Sepatah Dua Kata

Isnin, Jun 21, 2010

Semanis Epal - Bab 05



NAMPAKNYA Irdina sudah berkenalan dengan keluarga Ekhmal. Walaubagaimanapun dia tetap risau dengan penerimaan Puan Sri Hasmiza. Apa agaknya yang akan Irdina lakukan untuk menambat hati mama Ekhmal itu?

*  *  *  *  *

Irdina terpempan melihat kamar tidurnya yang bercat merah jambu dengan keluasan yang dua kali ganda dari bilik tidur di rumah asalnya. Perlahan-lahan Irdina bergerak ke katil. Dia tidak terus duduk sebaliknya mengusap cadar sutera corak bunga-bunga kecil itu. Terasa halus dan lembut. Oh, pasti dia sedang bermimpi kala ini. Eh, mana boleh mimpi kalau tak tidur lagi. Tanpa berlengah, Irdina melompat ke atas katil persis kanak-kanak yang gembira diberi gula-gula.
“Oh, lembutnya...” ujar Irdina.
Dia berguling ke kanan, kemudian ke kiri. Selepas itu dia meniarap, dan kemudian terlentang pula. Terasa seperti terapung-apung di atas awan. Pantas Irdina bangkit. Dia melangkah ke arah almari pakaian. Kagum dengan almari yang boleh ditolak pintunya itu. Tidak seperti almari di rumahnya yang hampir rebah ke lantai bumi. Sudahlah pintu terkopak sebelah. Jauh beza dengan pintu almari yang bersaiz sederhana besar ini. Tak perlu nak tarik keluar pintunya, hanya tolak ke kanan sahaja.
Mata Irdina tertancap pula pada perkakas di atas meja solek. Dia menelan liur. Sungguh, dia tidak pernah lihat alat-alat solek sebegitu banyak dan pelbagai jenis. Selama ini yang ada di atas meja solekdi rumahnya hanya beberapa batang gincu, pemerah pipi dan bedak. Sayangnya, dia tidak pandai bersolek, apatah lagi menggunakan semua perkakas solek itu. Dia mencapai maskara, membuka penutup dan cuba memakainya pada bulu mata. Ah, dia memang tidak tahu cara penggunaan yang betul.
Maskara tadi diletak semula ke tempatnya. Irdina berlalu ke bilik mandi pula. Pintu bilik mandi ditolak perlahan. Suis lampu ditekan lalu bilik mandi tersebut dilimpahi cahaya rona jingga. Sedikit tenang dan membuai rasa. Tambahan pula melihat tab mandi yang selama ini tidak pernah terlintas langsung di fikiran Irdina untuk berendam di dalamnya. Dia mula memasang angan. Alangkah seronoknya berendam di dalam tab mandi itu dengan air susu dan kelopak mawar berserta dengan lilin aromaterapi seperti yang dilihat di dalam iklan di televisyen. Oh, bahagianya hidup!
“Tok! Tok!” bunyi ketukan pintu menganggu khayalan Irdina.
Dia pantas keluar dari bilik air lalu berlari membuka pintu. Wajah Ekhmal terjengul di hadapannya.
“Ada apa?”
“Mama panggil turun makan bila dah siap kemas barang nanti,” ujar Ekhmal.
“Oh, okey,” balas Irdina lalu menutup kembali pintu biliknya tetapi dihalang oleh tangan Ekhmal.
“Ada apa lagi?”
“Kenapa kau macam happy sangat ni?” tanya Ekhmal.
Irdina mengukir senyum. Soalan Ekhmal tadi dibiarkan tanpa jawapan. Dia menutup kembali pintu tetapi sekali lagi dihalang oleh Ekhmal.
“Apa lagi?” soal Irdina agak bengang dengan kelakuan Ekhmal.
“Ingat, jangan sampai rahsia ni pecah,”
“Ala, saya tahulah, tak payah risau. Ada apa lagi? Saya nak kemas barang ni,”
Ekhmal berlalu pergi begitu sahaja. Irdina menjengilkan biji matanya. Macamlah dia tak ada otak sampai tak tahu nak simpan rahsia. Menyampah!
Irdina turun ke ruang tamu lima belas minit kemudian. Dia sudah siap menukar baju kurung yang dipakainya tadi, diganti dengan blaus lengan panjang warna hijau muda agar tampak lebih selesa. Takkan nak sarung baju kurung 24 jam dalam rumah pula kan?
