Sepatah Dua Kata

Jumaat, Julai 30, 2010

Semanis Epal - Akhir



CINTA itu perlu dibaja dengan kepercayaan dan disiram dengan keikhlasan supaya ia menghasilkan bebunga cinta yang rekah mewangi. Dalam bercinta, tidak harus wujud curiga. Curiga itu hanya memberi rasa tidak keruan dan membunuh kepercayaan.

*  *  *  *  *

Bunyi hon bertalu-talu kedengaran apabila Ekhmal terus menekan pedal minyak walaupun lampu isyarat sudah bertukar warna menjadi merah. Dia harus cepat. Jika terlambat, dia mungkin sukar untuk menjejaki Irdina semula. Kereta di hadapannya menekan brek, menyebabkan Ekhmal terpaksa turut sama memperlahankan keretanya. Seketika menunggu, kereta di hadapan masih tidak mahu bergerak. Ekhmal membuka tingkap lalu mengeluarkan kepalanya, meninjau ke hadapan.
“Tak guna!” bentak Ekhmal apabila melihat kenderaan beratur panjang kerana ada kemalangan berlaku beberapa meter di hadapan. Sebuah lori yang membawa pasir terbalik di bahu jalan.
Ekhmal melirik ke dashboard. Sudah hampir pukul 1.40 tengah hari. Masih ada 20 minit lagi sebelum Irdina bertolak. Namun rasanya kesesakan lalu lintas ini mungkin mengambil masa. Argh! Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Jika menunggu hingga kesesakan ini reda, pasti Irdina sudah menaiki bas. Tiba-tiba ada sebuah motosikal berhenti di sebelah kirinya. Ekhmal pantas membuka cermin kereta.
“Pakcik!” laung Ekhmal.
“Pakcik!” Ekhmal memanggil lagi apabila tiada sahutan.
“Hah? Kau panggil pakcik ke?”
“Pakcik tahu bawa kereta?”
Lelaki yang berkumis nipis dan berjanggut putih itu mengangguk. Pantas Ekhmal membuka pintu kereta lalu melangkah keluar.
“Pakcik ada urusan penting ke?”
“Tak, pakcik baru nak balik rumah lepas kerja shif malam tadi. Kenapa?”
Ekhmal memerhati sekeliling. Kenderaan panjang beratur, pegun, tidak bergerak.
“Pakcik, saya minta tolong sangat-sangat. Boleh tak pinjamkan motor pakcik? Saya perlu ke stesen bas cepat! Tolong ya pakcik!” pinta Ekhmal.
“Hah?” lelaki itu melopong dengan dahi berkerut.
“Pakcik bawa kereta saya ke stesen bas. Kita jumpa di sana. Tolong pakcik, saya terdesak sangat ni!”
“Errr....” lelaki itu kelihatan ragu-ragu.
“Ini kad saya. Tolong pakcik. Saya perlu ke stesen bas segera. Nanti saya terangkan bila kita jumpa kat sana. Tolong pakcik!” rayu Ekhmal lagi.
Serba-salah lelaki itu dibuatnya. Mahu tolong atau tidak? Tetapi nampak sangat anak muda itu terdesak. Mungkin dia benar-benar ada urusan penting. Lagipun, takkanlah dia sanggup menukar kereta mewahnya dengan motor buruk ini?
“Baiklah, nanti kita jumpa kat stesen bas,” akhirnya lelaki itu akur.
“Terima kasih pakcik! Terima kasih!” ucap Ekhmal seraya mengambil topi keledar dari tangan lelaki yang memakai seragam pengawal keselamatan itu.
Ekhmal cuba menyelit di celah-celah kenderaan yang beratur panjang itu. Sesekali dia hampir terlanggar cermin sisi kereta lain. Sudah lama tidak menunggang motosikal membuatkan Ekhmal kadangkala sukar hendak mengimbang.
Sempat dikerling jam di tangan kirinya. Sudah pukul 01.45 petang. Dia harus cepat. Ekhmal memulas handle motosikal jenama Suzuki Smash itu supaya bergerak lebih laju. Beberapa minit kemudian, dia sudah melepasi kawasan kesesakan lalu lintas. Ekhmal memberi isyarat membelok ke kiri. Masih ada dua lampu isyarat dan dua simpang yang perlu dia lalui untuk sampai ke stesen bas Seremban.
‘Ya Allah, bantulah aku!’ doa Ekhmal di dalam hati.

