Sepatah Dua Kata

Rabu, Jun 23, 2010

Semanis Epal - Bab 07






IRDINA kini dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Kampung Labu. Semalam dia telah memberitahu Ekhmal akan hasrat hatinya. Begitu juga pada Puan Sri Hasmiza Mahu tahu apa alasan Irdina?

*  *  *  *  *

“Kau marah?” soal Ekhmal ketika dia menghampiri Irdina yang sedang duduk di sebuah gazebo sederhana kecil yang terdapat di taman Villa Karisma.
Irdina bungkam. Tidak sedikit pun dia berpaling melihat wajah Ekhmal. Memang hatinya terguris dengan kata-kata Ekhmal semasa di dapur tadi. Hasratnya untuk mencari sedikit ketenangan terganggu dek kemunculan Ekhmal yang tiba-tiba itu.
“Orang kata, jangan cepat marah, nanti cepat tua,” usik Ekhmal, cuba memecah keheningan namun masih tiada balasan dari Irdina.
“Aku tak bermaksud nak cakap macam tu,” ujar Ekhmal lagi.
Irdina tersengih. Tak bermaksud konon. Hello, terlajak perahu boleh diundur tau. Terlajak kata, inilah jadinya.
“Aku bukan tak benarkan kau keluar dari villa ni tapi keadaan yang tak izinkan aku buat macam tu,” Ekhmal kembali menyambung kata.
Kali ini Irdina agak tertarik dengan kata-kata Ekhmal tetapi dia masih tidak memalingkan mukanya pada lelaki itu. Sebenarnya dia bimbang akan cair hati apabila memandang wajah Ekhmal yang seperti keanak-anakan itu.
Hah? Apa yang dia merepek ni? Tolonglah Irdina! Muka macam mamat tu berlambak kat tepi jalan tau. Namun jauh di sudut hati, Irdina mengaku yang wajah Ekhmal punya daya penarik namun cepat-cepat diusir rasa itu pergi.
“Irdina...” ucap Ekhmal.
Irdina terpempan. Meremang bulu tengkuknya mendengar panggilan Ekhmal yang kedengaran amat romantis sekali. Oh, telinganya ada sound trouble kot malam ni.
“Aku minta maaf,”
Akhirnya! Akhirnya! Itu yang Irdina tunggu sejak tadi. Lafaz maaf dari lelaki itu. Irdina tahu yang kebanyakkan lelaki punya ego yang tinggi. Susah nak mengaku kesalahan sendiri. Di dalam hati bukan kepalang gembira apabila mendengar ucapan maaf yang keluar dari mulut Ekhmal.
“Saya maafkan,” Irdina membuka mulut, membalas kata-kata Ekhmal tadi.
“Bersuara pun! Aku ingat kau sakit gigi sampai tak boleh cakap,” perli Ekhmal.
Irdina berpaling lalu menjengilkan biji matanya tanda tidak senang dengan gurauan Ekhmal. Lelaki ini tidak habis-habis dengan mulut laser mengalahkan mami jarum. Asyik nak mengutuk orang saja.
“Jadi, awak tetap tak benarkan saya keluar dari villa ni?” Irdina terus ke topik utama, malas mahu berkias-kias.
Kedengaran Ekhmal mengeluh berat. Irdina yakin, Ekhmal masih tahu halal dan haram. Masih tahu bezakan yang mana baik, yang mana buruk. Tinggal dengan bukan muhrim itu perkara yang seharusnya dijauhi tetapi mengapa Ekhmal tetap bertegas mahu bersekedudukan dengannya? Bersekedudukan... Oh, kedengaran sangat canggih ayat itu. Berbelit lidah nak menyebutnya.
“Aku fikir tak salah kalau kau tinggal di sini. Kita bukan tinggal berdua. Kat villa ni ada papa, mama, Mak Timah dan Pak Samad,” Ekhmal mula membentangkan hujahnya.
Irdina menggeleng. Nampaknya Ekhmal memang mahu dia terus tinggal di sini. Dia harus mematahkan segala hujah-hujah Ekhmal agar lelaki itu dapat menerima keputusannya untuk keluar dari villa tersebut.
“Betul cakap awak tapi tak manis dipandang orang sekeliling. Apatah lagi awak dari golongan kenamaan. Kalau ada yang mengata di belakang, pasti tak sedap didengar,” bidas Irdina.
“Orang sekeliling? Come on Irdina... Villa ni satu-satunya bangunan yang ada kat puncak bukit ni. Rumah yang paling hampir pun dua kilometer jaraknya. Tak ada siapa yang nak mengata. Kalau ada pun, diaorang yang tanggung dosa. Kita tak rugi apa. Bukannya kita buat benda yang salah,” Ekhmal menyambung hujahnya.
Irdina diam sebentar. Kata-kata Ekhmal itu ada betulnya tapi dia tetap rasa bahawa tindakan dia untuk tinggal di villa ini adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Ekhmal, terus-terang dengan saya. Kenapa awak beriya-iya mahu saya tinggal di sini? Saya tahu, ikutkan hati awak, lebih selamat kalau saya tinggal berjauhan supaya rahsia tak terbongkar. Hari tu pun awak kata mama awak yang tetapkan syarat agar saya tinggal di sini. Kenapa?” Irdina akhirnya melontar soalan yang menjerat diri Ekhmal.
Ekhmal bangun dari duduk lalu melontarkan pandangan ke langit. Langit malam tidak banyak dihiasi bintang-bintang. Bulan juga tidak bersinar terang. Seringkali ditutup mega hitam. Kegelapan bermaharajalela di segenap pelusuk alam. Mungkin petanda hujan akan turun malam ini.
“Sebenarnya, mama aku tak tetapkan apa-apa syarat. Aku sengaja cakap begitu supaya kau tak lari,” ujar Ekhmal tanpa berpaling pada Irdina yang sedang berkerut keningnya.
“Maksud awak?”
“Aku nak kau temankan mama,”
“Kenapa?”
Ekhmal menarik nafas seketika. Terasa bagai berat mahu meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Kau tahu Enochlophobia?
Pantas Irdina menggeleng.
‘Hello, saya ni graduan bidang perniagaan, bukannya bidang psikologi. Ekhmal bertanya macam dia tahu semua,’ bisik hati Irdina.
Enochlophobia tu adalah fobia apabila berada dalam kelompok ramai orang. Mama aku menghidap penyakit tu sejak dia berusia 15 tahun lagi,” jelas Ekhmal.
Penerangan Ekhmal sebentar tadi merungkai pelbagai persoalan di minda Irdina. Patutlah Puan Sri Hasmiza sentiasa duduk di villa itu tidak keluar-keluar. Rupanya dia menghidap penyakit takutkan orang ramai. Jadi, sebab itulah Puan Sri Hasmiza tidak seperti golongan wanita korporat yang lain.
