Sepatah Dua Kata

Khamis, Jun 24, 2010

Semanis Epal - Bab 08





KEMUNCULAN Irdina di hadapan rumahnya di Kampung Labu benar-benar mengejutkan neneknya. Irdina telah menyatakan bahawa pihak syarikat tidak jadi mahu menghantarnya bekerja di luar daerah. Mujur neneknya tidak banyak bertanya. Irdina berasa lega kerana secara tidak langsung, dia telah berjaya lari dari kemelut yang melanda diri. Walau ada simpati buat Puan Sri Hasmiza, dia lebih rela keadaan tidak menjadi lebih kelam-kabut. Namun demikian, Irdina tidak tahu, dia bakal berdepan dengan situasi yang bukan saja akan menimbulkan kelam-kabut malah ribut-taufan yang akan melanda!

*  *  *  *  *

Dari satu syarikat ke satu syarikat dijelajahi namun jawapan yang diterima tetap sama. Oh, sukarnya mencari pekerjaan kala waktu begini. Kebanyakkan majikan mahukan pekerja yang sudah berpengalaman dan tidak mahu graduan baru sepertinya. Keluhan sudah berapa ratus kali disuara. Namun Irdina tidak akan sesekali patah semangat. Neneknya banyak kali berpesan, Tuhan tidak suka pada mereka yang mudah berputus asa. Walau sehebat mana dugaan melanda, ingatlah, Tuhan sentiasa ada sebagai tempat mengadu. Lagipun, Tuhan tidak akan menguji hamba-NYA melainkan hamba-NYA itu tidak mampu menanggung dugaan tersebut.
Irdina melihat jam di tangan kanan. Baru pukul 11.00 pagi. Tiba-tiba dia teringat bahawa dia harus ke Villa Karisma setiap Jumaat hingga Ahad untuk menemani Puan Sri Hasmiza. Sebelum keluar dari Villa Karisma tempoh hari, dia dan Ekhmal sudah menandatangani perjanjian yang baru.
Isi kandungan masih sama dengan perjanjian dahulu cuma yang berbeza adalah syarat untuk dia tinggal di Villa Karisma sudah ditukar dengan bertandang ke sana setiap Jumaat hingga Ahad. Tempoh perjanjian masih kekal tiga bulan, bermula selepas dia dan Ekhmal melangsungkan pertunangan minggu hadapan.
Fikiran Irdina teringat akan peristiwa dua minggu yang lalu sewaktu kali pertama dia bertemu dengan Ekhmal. Masih segar tentang sebiji epal, dia terlibat dalam rancangan yang tidak munasabah ini. Lalu Irdina mengukir senyum. Dia segera melangkah ke kedai buah-buahan di simpang jalan. Beberapa biji epal merah sudah berada di depan mata. Harga yang tertera pada papan tanda dilihat sebentar. Sebiji epal berharga RM 0.80. Hmm... rasanya masih berpatutan. Lalu dicapai lima biji dan dimasukkan ke dalam plastik yang disediakan di hujung meja dan kemudian bergerak ke kaunter pembayaran.
“Amoi, lu ambil lagi dua biji epal, saya bagi free,” ujar lelaki Cina yang sudah berkedut dahinya itu.
“Eh, betul ke ni apek? Wah, banyak baik hati ya apek. Terima kasih...” balas Irdina sambil berlari anak mengambil dua biji epal lagi.
“Bukan apa, saya tengok muka lu sedih aja. Jangan sedih-sedih amoi, senyum sikit. Baru nampak cantik,” usik lelaki Cina itu sejurus Irdina kembali ke kaunter pembayaran.
Irdina tersentuh mendengar kata-kata lelaki Cina  tersebut. Terserlah sangatkah kekecewaan yang dihadapi sehingga terzahir pada riak wajahnya? Lantas, Irdina mengukir senyum tawar, sekadar mengambil hati lelaki Cina itu.
“Orang kata, senyum itu macam kelopak bunga. Ketawa pula adalah bunga yang kembang sempurna,” sempat lagi lelaki Cina itu berfalsafah.
Irdina ketawa kecil. Tidak menyangka yang lelaki itu kaya dengan mutiara kata begitu. Pasti dia seorang yang rajin membaca. Irdina membuat pembayaran lalu mengucapkan terima kasih sekali lagi. Alhamdulillah, itu salah satu rezeki pemberian Tuhan untuk hari ini.
Irdina bernyanyi kecil di dalam hati bagi mengusir rawan. Dia mahu ke seberang jalan bagi menaiki bas ke Villa Karisma. Lampu isyarat ditunggu bertukar menjadi hijau bagi pejalan kaki. Keadaan lalu-lintas pagi itu tidaklah terlalu sesak dan tidak terlalu lengang. Setelah lampu isyarat bertukar hijau, Irdina mula melangkah namun telinganya menangkap bunyi enjin yang membingitkan. Irdina pantas menoleh ke kiri. Sebuah motosikal sedang meluncur laju ke arahnya.
Ya Allah!
“Hati-hati!” teriak satu suara.
Irdina terasa tangannya direntap ke belakang. Plastik yag berisi epal terlepas dari pegangan. Bertaburan jatuh sehingga ada beberapa biji epal yang hancur dilanggar motosikal yang bergerak laju itu. Irdina terkesima sebentar, melihat epal-epal yang hancur dilenyek tayar motosikal terbabit. Serasa terbang semangatnya entah ke mana. Tanpa sedar, dia berada dalam dakapan seseorang.
“Cik? Cik okey? Cik?”
Irdina kembali semula ke alam realiti setelah suara itu menampar pendengarannya. Irdina mendongakkan wajah. Seorang pemuda berkaca mata tanpa bingkai sedang merenungnya. Kulit pemuda itu cerah kemerahan. Sedikit kumis nipis kelihatan di atas mulutnya. Anak matanya redup dengan bulu mata yang lentik dan kening tebal seakan bercantum di tengah-tengah. Oh, apakah lelaki ini seorang artis atau model?
“Cik?”
“Ah, maaf...” ucap Irdina lalu segera melepaskan diri dari dakapan pemudatersebut.
“Cik okey ke?”
“Ya, sa... saya okey. Te... te... terima kasih,” balas Irdina, sedikit gugup.
Irdina dapat merasakan pemuda itu sedang merenungnya menyebabkan dia menundukkan wajah, terasa malu apabila ditenung pemuda yang tampak kacak di matanya itu. Pemuda tersebut membongkok, mengutip sisa-sisa epal yang masih elok. Irdina hanya memerhati tanpa sepatah kata. Masih belum pulih dari kejutan yang berlaku sebentar tadi.
“Budak-budak sekarang kalau bawa motor mengalahkan pelesit. Lain kali sebelum melintas tu, tengok kiri dan kanan dulu,” pesan pemuda berkemeja corak petak dengan seluar jeans rona hitam itu sambil menghulurkan plastik yang berisi epal pada Irdina.
Lambat-lambat Irdina menyambut huluran pemuda tersebut. Sebuah senyuman diukir membuatkan hati Irdina diterpa sesuatu yang aneh. Sekejap terasa bagai tersesak nafas. Sekejap bagai terapung-apung di langit biru.  Apakah yang sedang melanda dirinya kala ini?
“Terima kasih,” akhirnya lidah Irdina melafaz kata.
“Sama-sama. Lain kali hati-hati ya,” balas pemuda itu lalu bergerak pergi namun terhenti apabila mendengar suara Irdina memanggilnya.
“Ini...”
Pemuda tersebut melihat sebiji epal yang dihulur Irdina padanya. Dia menyambut dengan senyuman. Sekali lagi hati Irdina resah tidak keruan.
“Terima kasih,”
Irdina memerhati langkah pemuda itu yang kian menjauh. Di dalam hati, Irdina berperang dengan perasaan sendiri. Mahu sahaja ditanya nama pemuda tadi tetapi rasa malu menghalang. Ah, lupakan saja Irdina. Jangan terlalu ikutkan perasaan. Kau hanya tertarik pada wajah kacaknya saja.
Irdina kembali semula menunggu lampu isyarat bertukar hijau. Di mengira baki epal yang masih berada di dalam plastik. Ada empat biji lagi. Tiba-tiba Irdina tersengih. Sudah dua kali dia terjebak dalam tragedi epal. Mungkinkah dia akan berjumpa putera idamannya kerana epal?