*  *  *  *  *

“Bas Mutiara Ekspress ke Perak akan berlepas sepuluh minit lagi. Diminta para penumpang untuk masuk ke dalam bas dan menyimpan barang di tempat yang telah disediakan. Terima kasih,”
Pengumuman dari operator bergema di segenap ruang stesen bas Seremban. Irdina mengangkat bagasi yang berisi pakaian milik dia dan nenek. Kelihatan beberapa penumpang sudah mula berpusu-pusu melangkah masuk ke dalam perut bas. Irdina memimpin neneknya, turut ikut masuk. Dia mula mencari nombor tempat duduknya. Setelah memastikan dia berada di tempat duduk yang betul, tubuhnya direbahkan di atas kerusi. Pandangannya dihalakan ke luar tingkap. Selamat tinggal Seremban. Selamat tinggal Ekhmal.

*  *  *  *  *

Ekhmal menurunkan tongkat motosikal yang dipakir di bawah sebatang pokok semarak api yang rendang. Dia sudah tidak peduli sama ada tempat itu dibenarkan atau tidak untuk memakirkan kenderaan. Yang penting dia harus segera berjumpa dengan Irdina. Jam di tangan tidak mahu dilihat. Dia yakin dia sampai tepat pada masanya. Lantas dia mula mencari Irdina. Meliar matanya sambil kaki melangkah dari satu tempat ke satu tempat. Lautan manusia di stesen bas itu agak menyukarkan Ekhmal untuk mengesan Irdina.
“Bas Mutiara Ekpress ke Perak akan bertolak sekarang. Harap maklum,” suara operator bergema melalui corong pembesar suara.
Tak! Tak mungkin! Tunggu dulu!
“Bang, bas Mutiara platform berapa?” tanya Ekhmal pada lelaki yang berjalan di sebelahnya.
“27,” jawab lelaki berkaca mata itu.
Ekhmal melihat papan tanda yang berada di atas kepalanya. Dia kini di platform lapan. Platform 27 berada di hadapan lagi di sebelah kiri. Lantas Ekhmal bergegas ke sana. Dia cuba berlari sekuat mungkin. Papan tanda platform 27 sudah berada di hadapan mata tetapi kelibat bas sudah tiada. Ekhmal berpusing ke kiri kemudian ke kanan, dia pasti bas tersebut masih belum jauh lagi dan pandangannya tertancap pada bas yang tertera perkataan “Mutiara Ekspress” sudah bergerak keluar dari stesen bas tersebut.
Ekhmal menarik nafas panjang dan cuba untuk mengejar namun ditahan oleh pengawal keselamatan yang berada di situ.
“Encik, bahaya. Encik tak boleh pergi ke sana,” pinta pengawal keselamatan itu.
“Tolong encik. Saya perlu hentikan bas tu,” Ekhmal merayu, mengharap belas namun kelibat bas tersebut semakin hilang dari pandangan.
Ekhmal terjelepok ke atas lantai. Tidak dihirau mata-mata yang memandang. Dia sudah kehilangan Irdina. Dia tidak sempat mahu melafazkan cintanya pada gadis itu. Dia sudah terlewat...
“Macam mana cik buat kerja ni? Saya tempah tiket ke Ipoh, bukan Kuantan!”
Ekhmal tersentak. Dia kenal suara itu. Pantas dia mendongak, mencari suara yang bergema di telinganya tadi.
“Irdina!” jerit Ekhmal sejurus melihat gadis berbaju kurung rona putih disulam bunga merah itu di kaunter tiket.
Irdina terasa seperti namanya dipanggil lalu segera menoleh dan bulat matanya memandang Ekhmal yang sedang terduduk di lantai. Biar benar?
“Ekhmal?” ujar Irdina seraya melangkah menghampiri tunang palsunya itu.
“Irdina! Irdina!” ucap Ekhmal apabila Irdina tiba di hadapannya.
Irdina membantu Ekhmal untuk berdiri. Tiba-tiba Ekhmal memegang kedua belah bahunya erat.
“Irdina!” ucap Ekhmal sekali lagi.
“Ya, saya... Macam mana awak boleh ada kat sini?”
Serasa mahu sahaja dia mendakap Irdina kalau itu juga namun Ekhmal masih tahu batas apatah lagi banyak mata yang sedang memandang. Tanpa sedar, air matanya menitis. Air mata kegembiraan. Syukurlah, dia sudah menemui cintanya.

*  *  *  *  *

“Awak nak bawa saya ke mana?” soal Irdina sewaktu Ekhmal mengajaknya keluar tengah hari Sabtu itu.
“Sebuah tempat yang istimewa,” balas Ekhmal lalu kembali fokus pada pemanduannya.
Irdina mencemik. Ada-ada sahaja tunangnya ini. Ya, tunang yang mulanya palsu tetapi berubah menjadi benar. Lagu “Kenangan Terindah” nyanyian kumpulan Samsons dari Indonesia  bergema di corong radio. Irdina terasa perasaannya bagai dibuai-buai ketika menghayati lirik lagu tersebut.

Aku yang lemah tanpamu
Aku yang rentan karena
Cinta yang tlah hilang darimu
Yang mampu menyanjungku

Selama mata terbuka
Sampai jantung tak berdetak
Selama itu pun
Aku mampu tuk mengenangmu

Darimu...
Kutemukan hidupku
Bagiku...
Kau lah cinta sejati

Dua hari berlalu sejak kejadian di stesen bas di mana Ekhmal telah menjadi pelakon utama dalam drama sebabak yang dipentaskan di hadapan pengunjung stesen bas tersebut. Sebenarnya dia memang sudah hendak berangkat ke Ipoh tetapi apabila pemandu bas memeriksa tiketnya, didapati tiket tersebut tertera perkataan Kuantan, bukannya Ipoh. Sungguh, dia sendiri terkejut sewaktu pemandu bas itu menghulurkan semula tiket bas itu. Mungkin memang silapnya kerana tidak memeriksa tiket terlebih dahulu selepas membelinya. Atau, mungkin sudah takdir dia tersalah membeli tiket kerana jika tidak, dia tidak mungkin akan dapat berjumpa dengan Ekhmal lagi.
Nenek hanya diam memerhati sewaktu dia dan Ekhmal duduk di bangku panjang tempat menunggu. Keadaan sudah mulai reda setelah hangat dengan adegan drama sebentar tadi. 
“Aku... Aku tak akan benarkan kau lari lagi,” ucap Ekhmal dalam mengah.
“Tapi awak...” Irdina  baru hendak meneruskan bicara tetapi ditukas oleh Ekhmal.
“Syhhh... Aku dah tahu semuanya. Aku dah tahu tentang rancangan Balkhis dan Hasmir,”
“Tapi... Hasmir dia dah... ah...” Irdina tidak dapat meneruskan kata, tiba-tiba berasa jijik akan dirinya sendiri.
“Tak ada apa yang berlaku malam tu. Itu hanya salah satu dari rancangan mereka saja. Hasmir dah beritahu semuanya,”
Irdina menekup mulut, terkejut dengan kenyataan Ekhmal. Ya Allah, syukurlah...
“Habis tu, apa yang awak buat kat sini?”
“Surat ni...” ujar Ekhmal lalu mengeluarkan sampul surat yang mengandungi luahan hati Irdina di dalamnya.
Wajah Irdina merona merah. Terasa hangat. Apatah lagi dadanya sesak dengan debaran yang menggila.
“Sa... Saya...” Irdina gugup.
“Saya cintakan awak,” ucap Ekhmal sekaligus membuatkan Irdina kelu.

Bila yang tertulis untukku
Adalah yang terbaik untukmu
Kan kujadikan kau kenangan
Yang terindah dalam hidupku

