ya, betul tu...”
I banyak dengar cerita tentang you dari budak kelas Miel, sepupu you tu. Dengarnya you pun masuk bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar tu. Jadi, kita ni kira pesainglah sebab I pun masuk bertanding juga,” jelas Balkhis.
‘Oh, sekelas dengan dracula tu rupanya. Patutlah berlagak diva semacam. Kalau dah Melayu tu, tak payahlah nak ber ‘I’, ber ‘you’. Gedik betul dengarnya. Oh, rupanya si dracula tu mengata aku kat budak kelas dia ya,’ getus hati Ariyaza.
“Em, kalau macam tu, saya ucapkan semoga berjaya,” balas Ariyaza.
“Oh, you too. Eh, you tak ada kelas ke pagi ni?”
“Tak, cikgu yang mengajar bercuti. Awak pula?”
“Kelas Pendidikan Jasmani. I malas nak berpeluh pagi-pagi ni so I katalah I tak sihat. Itu yang ke sini,” jawab Balkhis.
“Oh... Okeylah, kawan saya dah panggil tu. Nice to meet you. Jumpa lagi,” ujar Ariyaza apabila ternampak lambaian tangan dari Fadheela.
Okay, nice to meet you too. Jumpa masa ujian kelayakan tu nanti,” balas Balkhis dalam senyuman.

