Sepatah Dua Kata

Jumaat, Jun 25, 2010

Semanis Epal - Bab 09




DALAM meniti hidup ini, sentiasa diselubungi dengan kejutan. Yalah, kita hanya manusia biasa yang tidak mampu menduga apa yang akan berlaku esok hari. Meniti hari demi hari, perlu ada semangat dan ketabahan. Jika terlalu mudah mengaku kalah, hidup tidak akan maju. Itulah prinsip yang dipegang oleh Irdina. Walaubagaimanapun, sejauh mana dia boleh berpegang kuat pada prinsip tersebut?

*  *  *  *  *

Salam diberi dan wajah Mak Timah dari jauh kelihatan berlari-lari anak membuka pintu pagar. Irdina tunduk menyalami tangan wanita yang sudah mencecah lebih dari enam puluh tahun usianya itu. Mereka berjalan beriringan masuk ke dalam Villa Karisma.
Puan Sri Hasmiza yang sedang asyik mengait sesuatu terkejut dengan kehadiran bakal isteri anaknya itu. Entah mengapa terus saja didakap gadis itu membuatkan Irdina sedikit kelu. Sudah lama dia tidak merasa hangatnya pelukan seorang ibu. Ada sebak yang mula memanjat tangkai hati.
“Duduklah... Kenapa tak beritahu nak datang? Boleh auntie call Ekhmal suruh ambil,” ujar Puan Sri Hasmiza.
“Tak apa auntie. Bukannya jauh. Saya dah biasa naik bas,”
“Ekhmal kata Dina takut nak memandu. Kenapa? Pernah accident ke dulu?”
Irdina kaget sebentar. Ada-ada saja si Ekhmal tu ya. Baik punya jawapan diberi pada mamanya. Takut nak memandu apanya kalau lesen pun tak ada. Oh, mungkin hanya itu yang mampu Ekhmal fikirkan memandang tak logik pula kalau kata dia tak ada kereta sedangkan perasan jadi anak orang kaya.
“Ekhmal tak balik makan tengah hari ke auntie?
“Hari ini tak. Ada lunch dengan klien katanya. Apa yang kamu bawa tu?” tanya Puan Sri Hasmiza apabila melihat plastik di sebelah Irdina.
“Epal auntie. Saja nak beri pada Ekhmal. Dia suka makan epal,” ujar Irdina, sekadar menunjukkan yang dia juga tahu kegemaran Ekhmal.
Ah, entah betul, entah tidak lelaki itu suka makan epal. Niat sebenar hanya untuk mengganti semula epal yang telah dicuri sewaktu mereka bertemu kali pertama dahulu. Puan Sri Hasmiza mengangguk. Mereka berbual seketika, bertukar-tukar cerita. Irdina rasa senang sekali apabila berbual dengan Puan Sri Hasmiza. Jauh di dasar hati, Irdina dapat rasakan yang dia seperti berbicara dengan emaknya sendiri.Wanita itu tidak lagi mempamerkan ketegasan seperti waktu mula-mula bersua-muka dulu.
Mungkin kerana wanita itu gembira kerana selepas berkahwin dengan anaknya nanti, pasti dia tidak akan kesunyian lagi. Irdina berasa sebal. Simpati kerana angan-angan Puan Sri Hasmiza tidak mungkin akan jadi kenyataan. Mereka akan berpisah juga.
Tiba-tiba Irdina terfikirkan sesuatu. Adakah selepas mereka berpisah setelah tiga bulan nanti, Ekhmal akan bebas? Maksudnya, dia tidak perlu berkahwin dengan sepupunya itu? Hmm... agaknya lelaki itu sudah punya agenda tersendiri.
Bunyi enjin kenderaan memasuki halaman menarik perhatian Irdina dan Puan Sri Hasmiza. Kelibat Mak Timah kelihatan beberapa ketika dengan wajah yang sedikit kelat. Dia mendekati Puan Sri Hasmiza lalu berbisik sesuatu di telinga wanita itu. Irdina hanya diam memerhati. Perlahan-lahan, wajah Puan Sri Hasmiza bertukar ceria, seaakan bersinar-sinar lagaknya. Dia lantas bangun lalu menuju ke pintu hadapan rumah.
“Kenapa Mak Timah?” soal Irdina, ingin tahu.
“Ada orang datang,” Mak Timah menjawab ringkas.
Irdina tertanya-tanya di dalam hati gerangan siapakah yang datang sehingga Puan Sri Hasmiza berubah laku begitu. Pasti seseorang yang penting. Baru sahaja Irdina hendak membuka mulut untuk bertanya lagi, Puan Sri Hasmiza sudah kembali ke ruang tamu bersama-sama seorang gadis cantik bertudung litup rona biru muda sedondon dengan warna blaus yang dipakai. Sungguhpun bertudung, gadis itu tetap tampak elegan. Pandai berfesyenlah senang cerita.
“Dina, kenalkan, ini Balkhis,” ujar Puan Sri Hasmiza, ramah.
‘Balkhis? Macam pernah dengar. Tapi di mana ya? Hah! Sepupu Ekhmal! Eh, kejap! Hah?’ Irdina menekup mulut apabila menyedari hakikat bahawa di hadapannya sekarang ini adalah gadis yang sepatutnya dikahwini dengan Ekhmal.
“Kenapa Dina? Terkejut?” tegur Puan Sri Hasmiza menyebabkan Irdina tersipu malu.
Hai, I Balkhis, you can call me Qish. And you?” sapa gadis tersebut sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
Irdina terpempan seketika. Aduh, merdunya suara, sopan pula tu. Kenapalah Ekhmal tolak gadis ayu lagi beradab macam ni? Buta apa mata mamat tu?
“Ini Irdina, bakal tunang Mal,” ujar Puan Sri Hasmiza apabila menyedari Irdina tidak membalas kata-kata Balkhis tadi.