*  *  *  *  *

Epal, rasanya memang manis tetapi kehidupan tidaklah selalu manis seperti epal. Irdina masih terlalu awaL untuk memikirkan tentang cinta kerana hidupnya masih lagi terumbang-ambing, belum boleh dikatakan selesa. Memetik kata-kata Irdina, mungkinkah dia akan berjumpa putera idaman kerana epal? Itu kita sama-sama nantikan.
::bersambung::

6 ulasan :

epy elina berkata...

hohohohho....
wah irdina trpnah asmara cnta.....
krna epal irdina akn brtemu putera idaman...
wah mnarik...

datul berkata...

aish, sapa pula yang selamatkan dina tu. sambung2..

yanti berkata...

best citer ni. flow ayat dia sempoi je. suke2...

akira_bita berkata...

erk... nmpaknya dina dh jatuh cinta.,.. tp xnk la.. nak dia ngn ekhmal.. heheheheh

Leya berkata...

yeh, dina dah jatuh hati. tp setuju ngan akira, nak dina ngan ekhmal. next!

Rizai Reeani berkata...

Hidup ini penuh dengan kejutan kan? Kadangkala kita tak tahu dengan siapa kita akan berjumpa esok. Mungkin kawan baru, mungkin kekasih hati, atau mungkin musuh ketat. Hehehe...

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :D