Sepatah Dua Kata

Khamis, Julai 01, 2010

Semanis Epal - Bab 13





KEESOKANNYA, Irdina meminta cuti dari Hasmir kerana mahu menemani neneknya di hospital selain untuk bertemu dengan Ekhmal. Ada sesuatu yang mahu disuarakan pada lelaki itu.

*  *  *  *  *

Ekhmal memandang Irdina dengan wajah yang penuh curiga. Permintaan Irdina dirasakan tidak munasabah. Mahukan semua duit gajinya didahulukan. Apakah dia tersilap dengar atau gadis itu bergurau?
“Kau serius?”
“Muka saya ni ada macam main-main ke Ekhmal?” soal Irdina semula, sedikit marah.
“Tapi kenapa mendadak macam ni? Apa sebabnya?”
Irdina diam. Perlukah dikhabarkan pada Ekhmal tentang nenek yang sedang sakit dan perlu segera dibedah? Tidak, lelaki ini tidak perlu tahu. Ekhmal bukannya apa-apa dalam hidupnya. Bukan kekasih mahupun teman hidup.  Hubungannya dengan Ekhmal hanyalah satu kebetulan yang tidak disengajakan.
“Urusan peribadi. Tak perlulah awak ambil tahu...” jawab Irdina setelah agak lama berjeda.
“Bukan aku nak ambil tahu tentang hidup kau tapi...”
“Tapi apa? Awak takut saya lari selepas dapat semua duit tu? Begitu?” tempelak Irdina.
“Hei, kau ni kenapa nak angin satu badan? Aku cakap elok-elok kau nak marah-marah pula,” Ekhmal membidas membuatkan Irdina kelu.
Seketika, terdengar Irdina melepas keluhan. Berat pada pendengaran Ekhmal.
“Besar sangat ke masalah kau sampai kau bertindak macam ni? RM 50,000 tu bukannya sedikit. Aku bukan tak percayakan kau cuma aku takut kau buat yang bukan-bukan. Itu saja...”
“Maaf, saya tak bermaksud nak marah. Tertekan sedikit. Ekhmal, saya bukannya budak-budak lagi yang tak tahu bezakan mana betul, mana jahat. Saya hanya didesak oleh keadaan. Tapi, kalau awak tak boleh beri, tak apalah, saya cuba cari jalan lain...” ujar Irdina, mengaku kalah.
“Jalan lain? Siapa lagi yang kau ada untuk minta tolong? Nak pinjam duit dari lintah darat?” sinis nada suara Ekhmal.
Irdina mengeluh lagi. Malas mahu bertekak dengan lelaki yang tidak faham bahasa ini. Tapi, kata-kata Ekhmal tadi ada betulnya. Dia hanya ada lelaki itu untuk meminta pertolongan. Hanya lelaki itu yang boleh menawarkan sejumlah wang yang besar padanya.
“Irdina, esok kita dah nak bertunang. Lebih baik kau ikut aku balik. Mama dah mula bising. Katanya macam kita ni bertunang acuh tak acuh,” ujar Ekhmal.
Irdina mengangguk. Walau dalam hati keberatan dengan arahan Ekhmal. Bertunang? Sungguh dia tiada mood mahu memikirkan perkara tersebut. Kesihatan nenek lebih penting dari pertunangannya tetapi, jika dia tidak akur akan arahan Ekhmal, dia tidak mungkin akan memiliki sejumlah wang seperti yang telah dijanjikan.
“Macam nilah, selesai majlis esok, aku depositkan RM 25 000 dulu. Boleh?” saran Ekhmal.
Wajah Irdina bertukar ceria. Dia berfikir seketika. Ya, mungkin cukup jika duit sebanyak itu untuk tampung kos pembedahan nenek. Selebihnya, dia boleh meminta jasa baik doktor untuk membayar secara ansuran. Pasti doktor tersebut boleh bertimbang rasa padanya.
“Baiklah, saya setuju,” ujar Irdina.
Ekhmal mengukir senyum lalu bangun dari bangku kayu yang dibina di bawah pohon semarak api yang tumbuh rendang di kawasan rekreasi Taman Tasik Seremban itu. Irdina yang melihat, faham akan maksud Ekhmal. Mereka harus ke Villa Karisma secepat mungkin bagi menyediakan persiapan pertunangan esok.
“Awak!” laung Irdina tiba-tiba.
Langkah Ekhmal terhenti. Irdina segera berlari anak, mengejar Ekhmal yang mendahului di hadapannya.
“Terima kasih,” ucap Irdina setelah tiba di sisi Ekhmal.
Lelaki itu tersengih lalu kembali menyambung langkah. Irdina mencebik. Orang cakap terima kasih pun buat tak tahu. Huh, hati batu betul!