“Ah, ma... maaf. Saya Dina,” ucap Irdina setelah menyedari kealpaannya sebentar tadi.
Huluran tangan Balkhis disambut kemas. Kedatangan Balkhis memang tidak dijangka. Apatah lagi secepat ini di waktu majlis pertunangannya hampir tiba. Irdina merenung wajah gadis yang duduk di sofa di hadapannya. Agak-agak dalam 23 umur gadis itu, teka Irdina.
“Dina berbuallah dengan Qish dulu, auntie nak ke dapur sekejap,” ujar Puan Sri Hasmiza.
Tidak sempat Irdina menghalang, Puan Sri Hasmiza sudah bangun lalu melangkah pergi. Irdina dicengkam gelisah tiba-tiba. Tidak betah duduk dengan seseorang yang baru saja hendak dikenali.
I ada dengar dari auntie tentang pertunangan tu. Congrats!” ucap Balkhis, memulakan perbualan apabila dilihat Irdina resah semacam.
“Hah? Err... Terima kasih,” jawab Irdina, gugup.
“Bertuah Ekhmal dapat teman wanita secantik awak,”
Irdina tersenyum. Tidak tahu mahu menerima kata-kata Balkhis itu sebagai satu pujian atau sindiran. Hendak dibandingkan antara dia dan Balkhis ternyata gadis itu lebih cantik. Ah, kenapa nak merendah diri pula ni. Sepatutnya kena kembang hati bila dipuji begitu.
“Tak adalah cantik mana Cik Balkhis, biasa-biasa saja,” balas Irdina.
“Eh, tak payah ber ‘cik’ dengan I, panggil Qish saja. Dina ni sebaya dengan Ekhmal ya?”
Irdina mengangguk. Gadis di hadapannya ini yang sepatutnya menggantikan tempatnya sekarang. Entah mengapa Ekhmal menolak untuk dijodohkan dengan Balkhis. Irdina tidak nampak apa kurangnya Balkhis di matanya. Adakah kerana mereka sepupu, maka Ekhmal beranggapan bahawa hubungan saudara itu perlu kekal sebagai saudara saja? Ala, lelaki itu terlalu sukar untuk diteka hatinya.
“Oh, samalah dengan umur dengan I. Risau pula, ingatkan lebih tua,”
Irdina tersengih. Amboi, mulut memang tak ada insurans. Perasan yang dia tu muda. Apa, nampak tua sangat ke muka ni?
“ Maaflah bertanya, dah lama ke kenal Ekhmal? Macam mana boleh kenal dengan dia?”
“Err... Nak kata lama tu, taklah lama. Nak kata baru pun, taklah baru. Kenal masa belajar di universiti dulu,” jawab Irdina, masih mengingati alasan yang dicipta oleh Ekhmal sewaktu ditanya oleh Puan Sri Hasmiza dahulu.
“Oh, I see... Bukan apa, sejak I belajar ke luar negara tiga tahun lalu, jarang dengar khabar dari Ekhmal walhal sebelum ni kami rapat. Maklumlah sepupu, sekolah pun sama sejak tadika sampailah tingkatan lima. Kami membawa haluan masing-masing selepas tu. I ambil law dan Ekhmal ambil Human Resource. By the way, Dina buat apa sekarang?”
Huh, mengalahkan wartawan betul perempuan ni. Semuanya nak diselidik. Apakah seorang peguam sikapnya memang begini? Suka bertanya akan sesuatu perkara sehingga ke akar-umbi?
“Saya buka kedai buku,” jawab Irdina, pendek.
Really? Wah, kira business woman nampaknya ni. Nanti bolehlah I singgah kedai you. Kat area mana?”
Ah, sudah! Apa mahu dijawab ni Irdina oi...
“Sebenarnya baru lagi rancang nak buka. Sebelum ni kerja dengan ayah saya di sebuah syarikat pelancongan,”
“Oh... so, your father also corporate people? I mean, Dato’? Tan Sri? Dato’ Seri?
Hai, orang kaya ni semuanya sama saja. Mementingkan pangkat dan darjat dalam perhubungan. Kalau tak setaraf, jangan mimpilah nak berkawan dengan mereka ni.
“Pangkat kecil saja Qis. Oh ya, awak kata tadi awak rapat dengan Ekhmal. Tak beritahu dia awak dah balik?”
Balkhis menggeleng. Kemudian, dia mengeluh kecil. Tiba-tiba tawanya meletus pula. Naik hairan Irdina melihatnya.
Sorry, sorry... Pertanyaan you tadi mencuit hati I. Ekhmal tak kisah kalau I beritahu dia I balik atau tak. Dia, tak mahu buat I terluka,”
Irdina mengerutkan dahi. Keningnya terangkat sebelah ala-ala penyanyi terkenal Ziana Zain. Sedikit pelik dengan penyataan Balkhis tadi.
“Kisah lama Dina... Sebelum I berangkat ke England dulu, I pernah luahkan perasaan pada dia. Seminggu I beri dia masa dan akhirnya perasaan hati I ditolak. Ekhmal hanya kata kami tak sesuai bersama dan anggap I seperti ahli keluarga sendiri. Memamg kecewa bila orang yang kita suka, menolak perasaan kita. Sebenarnya kalau Ekhmal terima hasrat hati I waktu tu, mungkin I tak jadi ke England. Tapi bila ditolak, boleh katakan I bawa hati yang lara ke sana, mengubat luka agar I boleh lupakan dia,” panjang-lebar penjelasan Balkhis membuatkan Irdina termangu.
“Jadi sekarang awak dah lupakan dia?” entah bagaimana boleh terpacul keluar soalan itu dari mulut Irdina.
Balkhis mengukir senyum. Senyuman yang tidak dapat ditafsirkan maknanya oleh Irdina.