*  *  *  *  *

LOCENG menjerit nyaring menandakan waktu persekolahan pada hari itu telah berakhir. Para pelajar kelas 6 Perdagangan 1 sedang sibuk mengemas barang-barang di atas meja masing-masing. Ariyaza melirik jam di dinding. Tepat pukul 2.10 petang. Tidak sabar rasanya untuk pulang ke rumah kerana ada sesuatu yang menantinya di sana. Sesuatu yang telah lama dia impikan untuk memilikinya. Setelah hampir seminggu memujuk-rayu papa dan mama, akhirnya permintaan yang selama ini menjadi angan, akan menjadi kenyataan. Pasti ia sudah berada di rumah sekarang. Semalam papa telah meminta Abang Ghaus untuk membelinya. Pagi tadi juga dia telah mengingatkan papa akan perihal tersebut.
“Riya, kita orang nak windows shopping pukul tiga nanti. Nak ikut?” pelawa Fadheela yang sudah selesai mengemas beg sekolah di sebelahnya.
“Oh, maaflah. Hari ini tidak boleh. Aku akan dapat benda yang aku impikan hari ni,” ujar Ariyaza.
“Benda? Oh, that thing? Really?” soal Fadheela, teruja.
Ariyaza mengangguk, turut sama mempamerkan keterujaannya. Senyuman tidak lekang terukir di bibir sejak tadi.
“Wah, kalau macam tu, aku wajib datang rumah kau petang esok,”
Of course! Tak sabarnya aku!” balas Ariyaza.
“Ariyaza!” panggil Cikgu Maureen yang sedang memadam papan putih di hadapan kelas.
Yes teacher!” balas Ariyaza pada cikgu tinggi lampai yang mengajar mata pelajaran Ekonomi itu.
“Boleh tolong saya bawakan buku-buku latihan ni ke bilik guru? Saya ada hal nak jumpa Cikgu Diana di kelas sebelah sekejap,” pinta Cikgu Maureen.
“Baik cikgu,” jawab Ariyaza dalam senyuman.
Para pelajar bangun apabila mendengar arahan dari ketua kelas. Ucapan terima kasih diberi dan para pelajar mula bergerak keluar. Ariyaza melangkah ke hadapan kelas. Buku-buku latihan bersaiz A4 sebanyak 25 buah itu dipandang sejenak. Boleh ke angkat seorang ni?
“Nak aku tolong?” suara Fadheela.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Ariyaza mengangguk. Mereka berdua melangkah keluar kelas lalu menuruni anak tangga. Dalam perjalanan, mereka terserempak dengan seseorang yang amat ingin dihindari. Ariyaza memandang jelik akan Azzmiel yang sedang berjalan bertentangan dengannya. Lelaki itu berseorangan. Entah apa yang mahu dibuat naik ke kelas di tingkat dua walhal waktu persekolahan sudah tamat.
Mata bertentang mata, namun tiada patah kata yang keluar dari bibir masing-masing. Hanya pandangan tajam sebagai isyarat berkomunikasi. Ariyaza baru sahaja hendak memijak anak tangga seterusnya namun terasa kakinya bagai tersadung sesuatu menyebabkan dia tidak dapat mengawal imbangan badan lalu terjelepok. Buku-buku yang dipegang berselerakan di lantai tangga.
“Riya!” ucap Fadheela apabila melihat sahabat baiknya itu tersungkur.
Ariyaza mengaduh sakit. Mujur dia jatuh ketika berada di anak tangga terakhir. Tidaklah teruk sangat kecederaannya. Walau apapun, dia pantas merenung lelaki yang sedang terbahak-bahak ketawa di anak tangga atas.
“Kurang ajar! Hei! Kau ni kenapa hah?” bentak Ariyaza.
Tawa Azzmiel terhenti. Dipandang wajah Ariyaza yang memerah bagai udang dipanggang.
“Kenapa apa?” soal Azzmiel, pura-pura tidak tahu.
“Aku tahu kau sengaja tendang kaki aku kan? Kau memang keji!”
“Tendang? Bila masa aku tendang kau? Ada bukti? Hai, dahlah jatuh macam nangka busuk, nak tuduh-tuduh orang pula. Sedarlah yang kalau berat tu macam gajah, memanglah susah nak seimbang,” sindir Azzmiel lalu kembali menghambur gelak.
“Apa? Hei! Aku belum buta lagi tau. Aku nampak kaki kau yang tendang aku! Kau sengaja nak cari pasal kan? Tak apa, ada lori ada bas!”
“Riya, kau okey?” tanya Fadheela risau.
“Ah, aku okey,” balas Ariyaza lalu cuba bangun dengan bantuan Fadheela.
Telinganya berbahang mendengar sindiran dan gelak-tawa Azzmiel yang masih belum mahu berhenti. Lantas, tanpa membuang masa, dicapainya dua buah buku latihan yang jatuh di atas lantai lalu dilemparkan tepat mengenai wajah Azzmiel. Terkedu lelaki itu seketika.
“Riya! Itu kan buku latihan budak kelas. Kau ni...” Fadheela menegur, sedikit terkejut dengan tindakan kawannya itu.
Ariyaza ketawa melihat wajah Azzmiel yang terpinga-pinga. Rasakan! Jangan nak main-main dengan aku ya. Makan boleh sebarang makan. Cakap jangan sebarang cakap. Ini Ariyazalah! Bukannya macam perempuan lain yang senang digula-gulakan.
“Dahlah Fadh! Jom! Jangan layan si dracula keding tu!” arah Ariyaza usai mengutip buku-buku di lantai yang bertaburan tadi.
“Jap! Buku yang kau baling tadi?” Fadheela bertanya.
“Kaulah ambil. Aku tunggu kat bawah,”
Fadheela kembali menaiki anak tangga lalu mengutip buku-buku yang dilemparkan oleh Ariyaza tadi. Azzmiel masih terpegun di situ. Tersentap agaknya dengan tindakan Ariyaza yang tidak dijangka.
“Err... kau okey?” tegur Fadheela.
Azzmiel tersentak apabila mendengar sapaan Fadheela. Wajahnya merona merah, menaham malu.
“Kurang asam!” jerit Azzmiel.
“Kalau kurang asam, tambah gula!” teriak Ariyaza dari tingkat bawah.
Fadheela ketawa kecil. Hai, ada-ada sahaja budak dua orang ni. Perangai masing-masing tak senonoh betul. Umur dah 18 tahun tapi macam budak umur lima tahun. Sama-sama sepupu pun macam kutub utara kutub selatan. Tak boleh bertemu, pasti ada saja yang nak ditengkarkan.
Fadheela menggelengkan kepala. Sudah nak masuk enam tahun dia bersekolah di situ bersama-sama dengan Ariyaza. Dia sudah lali dengan perbalahan mereka berdua. Seorang ego tak bertempat, seorang lagi panas baran, suka mengusik. Agaknya, kalau ditakdirkan mereka bercinta, bagaimana agaknya? Ah, masakan... Jauh panggang dari api! Tak munasabah langsung!
::bersambung::

3 ulasan :

epy elina berkata...

kehkeh....
adeh lawak la riya ngn meel....
jgn2 dorng brjdoh kot...
dah la mama meel brdendm ngn kuarga riya...
hbsla..

Leya berkata...

dahsyat budak 2 orang ni. best2.. next!

Rizai Reeani berkata...

epy elina & leya: terima kasih sudi singgah membaca... :)