Sepatah Dua Kata

Isnin, Jun 28, 2010

Semanis Epal - Bab 10




BAKAL isteri Ekhmal yang sepatutnya sudah muncul. Pada Irdina, gadis bernama Balkhis itu masih menyimpan rasa cinta buat Ekhmal. Apakah Ekhmal juga ada menyimpan rasa yang serupa? Entahlah, Irdina tidak ada masa untuk memikirkan perkara-perkara sebegitu. Dia lebih risau akan keadaan dirinya yang masih menganggur sekarang ini.

*  *  *  *  *

Perlahan-lahan dia melangkah meniti kaki lima jalan sambil matanya meliar di setiap deretan kedai, mencari andai kata ada iklan jawatan kosong yang tertera. Irdina sudah tidak fikirkan soal kelayakan lagi. Dapat jadi jurujual pun dia sudah cukup bersyukur. Asalkan dia sudah punya pekerjaan. Sementara ini, biarlah dia bekerja di kedai-kedai tepi jalan sebelum melangkah ke alam kerjaya yang sebenar, sesuai dengan kelayakannya. Kata orang, pengalaman adalah guru yang terbaik.
Sambil berjalan, Irdina turut membelek akhbar, menumpu sepenuh perhatian pada ruangan iklan kerja kosong yang ditulis di dalamnya. Jika ada kerja yang menepati cita rasa, dia akan membulatkan dengan pen dakwat merah.
Irdina berhenti seketika, menarik nafas panjang lalu mendongak ke langit. Awan kelabu mula berarak perlahan menutup cahaya mentari. Ah, barangkali hujan akan turun  sebentar lagi. Bagus juga jika hujan turun, terasa sejuk sedikit. Sudah hampir seminggu bumi Seremban itu kering-kontang tanpa setitis hujan yang mencurah jatuh.
Baru sahaja dia hendak memulakan langkah, anak matanya terpandang kelibat seseorang yang baru sahaja memakirkan kenderaan di tempat parkir yang disediakan, tidak jauh dari tempat Irdina berdiri. Dia kenal kereta itu dan ternyata telahannya benar apabila Ekhmal keluar dari perut kereta bersama-sama dengan seorang perempuan. Balkhis! Pantas Irdina bersembunyi di sebalik pasu-pasu besar yang ditumbuhi pokok bunga loceng kuning.
Sesekali Irdina menoleh, melihat aksi pasangan itu. Balkhis yang sedang melangkah mendahului Ekhmal tiba-tiba terpelecok namun sempat disambut oleh lelaki itu. Entah mengapa Irdina berasa tidak sedap hati. Dia melekapkan tapak tangan kanan ke dada. Pantas Irdina menggeleng. Merepek saja!
Mereka berdua melangkah masuk ke dalam sebuah bangunan tiga tingkat yang baru sahaja ditinggalkan oleh Irdina sebentar tadi. Pasti Ekhmal atau Irdina ada urusan dengan salah sebuah syarikat yang beroperasi di bangunan itu. Sepertinya Balkhis sudah memulakan langkah untuk menambat semula hati Ekhmal. Eh, pepandai saja dia. Entah-entah gadis itu sudah tidak menyimpan apa-apa perasaan lagi pada Ekhmal. Bukankah ketika pertemuan mereka tiga hari lepasm Balkhis telah menyatakan bahawa dia ke luar negara untuk melupakan Ekhmal?
Tapi, sewaktu ditanya apakah dia sudah melupakan Ekhmal, gadis itu hanya tersenyum. Tidak menjawab sama ada sudah melupakan atau belum sekaligus meninggalkan tanda tanya dalam hati Irdina.
Tanpa sedar, sebuah keluhan dilepaskan. Irdina kembali menyambung langkah. Dia mencari-cari andai ada iklan tentang jawatan kosong yang ditampal pada dinding deretan kedai yang ada di sepanjang kaki lima jalan itu. Akhirnya, mata Irdina tertancap pada dinding sebuah restoran yang kelihatan agak mewah.