*  *  *  *  *

Sejurus menjejakkan kaki ke Villa Karisma, Irdina terpana melihat persiapan untuk majlis pertunangan yang akan dilangsungkan esok hari. Lagaknya seperti mahu mengadakan majlis kahwin. Taman yang dibina oleh Puan Sri Hasmiza sudah berubah wajah. Ada kanopi kecil yang dihias kain renda biru laut diselang-seli dengan rona putih. Sebuah bangku kayu yang dikeliling bunga-bunga kecil diletakkan di bawah kanopi tersebut, betul-betul di bahagian tengah. Mungkin dijadikan sudut bergambar agaknya.
Menyedari kehadiran Irdina, Puan Sri Hasmiza terus menerpa ke arah gadis itu. Irdina agak kaget apabila Puan Sri Hasmiza menarik tangannya, segera masuk ke dalam vila tersebut. Sekali lagi Irdina terpempan melihat hiasan dalaman vila yang tampak lebih elegan dan berseri. Di ruang tamu, dulang-dulang hantaran elok tersusun. Sekilas pandang, ada lebih daripada sepuluh dulang.
“Err... banyaknya dulang hantaran auntie?
“Bukan dari pihak lelaki tapi dari pihak Dina juga. Abang Dina yang hantar semalam. Kenapa tak beritahu yang papa dan mama Dina tak dapat datang? Kecil hati auntie tau. Nasib baik mama Dina call semalam,” ujar Puan Sri Hasmiza.
Irdina terpinga-pinga mendengar kata-kata wanita di sebelahnya ini. Abang? Setahu Irdina, dia anak tunggal. Ah, ini mesti angkara mamat berlagak cool tu. Agaknya sejauh mana dia telah merancang semua ini? Kenapa Ekhmal tidak maklumkan awal-awal tentang rancangannya itu? Tidaklah dia macam kura-kura tercekik batu, macam orang khayal hisap gam, terawang-awang tak tahu hujung pangkal cerita. Eiii... kusut dibuatnya!
“Err... sa... sa... saya...” Irdina bersuara gugup.
“Tak apa, auntie faham. Bukannya senang parents Dina nak balik sini. Lagipun, majlis bertunang saja. Masa kahwin nanti, jangan diaorang tak datang pula. Eh, dah, cepat pergi masuk bilik, salin baju. Sekejap lagi tangan tu dah nak pakai inai,” arah Puan Sri Hasmiza.
Irdina seperti lembu dicucuk hidung, mengikut saja kata-kata wanita itu. Dalam perjalanan naik ke bilik di tingkat dua, dia terserempak dengan Ekhmal yang baru sahaja keluar dari biliknya. Pakaian lelaki itu sudah bertukar. Tampak lebih santai dengan t-shirt kosong tanpa corak rona hijau dan seluar track-bottom warna hitam.
“Boleh tak saya minta tolong sikit?” pinta Irdina ketika berada di hadapan lelaki itu.
Ekhmal hanya mengangkat kening, menanti bicara Irdina yang seterusnya.
“Kalau nak merancang tu, boleh tak libatkan saya sekali? Awak jangan lupa, saya juga salah seorang pelakon dalam drama yang awak rancangkan ni. Pernah tak awak tengok orang buat drama, tapi watak heroinnya tak diberi skrip? Main cakap spontan saja. Tak pernah kan? Jadi, adalah lebih afdal kalau awak nak merancang sesuatu tu, beritahu saya dulu...”
“Okay, chop! Chop!” tukas Ekhmal.
Let me finish first! Saya pelik dengan awak ni tahu tak? Semuanya nak buat sendiri. Tahu tak tindakan awak tu akan menyusahkan saya? Macam tadi, tiba-tiba saya ada abang yang tak pernah wujud pun. Kemudian, emak saya yang dah lama meninggal, boleh hidup semula dan telefon mama awak. Fuh! Awak memang boleh dapat anugerah skrip dan pengarah terbaik!” perli Irdina, meluahkan ketidakpuasan hatinya.
Ekhmal diam seketika. Dia menatap wajah Irdina yang merona merah, menahan marah barangkali. Kemudian, dia mengukir senyum.
“Habis dah? Puas hati kau? Ke nak tambah apa-apa lagi?” giliran Ekhmal pula menyindir.
“Awak!”
“Okey, okey... Rileks... Kau sepatutnya berterima kasih pada aku sebab memudahkan kerja kau. Dalam tempoh seminggu dua ni, ada kau jumpa aku untuk bincang hal pertunangan ni? Tak ada kan?”
“Saya ada datang setiap hujung minggu. Awak tu yang tak ada kat rumah. Asyik berkepit dengan sepupu awak tu...” ujar Irdina lantas menekup mulut, menyedari keterlanjuran katanya.
Ekhmal mengerutkan dahi. Kata-kata Irdina menarik perhatiannya.
“Kau intip aku ke?”
“Jangan nak perasan! Mama awak yang cakap awak selalu keluar dengan Balkhis,” Irdina segera mencipta dalih, bimbang Ekhmal berfikir yang bukan-bukan.
“Dah kau tak nak keluar dengan aku, aku carilah orang lain,” Ekhmal memulangkan paku buah keras.
“Saya sibuk Ekhmal. Saya dah bekerja,”
“Tengok, kau dah bekerja tapi langsung tak beritahu aku. Bukankah sekarang sikap kau dan aku sama saja?”
Irdina kelu. Benar, bidasan Ekhmal tadi ternyata benar. Mereka saling berahsia antara satu sama lain. Tak, bukan berahsia, tidak mengambil berat lebih tepat. Tapi Irdina tidak rasa relevannya dia mengkhabarkan apa yang berlaku dalam hidupnya pada Ekhmal. Lelaki itu tidak penting baginya.
“Itu urusan peribadi saya. Jauh beza dengan hal pertunangan kita,” Irdina cuba menegakkan hujahnya.
Ekhmal tersengih, menampakkan barisan giginya yang memutih. Entah mengapa setiap kali bertemu, ada sahaja yang menjadi bahan pertengkaran. Irdina tidak mahu mengalah dan dia tidak akan kalah.
“Hai, kenapa keadaan di sini rasa macam berbahang?” tegur seseorang.
Irdina tersentak. Dia seakan kenal suara itu.  Namun, dia tidak segera menoleh.
“Datang pun kau! Dah siap kek yang aku tempah?” soal Ekhmal.
Of course! Err... yang ni...”
Belum sempat Ekhmal memperkenalkan gadis di sebelah, Irdina pantas berpaling. Anak matanya membulat. Ternyata telahannya tadi benar. Wajah yang menyapa pandangannya juga menunjukkan riak wajah serupa, terkejut.
“Mir?”
“Dina?”
Serentak keduanya bersuara. Ekhmal diam memerhati.