“Mama tak pernah bercerita sebabnya tapi sejak dari itu mama sentiasa kesunyian. Selepas tamat belajar, mama bekerja di syarikat ayahnya, iaitu datuk aku tapi tak lama. Dia tak boleh lihat orang ramai berkeliaran di sekelilingnya. Jadi, datuk minta mama duduk di rumah sahaja sehingglah mama dikahwinkan dengan papa atas perancangan keluarga masing-masing. Papa pula jenis yang mengikut kata orang tua, menerima mama tanpa rasa cinta pada mulanya,” panjag lebar penerangan Ekhmal.
Irdina khusyuk mendengar. Puan Sri Haszmia menyimpan rahsia yang tersendiri. Ya, setiap manusia punya kelemahan masing-masing. Bergantung pada diri sendiri untuk menangani dan mengawal kelemahan itu agar tidak ketara dan merosakkan diri. Sedikit-sebanyak Irdina mula faham kenapa Ekhmal memintanya untuk tinggal di villa itu.
“Selepas berkahwin setahun, abang aku lahir diikuti dengan aku tiga tahun kemudian. Papa yang bina villa ni bersama-sama mama sebab papa tahu akan penyakit mama. Sebab itu villa ini dibina jauh dari bandar, di atas bukit supaya mama rasa selesa dan tenang. Tapi aku tahu, mama sunyi sebenarnya. Abang aku mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tiga tahun yang lalu kerana niatnya untuk menyambung pelajaran dalam bidang kulinari dihalang oleh papa kerana papa mahu dia menyambung perniagaan keluarga. Sejak itu mama semakin sunyi. Sebab itu mama paksa aku untuk cepat berkahwin kerana aku tahu, mama perlukan seseorang untuk diajak berbual dan melenyapkan kesunyian pada dirinya,”
Irdina mengangguk faham. Ada simpati yang lahir di lubuk hati. Penjelasan Ekhmal malam ini telah menjawab beberapa soalan yang berlegar-legar di fikiran Irdina sejak dia menjejakkan kaki ke villa ini. Pertama, persoalan tentang Puan Sri Hasmiza yang terperap duduk di dalam villa sudah terungkai. Kedua, tentang abangnya yang tidak pernah kelihatan juga sudah dijawab. Ah, siapa kata orang kaya ni hidupnya senang dan bahagia. Irdina bersyukur, walau dia miskin harta, tetapi dia kaya dengan kasih sayang.
“Jadi, boleh kau tinggal di villa ini?” soal Ekhmal lalu memandang Irdina.
Irdina mengukir senyum, cuba memberi semangat pada Ekhmal untuk menyingkirkan rasa sedih di hati. Dia membalas pandangan Ekhmal, mencari kekuatan untuk meneruskan kata.
“Saya faham tujuan awak Ekhmal. Tapi, kenyataan tetap kenyataan. Saya bukan isteri awak. Itu kenyataan. Bermakna saya tidak boleh tinggal di sini,”
Ekhmal mengeluh. Dia menundukkan wajah. Entah mengapa Irdina dipaut sayu. Serba-salah pula melihat Ekhmal begitu.
“Macam nilah Ekhmal. Saya akan datang menziarah mama awak setiap hujung minggu. Lagipun, saya harus cari kerja. Sampai bila saya nak terus duduk goyang kaki saja. Awak harus ingat, selepas tiga bulan, saya tak akan berada di sisi awak lagi. Lebih baik begini supaya saya tidak terlalu rapat dengan keluarga awak,” Irdina membuat penjelasan.
“Apa yang kamu berdua bincangkan ni?” teguran dari Puan Sri Hasmiza nyata mengejutkan Irdina dan Ekhmal.
Irdina masih dengan senyuman dan Ekhmal tetap berdiri di sudut gazebo sambil memeluk tubuh. Puan Sri Hasmiza mengambil tempat di sebelah Irdina membuatkan gadis itu dilanda resah.
“Irdina tak nak duduk di villa ni mama,” ujar Ekhmal tiba-tiba sekaligus menarik perhatian Irdina.
Cis, nampaknya lelaki itu telah mempergunakan mamanya untuk membuatkan dia serba-salah. Tidak, dia harus kuat semangat. Bertahan Irdina!
“Betul apa yang Mal cakap tu Dina?” soal Puan Sri Hasmiza sambil memandang tepat ke wajah gadis yang memakai blaus lengan panjang rona biru tua itu.
“Betul auntie. Saya rasa, tak manis jika saya tinggal di sini sebelum kami punya ikatan yang sah,” ujar Irdina.
“Tapi kamu berdua kan nak bertunang dua minggu lagi? Apa salahnya tinggal di sini?”
“Betul kata auntie tapi itu baru tunang, belum berkahwin. Tak manis dipandang orang auntie,” balas Irdina.
Wajah Puan Sri Hasmiza berubah mendung. Irdina tahu wanita itu terasa dengan kata-katanya tetapi dia bukan mahu mengajar yang mana elok, yang mana tak elok. Dia cuma menyatakan apa yang benar. Puan Sri Hasmiza yang lebih tua itu patut lebih faham apatah lagi mereka sama-sama perempuan.
“Kalau macam tu, tak payahlah bertunang, kahwin saja terus,” saran Puan Sri Hasmiza.
Irdina dan Ekhmal tersentak. Kahwin? Tak mungkin!
“Beginilah auntie. Tadi saya tak beritahu Ekhmal yang saya akan datang melawat auntie setiap hujung minggu. Soal kahwin tu, biar kami berbincang dulu sebab Ekhmal cakap dia belum bersedia lagi. Saya pun fikir, bertunang lebih baik. Tak adalah nampak macam terburu-buru,” kata Irdina.
Ekhmal mengangkat kening apabila mendengar namanya disebut Irdina tadi. Sedap-sedap mulut saja kata dia tak sedia lagi. Perempuan ni kalau bab mengenakan orang, dialah pakar!
Puan Sri Hasmiza berjeda sebentar, mungkin sedang berfikir akan kata-kata Irdina tadi. Tiba-tiba dia mencapai tangan kanan Irdina lalu memegangnya erat.
“Janji ya, kamu akan melawat auntie setiap hujung minggu?” soal Puan Sri Hasmiza.
Wajah Irdina berubah ceria. Dia pantas mengangguk. Ekhmal pula termangu. Terkejut dengan keputusan mamanya sedangkan dia fikir selama ini mamanya suka Irdina tinggal bersama di villa ini.
“Saya janji auntie! Saya janji!” ucap Irdina dalam senyuman.

