Sepatah Dua Kata

Selasa, Jun 29, 2010

Semanis Epal - Bab 11



Sudah lama tidak bercerita tentang Ekhmal. Sejak Irdina keluar dari Villa Karisma, Ekhmal seakan tidak ambil kisah akan perihal gadis itu. Apatah lagi selepas kepulangan Balkhis. Masih adakah Irdina dalam ingatan Ekhmal?

*  *  *  *  *

“Kamu dengan Irdina ni macam mana? Jadi bertunang ke tidak?” soal Puan Sri Hasmiza sewaktu mereka sekeluarga sedang menikmati makan tengah hari.
Ekhmal yang sedang meneguk air masak tersedak. Mamanya ini kalau nak serang pun, tunggulah selepas habis makan. Tan Sri Zulkafli berdehem sambil melirik pada isterinya, tanda tidak senang dengan kelakuan isterinya sebentar tadi. Puan Sri Hasmiza membalas dengan jelingan. Bukan apa, dia risau sebenarnya. Hendak bertunang tapi Ekhmal mahupun Irdina seakan endah tak endah saja lagaknya. Langsung tidak berbincang dengannya tentang perkembangan majlis pertunangan itu.
“Kenapa mama tanya macam tu pula? Tentulah kami jadi bertunang,” jawab Ekhmal selepas keadaan menjadi reda.
“Dah tu, mama tak nampak pun kamu berdua buat persiapan majlis pertunangan. Dina pun datang tiap kali hujung minggu saja. Itu pun kamu sering tak ada di rumah. Bila ditanya, asyik dengan Qish. Kamu ni nak bertunang dengan sapa sebenarnya? Dina atau Qish?” tempelak Puan Sri Hasmiza.
Ekhmal tersengih. Tidak dinafikan, kebelakangan ini dia lebih banyak menghabiskan masa bersama-sama dengan Balkhis. Namun itu hanya untuk tujuan perniagaan. Balkhis meminta bantuannya untuk membuka firma guaman. Maklumlah, gadis itu baru sahaja tamat belajar dalam bidang undang-undang. Banyak proses dan prosedur yang perlu dilakukan untuk membuka firma guaman. Dia hanya membantu mana yang perlu. Selebihnya, mereka memang rapat sejak dari kecil. Banyak yang mereka kongsikan bersama.
Tentang perasaan yang pernah bersemi di hati Balkhis dahulu, Ekhmal sudah lama padamkan ia dari ingatan. Tidak sedikit pun meninggalkan bekas di hati. Ekhmal tahu, Balkhis seorang gadis yang tabah dan kuat semangat.
“Cincin tunang dah beli?” soalan Puan Sri Hasmiza menganggu khayalan Ekhmal.
Ekhmal mengangguk walaupun dia masih belum lagi membeli cincin tersebut. Kalau digeleng tadi, mahu bernanah telinga mendengar bebelan mamanya. Irdina pun satu. Gadis itu seolah telah lenyap sejak meninggalkan Villa Karisma. Langsung tiada mesej pesanan ringkas atau panggilan telefon. Sudah lupakah Irdina akan rancangan mereka?
“Err... mama...” suara Ekhmal, gusar.
“Apa dia?”
“Mal nak bincang sesuatu dengan mama dan papa,” ujar Ekhmal.
Puan Sri Hasmiza memandang wajah suaminya. Mereka saling bertentang mata kemudian kedua-duanya mengalihkan pandangan pada Ekhmal, menanti bicara lelaki itu.

*  *  *  *  *

Hidup Ekhmal masih berjalan seperti biasa. Tidak seperti Irdina yang merasakan hidupnya kini disulami bunga-bunga bahagia. Seminggu bekerja di Charisma Bistro, banyak yang telah dia pelajari. Bukan sahaja tentang kerja, malah tentang hati dan perasaan.

*  *  *  *  *

“Tak sangka lelaki macam awak minat memasak,” ujar Irdina sewaktu dia membantu Hasmir menyiapkan hidangan tengah hari untuk pelanggan hari itu.
“Maksud awak?” Hasmir bertanya, tidak faham.
“Yalah, awak graduan bidang Pengurusan Perniagaan, tiba-tiba boleh terjun dalam bidang masakan pula. Lagipun, saya rasa awak lebih sesuai jadi artis atau model. Pakej tu dah ada,”seloroh Irdina.
Hasmir ketawa besar sehingga menarik perhatian beberapa pembantu dapur yang lain. Fikiran Irdina ternyata sukar dijangka. Seminggu mengenali gadis itu, Hasmir rasakan Irdina berbeza dengan gadis lain. Dia seorang yang konservatif. Pemikirannya tidak diasak oleh arus pemodenan. Pakaiannya juga tidak seperti gadis-gadis sekarang yang lebih suka menyarungkan pakaian yang tidak cukup kain.
Irdina gadis yang sederhana penampilannya namun tetap ada ayu dan manisnya. Seorang yang periang dan banyak buat dia ketawa. Mengenali Irdina, hatinya sentiasa dibuai keriangan. Ada saja telatah atau kata-kata gadis itu yang mencuit hati. Apatah lagi dengan mulutnya yang seperti murai tercabut ekor itu. Ada saja perkara yang hendak dibualkan.
Ternyata, bukan dia saja berperasaan sebegitu. Rata-rata pekerja di sini juga menyenangi sikap Irdina yang peramah dan tidak sombong. Sesekali, jika ada peluang, Irdina akan membantu di ruang utama sebagai pelayan ataupun penjaga kaunter apabila terlalu banyak pelanggan yang datang. Irdina tidak kisah melakukan kerja yang bukan dalam bidang tugasnya. Dia lebih suka membantu.
Dan, sejak bergaul dengan Irdina, Hasmir merasakan ada sesuatu yang mengusik jiwanya. Perasaan tenang dan damai ketika berada di sisi gadis itu. Apabila Irdina tiada di depan mata, dia akan tercari-cari kelibat gadis itu. Apakah itu rindu? Ah, masih terlalu awal untuk menafsir perasaan hatinya.
Namun tidak dinafikan, kadangkala wajah Irdina muncul dalam mimpinya. Senyuman gadis itu, lirikan matanya, keriangan sikapnya, membuatkan Hasmir gembira. Dia tidak tahu apa yang sedang melanda dirinya kala ini.
“Awak! Ikan tu!” jerit Irdina sekaligus menerbangkan lamunan Hasmir tadi entah ke mana.
Hasmir menepuk dahi. Ikan yang digoreng sudah hampir hangus. Bagaimana dia boleh berkhayal sebegitu ketika sedang menjalankan tugas? Apakah kerana Irdina yang membantunya ketika ini menyebabkan dia menjadi alpa?
“Ke manalah awak berangan tadi ya? Nasib baik tak hangus ikan tu. Kalau tak, awak jawablah dengan bos,” perli Irdina.
“Saya berangan pasal awaklah Cik Dina oi...” usik Hasmir.
“Dah, jangan nak merepek. Cepat siapkan pesanan ni. Kalau saya jadi pelanggan tu, dah bertukar jadi incredible hulk tau sebab lambat sangat makanan sampai,” ujar Irdina.
Hasmir tersenyum. Ada-ada sahaja Irdina ni.

*  *  *  *  *

Malam menjelang tiba. Irdina berdiri di balik jendela, memerhati langit malam yang kelam. Tiada kerlipan bintang yang kelihatan menghiasi dada langit. Sinar bulan juga tidak secerah seperti selalu. Angin malam yang menderu, menghantar sedikit kedinginan. Irdina menutup daun tingkap yang terkuak. Jam di atas meja menunjukkan pukul 09.45 malam. Dia mencapai buku kecil yang terletak di sudut kanan meja. Sebatang pen diambil dari kotak kecil di hadapannya lalu dia ligat menulis sesuatu di atas helaian buku kecil tersebut. Sebuah puisi.
Ada debar di hati,
Kala melirik ke matamu,
Ada getar di jiwa,
Kala menatap wajahmu,
Ada resah yang menjalar,
Kala mendengar suaramu.

Diri ini tidak keruan,
Tidak tahu apa yang melanda,
Kala berada di sisimu,
Aku bukan aku,
Kala berada hampir dengamu,
Lidah ini kelu,
Kaki ini lesu,
Wajah ini malu.

Sesiapa,
Beritahulah apa yang sedang aku alami ini?
Lemasnya bergelumang dengan perasaan,
Sekejap ada rindu yang menjengah,
Sekejap ada gelisah yang menyapa,
Sekejap ada curiga yang singgah,
Cinta,
Inikah yang sedang aku rasai?

Wajah Hasmir menjelma di mindanya. Lelaki itu seorang yang tegas tapi penyayang. Memang menepati ciri lelaki idamannya. Tetapi Irdina tidak pasti akan perasaan yang bersarang di dalam hatinya waktu ini. Ya, dia berasa senang apabila berada di sisi Hasmir. Namun, perasaan ketika bersama Hasmir amat berbeza sewaktu dia di samping Ekhmal. Ah, sudah lama nama itu tidak muncul di benak fikirannya.
Bunyi isyarat mesej yang masuk mengejutkan Irdina dari angan. Siapa pula yang menghantar mesej malam-malam begini. Nama Ekhmal tertera di skrin. Baru sahaja disebut, dah muncul namanya. Segera Irdina menekan butang hijau untuk membaca mesej yang ditulis oleh lelaki itu.

Esok kita pergi beli cincin dan ambil baju yang ditempah. Jumaat ni kita bertunang.

Irdina terpempan. Ekhmal memang melampau. Semua keputusan dibuat lelaki itu tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Mentang-mentanglah dia dibayar untuk berlakon, sekurang-kurangnya berilah dia masa untuk bersedia. Bukan main terjah begini. Mujur esok Irdina masuk kerja shif petang kerana restoran Charisma Bistro telah ditempah untuk jamuan hari jadi pada malam hari. Jadi, kebanyakkan pembantu dapur yang bekerja shif pagi hingga petang diminta untuk masuk kerja petang sehingga lewat malam.
Seketika kemudian, kedengaran sekali lagi isyarat mesej masuk. Kali ini dari Hasmir.

Selamat malam. Semoga mimpi yang indah-indah.

Irdina tersenyum. Pantas saja tangannya menaip, membalas mesej Hasmir dengan ucapan yang serupa. Namun, dia masih teringat akan mesej Ekhmal tadi. Sudah bersediakah dia untuk menjalankan rancangan ini?

 *  *  *  *  *

Irdina dan Ekhmal bakal mengikat tali pertunangan tidak lama lagi. Namun dia celaru. Apakah perasaan yan gsedang bercambah dalam hatinya untuk Hasmir adalah cinta? Dan bagaimana pula jika dia sudah bertunang dengan Ekhmal? Adakah perasaan itu perlu dilenyapkan segera?
::bersambung::

4 ulasan :

epy elina berkata...

wah....
irdina dlm dlima...
x thu sape yg dia cntai....
crta smkin mnarik....

firda berkata...

syahdunya sajak tu.. copy bleh tak? he3..

akira_bita berkata...

ah! rasa mcm nak dina ngn hasmir pulak.. tp... ekhmal mcm ne? ish! qis ni menyibuk tol! alasan je tu nak bukak firma guaman.. huhuhuhu

Rizai Reeani berkata...

epy: saya pun mula-mula keliru, sapa agaknya yang akan jadi pilihan irdina. ;)

firda: silakan, saya gembira dapat berkongsi puisi yang tidak seberapa itu... :)

kira: hehehe... bukankah balkhis sedang menambat hati Ekhmal semula. berjayakah dia? itu kena tunggu sampai akhir. :)