Sepatah Dua Kata

Selasa, Jun 22, 2010

Semanis Epal - Bab 06





KATA orang terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan, buruk padahnya. Lalu Irdina telah mencapai kata putus. Dia tidak mahu lagi terumbang-ambing dengan perasaan yang tidak menentu. Apa agaknya keputusan Irdina?

*  *  *  *  *

“Saya dah tahu sebab kenapa awak beriya-iya benar mahu bertunang dengan saya,” ujar Irdina sejurus mengambil tempat duduk di hadapan Ekhmal yang sedang menikmati sepotong piza di meja makan.
Suapan Ekhmal terhenti apabila mendengar kata-kata Irdina tadi. Dia meletakkan semula sisa piza yang berada di tangan ke dalam piring. Wajah Irdina dipandang. Mata gadis itu kelihatan galak merenungnya.
Explain it,” pinta Ekhmal.
“Tadi saya berbual dengan mama awak. Dia ada cakap tentang perkahwinan awak yang diatur dengan sepupu awak tu,” jelas Irdina.
Ekhmal tersentak. Ah, kenapa mamanya terlanjur kata pula?
“Jadi?” Ekhmal berpura-pura tenang walhal hatinya sudah bergelora
“Kenapa awak tak terima?” soal Irdina.
“Rasanya itu bukan urusan kau,” balas Ekhmal.
“Memanglah tapi bila mama awak bercerita tentang awak, saya langsung tak tahu apa nak cakap. Contohnya, tadi mama awak kat awak ada buka galeri. Galeri apa pun saya tak tahu. Tunang apa namanya kalau perkara sebegitu pun tak tahu,” terang Irdina.
Ekhmal tersengih. Geli hati sebenarnya apabila Irdina asyik mengulangi perkataan ‘tak tahu’. Seketika kemudian, dia mengeluh.
“Apa yang kau nak tahu?” Ekhmal bertanya sambil kembali menyambung suapannya yang terhenti tadi.
“Serba-sedikit tentang diri awak,”
“Tak ada apa yang menarik tentang diri aku,”
Irdina mencemik. Geram betul dengan gelagat lelaki di hadapannya ini. Terasa mahu dicekik-cekik atau dicincang biar lumat. Tadi dia juga yang suruh tanya apa saja. Alih-alih, jawapan macam tu yang diberi. Baik tak payah tanya.
“Saya tak tahulah subjek Bahasa Melayu masa SPM dulu awak dapat berapa. Saya cakap lain, awak balas lain. Nak kata belajar tak tinggi, saya tengok kat ruang tamu terpampang besar bingkai gambar awak masa konvokesyen. Cakap Bahasa Melayu yang mudah pun awak tak faham,” Irdina menyindir membuatkan Ekhmal sedikit terpinga.
Irdina bangkit dari duduk, malas mahu melayan Ekhmal lagi. Buat sakit hatinya saja. Namun, baru beberapa langkah, dia berpaling semula.
“Oh ya, saya tumpang tidur rumah awak untuk malam ni saja. Esok saya akan balik rumah saya semula,” beritahu Irdina.
“Apa?” Ekhmal terkejut lalu segera berdiri.
“Tak dengar ke saya cakap apa tadi? Saya cakap, esok saya balik ke rumah saya semula. Saya tumpang tidur satu malam saja,”
“Tak boleh!” Ekhmal membantah.
“Kenapa?”
“Kau dah lupa apa yang tulis kat dalam surat perjanjian?”
Kali ini giliran Irdina pula mengeluh. Dia tahu, Ekhmal akan gunakan alasan itu untuk menghalangnya keluar dari rumah ini. Memang di dalam surat perjanjian ada dinyatakan bahawa dia harus tinggal bersama-sama keluarga Ekhmal sehinggalah mereka putus tunang dalam tempoh tiga bulan akan datang. Tapi...
“Saya tahu dan saya faham. Cuma saya rasa saya tak mahu lebih rumitkan keadaan,” balas Irdina.
“Rumitkan keadaan yang macam mana?”
“Mama awak minta kita kahwin, bukannya bertunang. Kalau kita kahwin, perjanjian tu dah tak sah lagi. Dan, tak manis sebenarnya jika saya tinggal di sini. Kita tidak ada ikatan yang sah. Saya tak mahu orang pandang serong. Saya masih ada harga diri,” petah Irdina berbicara.
Ekhmal ketawa kecil. Entah apa yang menggelikan hati, tidak pula Irdina ketahui.
“Sekarang baru kau fikir soal harga diri? Masa kau tanda tangan surat perjanjian tu, kau tak terfikir ke?” tajam sindiran yang Ekhmal lemparkan.
“Waktu tu saya terdesak, terlalu ikutkan perasaan. Selepas berbual dengan mama awak, saya baru tersedar, apa yang kita buat ni salah,” Irdina membela dirinya.
“Tak! Aku tak benarkan! Kau harus tinggal juga di villa ni! Muktamad!” bentak Ekhmal lalu membawa piring yang masih mempunyai cebisan piza ke sinki.
“Kenapa? Saya tak nampak rasionalnya saya perlu tinggal di sini,” Irdina membantah.
“Boleh tak kau jangan banyak soal. Aku dah bagi kau segala kemudahan. Aku yakin rumah lama kau tak ada bilik macam yang aku sediakan sekarang kan? Kau terlalu naif!”
Irdina masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri tadi. kata-kata Ekhmal sedikit mengguris hatinya. Ekhmal tidak perlu menyedarkan taraf hidupnya sampai begitu sekali.
“Saya tahu saya miskin awak, tapi saya bahagia. Saya tak hairan dengan harta-benda awak yang melimpah-ruah tu. Saya masih ada sesuatu yang lebih penting. Kasih sayang dari nenek saya,” ujar Irdina lalu melangkah pergi.
Ekhmal langsung tidak berpaling untuk menghalang Irdina. Dia menumbuk dinding. Pili air dipulas kuat. Mendesah-desah air keluar dari pili. Kedua tapak tangannya ditadahkan, menakung air lalu diraup ke muka.
“Bodoh!” bentak Ekhmal.

*  *  *  *  *

Hah, Irdina sudah membuat keputusan untuk keluar dari Villa Karisma, meninggalkan segala kekayaan yang diberi padanya. Tetapi Ekhmal berkeras menghalang Irdina dari pergi. Mengapakah?
::bersambung::

5 ulasan :

epy elina berkata...

hohohoho...
bgus irdina...
prthankan maruah ko....
ingt kekayaan blh beri kbhagiaan....??

akira_bita berkata...

yup! tol kata epy, igt kekayaan itu tunjang kebahagiaan??? adeh~~ ekhmal2...

suka ngn watak dina..!!

Leya berkata...

itu yang sebetulnya. respect ngan dina. si ekhmal tu pula nape beriya2 nak dina tinggal ek?

Rizai Reeani berkata...

epy elina: sangat setuju... :)

akira: saya pun jarang buat watak perempuan begini. hehehe...

leya: kenapa ekhmal beriya-iya? akan terjawab dalam bab seterusnya...

terima kasih semua sudi singgah membaca... :D

kucun tella berkata...

soalan : mengapakah?
jawapan: bunga2 dah tumbuh la tu..