Sepatah Dua Kata

Jumaat, Jun 18, 2010

Semanis Epal - Bab 04





HARI ini Irdina akan memulakan kehidupan barunya bersama-sama keluarga Ekhmal. Walau kecut perut dengan Puan Sri Hasmiza yang kelihatan garang macam singa itu, Irdina harus gagahkan diri juga kerana kesihatan neneknya lebih penting. Tapi, apa alasan Irdina pada neneknya tentang perpindahan ke rumah baru itu?

*  *  *  *  *

BATUK-BATUK kecil kedengaran di dalam bilik membuatkan Irdina segera menjengah ke sana. Jelas di wajahnya riak bimbang melihat keadaan neneknya yang kelihatan tidak berdaya. Lantas dia diserang serba-salah. Perlukah dikhabarkan pada neneknya akan perihal sebenar mengapa dia berpindah keluar dari rumah itu? Atau terus berbohong dengan menyatakan dia sudah mendapat pekerjaan yang memerlukan dia berpindah? Argh, kusut!
“Nek tak apa-apa?” soal Irdina berbaur risau.
Wanita berusia tujuh puluh tahun itu mengukir senyum dalam payah. Garis-garis kedut di dahi dan pipi menunjukkan tubuh itu semakin ditelan usia. Irdina mengakui akan hakikat mati. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Datangnya ajal itu saja yang tidak tahu bila masanya. Justeru, selagi masih diberi kesempatan untuk terus menghirup udara di muka bumi ini, maka sentiasa perlu bersyukur.
Irdina tahu, jauh di sudut hati, dia pasti akan dilanda sedih apabila neneknya itu pergi menemui Tuhan Yang Esa. Siapa yang tidak sedih bila orang yang amat disayangi, yang amat penting pada diri, tiada lagi di sisi menemani. Namun Irdina bukanlah kanak-kanak lagi. Dia yakin, suatu hari nanti dia pasti akan menemui neneknya semula di alam sana sama seperti kedua ibu dan ayahnya. Ah, entah-entah dia yang akan pergi dahulu sebelum neneknya itu.
“Dah siap kemas barang?” soal nenek Irdina.
Irdina mengangguk. Dia mengambil tempat di sebelah neneknya yang sedang duduk bersandar di kepala katil. Bahu neneknya dirangkul lalu kepalanya direbahkan ke bahu neneknya itu. Tanpa sedar, manik-manik putih mula berjuraian jatuh.
“Ish, kenapa menangis pula ni?” tegur neneknya.
Irdina senyap. Dia sebak apabila mengenangkan dia tidak lagi dapat menemani neneknya seperti kebiasaan. Dia cuma berkesempatan untuk menziarahi neneknya kala hujung minggu. Irdina tidak gusar meninggalkan neneknya kerana Makcik Aini, jiran sebelah rumah telah berjanji akan menjaga nenek seperti biasa.
Makcik Aini telah lama membantunya menjaga nenek sejak dia melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi lagi. Walau dihulur sehelai dua wang kertas, dia menolak dengan sopan. Kata Makcik Aini, nenek sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Oh, betapa masih wujud lagi insan berhati mulia seperti jirannya itu.
Mulai esok, dia akan meninggalkan rumah yang telah banyak mencipta memori dan kenangan, manis dan pahit. Semalam dia telah menghulurkan sekeping sampul berisi sejumlah wang pada Makcik Aini untuk makan pakai nenek sepanjang ketiadaannya selama tiga bulan nanti. Itu pun setelah dia berkeras, baru Makcik Aini terima.
“Jangan nangis lagi. Ina pergi bukannya lama. Tiga bulan saja kan? Nenek bukannya tak boleh jaga diri. Lagipun Makcik Aini kamu tu ada. Selalu dia menjenguk nenek. Dahlah, tak payah risau dah...” ujar neneknya.
“Nek... Ina sayang nenek!” ucap Irdina lalu mengeratkan rangkulan dan menghadiahkan senyuman di pipi neneknya itu.
“Dah habis barang dalam kereta?” sapaan Ekhmal mengembalikan Irdina ke alam realiti.
“Dah, beg ni yang terakhir,” jawab Irdina sambil mengheret bagasi beroda yang mengandungi pakaiannya.
Ekhmal menutup pintu belakang kereta lalu mengunci kereta Toyota Vios miliknya. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam villa yang diberi nama Villa Karisma itu. Irdina meletakkan bagasi di tepi tangga sementara Ekhmal berlalu ke dapur. Sejak tadi dia perasan Puan Sri Hasmiza asyik memerhati tindak-tanduknya. Dia rimas diperhati begitu. Apa Puan Sri tu tak ada kerja lain agaknya nak buat? Oh, Irdina lupa. Nama pun Puan Sri, duduk rumah goyang kaki sahaja. Sebab tu dia ada banyak masa nak dibazirkan. Tapi, seingat Irdina, selalunya, dalam novel atau drama, Puan Sri merupakan orang yang sangat sibuk. Kalau tak sibuk dengan business, sibuk berpersatuan. Tapi lain pula dengan mama Ekhmal ini.
Hmm... Agaknya Puan Sri Hasmiza mengambil cuti semata-mata untuk menyambut ketibaannya di villa ini. Ah, perasan betul! Mungkin benar Puan Sri Hasmiza tiada kerja yang mahu dilakukan.
“Irdina,”
