Sepatah Dua Kata

Rabu, Jun 16, 2010

Cinta Antara Kita IV - Bab 01



NADZLIA tersandar keletihan di atas tempat duduk di dalam komuter yang menuju ke Segamat.  Dia baru sahaja selesai membeli-belah di Seremban Parade bersama-sama dengan Farah. Sejak pagi lagi mereka berdua sudah keluar dari rumah. Farah yang beriya-iya mengajaknya bersiar-siar di Seremban. Mereka sampai di Seremban tepat pukul sepuluh pagi dengan menaiki komuter. Destinasi pertama adalah pusat beli-belah Terminal One di mana Farah ingin memenuhi hasrat hatinya untuk menonton wayang setelah agak lama tidak berbuat begitu. Maklumlah, di Segamat tiada panggung wayang.
Selesai menonton filem komedi Inggeris lakonan Ben Stiller bertajuk “Night at the Museum”, mereka singgah ke restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken.
“Lepas ni aku nak beli beg tangan, tudung, baju, ish, banyak lagilah...” ujar Farah ketika mereka menikmati ayam goreng yang masih panas berasap itu.
“Amboi, amboi, amboi... bawa mengucap Cik Farah. Cuba bawa berjimat sikit,” tegur Nadzlia.
“Ish, dah lama aku simpan duit nak beli benda-benda tu semua tau. Penat aku bekerja masa cuti semester lepas. Inilah masanya kepenatan aku tu berbayar,” balas Farah.
Nadzlia menggelengkan kepala. Suka hati Farahlah, duit dia. Farah lebih berhak tentukan untuk apa duit itu digunakan.
“Stesen berikutnya Batu Anam. Next station Batu Anam,” pengumuman yang bergema di dalam komuter itu mengejutkan Nadzlia dari lamunan.
“Tinggal dua stesen je lagi. Penatnya...” rungut Farah.
“Mana tak penat. Habis satu pusat beli-belah tu awak selongkar. Kaki saya ni dah rasa macam nak tercabut tahu?” usik Nadzlia.
Farah tergelak kecil. Nadzlia membetulkan duduknya agar lebih selesa. Tiga buah beg plastik di tangan kanan diletakkan di atas lantai komuter yang bergerak agak laju itu. Payung yang dipegang di tangan kiri disandarkan di dinding. Kebetulan, dia duduk di bahagian tepi sekali.
“Aku rasa tak puas lagilah. Banyak lagi tempat aku tak pergi,” ujar Farah.
“Hah? Awak ni... Em, apa kata, cuti semester tak lama lagi ni, awak tinggal kat rumah saya dalam seminggu dua? Boleh kita makan angin lama sikit,” cadang Nadzlia.
“Betul ni? Betul? Oh, kau memang kawan aku yang paling baik! Sayang kau!” ucap Farah sambil menggenggam jemari tangan Nadzlia, erat.
Nadzlia mengukir senyum. Farah pula berasa gembira melihat senyuman yang meniti di bibir gadis itu. Agak lama juga wajah yang mulus itu tidak dihiasi dengan sebutir senyuman. Sejak pemergian Khairul dua bulan yang lalu, Nadzlia menjadi pendiam dan selalu bermurung.
Farah yang melihat jadi resah. Dia tahu Nadzlia sedang cuba menerima kenyataan yang kekasih hati sudah pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Justeru, sengaja dia mengajak Nadzlia keluar menghirup udara luar agar kesedihan yang terbuku diurai.
“Stesen berikutnya Segamat. Next station Segamat,”
Nadzlia merenung jam di tangan. Pukul 6.30 petang. Hari Sabtu begini agak ramai penumpang di dalam komuter tersebut. Nadzlia memandang ke luar tingkap. Hanya pokok-pokok renek yang menghijau menjadi santapan matanya. Perlahan-lahan dia memegang dada. Entah kenapa ada hiba yang menjalar tiba-tiba. Ah, wajah itu datang lagi. Bagai sedang melambai-lambai padanya. Pergilah rindu, pergilah. Jangan lagi singgah di hati ini.
“Okey, dah sampai! Jom!” Farah menepuk bahu Nadzlia lembut.
Nadzlia tersentak sedikit lalu bergegas mencapai beg plastik di lantai lalu bangun untuk melangkah keluar dari komuter itu. Orang ramai bertolak-tolakan di pintu keluar. Masing-masing seolah-olah sedang mengejar sesuatu yang penting. Beberapa saat berhimpit, akhirnya Nadzlia berjaya menyelit keluar. Dia mengeluh sedikit. Sampai bilalah mereka ini hendak berebut-rebut begini? Cubalah bawa beratur. Pasti lebih mudah dan cepat untuk keluar.
Farah dan Nadzlia bergandingan menuju ke stesen bas berhampiran, menunggu bas yang disediakan oleh pihak universiti untuk mengambil para pelajar pulang semula ke kampus. Nadzlia melirik matanya ke tangan Farah yang sarat dengan beg kertas pelbagai corak dan warna. Memang nampak dia berhabis sakan.
“Kasihan pula saya tengok awak. Mari, saya tolong bawakan sedikit,” pinta Nadzlia.
“Aku ingat kau tak perasan tadi. lama juga aku menunggu kau buat tawaran tu,” gurau Farah.
“Ewah, siapa suruh borong banyak-banyak. Kalau naik kereta lainlah. Ini naik komuter. Kan menyusahkan,” balas Nadzlia.
Farah menghulurkan dua buah beg kertas pada kawan baiknya yang ayu bertudung rona hijau pucuk pisang itu. Nadzlia menyambut dengan tangan kirinya. Seketika kemudian baru dia tersedar.
“Ya Allah!” ucap Nadzlia membuatkan Farah sedikit terkejut.
“Kenapa ni?”
“Payung! Saya terlupa nak ambil dalam komuter tadi!” jawab Nadzlia.
“Ish, kau ni... aku ingat apalah tadi. Ala, setakat payung sekaki, tak payahlah buat reaksi sampai begitu sekali,” ujar Farah.
“Tapi payung tu...” Nadzlia tidak menghabiskan kata kerana sekali lagi dia dilanda hiba.
“Kenapa dengan payung tu? Payung orang lain punya?” tanya Farah.
Nadzlia mengelengkan kepalanya.
“Dah tu?”
“Khairul yang beri pada saya,” jelas Nadzlia.
Farah terdiam. Bagaimana Nadzlia boleh sebegini cuai jika payung itu adalah pemberian dari orang yang disayanginya? Dia mendengar Nadzlia teresak. Ah, sudah... nak buat apa pula untuk memujuk gadis ini?
“Err... Lia, sabar.... Hah, apa kata kita jumpa pegawai di stesen komuter tu minta dia tolong simpankan kalau terjumpa,” saran Farah.
“Em, tak apalah. Anggaplah ia bukan rezeki saya,” jawab Nadzlia sambil menyeka titis-titis jernih yang bergenang di pelupuk matanya.
“Tapi payung tu...”
“Assalammualaikum!” sapa seorang pemuda berbaju t-shirt berkolar rona coklat cair dipadankan dengan jeans biru lusuh.
Farah dan Nadzlia sama-sama memandang pemuda yang berada di hadapan mereka. Mata masing-masing membulat, terbeliak besar. Beg kertas yang dipegang oleh Nadzlia terlepas dari pegangan. Dia hampir rebah namun sempat ditahan oleh Farah.
“Kha... Khairul?”

::bersambung::

Tiada ulasan :