*  *  *  *  *

Begitulah alasan yang Irdina berikan pada Ekhmal dan Puan Sri Hasmiza. Akhirnya berjaya juga dia meninggalkan villa itu walau dengan hati yang berat mahu melepaskan segala kesenangan yang dimiliki. Walau pun tidak sampai sehari dia duduk di villa itu, dia tahu tindakannya itu betul.
Namun apa yang Irdina tidak tahu, tindakannya meninggalkan Villa Karisma akan memakan dirinya sendiri kelak.
::bersambung::

5 ulasan :

epy elina berkata...

hhohohohoh....
bgus tndkn irdina...
x la trluka sngt puan sri bila thu rcngn mrka...
tp kan bgus klu ekhmal jtuh cnta kat irdina...
x yah brlakon....

datul berkata...

ini berbeza dr apa yg sy jangkakan waktu awal dulu. ingat citer klise ttang duk serumah tp ada twist. still got mesej moral yg baik. kipidap!

akira_bita berkata...

ergh! asal mcm menakutkan je ayat 'namun apa yg irdina tak tahu, tindakannya meninggalkan villa karisma akan memakan dirinya sendiri kelak'

argh! takut! jgn;ah apa2 terjadi pd dina... and kalo terjadi pun harap2 ekhmal akan dtg menyelamatkan!! hehehe

shura berkata...

sangat setuju dengan tindakan irdina. saya ingat citer ni akan jadi klise seperti citer lain yg mana kahwin paksa or whatever. still the same concept but different style in writing.

wait for the episode every day!

Rizai Reeani berkata...

epy: hmm, jatuh cinta ni bukan perkara yang mudah kan? tak boleh dipaksa. hehe...

datul: terima kasih, walau apa pun, saya memang tidka boleh lari dari klise

akira: tak ada orang yang mati dalam cerita ini. harap maklum. hehehe... ;)

shura: saya cuba tampil sedikit kelainan walau tetap ada klise.

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :D