Sepatah Dua Kata

Selasa, Jun 15, 2010

Semanis Epal - Bab 01



HAI! Nak dengar sebuah kisah cinta? Kisah cinta ini tidaklah sehebat kisah cinta antara Laila dan Majnun. Tidak juga seromantis seperti Romeo dan Juliet. Apatah lagi sehebat Shah Jehan dan Mumtaz. Oh, kisah cinta ini langsung tidak sama seperti kisah klasik cinta Sultan Mahmud pada Puteri Gunung Ledang.
Tetapi, kisah cinta ini tetap punya keunikan yang tersendiri. Ya, semua kisah cinta tidak serupa walau seakan sama. Jadi, bagi yang mahu mendengar kisah cinta ini, buka mata, buka hati, buka minda. Oh, jangan buka yang tidak sepatutnya pula. Ehem, nakal ya!
Mengapa harus buka mata, buka hati dan buka minda? Kerana kisah cinta ini seringkali berlaku dalam hidup seharian cuma tidak semua insan menyedarinya. Mari sama-sama kita selam kisah cinta yang dialami oleh seorang gadis kecil molek tubuhnya yang bernama Irdina. Ya, ini kisah cinta Irdina yang berkait rapat dengan sebiji epal merah. Kisahnya bermula begini…

*  *  *  *  *

PETANG pertengahan Mac tahun 2000 kala itu diselubungi kedinginan. Gerimis membasahi lantai bumi yang sejak semalam kekeringan. Seorang gadis berambut panjang melepasi bahu dilihat melangkah keluar dari sebuah bangunan bercat serba biru dengan wajah yang sedikit mencuka. Mulutnya terkumat-kamit seakan membaca mentera tetapi dia bukanlah seorang ahli sihir ataupun dukun. Dia hanya meluahkan ketidakpuasan hati kerana masuk kali ini, sudah 13 tempat dia mempromosi diri untuk mencari pekerjaan tetapi strateginya tidak berjaya walau segulung Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan menjadi bekalan ketika menghadiri sesi temu-duga.
Rata-rata syarikat tidak dapat menerima dia bekerja kerana kelayakan akademiknya terlalu tinggi, bimbang tidak bersesuaian dengan gaji yang akan diberi. Puas sudah dibela diri bahawa dia tidak kisah akan soal gaji tetapi syarikat-syarikat tersebut bimbang jika dia bersikap demand di kemudian hari. Oh, tolonglah! Dia bukannya artis popular nak demand bagai.
Sebuah keluhan dilepaskan. Entah untuk keberapa kali hari ini. Semilir yang bertiup menghantar sedikit ketenangan dalam diri. Perlahan-lahan dia menarik nafas dan melepaskannya juga perlahan-lahan. Jam di tangan kanan dikerling. Hampir pukul enam petang. Jam pemberian kawan baiknya, Fatizah sewaktu hari lahir yang ke-18, tujuh tahun yang lalu itu direnung seketika. Masih elok terletak di pergelangan tangan kanannya walau sudah tiga kali berganti bateri.
Kemudian, pandangannya dialihkan pada kenderaan yang lalu-lalang di  jala raya yang terbentang di hadapan matanya. Keadaan lalu-lintas yang sesak nampaknya tidak mengizinkan dia untuk menaiki kenderaan awam buat masa ini. Terasa malas mahu terhimpit di dalam kesesakan lalu-lintas begitu.
Maka dia mengambil keputusan untuk bersiar-siar di sebentar sementara menunggu keadaan lalu-lintas reda. Sebenarnya jarak tempat tinggalnya dari pusat bandar tidaklah begitu jauh. Lebih kurang 15 km sahaja. Jadi, masih sempat untuk pulang ke rumah sebelum Maghrib.
Sambil bersiar-siar, sambil fikirannya menerawang entah ke mana. Sudah hampir setengah tahun dia menamatkan pengajian tetapi masih lagi bergelar penganggur terhormat. Tidak dinafikan, keadaan ekonomi negara masih belum betul-betul stabil. Ah, sudahlah, salahkan ekonomi negara pula walhal diri sendiri masih belum cukup berusaha. Harus yakin, lambat-laun rezeki itu akan datang juga. Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Walaupun tidak hidup di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur, tinggal di bandar Seremban juga memerlukan kos sara hidup yang bukan sedikit. Barang-barang keperluan dapur semakin menjadi-jadi naik harganya. Takkan mahu makan nasi seminggu sekali? Badannya sudah cukup kurus, tak perlu nak berdiet lagi. Makan nasi seminggu sekali? Oh, menggigil perut dibuatnya.
Gerimis masih lagi mencurah namun tidak diendahkan olehnya. Apalah sangat titisan air kecil itu jika dibandingkan dengan kerisauan yang menggunung di hati. Sungguh dia gusar. Bukan tentang keadaan dirinya tetapi keadaan orang yang amat dia sayangi, neneknya.
Kesihatan neneknya kebelakangan ini sangat membimbangkan. Wanita berusia tujuh puluh tahun itu sering sesak nafas menyebabkannya terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan. Apatah lagi dua minggu sekali dia harus membawa neneknya itu ke hospital bagi menjalani pemeriksaan. Harga ubat juga menjadi salah satu punca kerisauannya. Sehingga kini dia masih belum mendapat pekerjaan justeru bagaimana mahu terus membiayai belanja perubatan neneknya itu? Wang simpanan di bank semakin susut. Itu pun kerana dia berjimat-cermat dengan duit biasiswa yang diterima semasa belajar di peringkat Ijazah Sarjana dahulu.
Sedang asyik dibuai lamunan, tiba-tiba bahunya dirempuh. Hampir hilang keseimbangan tetapi masih mampu dikawal. Dia mengaduh sakit. Seketika kemudian dia dirempuh sekali lagi menyebabkan dia gagal mengawal imbangan badan lalu terjatuh bersama-sama dengan orang yang melanggarnya tadi.
“Hei, buta ke?” tempelak gadis itu.
Excuse me, kau tu yang jalan terhuyung-hayang macam orang hisap gam tadi tau!” balas pemuda yang melanggarnya.
Gadis itu menjengilkan mata apabila dilihat pemuda berkemeja biru laut dengan tali leher rona biru pekat itu bangun tanpa membantunya. Kurang asam! Dahlah langgar orang tak minta maaf, sekurang-kurangnya tolonglah dia bangun.
“Bodoh! Ini semua kau punya pasal!” bentak pemuda itu
‘Hah? Dia pula yang salah? Hello, sapa yang jalan mata letak kat lutut ni?’ hati gadis itu berdetik.
Gadis itu cuba bangun dengan sendiri walaupun payah. Lututnya terasa pedih. Ah, pasti ada luka kecil di situ.
“Aku tak kira, kau kena bayar ganti rugi juga!” pemuda itu bersuara lagi.
“Ganti rugi? Maksud awak?” gadis itu bertanya tidak faham.
“Tu!” ujar pemuda itu sambil mengunjukkan jari telunjuk ke arah kaki kanan gadis tersebut.
Perlahan-lahan mata gadis itu jatuh ke bawah tapak kakinya. Ada sesuatu di situ! Kaki kanannya itu diangkat. Sebiji epal yang telah rosak tertusuk tumit kasut tingginya!
“Err... ma... maaf, tak sengaja...” ujar gadis itu malu-malu.
“Siapa nama kau?”
“Irdina. Err... awak?”
“Ekhmal! Kau tahu tak, pasal kaulah aku tak dapat tangkap pencuri tadi! Aku tak kira, kau kena bayar juga ganti rugi epal aku ni,” Ekhmal mendesak.
‘Pencuri? Oh, yang melanggar bahunya waktu mula-mula tadi. Ala, setakat epal tak sampai sepuluh biji pun nak kecoh. Macamlah dia tak ada duit sangat!’ getus hati Irdina.
“Awak... Setakat epal beberapa biji tu pun nak berkira. Anggap sajalah awak bersedekah. Pasti pencuri tu tengah lapar sangat. Kalau tak, dia tak akan curi epal awak tu. Bertimbang rasalah sikit. Dia pun manusia juga. Perlu makan dan minum. Lainlah kalau dia curi duit awak ke. Ah, kalau curi duit pun, apalah sangat. Saya tengok pencuri tadi tu macam budak lagi. Awak tak kesian ke? Sekurang-kurangnya awak patut berterima kasih pada budak tu tau sebab curi epal awak. Dapat pahala percuma kalau awak niat nak sedekah,” panjang lebar Irdina bicara membuatkan Ekhmal mengerutkan dahi sambil mengangkat kening.
Irdina menekup mulut apabila menyedari keterlanjuran katanya. Wajahnya ditundukkan, kalah pada renungan mata Ekhmal yang tajam.
“Wah, wah... Bukan main lagi kau bela pencuri tu ya? Kenapa? Kau pun keturunan pencuri juga ke?” sindir Ekhmal.
Wajah Irdina berubah merah. Telinganya berdesing. Kurang ajar mamat rambut skema ni. Sesedap mulut nak kata dia macam tu.
“Hello, makan boleh sebarang makan okey. Jangan nak pakai sedap mulut aje tuduh orang macam tu. Apa awak ni tak belajar sivik ke?”
Pemuda di hadapan Irdina menghambur tawa menyebabkan Irdina dilanda kehairanan. Dia ada buat lawak ke tadi?
“Kau ni memang kelakar ya. Okey, okey... stop all this nonsense. Sekarang aku nak kau bayar ganti rugi bagi epal kau tadi. Yalah, kau kan pemurah orangnya. Anggaplah kau sedekah kat aku aje duit tu,” Ekhmal memulangkan paku buah keras.
Irdina rasa disindir lantas menghadiahkan sebuah jelingan pada pemuda berambur lurus yang disisir ke tepi itu. Dia mengeluarkan dompet dari beg tangan yang dibeli di pasar malam minggu lepas. Ala, beg tangan jual kat mana-mana pun lebih kurang aje kualitinya. Fungsinya sama juga, tempat simpan barang. Lainlah kalau beg tangan tu boleh keluarkan sebutir emas atau intan berlian. Memang harus dibeli walau mahal harganya. Oh, maaf, dia sedang merepek.
“Berapa?” soal Irdina pada Ekhmal.
“Aku tak nak duit,” balas Ekhmal.
“Hah? Habis tu?”
Ekhmal mengukir senyum penuh makna.

*  *  *  *  *

Begitulah pertemuan kali pertama antara Irdina dan Ekhmal. Pertemuan yang bakal mencorakkan kisah cinta yang disulam sayang, rindu dan derita. Perasan tak epal yang dipijak Irdina tadi? Epal tersebut bakal membuatkan hidup mereka berubah serta-merta. Mahu tahu apa jadi selanjutnya? Sama-sama kita tunggu episod akan datang. Bagi yang tak mahu dengar tu, tak mengapa, sila tutup mata dan telinga okey?
::bersambung::

9 ulasan :

epy elina berkata...

keh3x...
best2x....

zarah berkata...

Oho, klakar2.. apalah yg si ekmal tu nak agaknya.

akira_bita berkata...

rizai!!! sgt2 best!!! sempoi gilerr bahasanya.. best2!!! smbg lg tau!!

datul berkata...

lain skit olahan kali ni ye. smoga b'jaya habiskan. good luck!

fadi didi berkata...

lepas ni mesti ekmal ajak dinner...takpon die propose jadik gf/wife die...hehehe

Tanpa Nama berkata...

lucu2..hahahaha.saya suka cerita ni..sambung ya..thanks.

fared berkata...

sikit punya baik si dina backup pencuri tu. rasa mcam bleh agak apa jadi lepas ni. tp cara penyampaian citer ni not bad.

Rizai Reeani berkata...

Kali ini saya kira permulaannya agak santai cuma di akhirnya nanti agak 'berat'. Sama-sama kita tunggu.

Terima kasih semua sudi singgah membaca :D

firda berkata...

intro yg menarik. kali ini citer cinta lagi ya en. rizai. ;)