Sampai di ruang tamu, dia mencari kelibat Puan Sri Hasmiza. Manalah agaknya Puan Sri yang berlagak diva la vida tu ya? Kata tadi suruh turun makan.
“Makanan dah sedia cik,” sapaan Mak Timah sedikit mengejutkan Irdina.
‘Makcik ni ada ilmu apa? Tiba-tiba muncul kat belakang. Kus semangat...’ detik hati Irdina.
“Terima kasih makcik. Ada nampak Puan Sri?”
“Puan Sri ada di taman,”
“Kalau macam tu, saya jumpa Puan Sri dulu, kemudian baru saya makan ya makcik,” ujar Irdina lalu berjalan ke taman.
Kelihatan Puan Sri Hasmiza sedang asyik mengutil daun-daun pokok bunga kertas yang sudah kekuningan. Irdina menghampiri mama Ekhmal itu perlahan-lahan.
“Rajin auntie menanam ya. ‘Sejuk’ tangan auntie. Banyak pokok-pokok yang tumbuh cantik,” Irdina menyuntik pujian membuatkan hati Puan Sri Hasmiza kembang setaman.
“Ala, auntie duduk rumah pun bukannya ada buat apa. Dari duk tercongok sorang-sorang, baik auntie ambil angin di taman ni. Tenang sikit...” ujar Puan Sri Hasmiza.
“Dina tak suka tanam pokok bunga ke?”
Bibir Irdina menguntum senyum. Seketika ingatannya singgah ke halaman rumah yang banyak ditanam pokok buah-buahan. Ada rambutan, manggis dan mangga. Selalunya musim buahlah yang paling ditunggu-tunggu. Selain boleh dimakan, hasil buah-buahan tersebut boleh dijual. Dapatlah untung sedikit buat belanja dapur.
“Suka tapi di rumah banyak pokok buah,” jawab Irdina sambil membelai lembut bunga mawar yang baru hendak rekah.
“Wah, luas halaman banglo keluarga ya, tanam pokok buah,”
Irdina tersentak. Aduh, dia terlepas cakap pula. Macam mana ni?
“Err... Adalah pokok buah sebatang dua auntie. Selebihnya rumput saja yang tumbuh,” Irdina pantas mencipta dalih.
Puan Sri Hasmiza beralih pula pada pokok puding yang beraneka warna yang ditanam sejajar. Dia mengembus tanah bertujuan mengelakkan air dari bertakung apabila disiram nanti.
“Dah buat persiapan pertunangan? Mal kata dua minggu lagi kamu berdua dah nak bertunang,”
Irdina terkejut dengan kenyataan Puan Sri Hasmiza tetapi cepat mengawal diri agar tidak ketara sangat perubahan pada wajahnya. Tidak pula Ekhmal mengkhabarkan apa-apa padanya tentang pertunangan tersebut.
“Setakat ni adalah beberapa barang dah beli auntie,” Irdina mereka cerita.
“Hmm... Auntie tak kisah siapa pilihan Ekhmal. Cuma apa yang auntie harap, Dina jaga dia baik-baik. Anak auntie tu dah banyak menderita...”
Menderita? Ah, lelaki itu terlalu perahsia. Kalau ditanya pun masakan dia hendak memberitahu akan perihal sebenar. Lebih baik dia mencungkil rahsia itu dari Puan Sri Hasmiza.
“Maksud auntie?
“Ekhmal dah banyak kali putus cinta. Bila dia cakap yang dia dah nak bertunang, auntie rasa gembira sangat. Mungkin auntie terlalu mendesak tapi semua yang auntie lakukan untuk kebaikan dia juga,” jawab Puan Sri Hasmiza.
Banyak kali putus cinta atau terlalu berfoya-foya? Ala, macam Irdina tidak tahu yang lelaki perasan kacak macam Ekhmal tu mustahil akan setia dengan seorang gadis sahaja. Apatah lagi dengan kekayaan yang ada. Dasar buaya tembaga!
“Dina tentu tertanya-tanya mengapa Ekhmal nak cepatkan pertunangan bukan? Tapi terus-terang, auntie tak pernah tahu tentang Dina. Auntie jarang tahu tentang kehidupan sosial anak auntie yang bongsu ni. Dia banyak sangat berahsia,” tambah Puan Sri Hasmiza.