Pelayan/Tukang masak/Pembantu dapur dikehendaki segera. Walk-in Interview
-Charisma Bistro-

Irdina berkira-kira di dalam hati. Patutkah dia mengambil peluang ini? Tapi sebagai apa? Pelayan? Oh, dia sangat pemalu orangnya. Eii... tolonglah! Pandai menipu. Em, tukang masak? Goreng ikan pun hangus. Masak maggi mee pandailah. Jadi... pembantu dapur? Kalau setakat basuh pinggan, bolehlah agaknya. Ah, pedulikan, janji dia cuba.
Perlahan-lahan pintu restoran itu hendak ditolak namun ada seorang pelayan lelaki yang terlebih dahulu membukanya. Irdina mengucapkan terima kasih lalu bertanya tentang iklan yang ditampal pada dinding restoran itu. Pelayan  yang memakai tag nama Saufi itu membawa Irdina berjumpa dengan pemilik restoran tersebut. Bilik pejabat di tingkat dua itu diketuk. Terdengar suara memanggil untuk masuk.
“Encik Ezwan, ini ada calon temuduga untuk jawatan pembantu dapur,” ujar Saufi lalu mengunjuk pada Irdina.
“Baiklah, terima kasih. Silakan duduk cik,” pelawa Ezwan.
Saufi berlalu pergi sementara Irdina melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan pemilik restoran Charisma Bistro. Irdina menatap wajah itu sekilas. Seperti dia pernah melihat lelaki itu tetapi Irdina tidak ingat di mana. Wajahnya seiras seseorang tapi mungkin pelanduk dua serupa.
“Okey, cik...” Ezwan memulakan bicara.
“Irdina, saya Irdina...”
“Cik Irdina, dah ada pengalaman kerja ke sebelum ni sebagai pembantu dapur?”
“Tak encik, tak pernah. Ini kali pertama,”
Ezwan mengukir senyum. Gadis itu dipandang atas ke bawah. Rambut gadis itu separas bahu, lurus dan disisir rapi. Raut wajahnya juga bersih. Tampak ayu.
“Ada bawa apa-apa dokumen pengenalan diri?” pinta Ezwan.
Irdina menyerahkan sebuah fail pada Ezwan. Penuh teliti lelaki itu membaca dan menyemak isi kandungan fail tersebut.
“Pemegang Ijazah Sarjana? Saya tak tersilap baca, kan?” soal Ezwan, memandang wajah Irdina yang tersenyum kecil.
Irdina mengangguk. Sudah dapat dijangka reaksi lelaki di hadapannya ini. Jika difikirkan, kelayakan yang ada padanya langsung tidak sesuai dengan kerja yang dipohon sekarang ini. Namun Irdina perlukan kerja. Walaupun Ekhmal ada memasukkan sejumlah wang dalam akaun setiap minggu, tetapi itu hanya untuk jangka masa tiga bulan sahaja. Selepas itu, dia harus bergantung pada dirinya sendiri untuk meneruskan hidup.
“Awak tahu tak yang awak ni dah over qualified sebenarnya?”
Senyuman masih tidak lekang dari bibir Irdina. Dia sudah punya jawapan untuk persoalan itu.
“Tapi tak salah jika saya bekerja sebagai pembantu dapur. Kita tak disarankan untuk memilih kerja. Asalkan halal dan dapat pulangan yang setimpal dengan apa yang telah dilakukan. Itu sudah cukup buat saya,” penuh yakin Irdina menutur kata.
“Awak tak rasa malu?”
“Malu? Saya bukannya mencuri atau buat kerja tak senonoh encik,” Irdina menyindir.
Meletus tawa Ezwan. Fail di tangan ditutup lalu diserahkan semula pada pemiliknya. Ezwan bangun tiba-tiba.
“Mari, saya kenalkan awak pada ketua chef di sini,” ujar Ezwan.
“Adakah ini bermakna saya diterima?” soal Irdina.
Ezwan tersengih lalu menjawab pertanyaan Irdina tadi.
“Saya rasa saya tiada alasan untuk menolak awak bekerja di sini,”
Irdina mengucap setinggi kesyukuran pada Ilahi. Akhirnya dia sudah menemui pekerjaan. Walau bukan seperti apa yang diimpikan, dia menerima dengan redha. Ini juga rezeki pemberian Tuhan. Sekurang-kurangnya dia masih boleh meneruskan hidup walau gaji yang diperoleh tidak setinggi mana.
Ezwan berjalan menuruni anak tangga, mendahului Irdina. Gadis itu dibawa ke ruang dapur. Dapat dilihat ada beberapa pasang mata yang mengintai pandang. Dibiarkan sahaja walau ada gugup di hati.
“Irdina, kenalkan, ini Hasmir, ketua chef di sini. Mir, ini Irdina, pembantu dapur yang baru,” ujar Ezwan.
Lelaki yang bernama Hasmir itu mengukir senyum. Irdina mengerutkan dahi. Seperti pernah dilihat lelaki ini. Ligat otaknya berpusing, menyelak lembaran kenangan dahulu dan terhenti apabila wajah lelaki itu menjelma di fikiran.
“Awak!” spontan Irdina bersuara, menarik perhatian Ezwan dan Hasmir.
Hasmir akhirnya tergelak kecil. Mungkin dia sudah dapat mengagak apa yang ada dalam fikiran Irdina.
“Tak sangka kita jumpa lagi ya,” ucap Hasmir.
Irdina tersipu malu. Dalam hati, bukan main gembira kerana putera impiannya sudah berada di depan mata. Inilah lelaki yang telah menyelamatkannya dari dilanggar motosikal dahulu. Lelaki yang menghadirkan debar di dalam hati.
“Kenal ke?” soal Ezwan pada Hasmir.
“Ha’ah, dialah perempuan yang aku ceritakan kat kau dulu,” jawab Hasmir.
“Oh, yang hampir nak kena langgar tu ya? Hah, inilah namanya jodoh...” usik Ezwan.
Merah muka Irdina mendengar kata-kata Ezwan tadi. Hasmir memperkenalkan Irdina pada para pekerja di bahagian dapur itu. Rupanya, Hasmir dan Erwan adalah sepupu. Kedua-duanya merupakan pemilik restoran yang baru sahaja dibuka dua tahun lalu ini. Irdina sejak tadi asyik tersenyum. Hari ini, dia bukan sahaja mendapat pekerjaan, malah lelaki yang mencuit tangkai hatinya juga berada sangat hampir di sisi. Apakah ini permulaan kisah cintanya?

