Sepatah Dua Kata

Sabtu, Jun 12, 2010

Apa Kata Hati - Ceritera 07




Didi dan Fifi

PINTU kereta Mercedes Kompressor segera ditutup lalu Ariyaza melangkah terus ke halaman, mencari-cari sesuatu.  Dia ke sudut kiri halaman, di mana taman mini rekaan mamanya dibina. Meliar matanya tetapi apa yang dicari tidak ketemu. Kemudian dia berlari ke sudut kanan halaman pula, tempat parkir kereta. Tiada juga. Lantas dia ke belakang rumah, ke kawasan kolam renang. Hampa. Lalu dia masuk ke rumah melalui pintu dapur.
“Mak Ecah!” teriak Ariyaza, memecah kesunyian banglo dua tingkat itu.
Tiada sahutan. Sekali lagi Ariyaza melaungkan nama pengasuhnya itu namun masih sama, tiada balasan. Ke mana agaknya Mak Ecah pergi? Ariyaza melangkah ke ruang tamu. Kelibat Mak Ecah tidak juga kelihatan.
“Mak Ecah!” teriak Ariyaza lagi.
“Mana pula Mak Ecah ni? Jangan-jangan...” Ariyaza mula berfikir yang bukan-bukan seraya berlari menaiki tangga menuju ke bilik Mak Ecah.
Pintu bilik pantas ditolak. Mak Ecah yang sedang melipat sejadah terperanjat. Wajah Ariyaza berubah. Sedikit tersipu.
“Bertuah punya budak! Kamu tak tahu nak ketuk pintu dulu?” tegur Mak Ecah.
Ariyaza melempar sengih. Dia merapati Mak Ecah lalu membantu wanita berusia 70 tahun itu meletakkan sejadah di penyidai.
Sorry Mak Ecah. Tadi Riya panggil tapi Mak Ecah tak menyahut. Itu yang Riya terus naik ke sini. Bimbang kalau ada apa-apa yang tak elok berlaku...” Ariyaza membuat penjelasan.
“Iyalah tu... Hah, kenapa cari Mak Ecah?”
“Ala, saja. Rindu...” Ariyaza mengusik.
“Sudah, jangan nak main-main lagi. Cepat cakap apa yang kamu nak sebenarnya ni?” desak Mak Ecah.
“Hehehe... Tadi Abang Ghaus cakap benda tu dah sampai. Riya cari keliling rumah tapi tak jumpa. Ada Mak Ecah nampak?”
“Benda? Benda apa?” Mak Ecah pura-pura tidak faham.
“Ala, kura-kura dalam perahu pula Mak Ecah ni. Nampak tak?”
“Kura-kura apanya? Ish, cakap tu biar terang sikit...” giat Mak Ecah.
“Mak Ecah ni memang tau! Tak apa, Riya boleh cari sendiri,” akhirnya Ariyaza mengalah, lebih kepada merajuk sebenarnya.
“Carilah, itu pun kalau jumpa,”
“Ala, dahlah Mak Ecah. Cepatlah beritahu Riya. Dah lama Riya tunggu nak dapat benda tu tau!” Ariyaza cuba memujuk sambil menggoncang bahu kanan pengasuhnya itu.
Mak Ecah tersenyum. Sesekali mengusik anak gadis Tuan Iskandar ini, terhibur hatinya. Ariyaza gadis yang manja tetapi tegas. Gadis itu nampak tabah di luar tetapi dalam hatinya sangat rapuh. Sejak kecil lagi dia menjaga Ariyaza. Faham benar akan telatah gadis itu.
“Iyalah, iyalah... Nanti gugur pula jantung Mak Ecah ni dibuatnya. Benda tu ada dekat anjung,”
“Anjung mana Mak Ecah?”
“Dekat kebun belakang rumah. Mak Ecah letak di situ dulu. Bimbang pula kalau bawa ke dalam, bersepah. Lagipun papa Riya kan tak suka bulu-bulu tu...” jelas Mak Ecah.
“Okey, terima kasih Mak Ecah!” ucap Ariyaza lalu bingkas bangun.
“Hah? Nak ke mana tu? Pergi mandi, salin baju dulu!” Mak Ecah mengarah seperti seorang kapten kapal pada kelasinya.
“Yes mem!” balas Ariyaza lalu berlari menuruni anak tangga.
Mak Ecah turut bangun. Dia keluar dari bilik apabila dilihat Ariyaza berlari ke arah bertentangan, bukan ke biliknya.
“Riya! Kan Mak Ecah cakap mandi dulu!” laung Mak Ecah dari tingkat atas.
“Sekejap lagilah... Riya nak ucap salam perkenalan dulu,”
Mak Ecah menggeleng. Hai, kalau dah tak menyabar tu, memang tak boleh dibuat apa...

*  *  *  *  *

SEBUAH senyum lebar terukir di bibirnya. Sudah lama dia impikan untuk memiliki sepasang arnab untuk dijadikan haiwan peliharaan. Dan impiannya dimakbulkan hari ini. Itu pun setelah bersusah-payah menyakinkan papa dan mama kerana papa alergik terhadap bulu haiwan. Namun, setelah berjanji akan menjaga arnab-arnab itu dengan baik, maka papa dan mama bersetuju.
Dua ekor arnab yang berbulu coklat cair itu kelihatan takut-takut sewaktu Ariyaza menghampiri mereka. Perlahan-lahan Ariyaza membuka pintu sangkar segi empat tepat yang sederhana besar itu lalu mengeluarkan seekor demi seekor. Arnab-arnab tersebut hanya duduk diam tidak bergerak.
“Hello! Saya Riya, tuan baru kamu. Selamat berkenalan...” sapa Ariyaza lalu mengusap kepala kedua-dua arnab itu dengan lembut.
“Hmm... Nak bagi nama apa ya? Eh, kejap! Yang mana satu jantan, yang mana satu betina ni?” Ariyaza berkira-kira dalam mindanya sebentar.
“Yang mata hitam tu jantan. Yang mata coklat tu betina,” sampuk Abang Ghaus sekaligus menjawab persoalan Ariyaza tadi.
“Mana Abang Ghaus tahu?”
“Orang kat kedai haiwan tu yang cakap. Memang Ariyaza nak sepasang kan?”
“Ha’ah. Nanti boleh beranak-pinak,” jawab Ariyaza.
“Comel kan arnab ni?” Ariyaza menyambung sambil mengacah-acah haiwan peliharaannya itu.
“Hah, jaga elok-elok. Ingat, jangan bawa masuk dalam rumah. Papa kamu tu alergik,” ujar Mak Ecah yang datang dengan membawa dulang berisi dua gelas air sirap.
Don’t worry Mak Ecah. Riya akan pastikan Didi dan Fifi ni main dekat halaman saja,” Ariyaza memberi jaminan.
“Didi dan Fifi?” ujar Abang Ghaus.
“Yang jantan ni namanya Didi. Yang betina ni, Fifi. Senang nak ingat,”
“Apa-apa ajelah Riya, asal jangan letak nama pelik-pelik sudah. Oh ya, tadi mama kamu telefon. Dia suruh kamu bersiap sebab petang nanti nak ke rumah nenek,” beritahu Mak Ecah.
Ke rumah nenek? Jarang jika hari biasa mereka ke rumah nenek. Selalunya hujung minggu baru mereka sekeluarga pulang ke kampung. Em, kampung yang tak berapa kampung sebenarnya sebab nenek juga tinggal di daerah yang sama cuma berlainan mukim. Perjalanan dari rumah pun hanya memakan masa setengah jam.
“Dah, pergi mandi dulu. Kemudian solat. Lepas tu baru main dengan Didi dan Fifi kamu ni,” arah Mak Ecah.
Ariyaza mengangguk lalu bangun dari duduknya tadi.
“Kejap lagi kita jumpa ya,” ujar Ariyaza lalu melangkah masuk ke dalam rumah, menuju ke biliknya.

*  *  *  *  *

AZURA berkira-kira mahu mengetuk pintu bilik pejabat mamanya itu. Dia melirik jam di tangan kanan. Sudah pukul 02.45 petang. Kebetulan dia tiada kelas di kolej hari ini jadi dia mengambil peluang untuk berbincang sesuatu dengan mamanya. Sesuatu yang akan menentukan kebahagiaan hidupnya selepas ini. Azura lebih selesa berbincang di pejabat kerana di rumah, dia tidak berkesempatan bertemu dengan mamanya itu kerana seringkali mamanya pulang lewat dan dia sudah masuk tidur.
Bunyi bukaan pintu membuatkan Azura sedikit tergamam. Wajah seorang lelaki berkemeja lengan panjang rona biru gelap menyapa matanya. Sebuah senyuman diukir dan lelaki itu membalasnya sebelum melangkah pergi. Perlahan-lahan, Azura menarik nafas sebelum mengetuk pintu bilik di mana pejabat mamanya ditempatkan.
“Tok! Tok!”
Kedengaran suara mamanya menyuruh masuk dari dalam. Azura memulas tombol lalu menolak pintu kayu berukir corak awan larat dengan cermat sambil memberi salam. Salamnya dijawab dan wajah mamanya dipandang seketika. Tiada riak. Tidak terkejut atau gembira dengan kehadirannya di situ.
“Ada apa Zura datang jumpa mama di pejabat ni?” Datin Maisarah terus ke persoalan utama.
“Zura nak bincang sesuatu dengan mama,” ujar Azura dalam gugup.
Datin Maisarah mengangkat kening. Perlahan-lahan, dia mengukir senyum.
::bersambung::

6 ulasan :

epy elina berkata...

hhohhoohho....
best2x...
smbung2x...

yana berkata...

i ada 6 ekor arnab kat rumah. kebetulan ada nama fifi. next3..

Leya berkata...

suka ending die. mcam dlm drama

Tanpa Nama berkata...

ridh, rasanya mcam banyak sngat watak dalam citer ni. quit confuse..

datul berkata...

setakat ni sy fham lg jalan citer. watak banyak x pe asal saling berkait. suke setiap ending, buat org trtanya2..

Rizai Reeani berkata...

epy elina: hehehe... terima kasih.

yana: wah, mesti comel semua arnab tu.

leya: saya ni agaknya banyak sangat tengok drama. hahaha...

anonymous: oh, maaf ya awak. saya akan cuba nilai dan kemas-kini semula. :)

datul: terima kasih awak. harap cerita ini tidak terlalu pening nanti.

terima kasih semua untuk komen yang diberi dan terima kasih sudi singgah membaca :D