Itu Irdina sangat setuju. Entah apa yang Ekhmal dapat dengan berahsia pun Irdina tidak tahu. Pakar psikologi ada cakap, kalau banyak sangat memendam rasa ni, lama-lama boleh jadi gila. Oh, minta-mintalah Ekhmal tidak jadi begitu.
“Memang mulanya saya terkejut auntie tapi saya faham, pasti ada sebab mengapa Ekhmal bertindak begitu,” ujar Irdina setelah agak lama menjadi pendengar setia bicara Puan Sri Hasmiza.
“Sebab auntie yang paksa,”
Irdina memandang wajah Puan Sri Hasmiza yang tidak dimamah usia itu. Kulitnya masih lagi licin mengalahkan anak gadis 20-an. Ala, orang ada duit ni, mestilah menitik-berat soal kesihatan. Cakap saja nak vitamin apa, pil apa. Pejam mata beli. Nak senang, cucuk saja, habis cerita. Trend cucuk-menyucuk ni memang populat di kalangan artis dan mak-mak datin. Bukan gosip okey, tapi kenyataan.
“Kenapa auntie cakap macam tu?”
Puan Sri Hasmiza berdehem sebentar. Kali ini dia mengutil ranting-ranting pokok bunga raya yang masih kecil saiznya. Soalan Irdina tadi dibiarkan seketika.
“Seminggu lepas... Auntie ada cakap sesuatu seakan ugutan pada dia...” Puan Sri Hasmiza membuka mulut setelah agak lama berjeda.
“Kalau Ekhmal tak bawa teman wanita untuk dikahwinkan dengannya dalam masa sebulan, dia akan dihantar ke Australia untuk menguruskan perniagaan Abang Tan Sri. Auntie tahu dia tak suka tinggal di sana sebab dia tak mahu berpisah dengan galeri yang dijaga seakan nyawanya itu,”
Galeri? Galeri apakah? Oh, memang banyak perkara tentang lelaki itu yang tidak Irdina ketahui.
“Selebihnya, jika dia berkeras juga, auntie akan kahwinkan dia dengan Hasnani, sepupunya yang baru balik dari Perancis,” sambung Puan Sri Hasmiza lagi.
Oh, jadi inilah sebab lelaki itu beriya-iya mahu berkahwin dengannya dulu. Untuk mengelak dari berkahwin dengan orang lain rupanya. Pelik betul Ekhmal ni. Kalau dialah jadi Ekhmal, terima saja tawaran mamanya itu. Disuruh berkahwin, bukannya pergi berperang kat Palestin tu. Ish, ish, ish... Menolak tuah betul!
Auntie kalau boleh nak kamu berdua tak payah bertunang, kahwin saja terus. Tak sabar auntie nak menimang cucu sebenarnya,”
Irdina terpempan. Dia menjarakkan diri sedikit ke belakang, tindakan spontan. Ah, sudah... Tunang pun belum, nak terus kahwin pula. Sudahlah semuanya palsu belaka. Tidak! Dia harus menamatkan semua ini. Sejak mula lagi dia tidak sepatutnya terlibat dalam drama yang diarah oleh Ekhmal ini. Irdina meminta diri. Dia ingin segera berjumpa Ekhmal. Semuanya harus dinokhtahkan segera!

*  *  *  *  *

Irdina sudah mengetahui sebab Ekhmal bertindak untuk segera bertunang dengannya. Tiba-tiba dia sedar yang dia sudah terlalu jauh melangkah dalam dunia ciptaan Ekhmal. Perlukah dia mengharungi dengan semangat yang tipis atau berhenti sebelum perkara menjadi bertambah rumit? Hanya Irdina saja yang punya jawapannya.
::bersambung::

5 ulasan :

epy elina berkata...

hohohhoho....
ala truskan je la dina...
mana tau pas ni cnta brputik...
pikat la ekhwan 2...
dr tunang olok2 jd btul2 lak...
kehkeh2x...

Leya berkata...

apa lagilah si dina ni nak buat? aish..

akira_bita berkata...

hahahahah!! tol kata epy tu.. mana tau cinta berputik?? kdg2 lelaki berahsia ini macho tau!! hahahahah!! sudah.. aku pulak beria2....hahahahah!!!!

smbg rizai!!!

datul berkata...

irdina ni mmang sempoi habis. hahaha...

Rizai Reeani berkata...

Teroma kasih semua sudi singgah membaca... :D