*  *  *  *  *

Nampaknya nasib Irdina sudah tidak lagi mendung seperti dulu. Benarlah kata orang, kehidupan ini seperti langit. Sekejap cerah, sekejap mendung. Walaupun mendung, mentari itu masih ada. Tambahan pula hatinya kini sudah dicuit panah cinta. Mungkinkah di restoran ini dia bertemu jodohnya? Mungkin...
::bersambung::

7 ulasan :

epy elina berkata...

wahhhhhh...
irdina sdh brtemu putera idaman....
ishhhhh...
ekhmal ni...
kta x suka kat balqis....

fatimah berkata...

aisey, manalah ekhmal tak kuar2 ni. nak dina ngan ekhmal gak..

Leya berkata...

hasmir.. sedap nama tu. kalau dia ditakdirkan yang terbaik buat dina, terima saja

firda berkata...

come on... hasmir, dina tu ekhmal punya tau!

Tanpa Nama berkata...

sambung rizai! makin hangat nampaknya ni. pesaing2 cinta dah muncul..

Rizai Reeani berkata...

Kadang-kadang, perlu ada pesaing dalam percintaan agar kita lebih menghargai pasangan... :D

Terima kasih semua sudi singgah membaca (~_^)

kucun tella berkata...

klo ngan chef tu..untung dina dpt hubby pandai masak..

kalo dapat ekhmal..best gak...tp agak kasar..kau-aku...tp sweet!