*  *  *  *  *

Wah, nampaknya sudah muncul bakal isteri Ekhmal yang sepatutnya. Adakah ini bermakna Irdina sudah ada pesaing? Tapi, Irdina tidak menyintai Ekhmal. Balkhis pula sepertinya mahu menambat hati Ekhmal semula. Benarkah? Ish, mana Ekhmal tak muncul-muncul ni.
::bersambung::

7 ulasan :

akira_bita berkata...

uit??? alamak... dh dtg pesaing dah.... ish mne ekhmal ni??

datul berkata...

hohoho.. menarik dah ni. aisey, balkhis ni sibuk je.

epy elina berkata...

hhoohhhoho...
brah qis 2....
ekhmal x suke jg ngn qis....
kcian jg qis 2..
cuma cnta x blh d pksa....

shikin berkata...

musuh cinta dah muncul. sy suka part2 macam ni dalam novel. buat org teruja..

aqilah berkata...

dapat rasakan, yg berlanggar dgn dina tadi, abg pada ekhmal....?????? betul tak????? apapun, akak follow..........

Rizai Reeani berkata...

akira: ekhmal duk menyorok agaknya. hehehe...

datul: adat bercinta, pasti ada yang memendam rasa

epy: betul tu, cinta adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa

shikin: saya pun suka bila baca babak yang sebegini. memang mengujakan.

kak aqilah: hehehe... itu kita tunggu episod seterusnya. terima kasih sudi follow kak

Terima kasih semua sudi singgah membaca :D

kucun tella berkata...

sekadar menegur..ade typo error kat atas...

"oh samalah dengan umur dengan I"