Terasa mahu luruh jantung Irdina mendengar namanya disebut oleh Puan Sri Hasmiza. Seram-sejuk, meremang bulu romanya. Macam seorang pesalah yang sedang menanti hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasnya.
“Ya, Puan Sri...”
“Ke sini, I nak berbual dengan you sekejap,”
Irdina meninjau ke arah dapur, mencari kelibat Ekhmal. Apa yang harus dijawab sekiranya Puan Sri Hasmiza bertanya soalan yang pelik-pelik? Argh, hentam sajalah labu...
“Duduk,” arah Puan Sri Hasmiza sejurus Irdina tiba di hadapannya.
Irdina mengambil tempat duduk di sofa bertentangan dengan Puan Sri Hasmiza. Wajahnya ditundukkan sedikit, bimbang jika keresahannya dapat dihidu. Penuh cermat dia melabuhkan punggung lagak anak dara zaman dahulu kala. Sopan mengalahkan pengantin atas pelamin.
“Ekhmal kata you buka kedai buku? Di mana?”
Hah? Alamak... Apa nak jawab ni? Dia memang tak bersedia lagi menerima serangan mengejut begini.
“Ha’ah, di bandar Puan Sri. Kedai kecil-kecil saja. Baru nak naik...” jawab Irdina, cuba berlagak yakin.
“Ooo... So, you ni tak pernah kerja makan gajilah?”
‘Kerja pun tak dapat cari lagi Puan Sri oi...’ mahu saja Irdina berkata begitu tetapi dia masih waras.
“Dulu ada kerja di syarikat ayah sekejap. Lepas tu ambil keputusan buka kedai buku. Nak berdikari dan apply apa yang dah belajar dulu,” jawab Irdina setenang mungkin.
Wah! Pandai dia mereka cerita. Boleh dapat award skrip terbaik ni!
“Ayah buka syarikat apa?” Puan Sri Hasmiza bertanya lagi.
Confim dia sedang ditemuduga oleh Puan Sri Hasmiza. Manalah si Ekhmal ni... Buat apa agaknya kat dapur tu lama-lama. Lutut dia dah menggigil. Ish, macam manalah dia boleh setuju dengan rancangan Ekhmal ini?
            “Syarikat pelancongan. Ibu tolong sikit-sikit,”
            “Really? Dah lama ayah buka syarikat tu?”
            “Lama juga Puan Sri, adalah hampir sepuluh tahun,” hanya itu yang Irdina mampu menjawab, bimbang jika semakin direka cerita, semakin rumit pula jadinya.
            “Kenapa pilih Ekhmal?”
            Tu dia... Dah mula masuk bab sensitif ni.
            “Saya sayangkan dia,” ringkas jawapan Irdina mengundang tawa kecil pada Puan Sri Hasmiza.
            “Dah lama kenal Ekhmal? Bukan apa, I pelik juga sebab dia tak pernah kenalkan you dengan I,”
            “Kami kenal sejak belajar di universiti lagi. Saja nak buat surprise kat mama, tu yang Mal sorokkan,” Ekhmal menyampuk lalu mengambil tempat di sebelah Irdina.
Fuh, lega! Muncul juga akhirnya mastermind di sebalik rancangan ni. Amboi, dia pun sama reka cerita baik punya.
“Begitu... Jadi Irdina ni lulusan Human Resource jugalah?”
“Tak, saya lulusan Business Study,” jawab Irdina, mengelakkan kekeliruan.
“Oh, patutlah nak berniaga sendiri. Good! Auntie suka dengan perempuan yang berdikari dan tahu majukan diri ni,”
Irdina tersentak. Bahasa pertuturan Puan Sri Hasmiza sudah bertukar dari I, you ke auntie pula. Cepat benar dia berubah hati. Atau ia sekadar lakonan di hadapan Ekhmal?
Deringan telefon menganggu perbualan mereka. Mak Timah melaung dari dapur menyatakan panggilan tersebut untuk Puan Sri Hasmiza. Wanita berusia 49 tahun itu bangun lalu menuju ke dapur walhal ada telefon di sebelah sofa yang didudukinya. Mungkin tidak mahu perbualannya didengari.
“Ekhmal!” hampir menjerit Irdina menyebut nama bakal tunangnya itu.
“Kenapa?”
“Saya rasa dah nak pengsan awak tahu tak? Mama awak tanya macam saya ni penjenayah besar. Ish, saya rasa saya dah tak larat,” rungut Irdina.
Ekhmal tergelak. Eii... orang tengah serius, dia boleh gelak pula. Tahulah dia yang merancang semua ni. Terasa seperti mangsa keadaan pula.
“Kalau kau rasa nak tarik diri, aku tak kisah. Tapi kau jangan lupa, kita dah sign surat perjanjian. Salah satu syaratnya, kalau perjanjian ini dibatalkan sebelum tamat tempoh, pihak yang membatalkannya harus bayar ganti rugi sebanyak RM 50 000. Jangan lupa tu...”
Irdina terkedu seketika. Ya tak ya juga. Dia dah sign surat perjanjian. Oh, baru sahaja sehari di villa ni, rasa macam nak tercabut jantung.
“Saya tak lupalah!” tegas Irdina.
“Saja aku ingatkan,” balas Ekhmal.
“Oh ya, dari hari tu saya nak tanya awak tapi asyik tak sempat. Kenapa ya, saya harus tinggal dengan keluarga awak sedangkan lebih selamat jika kita tinggal berasingan?” Irdina melontarkan soalan pada Ekhmal.
Ekhmal diam sebentar, mencari-cari ayat yang sesuai untuk diterangkan pada gadis yang duduk di sebelahnya ini. Seketika, sebuah keluhan dilepaskan.
“Itu salah satu syarat yang mama aku kenakan,”
“Syarat? Untuk apa?”
Ekhmal diam lagi.