Irdina tergelak kecil apabila mengenang kembali peristiwa tersebut. Ketawanya menarik perhatian Ekhmal.
“Apa yang kelakarnya?”
“Tak ada apa. Tiba-tiba rasa nak gelak,” jawab Irdina membuatkan Ekhmal tersengih.
Sehingga hari ini, neneknya masih diam, tidak sedikit pun bertanya perihal kemunculan Ekhmal di stesen bas dan pembatalan dia berpindah ke Ipoh. Irdina tahu, neneknya menanti dia membuka mulut dan Irdina akan memberitahu segalanya apabila keadaan kembali reda. Dia yakin, neneknya pasti dapat menerima. Kebahagiaan dirinya, adalah kebahagiaan neneknya juga.
Hasmir ada menelefonnya malam semalam, memohon maaf dan menerangkan segala yang berlaku. Syukurlah, dia masih mampu mempertahankan maruah dan harga diri dari menjadi milik yang bukan sepatutnya.Lelaki itu juga telah dapat menerima bahawa antara mereka ada hubungan yang lebih manis dan istimewa iaitu persahabatan.
Tentang Balkhis, Irdina tidak ambil kisah. Yang pasti kata Hasmir, Balkhis mengambil keputusan untuk merantau ke luar negara untuk seketika. Merawat luka barangkali. Jauh di sudut hati, dia simpati pada Balkhis. Dia faham Balkhis bertindak sebegitu kerana amat menyintai Ekhmal namun cinta itu bukan paksaan. Ia adalah penyatuan dua hati yang saling mempercayai dan menyayangi antara satu sama lain.
Perjanjian pertunangan pula, mereka sepakat untuk merahsiakannya. Anggaplah perihal perjanjian itu tidak pernah dibuat dan ditandatangani. Biarlah ia menjadi sejarah yang tidak akan dikenang.

Namun takkan mudah bagiku
Meninggalkan jejak hidupku
Yang tlah terukir abadi
Sebagai kenangan yang terindah

 “Kita dah sampai,” teguran Ekhmal menyentak lamunan Irdina.
Sejurus keluar dari kereta, di hadapan Irdina tersergam sebuah rumah kecil yang di kelilingi dengan pokok-pokok bunga loceng kuning dan diselang-seli dengan pokok puding. Papan tanda bertulis “SÖTARE ÄPPLE” terpampang di pintu masuk yang ditumbuhi pokok seri pagi yang menjalar.
“Tempat apa ni?” soal Irdina.
“Galeri saya,”
Irdina tersengih kecil, masih tidak biasa bila Ekhmal membahasakan dirinya dengan ‘saya’. Terasa janggal pada pendengaran Irdina.
“Galeri?”
“Salah satu sebab mengapa saya merancang untuk pertunangan palsu tu sebab galeri ni. Awak dah lupa? Kan mama ada beritahu awak,” ujar Ekhmal.
Fikiran Irdina ligat berputar, mencari-cari perkataan galeri dan akhirnya ketemu. Ya, mengikut kata Puan Sri Hasmiza, galeri ini akan dijual jika Ekhmal tidak bertunang atau berkahwin dalam tempoh tiga bulan.
“Oh ya, apa maksud perkataan yang berbelit lidah nak sebut dekat papan tanda tu?” tanya Irdina lagi mengundang tawa Ekhmal.
“Awak ni... Em, Sötare äpple tu dalam bahasa Swedish yang bermaksud Semanis Epal,”
 “Bahasa Swedish? Kenapalah tak tulis dalam Bahasa Melayu saja? Cintailah bahasa kita,” bebel Irdina.
“Bahasa Swedish sebab papa saya tu ada darah Sweden dari belah datuknya. Tapi sebab ayah papa kahwin dengan orang Melayu, jadi sedikit sebanyak budaya orang sana makin hilang tapi darah Sweden tu masih ada,” jelas Ekhmal.
Irdina mengangguk. Kiranya Ekhmal ni pun ada darah kacukan jugalah ya? Patutlah kacak. Ops, tak boleh puji, nanti kembang setaman hati dia. Cakap dalam hati tak apa.
“Em, kenapa namakan ia macam tu?” Irdina masih cuba merungkai persoalan yang menerpa fikirannya.
“Kalau nak tahu, jom masuk ke dalam,”
Ekhmal menyapa pengawal keselamatan yang bertugas untuk menjaga galeri dan kawasan sekitar tersebut. Mahu saja Irdina bertanya apakah galeri ini turut dibuka kepada orang luar atau hanya untuk tatapan keluarga dan saudara-mara sahaja namun melihat wajah Ekhmal yang teruja, dia membiarkan sahaja pertanyaan itu bermukim di hati.
“Ops, sebelum masuk, kena tutup mata dulu,” ujar Ekhmal lalu mengeluarkan sehelai kain dari saku seluarnya.
“Ish, apa-apa sahaja awak ni...” gerutu Irdina namun dia merelakan sahaja Ekhmal menutup matanya dengan kain tersebut.
Tangannya diraih dan debaran di dada semakin memuncak. Ekhmal memimpinnya masuk ke dalam rumah tersebut. Mereka berjalan seketika sehingga berhenti di tengah rumah. Ekhmal menanggalkan ikatan kain penutup mata tadi.
“Okey, buka mata perlahan-lahan,”
Irdina mengikut arahan Ekhmal lalu pantas menekup mulut. Tidak percaya dengan apa yang dilihat. Di hadapannya ini adalah potret dirinya yang bersaiz besar, dibingkaikan warna emas, betul-betul digantung pada dinding di tengah rumah. Irdina menoleh ke kanan. Bertambah terkejut apabila melihat foto-foto dirinya semasa di universiti dulu begitu cantik disusun pelbagai cara. Dia menoleh ke belakang pula. Lukisan-lukisan pemandangan dan buah-buah epal tersaji di hadapan matanya.
“Terkejut?”
Irdina hanya mampu mengangguk. Siapa yang tak terkejut melihat gambar sendiri digantung di dinding dan ditangkap dengan penuh seni sekali.
“Awak...”
“Lelaki berkaca mata yang awak beri epal buat pencuci mulut lima tahun dahulu,” beritahu Ekhmal.
Irdina ternganga besar. Mengapa dia tidak perasan? Mungkin kerana Ekhmal tidak bercermin mata dan wajahnya juga berubah setelah lima tahun tidak bertemu. Sungguh, dia benar-benar terkejut.
“Macam mana awak boleh jumpa saya?”
“Panjang ceritanya Irdina. Nanti balik rumah, saya beritahu. Sekarang... Em, tunggu sekejap ya,” ujar Ekhmal lalu berlari anak ke bahagian dapur rumah itu.
Irdina mengambil peluang untuk melihat segala yang terpamer di ruang tamu rumah itu. Dia masih dihambat rasa tidak percaya. Lelaki yang ditegur secara tidak sengaja lima tahun dahulu, rupanya telah lama memendam rasa, menyembunyikan cinta.
Seketika kemudian, Ekhmal tiba dengan sebuah jambangan bunga mawar dan lili putih lalu dihulurkan pada Irdina. Irdina terasa bagai berada di awang-awangan saat itu. Terasa Ekhmal sudah berubah menjadi lelaki yang sangat romantis. Oh, janganlah kata ini mimpi. Kalau mimpi pun, dia tidak ingin sedar. Semua yang berlaku sudah cukup membahagiakannya.
Irdina menerima huluran jambangan bunga dari Ekhmal. Rupanya di tengah-tengah rimbunan bunga itu ada sebiji epal merah yang berdaun kecil. Dan ditangkai epal itu ada sesuatu yang bersinar. Pantas Irdina memandang wajah Ekhmal yang sedang mengukir senyum manis.
“Irdina... Sudikah awak menjadi isteri saya?” pinta Ekhmal lalu menunduk kaki gaya bangsawan seperti yang biasa dilihat di kaca televisyen. Sama seperti babak seorang lelaki ingin melamar gadis yang dicintai.
“Saya sudi,” ucap Irdina tanpa lengah lalu menyerahkan cincin yang bergemerlapan itu pada Ekhmal untuk disarungkan di jari manisnya.

*  *  *  *  *

Sebuah penamat yang indah bukan? Akhirnya, Irdina dan Ekhmal bersatu juga walau pelbagai salah faham telah berlaku sehingga kedua-duanya hampir berpisah. Benarlah, jika hati saling merasa cinta, pasti bersatu jua walau apa pun rintangan yang mendatang.
Oh ya, pasti anda tertanya-tanya, siapa saya yang asyik berceloteh sejak dari bab pertama sehingga kini. Nak cuba teka? Tekalah... Ekhmal? Hmm... cuba teka lagi. Irdina? Tak betul. Puan Sri Hasmiza? Lagilah tak betul. Apa? Nenek Irdina? Tolonglah teka dengan serius.
Tak tahu? Jadi nak tahu siapa saya? Betul nak tahu? Kalau nak tahu, kenalah tunggu musim kedua.
“Eryna Insyirah,  jangan nak memandai-mandai ya,”
Alamak, mak saya dah terdengar pula. Maaflah, tak ada musim kedua sebenarnya. Err... tapi tak salah kalau pengarang nak tulis, kan?
“Eryna, sudah, jangan nak membebel lagi,”
Baiklah semua, saya minta diri dulu. Kalau saya teruskan lagi, mak saya, Irdina pasti akan naik angin padahal mak sendiri yang ceritakan kisah cintanya dengan ayah. Saya sekadar berkongsi untuk tatapan semua. Terima kasih kerana sudi mendengar cerita cinta ini. Okey, semoga berjumpa lagi!