*  *  *  *  *

Oho, pasti semua sudah menjangka apa yang akan berlaku selepas ini bukan? Irdina sama sekali tidak menduga akan kehadiran Hasmir sehari sebelum majlis pertunangannya berlangsung. Pertemuan yang pastinya akan mengubah perjalanan hidupnya selepas ini. Pertemuan yang pastinya akan menyeliratkan lagi benang-benang masalah. Tindakan Irdina? Memutuskan pertunangan dan lari bersama-sama Hasmir. Oh, kerat jari pun perkara itu tak akan berlaku. Berpura-pura pengsan? Ah, taktik klise. Kalau hilang ingatan? Lagi tak logik. Justeru, apakah?
::bersambung::

4 ulasan :

epy elina berkata...

adehhhh....
hasmir brknalan lak ngn ekhwan....
ssh la dina nnt....
baik brtrus terang je lah ngn hasmir...
klu x melepas la hasmir 2 dina...

datul berkata...

uish, konflik dah muncul. kelaka betul part yg last tu. agak2nya dina pengsan kot. ha3...

iVoRyGiNGeR berkata...

Hehehe... kelakar.
Pantang jumpa gaduh. Nnti dah jauh rindu lak. ;)
Hasmir tu msti frust, kwn dia dah kebas Dina. hehehe...

Rizai Reeani berkata...

epy elina: hmm... saranan yang baik, tapi kita lihat nanti, apa kata hati Irdina... :)

datul: hehehe... kalau dia pengsan, macam manalah agaknya nanti ya. ;)

ivoryginger: manusia begitulah, bila dah hilang, baru nak menghargai... :)

terima kasih semua sudi singgah membaca... :D