Sepatah Dua Kata

Rabu, Jun 30, 2010

Semanis Epal - Bab 12




TINGGAL dua hari lagi untuk Irdina melangsungkan majlis pertunangan dengan Ekhmal. Perasaan di dalam hati, usah diteka. Resah berbaur gelisah. Seringkali dia berfikir, perlukah ikatan pertunangan ini wujud? Mari kita selami hati Irdina.

*  *  *  *  *

Semalam Irdina dan Ekhmal sudah mengambil cincin yang ditempah untuk majlis pertunangan yang akan berlangsung tidak lama lagi. Cincin yang bertakhtakan berlian itu amat cantik dipandang. Naluri wanita, barang kemas sebegitu sudah menjadi satu kemestian. Siapa yang tidak terpukau akan kilauan berlian yang bersinar itu? Namun Irdina tahu, cincin tersebut tidak membawa apa-apa makna dalam dirinya. Dahulu dia selalu berangan, bahawa suatu hari nanti akan ada prince charming yang datang, menyarungkan cincin secantik itu ke jari manisnya. Angan-angan, tidak selalunya menjadi kenyataan.
Dua hari lagi cincin itu bakal disarungkan ke jari manis tetapi bukan dari prince charming idamannya. Mengenali Ekhmal, walau baru dua minggu berlalu, lelaki itu tidak sedikit pun mencairkan hatinya. Okey, dia tipu. Sebenarnya ada sesekali hatinya terusik apabila melihat wajah Ekhmal yang boleh dikatakan kacak tetapi Irdina tahu, tiada guna dia menyemai perasaan suka apatah lagi cinta pada lelaki itu kerana pada Ekhmal, siapalah dirinya jika hendak dibanding dengan gadis-gadis lain yang pernah Ekhmal kenali.
Irdina tahu dia tidak seperti gadis lain yang pandai bergaya kerana dia selesa menjadi dirinya sendiri. Mungkin kerana persekitaran tempat dia membesar, membuatkan dia agak janggal untuk mencuba menongkah arus kemodenan dalam gaya berpakaian mahu pun berdandan. Cukuplah asal sedap mata memandang.
Bunyi barang jatuh dari dapur menarik perhatian Irdina. Nenek! Segera Irdina keluar dari bilik lalu berlari ke dapur. Dilihat sekujur tubuh sudah terbaring lemah di lantai. Irdina panik! Pantas dia menerpa ke arah neneknya. Badan neneknya digoncang berkali-kali sambil memanggil neneknya namun tiada sahutan. Cemas mula menerjah hati. Dia segera naik ke atas rumah semula, mencapai telefon. Nombor panggilan kecemasan di dail. Setelah menyatakan maklumat seperti yang diminta operator di talian, Irdina meletak gagang lalu kembali semula ke dapur.
“Nenek, bertahanlah... sekejap lagi ambulans sampai...” ujar Irdina sambil memegang erat tangan neneknya.
Setiap detik yang berlalu dirasakan teramat lambat bergerak. Irdina berlari mendaki tangga menuju ke biliknya semula. Dia mendail nombor yang terlintas di fikiran. Seketika menunggu, panggilannya berjawab.
“Hello...”
“Awak, tolong saya! Nenek pengsan!” ucap Irdina.
“Hah? Awak dah call ambulans?” soal Hasmir.
“Dah, tapi belum sampai lagi. Saya takut awak, saya takut...” Irdina melahirkan kegusaran.
“Tenang, isghtifar banyak-banyak. Kejap lagi saya datang rumah awak. Insyaallah, nenek awak tak apa-apa,” ujar Hasmir.
Irdina mengangguk walau dia tahu Hasmir tidak mungkin melihat anggukannya itu. Entah mengapa nombor telefon bimbit lelaki itu yang menjelma di mindanya. Tiba-tiba Irdina menepuk dahi. Bagaimana Hasmir hendak ke rumahnya sedangkan lelaki itu langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke sini? Lantas Irdina menelefon semula Hasmir. Talian senyap tidak berjawab. Mungkin Hasmir sedang memandu.
Ya Allah, kau selamatkanlah nenek dari segala bahaya...

*  *  *  *  *

Irdina melangkah longlai keluar dari bilik doktor yang merawat neneknya. Daun pintu ditutup lemah. Dia tidak terus ke wad yang menempatkan neneknya tetapi berjalan tanpa arah tuju. Satu persatu kata-kata doktor tadi terngiang-ngiang di telinganya.
“Saya dah lakukan x-ray pada nenek awak tadi. Tahap kandungan homocysteine dalam badan nenek awak agak tinggi. Ini boleh menggalakkan kecederaan pada dinding saluran darah arteri oleh kolesterol atau bahan lain,” bicara doktor yang memakai cermin mata tanpa bingkai itu.
Homocysteine? Maksud doktor?” tanya Irdina, tidak faham akan istilah perubatan yang doktor tersebut nyatakan tadi.
“Apabila perut mencerna protein dari makanan, homocysteine akan terbentuk. Bahan ini amat diperlukan untuk membina dan mengekalkan tisu dalam badan. Namun, apabila ia dikeluarkan secara berlebihan, saluran darah pada arteri akan mengecil dan mungkin tertutup terus. Ini menyebabkan darah tidak dapat dipam secara sempurna ke jantung,” terang doktor itu lagi.
Irdina mengangguk. Sedikit-sebanyak dia dapat memahami apa yang diperkatakan oleh doktor tersebut.
“Tapi doktor, jika ia penting untuk membina tisu badan, kenapa ia boleh dikeluarkan secara berlebihan? Sebab kurang bersenam?”
Doktor tersebut mengukir senyum seketika. Dia tahu Irdina seorang yang cerdik. Jika tidak, masakan dia akan bertanya sebegini lanjut.
“Senaman juga menjadi salah satu faktor. Selain itu, kekurangan vitamin tertentu juga menjadi punca selain masalah keturunan dan penuaan. Biasanya, badan yang normal akan menukarkan homocysteine dalam bentuk asid amino yang boleh digunakan sebagai tenaga atau disingkirkan sebagai bahan kumuh melalui pembuangan air kencing,” jelas doktor tersebut sambil mencatat sesuatu pada kertas kosong di hadapannya.
Irdina mengeluh kecil. Dia tahu, hidup dia dan neneknya sebelum ini seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mungkin benar neneknya tidak cukup pengambilan vitamin ditambah dengan kurang bersenam.
“Cik Irdina, dalam kes nenek awak, selain tahap homocysteine yang tinggi, pemendapan kolestrol juga berada pada tahap merbahaya. Jadi, saya sarankan untuk melakukan pembedahan pintasan arteri supaya darah yang dipam ke jantung dapat mengalir secara normal semula,”
Irdina tersentak. Pembedahan? Mendengar perkataan itu saja sudah membuatkannya kecut perut. Pembedahan biasanya memerlukan kos belanja yang tinggi. Kalau tiada RM 20 000 hingga RM 50 000 dalam tangan, tidak mungkin pembedahan boleh dilakukan. Jadi, dari mana dia boleh dapatkan duit sebanyak itu dalam masa yang singkat?
“Dina!”
Pergerakan Irdina terhenti apabila terasa bahunya dipegang. Kepalanya didiongak ke atas. Wajah Hasmir menyapa pandangannya.
“Awak tak apa-apa? Macam mana dengan nenek?” Hasmir bertanya, risau.
“Alhamdulillah, nenek tak apa-apa. Maaf ya, saya menyusahkan awak datang ke sini,” ujar Irdina, lesu.
“Tak ada susahnya. Maaf sebab lambat sampai. Masa pertengahan jalan, baru saya teringat saya tak tahu rumah awak di mana. Telefon pula tertinggal kat rumah. Saya patah balik dan dapat satu misscall dari awak. Saya telefon semula tapi tak berangkat. Jadi saya terus ke sini. Awak okey ke?” Hasmir membuat penjelasan lalu meleraikan pegangan di bahu gadis itu.
Irdina hanya mengangguk. Sungguh dia tidak mampu berfikir apa-apa lagi. Dalam kepalanya saat ini hanya ada satu perkara saja. Mencari duit untuk pembedahan neneknya. Tetapi dari mana? Tiba-tiba Irdina membuntangkan mata. Ada satu nama yang menjengah fikirannya kala ini. Ekhmal!

*  *  *  *  *

Musibah menimpa lagi. Kali ini Irdina betul-betul kesempitan wang. Mahu dipinta pada Hasmir, lelaki itu baru saja dikenali. Justeru, hanya pada Ekhmal sahaja dia boleh mengadu. Bersetujukah Ekhmal?
::bersambung::

8 ulasan :

epy elina berkata...

hohohoho...
mst ekhmal brstuju pnjmkan dina wang...
tp mst ngn syarat 2....

Leya berkata...

setuju ngan epy. apa pula syarat si ekmal tu kali ni.. makin best rizai! next!

datul berkata...

wah, belajar sesuatu dari bab ni. harus jaga kesihatan elok2..

akira_bita berkata...

ala.......... siannya... mesti dina risau.. ekhmal mesti bantu punyer...

Tanpa Nama berkata...

hoho, masuk bab medic skit kali ni. ekhmal confirm tolong tapi mesti nak pengeras punya..

aqilah berkata...

setuju punya....tapi mesti ada perjanjian punyalah.................heheheeeeeee

Rizai Reeani berkata...

Em, nak tahu ada perjanjian atau tidak, kita tunggu episod seterusnya. Hehehe...

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :)

kucun tella berkata...

plissss pilihlah ekhmal!!!
kalo ending ngan mir tu..xmo bace dh..hahaa