*  *  *  *  *

Pandai ya Irdina dan Ekhmal berlakon. Kenapa pula Ekhmal sukar nak beritahu perkara sebenar pada Irdina? Adakah kerana Ekhmal takut Irdina melanggar perjanjian? Tapi itu tidak mungkin. Kalau Irdina melanggar perjanjian, dia harus bayar ganti rugi. Jadi kerana apa? Kita lihat nanti sama ada Ekhmal akan beritahu Irdina atau terus menjadi rahsia dirinya seorang.
::bersambung::

6 ulasan :

Liyana berkata...

wow...
sgt2 menarik..
ape agaknye permintaan mama ekhmal tu...

epy elina berkata...

hohhohoho....
mama ekhmal mcm polis pencen lak..
crta ni best...
n pnuh saspen...

Leya berkata...

setuju ngan elina. suspen je tiap ending bab. panjang ke citer ni en. rizai?

Tanpa Nama berkata...

best3X!! next plis..
-fifi

Rizai Reeani berkata...

liyana: sama-sama kita tunggu ya. hehe... ;)

epy elina: seorang ibu, begitulah, harus tahu setiap apa yang berlaku dalam keluarga...

leya: em, tak pendek sangat dan tak panjang sangat. sedang-sedang sahaja. hehehe... yang pasti, tak sampai 20 bab pun :)

fifi: kita tunggu esok ya... ;)

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :D

kucun tella berkata...

walaupun dah sampai sini..still rasa mcm mirip n iras2 ngan bicara hati...cmno ni?