::TAMAT::

23 ulasan :

epy elina berkata...

hohohoh...
best la crta ni...
suke bila hepy ending....
tkdr mnmukan cnta suci antra dina n ekhmal....
thniah pda pnulis...

Rizai Reeani berkata...

epy elina: terima kasih awak kerana sudi mengikuti cerita ini dari mula hingga akhir. :)

nina falina berkata...

TQ...Cerita ni mmg best... tk meleret n cool je... puas ati ar... berbaloi mengikuti sampai akhir...

lonely gurlz berkata...

suke!!! watlah citer lagi ya. antarlah kat penerbit, mana tau bleh keluarkan? good luck ya!

shikin berkata...

love it. thanks for such a sweet story. can't wait for next stories. kipadap k!

kucun tella berkata...

sweet!!!!!like like like!!!!congratssssssss

akira_bita berkata...

owh.. romantisnya ekhmal!!!! sweet! sweet! suka sgt!! bertuah dina!

bro, pengakhiran yg sgt best! tahniah dpt habiskan! klo nak antar cter ni ke penerbit dlm manuskrip penuh pun tersgtlah okey!!

Tanpa Nama berkata...

i really like this story! congratz to writer. tulis banyak2 lagi ya.

masyur berkata...

akhirnya..t'jwb sdah sgala persoalan..

Tanpa Nama berkata...

citer nie best sgt2......tjuk pon dh wat sya teruja nk membacanye......

Leya berkata...

ending yang manis sekali! tahniah ya! kalau nak dibukukan pun okey.

izzati berkata...

wah rizai, suke endingnya. mmang manis macam epal. part ekhmal melamar dina tu very romantik. 10 bintang sy bagi!

shura berkata...

penamat yang indah. tahniah!

fatimah berkata...

tahniah! citer yg best! lepas ni wat lg citer best2 ok.. =)

Rizai Reeani berkata...

Alhamdulillah, terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi ulasan. Saya amat hargainya... Insyaallah, dengan sokongan dan dorongan dari pembaca, dengan izin-NYA, saya akan terus berkarya selagi mampu, Insyaallah... :)

firda berkata...

rizai, best citer ni. rasa sayang pula nak tinggalkan dina n ekhmal. neway, tahniah ya!

siti berkata...

cerita yang menarik. kalau buat drama pun best gak..

dontbelong2u berkata...

sweet sgt bila baca dari awl...
kalo dibuat drama pun ok gak...
sweeeeeeeeeet sgt ler ada sedikit mirip dgn cite korea terutamanya part stesyen bas tue tapi versi korea plak kat lapangan terbang (x igt tajuk korea tue), buat lagi cite lagi sweet dari nie ^_^V

Rizai Reeani berkata...

firda: terima kasih... :)

siti: drama? cadangan yang baik tu. ;)

dontbelong2u: wah, nama... hehehe... em, mungkin kebetulan tetapi mujur tidak serupa. insyaallah, akan terus menulis dengan sokongan pembaca dan izin-NYA. :D

terima kasih semua sudi mengikuti e-novel ini. (^_^)

♥ HanNa ♥ berkata...

yes..!
Akhirnya bleh gak bace endingnye...
best... kalu ade mesim ke-2..
best gak..

tp sedih sbb lewt bace
sbb gi kem..
tapi x pe..
hehe.. hepinya wase..

Rizai Reeani berkata...

hanna: musim ke-2? hehehe... itu kena tunggu manuskrip penuhlah. pastinya lebih konflik dan musuh cinta. :)

tak apa, bia lambat asal selamat. karya ini akan tetap di sini sehinggalah versi cetak keluar, baru ia akan dipadam :)

Missis Nouvel berkata...

saya baru jumpa blog ni..best2..sukalaaaaa..tak nak bukukan ke?boleh sy baca kalau time sy tak leh bukak internet..
:)

Rizai Reeani berkata...

Missis Nouvel: wah, manis sekali namanya. terima kasih, gembira awak menyukainya. Insyaallah, jika tiada aral, saya sedang mengusahakannya dalam bentuk manuskrip penuh. :)